Showing posts with label Rita. Show all posts
Showing posts with label Rita. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Rita nikah lepas raya

BAHAGIA...Yatmah, Rosnani dan adik iparnya, Muslimah menyusun kuih yang diberikan Rita.

BAHAGIA...Yatmah, Rosnani dan adik iparnya, Muslimah menyusun kuih yang diberikan Rita.
BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, dikatakan bakal mengakhiri zaman bujang dengan jejaka pilihannya selepas Aidilfitri ini.
Perkara itu sekali gus menghentikan semua spekulasi berkaitan dirinya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan beberapa individu. Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) yang lebih mesra dipanggil Rita itu dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan jejak pilihannya yang berjawatan penting dalam satu kementerian di Putrajaya.

“Rita sudah mendapatkan restu daripada keluarga berkaitan hubungan istimewanya itu dan setakat ini, masing-masing tidak membantah pilihannya.

“Keluarga hanya mahukan yang terbaik untuk Rita dan semuanya mendoakan semoga dia menemui lelaki yang mampu menjadi suami yang baik,” katanya.

Sementara itu, kehadiran Syawal kali ini menggamit kembali kenangan peristiwa kehilangan misteri Sosilawati hampir setahun lalu sebelum beliau disahkan mati dibunuh di Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Harian Metro semalam sempat berkunjung ke kediaman ibu Sosilawati, Yatmah Abdul Rahman, 80, bagi menyaksikan sendiri suasana sambutan di kampung halaman jutawan itu di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini.


Sejurus memasuki pekarangan rumahnya, Yatmah dan beberapa ahli keluarga lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Adik pengasas kosmetik itu, Rosnani Lawiya, 45, berkata, persiapan raya keluarganya tahun ini sangat dirasai apabila ketiadaan Sosilawati.

“Jika sebelum ini, dialah (Sosilawati) yang kerap ke dapur dan menguruskan segala persiapan raya malah tidak lupa memasak pelbagai jenis juadah termasuk londeh juga rendang.

“Namun sambutan Aidilfitri kali ini sedikit terubat selepas anak arwah termasuk Rita pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama kami,” katanya.

Keluarga itu bakal mengadakan majlis tahlil pada hari raya pertama dan kedua selain turut mengadakan rumah terbuka seperti tahun sebelumnya.

Sosilawati, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, Perunding Kewangan CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh sebelum dibakar manakala abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchu, pada 30 Ogos 2010.hmetro

Saturday, April 30, 2011

Rita Rudaini selamat lahirkan anak kedua





Rita Rudaini Mokhtar selamat melahirkan anak keduanya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April – Pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, selamat melahirkan anak kedua di sebuah hospital swasta, di sini hari ini.
Bayi seberat 2.75 kilogram yang lahir sekitar pukul 1.26 petang itu diberi nama Airit Rafqa Arjuna.
“Keadaan Rita sudah stabil dan syukur kepada Allah kerana semuanya sudah selamat.
“Rita bersyukur kerana tidak berhadapan dengan sebarang komplikasi sewaktu melahirkan dan anak juga lahir dengan sihat,” kata Rita kepada Utusan Malaysia.
Pelakon itu juga berharap agar kehadiran Arjuna akan menambah lagi seri dalam kehidupan rumah tangganya dengan suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24.
Anak pertama pasangan ini, Airit Rayyan Rizqin kini berusia hampir dua tahun.
Mengenai makna di sebalik nama bayi berkenaan, kata Rita, dia suka kepada perkataan Arjuna yang berkaitan dengan sifat gagah perkasa dan kepahlawanan.
“Bayi inilah ‘wira’ yang menyelamatkan saya pada ketika dilanda pelbagai masalah selama mengandungkan dia.
“Apa juga dugaan dalam rumah tangga ayah dan ibunya, Arjuna tetap gagah dan bertahan di dalam kandungan saya. Sebab itu saya letak dia sebagai arjuna kepada kami sekeluarga,” kata Rita.
Rita didapati hamil anak kedua pada ketika rumah tangganya dengan pemain bola sepak kebangsaan itu berhadapan dengan banyak masalah sehingga membawa kepada perbincangan di peringkat mahkamah.
Ketika tempoh sembilan bulan mengandungkan anak keduanya, Rita beberapa kali dilaporkan berselisih faham dengan Aidil, sehingga membawa kepada kes tuntutan sulh di Mahkamah Syariah Seremban pada penghujung tahun lalu.

