Showing posts with label Rayu. Show all posts
Showing posts with label Rayu. Show all posts

Saturday, June 30, 2012

Rayu bina semula rumah terbakar




IBRAHIM termenung di luar setor tempat tidurnya bersebelahan rumahnya yang terbakar di Kampung Masjid Lama, Lepai, Pokok Sena semalam.


POKOK SENA - Seorang warga emas di Kampung Masjid Lama, Lepai di sini terpaksa menghabiskan sisa usianya tinggal dalam setor selepas rumahnya terbakar pada Mac lalu.
Ibrahim Hashim, 69, tinggal di situ bersama tiga anak lelakinya, Abd. Aziz, 46, Mohd. Nazri, 40, dan seorang anaknya yang mengalami sakit mental, Abd. Rashid, 45.
Menurutnya, dia tiada pilihan selain terpaksa berteduh di dalam setor terletak di sebelah rumahnya memandangkan kebakaran pada 6 Mac lalu memusnahkan keseluruhan rumah berstruktur kayu itu.
"Dahulu bilik itu dijadikan setor, tetapi kini tempat tidur kerana rumah yang terbakar belum dibaiki. Walaupun kurang selesa, kami terpaksa berkongsi empat beranak," katanya di sini semalam.

Friday, December 23, 2011

Mangsa kemalangan Genting Sempah rayu bantuan

BALING - Seorang mangsa kemalangan bas melibatkan rombongan Belia 4B dari Kampong Baru, Siong, Baling pada 29 Oktober 2010, merayu pihak yang bersimpati agar menyumbangkan sebuah motosikal beroda tiga untuk memudahkannya bergerak.
Mohd. Adib Ramli, 21, yang kudung kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan itu, mengharapkan sumbangan kenderaan itu supaya lebih mudah baginya bergerak terutama ke masjid dan ke kelas mengajar al-Quran kepada kanak-kanak di Kampung Baru Siong.
Remaja itu yang mendapat bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak November tahun ini, turut berharap agar jumlah itu ditambah kepada RM300 sebulan.
Ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Pokok Setol, Siong, Mohd. Adib berkata, kaki palsu yang disumbangkan kepadanya tidak begitu selesa digunakan.
"Saya lebih selesa tanpa kaki palsu itu kerana saya memerlukan bantuan untuk memakainya. Jika tiada sesiapa di rumah saya tidak mampu memakainya sendiri”, jelasnya.
Dalam kejadian itu, bas yang membawa peserta rombongan Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, menyebabkan tujuh daripada mereka maut di tempat kejadian, lebih 15 mangsa cedera dan dua parah termasuk Mohd. Adib yang kehilangan kedua-dua kaki.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Adib di talian 019 4032 126 atau melalui akaun Maybank 162076587136 atas nama Mohd. Adib. - BERNAMA
Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Saturday, April 2, 2011

Bapa rayu anak dipulangkan



BERA – Seorang bapa merayu mana-mana pihak yang boleh membantunya membawa anak perempuan, Tab Xin Ru, 8, pulang ke pangkuannya yang kini berada bersama bekas isteri di Batam, Indonesia.

Tan Eng Keong, 31, berkata, setelah dua tahun Xin Ru disorokkan bekas isterinya, Pau Moi Moi, 32, hanya minggu lalu dia dapat berjumpa dengan anaknya.

Menurutnya, pertemuan selama lima jam itu tidak memadai kerana mahkamah memutuskan dia memiliki hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya itu.

“Sebelum ini, bekas isteri saya memang tidak rapat dengan anak kami, malah dia sering mengelak menjaganya dan selalu pulang ke negara asal.

“Setiap kali dihubungi supaya pulang, pelbagai alasan diberikan. Justeru, kami sepakat untuk bercerai pada 2007 dan bekas isteri bersetuju menyerahkan anak kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada akhir 2008, Moi Moi memohon supaya membawa Xin Ru ke Batam dengan alasan terlalu merindui anak mereka.

Bagaimanapun, ketika Eng Keong ke Batam untuk menjemput anaknya, mereka sudah tiada dan hilang jejak dari tempat tinggal mereka.

“Berbagai-bagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis di kedua-dua negara, mengadu melalui MCA dan UMNO dan menyiarkan penderitaan dalam akhbar tempatan dan Indonesia.

“Anak saya adalah warga tempatan dan saya mahu dia tinggal bersama saya di sini,” katanya.

