Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Wednesday, February 20, 2013

Bekas tahanan ISA, rakan mengaku tidak salah galak keganasan


KUALA LUMPUR - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lepas.
 
Yazid Sufaat, 49, menganggukkan kepala tanda dia faham pertuduhan yang dihadapinya dan meminta kepada mahkamah agar dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
 
Rakannya Halimah Hussein, 52, turut meminta dibicarakan terhadap pertuduhan bersubahat dengan Yazid dalam melakukan kesalahan itu.
 
Pada Februari 8 lalu, Yazid yang merupakan pengusaha kantin di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
 
Halimah, seorang suri rumah didakwa bersubahat dengan Yazid bagi melakukan kesalahan sama di tempat dan pada waktu yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30  tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
 
Mereka merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan ISA dikuatkuasakan.
 
Sementara itu, Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan selama empat hari bermula 20 Mei dan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria agar kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama.
 
Peguam yang mewakili Yazid, Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah beliau dan rakannya Edmund Bon yang mewakili Halimah akan memfailkan satu permohonan dalam tempoh yang singkat untuk menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
 
Halimah turut diwakili bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.
 
Di mahkamah yang sama, Hakim Kamardin menetapkan 25 Februari untuk mendengar permohonan habeas corpus pembantu kantin yang ditahan bersama Yazid.
 
Pada 18 Februari, Muhammad Hilmi, 33, memfailkan permohonan tersebut menerusi ibu angkatnya Rahamah Abdul Majid, 58, agar dia dibebaskan daripada tahanan polis.
 
Pemohon menamakan Warden Pusat Tahanan Reman di Jinjang dan Ketua Polis Negara sebagai responden.
 
Menerusi afidavit sokongan, Muhammad Hilmi mendakwa dia ditahan secara salah dan haknya di bawah Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.
 
Muhammad Hilmi juga mendakwa dia ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetapi tidak dituduh di mahkamah sepertimana dua lagi tahanan iaitu Yazid dan Halimah. - Bernama

Tuesday, November 27, 2012

ISA ditarik balik di Bangkok




26 November 2012
BANGKOK - Kerajaan telah menarik balik penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa bahagian ibu negara ini ketika keadaan keselamatan semakin pulih. 

Jurucakap kerajaan Tosaporn Sereerak berkata, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menandatangai perintah itu hari ini.

Mulanya, ISA dikuatkuasakan untuk sembilan hari bermula Khamis lepas di Pranakorn berikutan rancangan menganjurkan perhimpunan anti-kerajaan.

Kemudian di daerah-daerah Dusit dan Pomprabsattrupai, dekat Royal Plaza, berikutan keganasan dijangka berlaku semasa perhimpunan itu di sini, Sabtu lepas.

Perhimpunan anjuran Pitak Siam group, bagaimanapun, telah menarik kira-kira 20,000 penunjuk perasaan, jauh dari jumlah sejuta yang disasarkan.

Lapan puluh dua orang termasuk penunjuk perasaan, anggota polis dan seorang askar mengalami cedera kecil semasa perhimpunan itu.  

Penguatkuasaan ISA, antara lain, membolehkan kerahan askar bagi membantu polis mengawal keadaan keselamatan dan penguatkuasaan perintah berkurung. - Bernama

Wednesday, October 3, 2012

5 bekas ISA terima lebih RM4j

5 bekas ISA terima lebih RM4j
Badaruddin, Tian Chua, Saari dan Hishamuddin bersama ‘Bundle Rakaman Percakapan’ mereka di hadapan bilik perbicaraan pada 26 Mac lalu. - Gambar daripada blog Adun Hulu Kelang.
KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi, semalam memutuskan lima individu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 dibuat secara tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian dan menetapkan, seorang aktivis reformasi, Hishamuddin Rais dan empat lain dibayar RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka mengikut akta tersebut.

Mahkamah perintah plaintif bayar RM200,000 ganti rugi teruk akibat penahanan ke atas lima individu dibuat mengikut seksyen 73 Akta Kementerian Dalam Negeri itu.

Hakim memutuskan penahanan itu bukan berdasarkan keselamatan negara, tetapi lebih kepada aspek politik.

