Showing posts with label Rita Rudaini. Show all posts
Showing posts with label Rita Rudaini. Show all posts

Thursday, October 4, 2012

Hakim tegur Aidil gagal lagi hadir perbicaraan di mahkamah syariah



Rita Rudaini

PETALING JAYA 3 Okt. - Walaupun telah berulang kali ditegur oleh hakim, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak masih gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini berhubung permohonan kembali taat yang dikemukakan terhadap isterinya, pelakon, Rita Rudaini Mokhtar.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat hari ini sekali lagi meminta peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil supaya menasihati anak guamnya itu.
''Pada tarikh yang lalu anak guam tidak hadir, hari ini pun tidak hadir, peguam tolong nasihatkan anak guam baik-baik.
''Sepatutnya apabila tidak hadir, kemukakan dokumen sebagai bukti kerana perlawanan sudah ditetapkan awal,'' kata Saharuddin.
Ahmad Nazib ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Aidil menyatakan, anak guamnya tidak sempat hadir kerana mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Malaysia 2012 malam tadi.
Perlawanan bola sepak tersebut diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.
Ahmad Nazib turut menyerahkan dokumen yang mengesahkan ketidakhadiran anak guamnya itu pada prosiding lalu kerana menjalani latihan bola sepak di Austria dua bulan lalu.
Pada 7 Ogos lalu, Hakim Syarie ketika itu, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menasihatkan Aidil supaya lebih mengambil berat terhadap kes yang sedang berjalan di mahkamah bagi mengatasi kemelut rumahtangganya.
Dalam prosiding sebutan hari ini, mahkamah tersebut menetapkan 7 November ini keputusan bantahan awal Rita terhadap permohonan kembali taat yang dikemukakan oleh Aidil.
Saharuddin menetapkan demikian selepas peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita memaklumkan, pihaknya sudah memfailkan afidavit balasan terhadap afidavit jawapan Aidil berhubung bantahan tersebut.
Bantahan yang dibangkitkan Rita adalah berhubung kesilapan pada isu tempat pemastautin Aidil yang dikemukakan dalam permohonan tersebut.
Aidil, 25, memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah yang disediakan oleh Aidil yang terletak di USJ1 di sini.
Pada tarikh tersebut juga, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita atas alasan ingin berbaik semula.
Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil dikatakan meninggalkan rumah kelamin mereka di Damansara di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121004/ma_02/Hakim-tegur-Aidil-gagal-lagi-hadir-perbicaraan-di-mahkamah-syariah#ixzz28KxLKLQA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, September 26, 2012

Rita Rudaini syukur, mahkamah batal permohonan Aidil

Rita Rudaini
Rita Rudaini

SHAH ALAM – "Saya bersyukur kepada ALLAH kerana kebenaran telah terbukti.”

Demikian kata pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar dengan nada gembira selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan permohonan suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak untuk mendapatkan hak penjagaan (hadanah) ke atas dua anak mereka.

Rita mengakui tidak pernah melakukan kesalahan dan tidak pernah berasa takut dengan apa yang dilakukan oleh Aidil Zafuan.

"Saya benarkan Aidil Zafuan jumpa anak. Selepas tiga bulan beliau menghilangkan diri, Aidil Zafuan pernah bertemu dengan anak sebanyak empat kali.

"Bukan saya yang keluar rumah bawa anak. Jika dia (Aidil Zafuan)  maklumkan kepada saya untuk jumpa anak, saya akan benarkan jika saya dan anak ada di rumah," katanya.

Sebelum itu, Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menerima bantahan awal Rita berhubung status permaustautin pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan.

Menurutnya, Aidil Zafuan gagal membuktikan yang dia tinggal di USJ Subang Jaya kerana tidak mengemukakan alamat tempat tinggal secara kursus kepada mahkamah.

"Justeru, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan plantif," katanya.

Mohamed Fouzi juga memerintahkan Aidil Zafuan membayar kos RM3,000 kepada Rita.

Rita, 36, berbaju kurung moden biru tiba di mahkamah jam 9.25 pagi manakala suaminya tidak hadir dan diwakili peguam Norasyada Osman.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain ketika ditemui di luar mahkamah  berkata, bantahan awal berkenaan difailkan anak guamnya terhadap  Aidil Zafuan membabitkan isu tempat tinggal.

Katanya, Aidil Zafuan menggunakan alamat rumah yang didiami Rita  di Damansara ketika permohonan hak penjagaan anak difailkan sedangkan beliau mengakui sudah meninggalkan rumah berkenaan sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata, alamat penyampaian yang digunakan peguam Aidil Zafuan  juga adalah alamat di Negeri Sembilan.

“Beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sudah berpindah ke USJ 1, tetapi tidak pernah pada bila-bila masa, dalam dokumen yang digunakan dalam prosiding itu," katanya.

Permohonan hak penjagaan anak  difailkan Aidil Zafuan pada 20 Jun lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan diserahkan kepada isterinya pada 27 Jun lalu.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan rumah tangga pasangan suami isteri itu tegang apabila Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara.

