Showing posts with label bersatu. Show all posts
Showing posts with label bersatu. Show all posts

Monday, February 14, 2011

Bersatu lepas 66 tahun

KULAIJAYA: “Selepas 66 tahun terputus hubungan, impian untuk bersatu kembali dengan saudara kandung tercapai,” kata bekas pekerja ladang kelapa sawit, Zaiton Abdullah, 68, ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tenggara, di sini, semalam.
Zaiton terpisah daripada keluarga kandung sejak berusia dua tahun sebelum iklan mencari keluarga kandung berkenaan disiarkan di akhbar berbahasa Cina pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina lalu berjawab.

Kelmarin, keluarga abang kedua Zaiton, Ng Yan Lai, 70, yang menetap di Jurong West, Singapura, berkunjung ke kediaman wanita berkenaan bersama 25 ahli keluarga lain.

“Saya seperti bermimpi apabila keluarga abang sulung, Ng Yan Nee yang sudah meninggal dunia enam tahun lalu, menghubungi keluarga kami.

“Mereka yang tinggal di Parit Sulong, Batu Pahat, mengatakan saya individu yang dicari selama ini,” katanya.


Mengimbau kenangan lalu, Zaiton berkata, ibu kandung yang dikenali sebagai Tek terpaksa menyerahkannya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik kepada sebuah keluarga Melayu di bandar Muar kerana kesempitan hidup.

Katanya, keluarga Melayu itu menyerahkannya kepada sebuah keluarga Melayu lain di Kampung Sungai Sudah, Muar sebelum dia mendirikan rumah tangga pada usia 15 tahun dan berpindah ke Ladang Bukit Badak, Renggam.

Sementara itu, Lai yang mempunyai enam anak berkata, pertemuan semula dengan Zaiton adalah kejutan gembira sempena Tahun Baru Cina.

“Saya rindu pada adik dan kini impian untuk kami bertemu semula tercapai, walau apa yang berlaku sebelum ini, kami tetap adik-beradik.

“Keluarga kami bertambah besar dan saya pasti akan sentiasa mengunjunginya,” katanya.
myMetro | Bersatu lepas 66 tahun