Mahkamah menetapkan defendan bayar RM60,000 sebagai ganti rugi am dan RM40,000 bagi ganti rugi teladan berdasarkan alasan perkataan diucapkan Norian semasa sidang akhbar pada April 2001 berhubung dengan tahanan, adalah fitnah.

Hishamuddin Rais sebagai plaintif bersama empat yang lain memohon kepada mahkamah untuk menentukan Seksyen 8 dan Seksyen 73  ISA sah atau sebaliknya.

Plaintif lain, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib; Ketua Penerangan PKR Selangor, Badrulamin Bahron dan Badaruddin Ismail.

Tian Chua, Hishamudin, Badaruddin, Badrulamin dan Saari memfailkan saman pada 4 April 2004 terhadap Tan Sri Norian Mai, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan menyalahi undang-undang tahanan.


Dalam pada itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dianggap kemenangan besar pembangkang dalam menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali gus membuktikan undang-undang yang sudah dimansuhkan itu sebagai zalim.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kemenangan ini adalah untuk rakyat yang menganggap ISA sebagai akta yang menindas dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Mahkamah mengarahkan kerajaan bayar pampasan kepada kami dan ini membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada kami tidak tepat dan palsu,” katanya.

Menurutnya, mereka terlepas daripada tuduhan atas fitnah oleh Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Norian Mai susulan kenyataan akhbar yang dibuat dan penahanan ISA yang dilakukan ke atas mereka adalah tidak sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang negara.

Sunday, September 2, 2012

Mana janji Najib Razak UNTUK MANSUHKAN AKTA ZALIM ITU..

Saudara Kamaruddin Mustafa pulang ke kampung halamannya di Paka untuk menatap wajah ibu yg dijemput pencipta buat kali terakhir. Beliau merupakan tahanan ISA yg msh belum dibebaskan.

Mana janji Najib Razak UNTUK MANSUHKAN AKTA ZALIM ITU...INI BUKAN JANJI DITEPATI, INI BUKAN JANJI DICAPATI MALAH INI ADALAH JANJI PENIPU!
 

Friday, July 13, 2012

Tiga artis protes ISA - Perak



Tiga artis protes ISA
Hairie bersama peserta himpunan di hadapan Kemta bagi mendesak pihak berkenaan membebaskan tahanan ISA.
KAMUNTING - Tindakan memprotes Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih belum berhenti apabila tiga artis tempatan menyertai perhimpunan bersama penganjur Gerakan  Mansuhkan ISA (GMI) di hadapan pintu utama Kem Tahanan Kamunting (Kemta) bagi mendesak 45 tahanan dilepaskan segera.
Seramai 300 peserta termasuk tiga artis iaitu Abby Abadi, Hairi Othman dan Leman Raja Lawak mengadakan piket menentang akta yang dianggap zalim dan tidak relevan lagi.
Pelakon, Abby melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dan turut mempersoalkan ke mana slogan 'Janji Ditepati' yang dicanang pihak berkenaan.
“Sehingga kini mengapa masih wujud kem tahanan sebegini dalam negara dan saya sendiri kecewa terhadap kezaliman yang dilakukan kepada tahanan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan ini.
Bagi, Hairie pula, dia mengajak semua rakyat bersatu menentang akta zalim tersebut dari terus berada di negara ini.
Menurutnya, semua golongan muda diharap dapat bersatu mentang akta ISA kerana dianggap tidak munasabah lagi.
“Tahanan perlu segera dibicarakan, seandainya didapati bersalah barulah layak mereka ditahan,” katanya.
Sementara itu, Leman Raja Lawak berkata, dia turut mempersoalkan sikap seorang pemimpin yang mengeluarkan komen di laman sosial, menganggap piket yang dijalankan rakyat tidak penting.
Katanya, perhimpunan aman pada kali ini mencecah 300 peserta malah turut membakar semangat kepada keluarga mangsa tahanan serta seluruh peserta yang hadir.
“Kita mendesak pihak berkenaan segera menimbang semula permintaan ahli keluarga agar tahanan dibicarakan atau dilepaskan,” katanya. 