Thursday, October 28, 2010

Saya keliru, terkejut

KUALA LUMPUR: “Saya menjadi keliru dan terkejut apabila Aidil dilaporkan pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memfailkan permohonan sulh sedangkan sewaktu pulang untuk memulihkan kembali hubungan baru-baru ini, Aidil menyatakan dia menyayangi saya dan anak.
“Bukan itu saja, dia turut berjanji akan menjaga rumah tangga kami dan memastikan kandungan saya yang baru berusia tiga bulan dalam keadaan baik,” kata dramatis popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, yang kini mengandung anak kedua pasangan itu.

Sewaktu dihubungi, Rita menjelaskan dia sangat sedih dengan tindakan Aidil, (pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak, 23), kerana hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar, pagi semalam. “Saya sendiri sayangkan rumah tangga ini dan dia pun sayang. Cuma apabila tersiar berita ini, pada pandangan saya orang pergi ke mahkamah kerana sudah tiada lagi jalan penyelesaian. Perkara ini benar-benar menyebabkan saya keliru dan langsung tidak faham.

“Bukankah permohonan dibuat Aidil itu untuk pasangan yang sudah bercerai. Masalahnya kami masih lagi suami isteri. Setahu saya sebelum meminta kebenarannya untuk menetap di rumah adik saya di Taiping, Perak, buat sementara keadaan kami baik,” kata pelakon yang cukup terkenal menerusi drama bersiri Reflesia itu.

Menurut Rita, hubungan mereka sebelum ini tiada masalah. “Malah, sewaktu kami bertemu sebelum ini, Aidil memohon maaf dan mengakui kesilapannya. Begitu juga dengan saya. Malah, dia sendiri datang menjemput saya pulang ke Kuala Lumpur dan mengambil anak di kampung (Perlis). “Hubungan kami baik seperti sebelum ini. Namun pengakuan dibuat Aidil benar-benar membuatkan saya sedih dan kecewa,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Aidil ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bersama seorang peguam bagi memfailkan permohonan sulh (perbincangan) dan hak penjagaan anak.
Menjelaskan lebih lanjut, Rita berkata sejak berita itu disiarkan, Aidil langsung tidak menghubunginya bagi memberikan penjelasan atau menerangkan kedudukan sebenar apa yang telah berlaku.

“Saya hanya mengetahui menerusi teman-teman wartawan bahawa Aidil meminta bantuan mereka bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. Saya tak mampu untuk berkata apa lagi. Masalahnya saya sendiri tidak sihat kerana kandungan baru berusia tiga bulan. Saya tidak tahu apa sebenarnya motif suami berbuat begini,” katanya.

Rita menjelaskan sebelum ini Aidil pernah membuat aduan sama, namun selepas berbaik-baik dan berbincang, suaminya mengakui kesilapan yang dibuat. “Saya fikir tindakan itu diambil suami sewaktu sedang marah. Maklumlah waktu orang tengah marah mereka tidak boleh berfikir dengan matang. Bila sudah berbaik, dia cakap dia silap. Hendak diikutkan antara kami sudah tidak ada apa-apa masalah pun.

“Walaupun ada masalah, semuanya boleh dibawa berbincang antara kami. Apatah lagi sebelum ini apabila ada masalah berlaku kami tidak pernah berfikir sehingga hendak bercerai. Katanya, sebelum ini dia meminta kebenaran Aidil untuk pulang ke rumah adiknya berikutan suaminya kini sibuk kerana perlu menumpukan perhatian pada perlawanan bola sepak dan lebih banyak menghabiskan masa di Negeri Sembilan untuk persediaan menghadapi perlawanan. “Saya tak berapa sihat dan apabila tinggal di rumah adik, mereka boleh tengok-tengokkan saya dan Ryyan (anak),” katanya.