Menurutnya, selepas pertemuan lima jam itu, dia tidak lagi dapat bercakap dengan anaknya melalui telefon kerana tidak berjawab.

Eng Keong terpaksa mengambil cuti panjang semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini lebih-lebih lagi membabitkan dua negara yang mempunyai perbezaan undang-undang.

Beliau berharap, ada pihak yang sanggup membantunya membawa Xin Ru pulang ke negara ini secepat mungkin.

Tuesday, March 29, 2011

Ketua penjara Khmer Rouge rayu hukuman





2011/03/29

Kaing Guek Eav
Kaing Guek Eav
PHNOM PENH: Lelaki yang mengaku sebagai ketua warden penjara Khamer Rouge yang memantau penderaan dan pembunuhan 16,000 tahanan dilaporkan kembali ke mahkamah semalam untuk merayu hukuman penjara 19 tahun terhadap beliau kerana kesalahan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan. 

Peguam bela memberi hujah, keputusan awal bahawa Duch bersalah adalah satu kesilapan berikutan tribunal yang dikenali sebagai ‘Extraordinary Chambers in the Courts of Cambodia’ sepatutnya hanya membicarakan pemimpin kanan Khmer Rouge.
Mereka menegaskan, Duch bukan seorang pemimpin tertinggi dan hanya sekadar menurut perintah.
Kaing Guek Eav juga dikenali sebagai Duch adalah satu-satunya setakat ini dibicarakan di tribunal khas PBB yang ditubuhkan untuk menyiasat dan mendakwa pegawai yang terbabit dalam kekejaman melampau rejim pelampau Marxis yang menyebabkan kematian 1.7 juta penduduk. 

Duch yang berusia 68 tahun dihukum Julai tahun lalu selama 35 tahun kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan tetapi hukuman diringankan kepada 19 tahun berikutan masalah teknikal dan tempoh hukuman yang sudah dijalani. 

Duch juga memberitahu mahkamah, kes beliau bergantung kepada ‘personal jurisdiction’ iaitu mahkamah mempunyai kuasa untuk mendakwa beliau atau tidak. 

“Duch adalah seorang pengerusi warden penjara, sebuah pusat keselamatan. Bagaimana beliau boleh dipertimbangkan sebagai seorang yang bertanggungjawab kepada jenayah terbabit?” kata peguam bela, Kar Savuth. 
“Beliau pastinya seorang yang melakukan jenayah tetapi beliau menerima arahan seperti juga pentadbir penjara lain.” 

Kar turut menyifatkan Duch adalah seorang mangsa proses undang-undang kerana mahkamah tidak cuba untuk mendakwa 195 lagi ketua pentadbiran penjara Khmer Rouge lain, tempat lebih ramai tahanan yang mati berbanding di pusat tahanan kelolaan Duch. 

Tetapi, pendakwa menggesa mahkamah berkenaan menolak rayuan Duch. 
“Duch adalah orang paling bertanggungjawab atas jenayah itu,” kata pendakwa bersama, Chea Leang. 

Rayuan pendakwa dibuat hari ini supaya hukuman Duch ditambah kepada 45 tahun hingga seumur hidup. Keputusan akan diketahui Jun depan. – AP
-bharian

Friday, March 18, 2011

Muhammad Ali rayu Iran bebas warga AS





2011/03/18

CHICAGO: Peninju legenda yang terkenal di persada dunia, Muhammad Ali, merayu pemimpin agung Iran supaya membebaskan dua rakyat Amerika Syarikat yang ditahan sejak Julai 2009 kerana disyaki mengintip, kata jurucakap Ali kelmarin. 

Shane Bauer dan Josh Fattal ditahan di sempadan Iraq. Mereka mungkin tersasar menyeberangi Iran ketika mendaki.
Kes itu merenggangkan lagi hubungan di antara Amerika dan Iran sejak Washington menyasarkan program nuklear Iran.
Rakyat ketiga Amerika, Sarah Shourd, dibebas dengan jaminan AS$500,000 (RM1.53 juta) September lalu dan sudah pulang. 

Ali, yang berkata beliau dialu-alukan dengan mesra dalam lawatan pada masa lalu ke Tehran, memohon dalam satu surat supaya dua warga Amerika itu diberi ‘pengampunan dan belas kasihan’ serta menambah beliau berharap mencipta satu persefahaman baru. – Reuters
-bharian

Thursday, January 6, 2011

Rayu siapkan jalan tar

Berita Harian Online | Rayu siapkan jalan tar


Oleh Junita Mat Rasid

2011/01/06

Kerja naik taraf laluan sepanjang 6km sejak setahun lalu masih terbengkalai

LABIS: Penduduk Kampung Orang Asli Segamat Kecil di sini, meminta kerajaan mempercepatkan kerja naik taraf laluan masuk ke kampung itu sejauh kira-kira enam kilometer (km) menerusi FELDA Redong sebagai kemudahan kepada penduduk termasuk pelajar terpaksa berulang alik ke sekolah berhampiran.