Sunday, July 8, 2012

Mansuhkan ISA, Tutup Kem Kamunting

Amat menghairankan...
Apabila tahanan di Guantanamo, yang jauh beribu batu disiksa & diaibkan tentera Amerika, begitu marah kita terhadap perlakuan tersebut,
Apabila tahanan Palestin mogok lapar baru-baru ini, jutaan daripada kita menukar "Profile Picture" bagi menunjukkan solidariti,
Namun, di tanah air kita sendiri, tahanan ISA yang diliwat, diaibkan, dibelasah dan sekarang sudah hampir 15 hari mereka mogok lapar, tidak ramai yang ambil tahu dan simpati...
Apakah kita seorang manusia yang sangat hipokrit dalam nilai-nilai kemanusiaan?
Kuman di seberang laut kita nampak, namun gajah di depan mata kita hiraukan?
Ayuh tunjukkan solidariti terhadap mangsa-mangsa tahanan ISA yang sedang mogok lapar dan protes di Kem Tahanan Kamunting esok...
Perdana Menteri telah mengumumkan pemansuhan ISA, namun masih ada 45 orang lagi tahanan di dalam! -S/U GEMPUR
 —

Thursday, May 17, 2012

ISA masih ujud

Ziarah kuarga Fadzullah (mangsa ISA) yg masih merengkok d Kamunting! Najib mmg Pembohong! ISA masih ujud malah akta yg bakal menggantikan ISA adalah lbh ZALIM dan tidak bertamaddun!



Bersama keluarga mangsa ISA (Fadzullah) yg telah memulakan mogok lapar bersama tahanan lain d Kamunting sejak 12 Mei yg lps. Mogok lapar juga d buat oleh tahanan Palestin d penjara rejim jahat Israel. Sokongan dan doa anda d perlukan.

http://www.facebook.com/badrulaminIII

Monday, April 9, 2012

Pakatan Rakyat rangka usul batal ISA



Muhammad Faizal,09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan satu usul sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan bagi tujuan pembatalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh turut menyatakan bahawa dua undang-undang yang akan dibentangkan oleh kerajaan tidak akan terpakai sehingga ia dirujuk kepada rakyat.

"Apa sahaja alasan untuk kita memperkenalkan undang-undang baru walhal sudah ada undang-undang yang cukup ketat untuk kita kawal kegiatan jenayah termasuk pengganas.

"Namun tindakan memperkenalkan undang-undang baru tidak akan terpakai sekiranya ia tidak merujuk kepada rakyat (rundingan awam)," jelasnya.

Tambahnya lagi, apa yang akan dibentangkan olehnya di Parlimen nanti berkenaan pemansuhan ISA tidak memerlukan rundingan awam.

"Kita nak mansuh maka tidak memerlukan pendengaran awam, kalau kita nak pinda baru perlu rundingan awam sebab itu hak rakyat," sambungnya lagi.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut berharap Pakatan Rakyat dapat mengenengahkan perkara tersebut di Parlimen.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan sehingga sekarang GMI mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang lain tidak menerima apa-apa maklumat dari kerajaan mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pemansuhan ISA.

"Pada sesi Parlimen yang lepas Najib telah menyatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA hanya akan dibentangkan pada Mac 2012 iaitu sesi Parlimen kali ini.

"Namun sehingga kini kita tidak mendapat apa-apa maklumat dari Najib berhubung perkara tersebut termasuk juga rundingan awam tentang dua akta penganti ISA, apatah lagi untuk pemansuhan ISA," katanya.

Sebelum itu, GMI turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang untuk diberikan kepada Perdana Menteri yang menuntut tujuh perkara dalam janji Najib terhadap memansuhkan ISA.

Malah GMI akan meneruskan desakan sehinggalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengotakan janji untuk memansuhkan ISA.

