Showing posts with label tuntut. Show all posts
Showing posts with label tuntut. Show all posts

Monday, April 16, 2012

Orang Asli tuntut janji




SEBAHAGIAN Orang Asli yang mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat SUK Kelantan di di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Lebih 400 penduduk Orang Asli dari Hulu Kelantan mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi menuntut janji yang dibuat kerajaan Pas Kelantan berkaitan tanah adat mereka.
Kumpulan dari 26 pos penempatan sekitar jajahan Gua Musang yang diketuai Pengerusi Jaringan Orang Asal Kelantan, Azmi Badol itu berhimpun selama kira-kira setengah jam bermula pukul 9 pagi.
Mereka antara lain menuntut supaya kerajaan negeri mengembalikan tanah adat mereka seperti dijanjikan sebelum ini.
Azmi kemudian menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Zawawi Muhamad, selepas gagal memasuki kawasan pejabat SUK yang dikawal polis.
Bercakap kepada pemberita, Azmi berkata, perhimpunan ini kerana kerajaan negeri masih gagal menunaikan janji sekalipun telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan mereka.

Wednesday, July 13, 2011

Bekas isteri Zainal tuntut RM167,102


Natasha Gabriel Abdullah
Natasha Gabriel Abdullah


KUALA LUMPUR: Bekas isteri vokalis kumpulan Headwind, Zainal Abidin Mohamed atau lebih dikenali Zainal Abidin memfailkan tuntutan hutang nafkah anak berjumlah RM167,102.04 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Natasha Gabriel Abdullah, 52, yang juga bekas model selaku plaintif menerusi peguam syarie, Norhusniah Husin mengemukakan tuntutan itu di hadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain.
Bagaimanapun, Zainal Abidin, 51, yang diwakili peguam syarie Abdul Halim Bahari, tidak hadir.
Natasha mengemukakan tuntutan itu yang juga hutang nafkah sejak 2002 hingga kini membabitkan yuran persekolahan, kelas agama dan perubatan anak mereka.

Zainal Abidin juga menghadapi satu tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya yang difailkan Natasha tahun lalu.

Dalam tuntutan itu, Natasha memohon nafkah bulanan RM200 bagi setiap anak dinaikkan kepada RM1,200 seorang.

Turut dimohon, nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.
Bagi nafkah membabitkan pelajaran, Natasha menuntut belanja anak mereka, Mikhail, 18, dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala anak perempuan iaitu Timur, 16, RM2,000 sebulan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan dua kes berkenaan pada 24 Oktober ini.

Mengikut rekod, Natasha bernikah dengan Zainal Abidin pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan dua anak iaitu Mikhail dan Timur, sebelum bercerai pada 12 Disember 2000. Berita Harian Online | Bekas isteri Zainal tuntut RM167,102

Friday, May 27, 2011

Tuntut nafkah terhadap Indra

IPOH - Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, bekas isteri pemain bola sepak T-Team, Indra Putra Mahayudin memfailkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak, nafkah idah dan mutaah di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Norliaton, seorang suri rumah memfailkan tuntutan itu apabila rumah tangga mereka yang dibina pada Mac 2003 runtuh berikutan bekas pemain kebangsaan tersebut melafazkan cerai menerusi khidmat kiriman ringkas (SMS) terhadap Norliaton pada 27 April lalu.
Norliaton memberitahu, pengesahan lafaz cerai talak satu itu telah dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 18 Mei lalu.
"Sebelum jatuh talak, saya pernah memfailkan tuntutan nafkah tanpa penceraian di mahkamah sama pada 31 Mac lalu selepas dia (Indra Putra) jarang pulang ke rumah di Taman Meru 2B di sini, manakala pemberian nafkah juga tidak konsisten.
Kosmo! Online - Negara

Friday, April 15, 2011

Nelayan tuntut hak milik rumah


SEBAHAGIAN nelayan menunjukkan surat tuntutan tunggakan sewa beli rumah di Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 700 keluarga yang terlibat dalam Program Penempatan Semula Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini menuntut hak milik rumah dan tanah bagi memastikan nasib mereka terbela selepas berpindah ke situ tujuh tahun lalu.
Mereka bimbang dikenakan tindakan termasuk mengosongkan rumah apabila kerajaan negeri mengeluarkan notis peringatan menjelaskan tunggakan dan sewa beli rumah yang mencecah sehingga RM7,500 setiap keluarga.
Bagaimanapun menurut penduduk, mereka tidak mampu menjelaskan bayaran itu kerana sebahagian besar penghuni di situ adalah nelayan yang memperoleh pendapatan sekitar RM450 sebulan.
Wakil penduduk, Ismail Bakar (gambar kecil), 47, berkata, mereka wajar mendapat hak milik rumah dan tanah kerana diarah berpindah ke situ pada 2004 dalam usaha kerajaan mewujudkan penempatan baru nelayan yang lebih tersusun dan terancang.
Katanya, ketika itu, penduduk dijanjikan hak milik dan pampasan ganti rugi tetapi masih belum mendapatnya sehingga kini.

Friday, December 31, 2010

Tuntut Ameng bayar RM85,000

KUALA LUMPUR: “Saya dah minta, tapi dia suruh minta pada lelaki lain,” kata A Aida ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding sebutan permohonan tuntutan nafkah tertunggak dua anaknya berjumlah RM85,000 difailkan terhadap bekas suaminya Ameng di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Pelakon dan penerbit, Aida atau nama penuhnya Zaidah Awang, 40, mendakwa Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, tidak pernah membayar nafkah kepada dua orang anaknya sejak 17 Disember 2003 lalu.