Kampung itu terletak kira-kira 34km dari bandar Segamat, termasuk laluan sejauh 7km laluan berturap antara jalan utama ke FELDA Redong, manakala 6km laluan jalan tidak berturap sehingga ke kampung itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli Segamat Kecil, Lias Hassan, 65, berkata kerja menaik taraf laluan itu sudah dijalankan sejak tahun lalu tetapi sehingga kini belum siap sepenuhnya menyebabkan penduduk terpaksa melalui laluan berdebu dan berlopak setiap kali hujan.
“Kemudahan laluan sepanjang kira-kira 6 km itu adalah satu-satunya jalan masuk ke kampung ini yang terpaksa digunakan 560 penduduk di sini untuk berulang alik ke bandar atau pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Tenang Stesen yang terletak di laluan utama,” katanya.

Katanya, selain masalah laluan masuk ke kampung itu, pihaknya juga berharap supaya kerajaan membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat kepada masyarakat Orang Asli untuk membolehkan golongan itu keluar daripada kehidupan yang susah.

“Kampung ini mempunyai 156 rumah dan ada yang dibina melalui PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) namun masih ada lagi keadaan rumah yang terlalu uzur. Kami berharap kerajaan meluluskan projek pembinaan Rumah Mesra Rakyat kerana kami berkeupayaan membayarnya secara ansuran,” katanya.

Katanya, penduduk juga berharap sebuah balai raya untuk kegunaan masyarakat setempat dibina di kampung itu kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai tempat khas bagi menjalankan pelbagai program sehingga terpaksa menumpang kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Kecil yang dilihat tidak bersesuaian kerana boleh menjejaskan kebersihan dan keselesaan murid.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Segamat Kecil, Mamat Mohd Yassin, 37, berkata, pihaknya dan masyarakat Orang Asli kampung itu berterima kasih kepada kerajaan yang membina dua blok bangunan empat tingkat sekolah berkenaan tetapi pada masa yang sama meminta supaya laluan masuk ke kampung itu dibaik pulih dengan segera bagi memudahkan anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah menengah yang terletak di luar kampung berkenaan.

“Bukan saja penduduk kampung, malah guru SK Segamat Kecil juga terpaksa bersusah payah melalui jalan yang becak setiap kali hujan dan berhabuk ketika musim panas sehingga menyebabkan tidak selesa,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap usaha membaik pulih laluan masuk ke kampung itu dapat dijalankan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada masyarakat setempat dan mereka yang berulang alik ke kampung berkenaan.

Wednesday, November 24, 2010

Rayu bantuan beli kaki palsu

KUALA LUMPUR: “Saya pernah diberhentikan belajar oleh kolej sehari sebelum peperiksaan semester pertama berakhir ketika mengambil kursus pembantu perubatan tahun lalu kerana dituduh tidak berkeupayaan hanya kerana mempunyai sebelah kaki,” luah Mohamad Khairul Anuwar Ismail, 20, yang memerlukan kaki palsu.
Khairul berkata, walaupun pada mulanya dia seolah-olah patah semangat akibat dipandang rendah atas kecacatan sejak lahir, tetapi demi masa depannya dia bangkit menyambung pelajaran mengikuti kursus pembantu bedah pergigian di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang. “Ayah sudah meninggal dunia dan ibu tidak bekerja. Kini kehidupan saya serta adik yang menuntut di sebuah kolej di Perak ditanggung adik-beradik lain. “Namun, saya tidak boleh mengharap ihsan mereka selama-lamanya. Saya berharap ada pihak sanggup memberi bantuan RM6,800 untuk membeli kaki palsu bagi memudahkan pergerakan harian saya,” katanya ketika ditemui di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd, di sini, semalam. Sementara itu, Vivien Chee Hui Xuan, empat tahun, yang cacat sejak dilahirkan turut memerlukan bantuan membeli kaki palsu kerana kaki kirinya pendek. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang berpisah dengan bapanya, Chee Keng Choy, 39, seorang pemandu lori sejak beberapa tahun lalu, Vivien bercita-cita ingin menjadi seorang doktor tetap aktif dan petah bertutur sama ada ditanya dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Chee berkata, tanpa kaki palsu anaknya boleh mengalami pelbagai penyakit sampingan seperti tulang belakang dan buah pinggang kerana berjalan tidak seimbang. Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Arif Haikal Rohaizad, dua tahun, yang dilahirkan tanpa tulang buku lali kanan turut mengharapkan bantuan sama membiayai kos kaki palsunya. Bapanya, Rohaizad Ishak, 28, seorang pemandu yang berpendapatan RM1,100 tidak mampu menanggung kos terbabit apatah lagi isterinya tidak bekerja. “Pembedahan seterusnya apabila dia berumur empat tahun nanti bagi memanjangkan tulang kaki dan sementara ini dia memerlukan kaki palsu,” kata Rohaizad. Orang ramai yang mahu menderma boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan NSTP dan dialamatkan ke Bahagian Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.