Wednesday, November 23, 2011

Akta Perhimpunan teruskan tahan tanpa bicara

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 23 Nov: PAS menyimpulkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam semakin mengecilkan lagi sistem demokrasi di tanah air.
Beberapa peruntukan yang terdapat di dalam akta tersebut jelas menjurus ke arah itu, sehingga menjadikan akta itu jelas lebih menekan rakyat berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim, tetapi akta tersebut jelas bercanggah dengan janji tersebut.
Menurutnya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 itu, pihak kerajaan tetap juga meneruskan tahanan tanpa bicara.
Katanya, selain itu, setiap perhimpunan aman yang hendak diadakan oleh parti-parti politik atau rakyat mestilah dikemukakan kepada pihak polis tidak kurang 30 hari sebelum perhimpunan diadakan.
"Sebelum ini, jika rakyat hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah-ceramah kecil mestilah dikemukakan dalam masa 10 hari.
"Kini menerusi akta baru yang dibentangkan itu mestilah menunggu lebih lama sehingga 30 hari dan ini jelas lebih menekan rakyat dan semakin mengecilkan demokrasi," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Dengan jangka masa menunggu kelulusan pihak polis yang begitu panjang untuk mengadakan perhimpunan, menurutnya, pelbagai kerumitan dan bahaya pasti akan berlaku.
"Bayangkanlah jika Isreal menyerang Palestin hari ini, untuk kita mengadakan perhimpunan mestilah menunggu kelulusan pihak polis sehingga 30 hari, tidakkah ini amat menyusahkan?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dengan jangka masa sebegitu lama, tambahnya, rakyat Palestin yang diserang oleh Israel itu pasti gagal dibantu oleh rakyat negara ini disebabkan kezaliman akta tersebut.
Sehubungan itu, tegasnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah mengambil ketetapan mendesak pihak Kerajaan BN menarik balik akta tersebut bagi membolehkan sistem demokrasi di negara ini hidup dengan subur.
"Sekiranya akta itu diluluskan juga oleh Parlimen nanti, bermakna seluruh rakyat negara ini akan lebih tertekan kerana ia langsung tidak memberikan ruang untuk demokrasi hidup segar di negara ini," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembentangan akta tersebut jelas menunjukkan janji Datuk Seri Najib untuk memansuhkan akta-akta zalim di negara ini hanyalah tinggal janji.
Manakala Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, menerusi akta tersebut, janji Perdana Menteri untuk melakukan perubahan tidak berlaku kerana tahanan tanpa bicara tetap dikekallkan.
"Ini jelas menunjukkan keadaan yang tidak berubah berhubung perkara itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai.
Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Akta Perhimpunan teruskan tahan tanpa bicara:

'via Blog this'

Tuesday, October 11, 2011

Polis Singapura siasat Forum ISA SDP



SINGAPURA 10 Okt. - Polis sedang menyiasat sama ada penganjuran forum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) Sabtu lalu melanggar undang-undang negara ini.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, penganjur forum itu telah mengundang dua bekas tahanan ISA, Francis Seow dan Tang Fong Har untuk menyertai perbincangan mengenai politik domestik.
Menurut kementerian itu, penganjur menguruskan penglibatan Seow dan Fong Har dari luar kuasa kehakiman Singapura dan membenarkan mereka terlibat dalam politik domestik di perhimpunan awam di negara ini tanpa kehadiran sebanar mereka, lapor Channel News Asia.
Seow dan Fong Har menerusi telepersidangan forum yang dihadiri kira-kira 150 orang itu menggesa Singapura memansuhkan ISA, seperti langkah Malaysia yang bercadang memansuhkannya.
Ini merupakan kali pertama penentang kerajaan yang kini hidup dalam buangan berkomunikasi dengan penduduk Singapura secara terbuka.
Seow, 83, yang kini tinggal di Amerika Syarikat (AS), telah ditahan pada 1988 selepas dituduh menerima dana daripada AS untuk menjadi pembangkang yang lebih efektif di Parlimen.
Fong Har, yang dituduh menjadi anggota dalam konspirasi Marxist dan ditahan pada 1987, berkata undang-undang itu patut dimansuh kan tetapi bukan digantikan dengan yang lebih teruk.
Seow dan Fong Har mahu kembali ke Singapura. Dipercayai Seow masih warganegara Singapura, manakala Fong Har telah melepaskan kewarganegaraannya pada 2003.
Malaysia telah mengumumkan ISA, undang-undang penahanan pencegahan, akan dimansuhkan pada Mac tahun depan selepas dua undang-undang baru bagi menggantikannya digubal. - AGENSI

Sunday, September 25, 2011

Ketua Polis: BN boleh kalah dek ISA

Tekankan akta terus jadi topik politik hangat, buat pembangkang raih simpati dan sokongan pengundi
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengingatkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.

