KUALA LUMPUR 1 Ogos - Satu demi satu hutan di negara ini terutama di ibu kota dikorbankan atas nama pembangunan. Tidak terlepas, kawasan bukit dan hutan berhadapan Balai Bomba Taman Melati di sini.
Tinjauan
Utusan Malaysiamendapati, kawasan yang dulunya menjanjikan pemandangan 'menghijau' buat para pengguna Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), kini telah bertukar menjadi kemerahan akibat kerja penebangan pokok dan tarahan bukit yang rancak dijalankan.
Tiada sebarang papan tanda mengenai perjalanan projek didirikan, namun terdapat papan tanda merah dengan tulisan putih menyatakan kawasan itu adalah milik Sime Darby Property Berhad.
Masyarakat setempat dan orang ramai yang sering mengunjungi deretan restoran yang bertentangan dengan bukit itu menyifatkan, pemandangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak menyenangkan.
Bagi peniaga makanan,
Mohd. Firdaus Shahid, 28, kesan kerja-kerja tarahan bukit itu mula dirasai apabila kawasan berdekatan didapati semakin berbahang.
"Tidak dinafikan sejak projek ini bermula, bahang panas terutama pada waktu tengah hari kian terasa. Sebelum ini, pokok di kawasan tersebut mungkin sedikit-sebanyak membantu mengurangkan kepanasan.
"Secara peribadi, saya membantah penghapusan hutan seperti ini. Selain mencacatkan pemandangan, saya bimbang jika ia menghasilkan debu yang mencemar kawasan jika cuaca panas berpanjangan," katanya.
Pegawai kerajaan,
Wan Mahtar Wan Salleh, 55, meragui tahap keselamatan kerja-kerja yang dijalankan itu kerana tiada penghadang dibina di kawasan terlibat.
"Bukit ini berada betul-betul di tepi jalan. Saya lihat, seakan-akan tiada apa yang menghalang aliran air mengalir laju dari atas bukit sekiranya berlaku hujan lebat," ujarnya.
Operator gudang,
Sharifudin Ramuni, 22, yang tinggal di Shah Alam nyata terkejut dengan kerja-kerja penebangan pokok dan tarahan bukit yang disifatkannya berlaku dengan pantas.
"Saya ke sini seminggu sekali untuk menziarahi abang yang tinggal berdekatan. Tidak sangka pula kawasan ini boleh kelihatan 'gondol' seperti ini dalam masa sebulan.
"Cepat benar mereka melakukan kerja menerangkan hutan. Ia benar-benar mencacatkan pemandangan," katanya.
Sementara itu, seorang buruh Indonesia yang terlibat dalam penggondolan bukit terbabit menjelaskan, kerja-kerja tersebut bermula sejak sebulan yang lalu.
"Saya tidak pasti apa yang mahu dibina di sini. Tetapi kalau tidak silap, di sini mahu dibina perumahan dan kedai," katanya.