Thursday, October 7, 2010

Ibu tunggal rayu bantuan anak menderita sakit lumpuh



Norini Abidin menyuapkan susu khas kepada Mohd. Nor Husaini di Felda Seroja Jengka 18, Kuala Krau, kelmarin.



KUALA KRAU 6 Okt. - Ibu mana yang sanggup melihat anaknya terlantar akibat menderita penyakit lumpuh. Begitulah kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang ibu tunggal yang tabah memelihara dua anak kurang upaya yang terlantar lumpuh di Felda Seroja Jengka 18, di sini.
Norini Abidin, 56, memberitahu, dua daripada empat anaknya diserang demam panas yang menyebabkan mereka cacat malah seorang daripadanya lumpuh seluruh anggota badan.
Menurutnya, anak ketiganya, Mohd. Nor Afendy Samsudin, 27, diserang demam panas ketika berusia 10 tahun.
''Walaupun dia disahkan cacat namun dia masih boleh bergerak manakala adik bongsunya, Mohd. Nor Husaini, 21, lumpuh setelah diserang demam panas ketika berusia sembilan tahun.
''Anak bongsu saya hilang upaya untuk bergerak dan hanya mampu terbaring atas tilam serta tidak berupaya melakukan apa-apa walaupun bertutur dengan kami.
''Mohd. Nor Afendy sangat memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan kesihatannya serta keperluan fizikalnya seperti makan, minum dan mandi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya semalam.
Berikutan keadaan mereka itu katanya, Mohd. Nor Afendy dan Mohd. Nor Husaini bergantung kepada lampin pakai buang sebanyak satu dozen sehari selain satu pek susu tepung seminggu.
''Makanannya hanya nasi bubur dan buah-buahan yang dikisar halus serta susu yang diminum melalui botol. Makan perlu disuap dengan berhati-hati kerana jika tersalah boleh menyebabkan keseluruhan badan Husaini kebiru-kebiruan," katanya.
Menurutnya, setiap hari kedua-dua anaknya itu perlu diusung ke bilik air untuk mandi.
Menurut Norini, setakat ini hanya Mohd. Nor Afendy memperoleh bantuan skim orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan bermula Januari lalu.
''Bagaimanapun, adiknya yang terlantar langsung tidak menerima bantuan walaupun saya membuat dua permohonan," katanya.
Norini memberitahu, dua lagi anak perempuannya yang sudah berkahwin turut tinggal bersamanya dan menjaga ibunya yang berusia 80 tahun yang kurang sihat.
Dia bersyukur kerana dua anak perempuannya dan menantu sering membantu menjaga dua adik mereka yang memerlukan penjagaan rapi untuk meneruskan kehidupan.
Ketabahan ibu tunggal itu menarik perhatian Yayasan Felda yang mengunjungi keluarga Norini di tanah rancangan itu hari ini.
Menurut Pengarah Yayasan Felda, Zalfan Mohd. Rashid, kunjungan itu merupakan antara agenda dalam program Melakar Kasih yang dilancarkan di tanah rancangan itu baru-baru ini.
''Sumbangan Yayasan Felda kepada Norini bernilai RM3,000 dalam bentuk barangan seperti pakaian, tilam, katil dan cadar khas untuk OKU, lampin pakai buang serta wang tunai RM500,'' katanya.
Menurut beliau, Yayasan Felda yang ditubuhkan pada 1998 memperuntukkan sebanyak RM275,000 untuk tujuan bantuan kebajikan.
Turut sama mengunjungi keluarga malang itu ialah Timbalan Pengarah Yayasan Felda 1, Yahya Lim; Timbalan Pengarah Yayasan Felda 2, Mohd. Bainuri Aris; Penolong Pengurus Besar Wilayah Jengka, Zulkifli Md. Naam; Pengurus Felda Jengka 18, Mazlan Abd. Khalid dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 18, Samad Samah.