Pendirian itu digariskan dalam satu buku berkaitan 1Malaysia yang diterbitkan sebelum pengumuman pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai pemansuhan ISA.Menurut Tan Sri Ismail, isu ISA, yang diperkenal pada 1960, akan terus menjadi topik politik hangat dibincang dan hasilnya pembangkang akan terus menagih simpati serta sokongan pengundi.


Beliau berkata demikian dalam bab bertajuk Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju dalam buku berjudul 1Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020.Buku itu dikeluarkan sebelum Datuk Seri Najib mengumumkan minggu lalu bahawa pentadbirannya akan memansuhkan ISA dan menggantikannya dengan dua undang-undang baru.


Tan Sri Ismail, yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan pada September 2010, berkata walaupun kerajaan berjanji akan melihat semula akta tersebut, khususnya dalam hal penahanan tanpa perbicaraan, banyak pihak meragui langkah itu.Penggubalan dan penguatkuasaan ISA terletak di tangan kerajaan pusat, yang diterajui BN sejak Malaysia merdeka.'


Kerajaan dikatakan akan tetap menggunakan ISA sebagai serampang dua mata. Pada pihak kerajaan, ISA penting untuk mengekalkan keamanan dan mengawal keselamatan negara, tetapi pihak pembangkang terus menangih simpati dan sokongan pengundi,' kata beliau, yang ditukil laman berita The Malaysian Insider.


Oleh itu, 'jika kerajaan tidak dapat mengurus isu ini dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang', tambahnya.Tan Sri Ismail berkata tindakan pantas dan pencegahan yang diambil oleh polis Malaysia dalam menangkap elemen-elemen utama dalam kumpulan-kumpulan militan, seperti Jemaah Islamiyah (JI), Darul Islam, Al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf, sejak 2001 adalah faktor utama Malaysia terus selamat daripada sudut ancaman kumpulan militan di rantau ini.


Beliau juga menarik perhatian bahawa senario politik yang disaksikan semasa pilihan raya umum pada Mac 2008 dijangka berlaturan pada masa-masa akan datang.'Dalam pilihan raya umum ke- 12, negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti pembangkang.


 Di peringkat parlimen pula, BN gagal memperoleh dua pertiga majoriti.'Ini mengakibatkan keadaan politik di peringkat negeri tidak menentu dan rapuh. Keadaan ini dijangka berlarutan pada masa-masa akan datang,' kata Tan Sri Ismail dalam rencananya itu.

Singapura tidak akan mansuh ISA



SINGAPURA 24 Sept. - Singapura menolak gesaan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) supaya memansuhkan akta itu kerana undang-undang itu membenarkan kerajaan memerangi ancaman keselamatan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, bekas tahanan ISA yang menggesa pemansuhan akta berkenaan telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti subversif dan bukan kerana ideologi politik mereka.
Kementerian itu berkata demikian dalam laman webnya, semalam bagi mengulas gesaan 16 bekas tahanan ISA di republik ini supaya memansuhkan akta berkenaan selepas Malaysia mengumumkan akan berbuat demikian.
ISA dikecam oleh pengkritik di Singapura dan Malaysia sebagai alat untuk membendung perbezaan pendapat.
Kementerian berkenaan berkata, undang-undang itu perlu bagi memerangi ancaman keselamatan seperti keganasan.
''Bekas tahanan ISA itu bukan ditahan kerana ideologi politik mereka tetapi kerana mereka terlibat dalam kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara,'' ujar kementerian itu.
Menurut kementerian itu, sembilan daripada mereka terlibat dalam aktiviti komunis untuk menggulingkan kerajaan Singapura dan Malaysia paa 1960-an dan 1970-an.
''Mereka menyusup ke dalam kesatuan pekerja dan pertubuhan pelajar dan menghasut diadakan mogok dan demonstrasi bagi mewujudkan satu revolusi komunisme,'' kata kementerian itu.
Sementara itu, tujuh daripada mereka terlibat dalam rancangan komunis untuk menggulingkan kerajaan Singapura pada 1980-an, tambah kementerian itu. - AFP

