Khunsa dipenjara kerana nikahi wanita
Alterina Hofan atau lebih dikenali sebagai Alter kini ditahan di penjara berikutan ibu dan bapa pasangannya Jane Deviyanti, 23, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Metro Jaya di sini.
Sementara itu Jane ketika ditemui wartawan selepas melawat suaminya di penjara khusus untuk tahanan wanita itu berkata, dia kecewa kerana suaminya ditahan di penjara.
"Kenapa perlu ditahan suami saya di penjara, sedangkan semua dokumen seperti pasport dan kad pengenalan telah dirampas polis, tidak mungkin dia melarikan diri.
"Selama tempoh penyiasatan polis juga, suami saya cukup bekerjasama, jadi saya mendesak supaya suami saya dibebas dengan jaminan," katanya yang ditemani peguamnya. Jane juga yang pekak dan bisu terpaksa menggunakan penterjemah semasa diwawancara.
Sementara itu Alter ditemu bual oleh Detik.com semasa di dalam penjara berkata, dia adalah seorang lelaki sejati dan mengaku memiliki kemaluan lelaki serta berfungsi dengan baik.
"Waktu lahir saya tidak faham kerana tidak ada kemaluan, ketika berusia lima tahun kemaluan lelaki saya mulai tumbuh," katanya.
Menurut Alter, kemaluannya juga berfungsi dengan baik dan mampu mengeluarkan sperma.
"Kalau tidak percaya boleh ditanya kepada isteri saya," kata lelaki berasal dari Jayapura, Papua itu.
Alter ditahan polis setelah ibu bapa Jane membuat laporan polis kerana Alter memalsukan identiti jantinanya untuk mengahwini Jane dan dia ditahan di penjara sejak 30 April lalu.
Menurut Alter, sejak kecil jiwanya memang seorang lelaki, tetapi ibunya sering memakaikannya dengan pakaian perempuan kerana telah melaporkan jantinanya sebagai perempuan.
"Ibu telah menghukum saya sebagai wanita, kerana malu dituduh oleh jiran bahawa saya membuat pembedahan menukar jantina menjadi lelaki," katanya.
Berkali-kali, kata Alter, dia meminta ibunya menukarkan identitinya sebagai lelaki pada kad pengenalan tetapi ibunya enggan berbuat demikian.
Akhirnya pada 2006, kata Alter, dia telah membuat pembedahan membuang payu dara dan ibunya bersetuju menukarkan identiti jantinanya di Pejabat Pendaftaran Jayapura, Papua. - Utusan