Showing posts with label Australia. Show all posts
Showing posts with label Australia. Show all posts

Friday, September 9, 2011

30,000 pekerja kerajaan protes layanan buruk


Penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengibarkan bendera ketika mereka berarak melalui Parlimen New South Wales di Sydney, semalam. - AFP



SYDNEY 8 Sept. - Kira-kira 30,000 guru, jururawat, polis dan bomba berhimpun di bandar raya ini hari ini bagi memprotes layanan ke atas pekerja perkhidmatan awam.
Perhimpunan terbesar di Sydney sejak beberapa tahun itu diadakan bagi menentang rancangan kerajaan negeri New South Wales yang mahu memberhentikan 5,000 pekerja sektor awam dan menyekat peningkatan gaji pekerja awam pada 2.5 peratus.
Guru adalah kumpulan terbesar yang menyertai protes itu dengan sekolah-sekolah di seluruh Sydney ditutup, sementara pekerja feri turut mogok dan menyebabkan perkhidmatan di pelabuhan bandar itu lumpuh.
"Saya berdiri di sini dan melihat 30,000 orang dari seluruh negeri berada di depan saya untuk menghantar mesej yang jelas kepada Ketua Menteri, Barry O'Farrell.
"Hentikan pemotongan itu dan kembalikan hak kami. O'Farrell tidak akan mengambil apa-apa pun," kata Setiausaha Kesatuan New South Wales, Merk Lennon.
O'Farrell yang menjadi Ketua Menteri di negeri paling popular di Australia ini sejak Mac lalu, menyifatkan protes itu sebagai 'tidak berfaedah'.
"Ia hanya bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan.
"Ini adalah cubaan kesatuan untuk menunjukkan kuasa mereka yang menyusahkan orang awam dan tidak berfaedah kerana dasar ini tidak akan berubah," katanya.
Menurut kesatuan, perhimpunan dalam skala sama turut diadakan di seluruh negeri ini. - AFP

Friday, September 2, 2011

Kerajaan Australia malu

SYDNEY 1 Sept. – Kerajaan Australia hari ini cuba menyelamatkan dasarnya berhubung pencari suaka politik ke negara ini selepas Mahkamah Tinggi semalam membatalkan rancangan Canberra untuk menghantar ‘orang hanyut’ ke Malaysia.
Kerajaan kini perlu bersiap sedia untuk menghadapi lonjakan kemasukan orang hanyut yang dijangka mengeksploitasi keputusan mahkamah itu.
Perjanjian pertukaran pendatang antara Australia dengan Malaysia yang dibatalkan itu dirancang sebagai strategi utama Canberra untuk menyekat kemasukan beribu-ribu orang hanyut yang tiba di negara ini setiap tahun.
Keputusan mahkamah itu menandakan kekalahan memalukan bagi Perdana Menteri, Julia Gillard dan kerajaan Buruh pimpinannya yang telah memaparkan perjanjian tersebut sebagai strategi berkesan untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia.
“Kami akan mengkaji keputusan Mahkamah Tinggi ini tetapi tiada satu pun yang akan melemahkan tekad kami untuk menggagalkan model perniagaan penyeludup manusia,” kata Gillard dalam kenyataan ringkas mengenai isu itu.
Kabinet beliau dijangka bermesyuarat malam ini untuk membincangkan langkah berikutnya.
Mahkamah Tinggi semalam mendapati, mengikut undang-undang Australia, kerajaan tidak boleh menghantar pencari suaka untuk diproses di sebuah negara lain kecuali negara berkenaan berkewajipan memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.
Malaysia tidak menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian dan pertubuhan hak asasi manusia telah menuduh Australia mengabaikan kewajipannya kepada pencari suaka dengan mahu menempatkan mereka di sebuah negara lain tanpa perlindungan sewajarnya.
Keputusan mahkamah itu boleh membawa implikasi lebih luas bagi pemprosesan pendatang di luar pesisir, termasuk rancangan Canberra untuk menghantar pencari suaka ke Papua New Guinea dan kemungkinan membuka semula sebuah pusat tahanan di pulau Nauru di Pasifik.
Penyeludup manusia dipercayai sudah bersedia untuk mengeksploitasi keputusan mahkamah itu, dan laporan beberapa akhbar tempatan menyebut, bot-bot bersiap sedia untuk berlepas dari Indonesia menuju ke Australia dalam beberapa hari akan datang.
“Lonjakan kemasukan orang hanyut akan berlaku dalam empat hingga lapan hari akan datang,” lapor akhbar Daily Telegraph dengan memetik sumber tentera laut.
Akhbar The Australia memetik pelarian di Malaysia sebagai meramalkan gelombang bot-bot orang hanyut akan berlepas dalam masa beberapa hari lagi. – Agensi, utusan