Thursday, September 23, 2010

Pemuda rayu pampasan




JOHOR BAHRU – Seorang pemuda dari Skudai Kiri, di sini, masih mengharapkan belas ihsan dari sebuah syarikat untuk membayar pampasan selepas mengalami kecederaan teruk pada anggota badannya ketika sedang bekerja. 

Mohd Faizul Abu Bakar, 29, yang bekerja sebagai kontraktor perumahan terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan ketika sedang memasang atap dipercayai kerana hilang keseimbangan dalam kejadian pada awal bulan Januari lalu. 

Akibat daripada kejadian itu, beliau terpaksa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, bagi mendapat rawatan segera berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah tangan kiri, usus perut membengkak dan tulang punggung retak. 

Beliau kini terlantar di Pusat Jagaan Warga Emas Islam Nur Ehsan yang sanggup memberinya tempat tinggal bermula 5 Syawal lalu, selain menjaga keperluannya sebagai pesakit kronik. 

Anak keenam daripada tujuh adik beradik itu ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Jagaan Warga Emas Islam Nur Ehsan, Kempas Baru, di sini, melahirkan rasa syukur kerana masih mampu hidup walaupun mengalami kecederaan serius akibat kecelakaan berkenaan. 

Bagaimanapun, Mohd Faizul tetap berharap syarikat yang mengupahnya untuk kerja membina dan menyelenggara bangunan terbabit di salah sebuah kawasan sekitar Pasir Gudang dapat membayar pampasan untuknya bagi menjelaskan bil rawatan hospital dan perubatan. 

Monday, September 20, 2010

Rayu bantuan bawa pulang anak ‘terkandas’ di Medan


GENAH Beram dan Mohd. Khalid menunjukkan gambar anak mereka, Mohamad Shahril (gambar kecil) yang ‘terkandas’ di Medan, Indonesia.


BALING 19 Sept. – Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Palong, Bongor di sini, merayu kepada mana-mana pihak bagi membantu membawa pulang anak lelaki mereka yang ‘terkandas’ di Medan, Indonesia, sejak mengikut isterinya, seorang rakyat negara itu lebih enam tahun lepas.
Mohd. Khalid Mat Amin dan isterinya, Genah Beram, kedua-duanya berusia 49 tahun, berkata, anak lelaki mereka Mohamad Shahril, 30, kini berada di Kampung Durian, Kacamatan Sel Balai Kab, Asahan Kisaran, Medan.
Mereka berkata, Mohamad Shahril mengikut isterinya, Nur Diana Sibuea, 27, bersama dua anak mereka, dan mendakwa tidak dapat pulang ke Malaysia kerana kesukaran hidup.
“Mohamad Shahril beberapa kali merayu supaya keluarga di sini mengirimkan wang kepadanya untuk tambang pulang kerana tidak mampu lagi meneruskan kehidupan di kampung halaman isterinya,” kata Genah.
Beliau turut merayu supaya Kelab Putera 1Malaysia yang dipengerusikan Datuk Abd. Azeez Abd. Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling membantu mereka untuk membawa pulang Mohamad Shahril, isteri dan tiga anaknya ke Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, anaknya sering meminta mereka mengirim wang kepadanya kerana kesempitan hidup.
“Saya amat sedih dengan apa yang diceritakan Mohamad Shahril yang memberitahu mereka amat menderita kerana tiada wang dan kerja yang dilakukan sekarang tidak cukup untuk menanggung keluarganya,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya lagi, Mohamad Shahril dan Nur Diana berkahwin sembilan tahun lepas di Pulau Pinang dan setelah mendapat dua orang anak, Muhammad Hishamuddin, 8, dan Mohamad Rezki Idawi, 7, Nur Diana mengajak Mohamad Shahril pulang ke kampung halamannya untuk berjumpa dengan keluarga.
Namun, sehingga kini, mereka tidak pulang, malah pernah terputus hubungan dengan keluarga di sini selama tiga tahun.
Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga tersebut membawa pulang anak mereka boleh hubungi Mohd. Khalid di talian 019-5765 894. – BERNAMA