Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka daripada kepimpinan tertinggi PAS menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia. Pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi "rahmat yang terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk Malaysia selepas ini.
Setiausaha jawatankuasa bertindak kumpulan 18 (G18) yang tewas itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.
"Sejak sekian lama kita bergaduh dalam PAS dengan pendekatan dan pandangan yang berbeza berhubung beberapa perkara, sekarang kita bebas untuk membentuk wadah baharu lebih inklusif untuk semua rakyat negara ini," katanya kepada The Malaysian Insider.
G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16 Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka.
Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya dipilih sebagai pengerusi kumpulan ini sementara bekas Naib Presiden Salahudin Ayub dilantik menjadi timbalan manakala bekas Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausahanya.
Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Dzulkefly berkata badan ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara ini terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membentuk satu wadah baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif berbanding parti lama mereka.
"Kami yakin wadah ini akan lebih diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah negara berbilang agama dan bangsa ini," katanya yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS itu.
Selain bersatu dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.
Dzulkefly bagaimanapun berkata, beliau dan pimpinan G18 akan mengambil pendekatan tidak akan berkonfrontasi atau menjadikan parti lama mereka iaitu PAS sebagai musuh.
"Kita akan melihat masa depan dan cuba melupakan perbezaan pendapat kita dalam PAS. Kita akan membawa gagasan masa depan dan lupakan masalah lama kita," katanya.
Dzulkefly berkata, sepanjang Ramadan ini kumpulan berkenaan akan mengadakan mesyuarat bersama pertubuhan Islam dan bukan Islam serta pemimpin masyarkat di seluruh negara bagi menjelaskan peranan pergerakan itu.
Pengumuman lanjut, katanya hanya akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri dan selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi serta pertubuhan yang berkaitan.
Menurut laporan, kumpulan itu juga merancang untuk menganjurkan pameran bergerak di seluruh negara dan akan menyokong kempen “Harapan Baru” atau “The New Hope and Dream” selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. –
22 Jun, 2015.
http://