Sunday, January 22, 2012

Derita Rita Rudaini

Rita Rudaini
‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan ujian rumah tangga yang berlaku kepada pelakon cantik, Rita Rudaini.
Jika diselak lembaran diari dirinya dari awal perkahwinan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 25, lebih banyak pahit berbanding kemanisan yang dirasai.
Rita dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2008, di Songkhla, Thailand berwalikan abang Rita, Ahmad Musyaiful Mokhtar dengan mas kahwin RM777.77 dan wang hantaran RM7777.77.
Keputusan Aidil mengahwini Rita, nyata telah mencalarkan hati keluarga Aidil. Sementelah lagi, orang tua Aidil menganggap mereka membelakangkan keluarga.
Malah kontroversi itu, menimbulkan persengketaan berpanjangan apabila Rita dan keluarga Aidil saling berbalas kenyataan menerusi media.
Bagaimanapun, ibu bapa Aidil mula menerima Rita sedikit demi sedikit selepas kelahiran Airit Rayyan Rizqin, 3. Malah mereka turut melawat Rita di hospital.
Namun ia bukanlah penamat segalanya, apabila industri dikejutkan dengan berita pergolakan rumah tangga Rita dan Aidil, pada 2010.
Aidil memfailkan Sulh dan tuntutan penjagaan anak. Keputusan itu dibuat Aidil setelah Rita enggan mengikut Aidil pulang ke kampung halamannya sekali gus menyebabkan timbul persengketaan.
Lebih perit buat Rita apabila ketika itu, dia sedang hamil anak kedua.
Namun selepas kelahiran Airit Rafqa Arjuna, yang kini berusia sembilan bulan, Rita dan ibu bapa Aidil mengambil jalan untuk berdamai, sekali gus melupakan persengketaan lama mereka.
Aidil juga telah kembali ke pangkuan Rita, sekali gus menangguhkan permohonan Sulh dan tuntutan penjagaan anak serta berjanji memulakan kehidupan baru.

Kembali bergolak
Bagaikan tiada kesudahan, konflik pasangan ini kembali mencuri tumpuan media dan masyarakat. Konflik dipercayai berpunca selepas Rita bertelagah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga suami kepada aktres Ayu Raudhah, menerusi Twitter baru-baru ini.
Bermula dengan sindir-menyindir, perang Twitter mereka semakin panas apabila Rita membuat tuduhan besar terhadap Zaquan. Sesiapa saja yang mengikuti Twitter mereka, pastinya terkejut dengan pendedahan Rita.
Zaquan pula mendakwa, Rita keterlaluan hingga menjatuhkan maruahnya sebagai orang yang dikenali.
Lebih memburukkan keadaan, Aidil dilaporkan keluar dari rumah, meninggalkan Rita dan anak-anaknya di Damansara selepas beberapa hari perang Twitter itu berlaku. Rita berkata, ketika itu, dia dan dua anak mereka berada di kampung, Kangar, Perlis.
Dalam 'drama' ini, Rita turut mendakwa, Zaquan dan Ayu Raudhah berkomplot membantu Aidil keluar dari kediaman mereka.
Selepas seminggu, Rita kemudiannya menerima surat daripada peguam Aidil dan sehingga kini, isi kandungan surat itu masih belum terungkai.

Pertahan hak!
Tidak berdiam diri, Jumaat lalu, Rita hadir di Mahkamah Syariah, Shah Alam dan melantik peguam, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain bagi menyelesaikan isu surat yang diterimanya.
"Surat tuntutan yang dikemukakan Aidil tidak mengejutkan saya kerana Aidil pernah berbuat demikian semasa pergolakan rumah tangga kami pada 2010," katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai surat itu, Rita berkata, dia menyerahkan urusan itu kepada peguamnya. Sementara, menerusi Twitternya, Rita menjelaskan dia tidak meminta atau meraih simpati sesiapa dan apa yang dilakukannya adalah untuk diri sendiri selain mempertahankan haknya sebagai seorang ibu dan isteri.
Rita juga memohon dari ALLAH SWT agar memberikannya kekuatan. Malah Rita juga bersyukur kerana masih bekerja dan memikirkan bagaimana nasib isteri serta ibu yang terpaksa melalui ujian sepertinya dan tidak bekerja.
-sinarharian

Friday, January 20, 2012

Rita Rudaini hadir di Mahkamah Syariah

SHAH ALAM: Pelakon popular, Rita Rudaini hari ini hadir di Mahkamah Syariah di sini untuk menyempurnakan pelantikan peguam bagi menyelesaikan isu surat yang diterima daripada suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, berhubung dua anak mereka.

Rita, 36, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar yang memakai jubah dan selendang berwarna hitam hadir di mahkamah pada jam 3.10 petang diiringi peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.
Rita dan Mohd Zaidi dilihat memasuki sebuah bilik untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai mahkamah dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Mohd Zaidi berkata Rita hadir di mahkamah bagi urusan pelantikan beliau sebagai peguamnya secara rasmi. 

Katanya, pelantikan beliau adalah bagi menyelesaikan isu anak-anak yang dibangkitkan oleh Aidil Zafuan, 24, dalam surat bertarikh 11 Januari lalu yang diterima Rita pagi semalam. 

"Surat itu meminta diadakan perbincangan mengenai hal anak. Kita akan jawab surat ini selepas perayaan Tahun Baru Cina dan minta pihak sana fikir supaya perkara ini tidak diperbesarkan. 

"Ia lebih kepada perbincangan suami dan isteri berhubung kebajikan anak-anak dan tidak timbul langsung isu perceraian," katanya yang enggan mendedahkan lebih terperinci butiran surat berkenaan. 
Sementara itu, Rita berkata beliau menerima surat yang dikirimkan oleh peguam yang mewakili Aidil Zafuan daripada pengawal keselamatan di kediamannya di Damansara pada pagi semalam ketika hendak keluar rumah untuk menjalani penggambaran sebuah telefilem. 

Pelakon itu berkata, beliau bagaimanapun tidak terkejut menerima surat berkenaan. 

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan. 

Media sebelum ini melaporkan rumahtangga pasangan suami isteri itu tegang berikutan Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara kira-kira dua minggu lalu. - BERNAMA