KUALA TERENGGANU 2 Dis. – Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bangga kerana rakyat negara ini masih mengekalkan sifat pemurah dan penyayang dengan sentiasa membantu golongan yang memerlukan.
Seri Paduka bertitah, walaupun menikmati hidup yang selesa, mereka tidak melupakan golongan tidak bernasib baik yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan kehidupan.
“Beta amat berbesar hati kerana rakyat pada umumnya bersikap penyayang, pemurah dan sanggup membantu mereka yang kurang bernasib baik sama ada melalui derma wang ringgit, barang keperluan mahupun masa,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Persatuan Hospis Terengganu di sini hari ini.
Badan amal itu ditubuhkan pada 1999 bertujuan membantu pesakit kanser yang memerlukan perhatian serta penjagaan yang berkualiti oleh keluarga dan masyarakat.
Seri Paduka yang merupakan penaung persatuan itu kemudian berkenan menyampaikan ‘buah tangan’ kepada 50 pesakit kanser.
Pada majlis itu, Kumpulan Titi Jaya menyampaikan bantuan RM75,000 kepada Hospis Terengganu.
Tuanku Nur Zahirah bertitah, peranan ahli keluarga amat penting dalam usaha membantu pesakit kanser mengharungi penderitaan mereka terutama dalam memberi sokongan moral bagi mengelak pesakit berasa lebih tertekan.
Seri Paduka meminta setiap ahli keluarga supaya lebih peka dan prihatin terhadap setiap perubahan pesakit dan tidak meminggirkan mereka.
‘‘Beta berharap setiap ahli persatuan ini dapat bersama keluarga pesakit membantu mereka menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan yang lebih bermakna dan ceria,” titah baginda lagi.