Justeru, penerbit drama bersiri Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tuntutan nafkah yang tertunggak selama 85 bulan pada 21 Disember lalu di mahkamah.

Pada prosiding sebutan kali pertama semalam, Hakim Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonan tunjuk sebab (secara ex-parte) kepada Ameng atas kegagalannya membayar nafkah anak sehingga tertunggak.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan menguatkuasakan perintah mahkamah terhadap nafkah anak sejak enam tahun lalu itu yang akan dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah pada satu tarikh yang ditetapkan.

Terdahulu ketika prosiding, Hakim Abdul Walid bertanyakan kepada Aida mengapa selepas enam tahun baru permohonan itu dibuat.


Aida yang diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli berkata tujuan dia berbuat demikian untuk memberi peluang kepada bekas suaminya itu, namun sehingga kini dia masih gagal membayar nafkah.

Pada prosiding perceraian mereka, atas persetujuan bersama mahkamah memerintahkan Ameng membayar nafkah anak RM1,000 untuk dua orang anaknya Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu didepositkan ke dalam akaun pemohon sebelum atau pada 7 hari bulan setiap bulan selain menyerahkan hak jagaan anak kepada Aida.
Bagaimanapun Ameng didakwa gagal berbuat demikian.

Aida dalam afidavit permohonannya mendakwa sejak perintah mahkamah itu dia terpaksa menanggung keperluan dan perbelanjaan anak-anak mereka tanpa sebarang bantuan responden (Ameng) walhal sehingga kini tiada apa-apa perintah mahkamah yang membatalkan atau meminda perintah itu.

Dia turut mendakwa keengganan responden mematuhi perintah, jelas menunjukkan dia menghina mahkamah dan wajar diambil tindakan selanjutnya selain dilihat menafikan hak anaknya.

“Tindakan responden turut memberi tekanan kepada saya dan anak menganiaya dan menzaliminya,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 1994 dan dikurniakan dua orang anak sebelum bercerai pada 17 Disember 2004.

Pada 1 November lalu, Ameng dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.

Ketika prosiding perbicaraan di peringkat bela diri, vokalis kumpulan Spring itu mencetuskan kontroversi apabila mendakwa terdapat konspirasi Aida dan suaminya Asisten Superintendan Suffian Sulaiman untuk menjatuhkannya.

Sebaliknya Aida dalam satu sidang media menggelar Ameng pembohong dan akan mengemukakan saman malu terhadap bekas suaminya itu kerana memfitnahnya dan suami selain mengemukakan permohonan tuntutan tunggakan nafkah.

Ameng yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu kini berkahwin dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal berusia tiga tahun.
-hmetro

Thursday, December 2, 2010

Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang



ALOR SETAR 1 Dis. – Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) hari ini mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.
Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.
“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak.
“Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.
Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.
Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.
“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.
“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,” katanya.

Sunday, April 18, 2010

Bruni terus jadi perhatian dunia



Carla Bruni-Sarkozy


PARIS 17 April - Wanita Pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy (gambar) kebelakangan ini mendapat perhatian global apabila khabar angin bertiup mengatakan dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang penyanyi, Benjamin Biolay.
Desas-desus mengenai skandal itu ternyata palsu apabila Biolay semalam memenangi tuntutan ke atas stesen televisyen France 24, yang mana mahkamah mengarahkan syarikat itu membayar 3,000 euro (RM12,926) kepadanya.
Bulan lalu, berita mengenai masalah rumah tangga Bruni dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy bertiup kencang baik di Internet mahupun media arus perdana antarabangsa.
Bruni, 42, menyifatkan ia sebagai 'mengarut' malah perkara itu turut dinafikan Sarkozy sendiri, namun siasatan polis untuk mencari sumber khabar angin itu menyebabkan ia terus dibicarakan sehingga hari ini.
Sementara itu, filem dokumentari mengenai super model dan artis kelahiran Itali ini juga telah dijual untuk ditayangkan di berpuluh-puluh negara.
Penggambaran selama 18 bulan 'The Birth of a First Lady' mengisahkan kehidupan Bruni sejak bergelar isteri kepada Sarkozy yang mana dia belajar istiadat, protokol di Istana Elysee dan hal ehwal luar negara.
Dokumentari 90 minit yang dipendekkan kepada 52 minit untuk tontonan antarabangsa itu adalah antara yang hangat diperkatakan di pameran industri filem MIPDOC di Cannes.
Selepas berkahwin dengan Sarkozy pada Februari 2008, Bruni kerap menemani pemimpin Perancis itu ke luar negara termasuk lawatan ke Britain sebulan selepas berumahtangga yang mencetuskan sensasi media antarabangsa dan masyarakat umum di Britain dan Perancis.
Menjelang lawatan ke Britain, timbul kontroversi apabila syarikat lelongan Christie's menjual gambar bogel Bruni semasa menjadi model pada harga AS$91,000 (RM290,000).
Antara kontroversi lain adalah penggunaan gambar Bruni dan Sarkozy oleh syarikat penerbangan tambang murah Ireland, Ryanair yang mana ganti rugi yang diperolehi mereka disumbangkan kepada pertubuhan memberi makanan kepada gologan tidak berumah, Les Restos du Cœur. - AGENSI