Wednesday, August 24, 2011

Kerajaan Julia Gillard tergugat



CANBERRA 23 Ogos – Polis Australia hari ini melancarkan siasatan ke atas seorang anggota Parlimen kerajaan berhubung dakwaan beliau menggunakan kad kredit kesatuan untuk membayar khidmat pelacur, kes yang boleh meruntuhkan kerajaan Perdana Menteri Julia Gillard, jika wakil rakyat itu didapati bersalah.
Mengikut tinjauan, Gillard daripada Parti Buruh menjadi Perdana Menteri dengan kelebihan satu kerusi dan atas sokongan seorang anggota Parlimen Parti Hijau serta tiga ahli Parlimen bebas, dijangka tewas jika pilihan raya diadakan sekarang.
Ahli Parlimen Craig Thomson daripada Parti Buruh yang juga merupakan bekas ketua kesatuan kesihatan menafi sekeras-kerasnya menggunakan kad kredit kesatuan untuk membayar khidmat pelacur sebelum beliau dipilih menjadi wakil rakyat.
Menurut beliau, tandatangannya telah dipalsukan oleh seorang teman.
Media tempatan diketuai Sydney Morning Herald melaporkan keterangan penggunaan kad kredit itu untuk mendapatkan perkhidmatan teman sosial tetapi tidak secara langsung mengaitkannya dengan Thomson.
Gillard dalam pada itu memberi sokongan kuat kepada Thomson yang mungkin dikenakan hukuman minimum penjara setahun jika didapati bersalah, sekali gus akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi di Parlimen.
Ia juga akan memaksa pilihan raya kecil diadakan dengan Parti Buruh yang tidak popular terpaksa bergelut untuk menang ekoran kecaman terhadap dasar cukai karbon dan lombong.
Menurut polis, mereka kini menyiasat kes itu selepas seorang ahli politik pembangkang memberi maklumat mengenai Thomson.
“Siasatan kini merujuk kepada penilaian dalaman untuk menentukan sama ada berlaku kesalahan jenayah,” kata polis negeri New South Wales dalam satu kenyataan. – REUTERS, utusan