Menurutnya, dia masih sayangkan Aidil, apatah lagi suaminya benar-benar menunjukkan kesungguhan mahu memulihkan hubungan mereka selepas perbincangan, baru-baru ini.

“Saya hairan apabila perkara ini berlaku selepas Aidil pulang bertemu keluarganya. Saya tidak mampu hendak berkata apa lagi, kini terpulanglah kepada Aidil untuk membuat keputusan. Sebagai isteri saya tidak mampu berkata apa. Lagipun pada fikiran saya kami tidak berhadapan dengan apa-apa masalah. Hubungan kami baik,” katanya.

Saturday, October 9, 2010

Aidil bakal dedah kemelut dengan Rita





2010/10/09

MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
MOHD Aidil Zafuan enggan memberi penjelasan mengenai rumah tangganya ketika ditemui di Paroi, Seremban, semalam.
SEREMBAN: Kemelut rumah tangga pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, semakin berantakan apabila suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, mahu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka tidak lama lagi. 

Malah Berita Harian difahamkan, satu surat peguam sudah dihantar kepada Rita yang memaklumkan bahawa kemelut rumah tangga mereka akan diselesaikan mengikut undang-undang syariah pada hujung Oktober ini. Bagaimanapun, Aidil Zafuan enggan mengulas mengenai desas-desus itu.“Sekarang biarlah dia nak keluarkan kenyataan apa pun, itu hak dia. Saya akan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga kami tidak lama lagi,” kata Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan.
Ketika ditemui selepas menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dekat sini, petang semalam, Aidil Zafuan berkata, jadual hariannya sangat ketat dan masih belum sempat berbincang dengan keluarganya mengenai masalah itu. 

Katanya, masalah itu muncul dalam media massa secara mengejut menyebabkan dia perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana mahu menjaga hati banyak pihak, termasuk Rita Rudaini dan keluarganya supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk. 

“Apa yang berlaku terlalu peribadi. Dia dan keluarganya tahu, keluarga saya pun tahu. Apa pun dia isteri saya dan saya tidak mahu cerita buruk yang akan mengaibkannya,” katanya lagi. 

Berita Harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Rita Rudaini yang mendakwa rumah tangganya bersama Aidil Zafuan yang dibina atas dasar cinta, mulai goyah disebabkan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentuanya. 
Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand, pada 25 Februari 2008 kerana dikatakan tidak mendapat restu keluarga suaminya. 

Hasil perkahwinan lebih dua tahun itu, Aidil Zafuan dan Rita Rudaini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan. 

Sementara itu, bapa Aidil, Abd Radzak Salleh, 61, berkata pihaknya tidak tahu mengenai dakwaan surat peguam itu kerana sehingga semalam dia masih belum bertemu anaknya untuk berbincang. 

“Sejak pulang dari Vietnam minggu lalu, kami belum bertemu Aidil Zafuan atau mengadakan perbincangan mengenai rumah tangga mereka kerana dia sibuk dengan tugasan sebagai pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan. 

“Malah selepas latihan atau perlawanan bola sepak, dia tidak balik ke Seremban sebaliknya ke rumahnya di Kuala Lumpur. Jadi, bagaimana timbulnya isu bahawa kami nak menyaman Rita. Saya tidak tahu, walaupun kami sedar banyak kenyataan pelakon itu yang boleh dipersoalkan,” katanya. 

Abd Razak berkata, keluarganya tidak mahu mengeluarkan kenyataan terburu-buru sebelum mendapat penjelasan daripada anaknya dan akan mengadakan perbincangan bersama ahli keluarga lain bagi mengelak kenyataan tidak benar dan memalukan keluarga. 

“Kami dah jelaskan biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap. Kami perlu ambil masa dan berbincang dengan Aidil Zafuan serta ahli keluarga lain,” tegasnya. 

Difahamkan, Aidil pulang ke rumahnya di Sikamat di sini, malam tadi untuk bertemu keluarganya.