Tuesday, August 2, 2011

Polis Australia diberi kuasa guna kekerasan



SYDNEY 1 Ogos - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini berkata, polis negara ini diberi kuasa untuk menggunakan kekerasan bagi memaksa pencari suaka politik menaiki pesawat untuk dihantar ke Malaysia.
Kumpulan pertama pencari suaka politik yang tertakluk kepada perjanjian pertukaran pendatang yang ditandatangani dengan Malaysia baru-baru ini tiba dengan bot di Australia, semalam selepas memulakan pelayaran dari Indonesia.
Pelarian seramai 54 orang yang kebanyakannya lelaki Afghanistan, Iraq dan Iran itu ditahan di pusat tahanan kawalan ketat di Pulau Christmas sebelum dibawa menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.
"Mematuhi arahan bukan dilakukan secara sukarela dan ini bermakna langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan pendatang haram ini menaiki pesawat di sini dan turun dari pesawat di destinasi," kata Gillard kepada stesen Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) apabila ditanya sama ada kekerasan akan digunakan.
Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 25 Julai lalu, Malaysia bersetuju untuk menerima 800 pencari suaka yang belum diproses, kebanyakannya dari Asia Barat, yang dihantar oleh Australia.
Sebagai balasan, Kuala Lumpur akan menghantar kira-kira 4,000 pelarian yang sudah diproses dan diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakannya dari Myanmar, ke Australia.
Gillard mengaku kerajaannya belum dapat menunaikan janjinya bahawa pencari suaka akan menaiki pesawat ke Malaysia dalam tempoh tiga hari selepas mereka tiba di Australia, kerana terdapat kelewatan dalam mengatur kemudahan penginapan di Kuala Lumpur.
"Apabila sistem sudah beroperasi sepenuhnya, pendatang akan dihantar ke sana dalam masa 72 jam," katanya.
Gillard sebelum ini berkata, menghantar pencari suaka terus ke Malaysia akan menyebabkan mereka yang masih menunggu di Indonesia membatalkan hasrat untuk membayar wang kepada penyeludup manusia bagi menaiki bot ke Australia.
Jurucakap parti pembangkang, Parti Liberal bagi hal-ehwal Imigresen, Scot Morrison berkata, perjanjian tersebut tidak akan membawa kesan yang diingini.
Katanya, sejak perjanjian itu diumumkan pada 7 Mei lalu, 12 bot tiba di Australia dengan membawa sejumlah 621 pencari suaka.
Cadangan asal supaya perjanjian itu berkuat kuasa 7 Mei lalu digugurkan, dan kini hanya pendatang yang mendarat di Australia selepas 25 Julai tertakluk kepada perjanjian tersebut. - dpa
http://www.utusan.com.my

Tuesday, August 24, 2010

Berbulan lamanya untuk bentuk kerajaan Australia


SYDNEY 23 Ogos - Para pemimpin politik Australia mungkin mengambil tempoh berbulan-bulan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya kelmarin menghasilkan Parlimen tergantung.
Namun terdapat kemungkinan lebih besar mereka dapat berbuat demikian dalam masa beberapa minggu lagi, kata pakar politik hari ini.
Australia kini diperintah oleh kerajaan sementara selepas Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Julia Gillard dan perikatan pembangkang Liberal/Kebangsaan yang diketuai Tony Abbott gagal memenangi majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ketika dua parti utama itu berunding dengan calon-calon bebas dan seorang calon Parti Green yang bakal memegang imbangan kuasa di Parlimen, pakar menjangka tempoh sehingga tiga bulan diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Profesor Donald Rothwell daripada Kolej Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) berkata, Parlimen mesti bersidang dalam masa 30 hari selepas suruhanjaya pilihan raya mengesahkan nama setiap calon yang memenangi kerusi tetapi suruhanjaya mempunyai tempoh sehingga 27 Oktober untuk melakukannya.
"Ini akan membolehkan Gillard menjadualkan sidang Dewan Perwakilan selewat 26 November, dengan itu memberi masa sehingga tiga bulan untuk persetujuan dicapai dengan calon-calon bebas," katanya.
Sehingga persetujuan dicapai, Gillard boleh meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri sementara.
Bagaimanapun Dekan Kolej Undang-Undang ANU, Profesor Michael Coper berkata, besar kemungkinan Gillard atau Abbott akan dapat memperoleh cukup sokongan di Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan sebelum tempoh itu.
"Ahli politik sentiasa sensitif terhadap imej mereka di mata rakyat dan kita tidak mahu menambahkan lagi rasa kecewa dengan proses politik (dengan berlengah-lengah)," katan Coper.
Seorang lagi tokoh akademik ANU, Profesor Ian McAllister bersetuju dengan pandangan itu.
"Disebabkan perkara ini membawa kesan penting ke atas pasaran, saya fikir mereka perlu mencapai penyelesaian dalam masa seminggu dua lagi," katanya. - AFP