Wednesday, September 21, 2011

16 bekas tahanan tuntut kerajaan Singapura contohi Malaysia mansuhkan ISA



SINGAPURA 20 Sept. - Bekas tahanan politik di Singapura menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negara ini selepas Malaysia mengambil keputusan untuk menghapuskan undang-undang serupa.
Dalam mesej yang disiarkan oleh sebuah laman web bebas dan dilaporkan dalam media prokerajaan hari ini, 16 bekas tahanan ISA berkata, sudah tiba masanya untuk menghapuskan undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan itu.
"Singapura mewarisi ISA daripada Malaysia, dan undang-undang ini sudah wujud selama lebih setengah abad dan membawa kesan buruk serta memudaratkan terhadap masyarakat," menurut petisyen bekas tahanan itu.
ISA yang mula dilaksanakan oleh Britain selepas Perang Dunia Kedua untuk memerangi gerila komunis di Tanah Melayu dikekalkan oleh Singapura selepas kemerdekaannya daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.
Akta itu dikecam oleh pengkritik di kedua-dua negara sebagai alat untuk menyekat tentangan politik, tetapi Singapura menolak desakan supaya ISA dihapuskan selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengumumkan kerajaan beliau akan memansuhkannya.
Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, ISA masih 'relevan' dalam memerangi ancaman kegiatan subversif, fahaman ekstremis perkauman dan agama, pengintipan dan keganasan.
"Tidak ada seorang pun yang pernah ditahan semata-mata kerana fahaman politiknya," menurut kenyataan itu.
Antara bekas tahanan yang mengemukakan petisyen itu ialah Chia Thye Poh, yang pernah ditahan selama 26 tahun dan termasuk di kalangan tahanan politik paling lama dipenjarakan di samping ikon demokrasi dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.
Thye Poh ialah Ahli Parlimen pembangkang dan cendekiawan sosialis 1960-an yang dituduh menjadi anggota subversif komunis, dakwaan yang dinafikannya.
Tujuh daripada bekas tahanan itu ditahan pada 1987 kerana didakwa terlibat dalam konspirasi Marxis untuk menjatuhkan kerajaan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri dari 1959 hingga 1990. - AFP

Bekas tahanan politik minta Singapura mansuh ISA



SINGAPURA - Beberapa bekas tahanan politik di Singapura menandatangani satu petisyen untuk menuntut supaya undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan di negara ini dihapuskan selepas negara jirannya, Malaysia berikrar untuk memansuhkan akta yang serupa.
Dalam mesej umum yang disiarkan oleh sebuah laman web bebas dan dilaporkan media propemerintah semalam, seramai 16 bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura menyatakan, masanya sudah tiba untuk memansuhkan undang-undang kontroversi itu.
"Singapura mewarisi ISA dari Malaysia. Undang-undang ini sudah wujud lebih daripada separuh abad dengan ia menyebabkan masyarakat rosak dan pincang," kata mereka.
ISA pertama kali dikuatkuasakan oleh Britain selepas Perang Dunia Kedua untuk memerangi pemberontakan komunis di Malaya.
Ia telah dikekalkan oleh pemerintah Singapura yang memperoleh kemerdekaan daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk memansuhkan undang-undang itu pada minggu lalu. - AFP

Monday, September 19, 2011

Singapura tertekan Malaysia mansuh ISA





2011/09/19

SINGAPURA: Singapura berada dalam tekanan untuk melonggarkan sekatan politiknya selepas negara jirannya, Malaysia mengumumkan langkah untuk memansuhkan undang-undang keselamatan ketat selain bersikap lebih media dan melonggarkan peraturan protes. 

Kumpulan hak asasi dan pembangkang berkata Singapura perlu mengikut peredaran masa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dan dilihat pengkritik sebagai alat menyekat kebebasan.
Dalam satu langkah mengejutkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan minggu lalu yang kerajaannya akan memansuhkan ISA dan melonggarkan undang-undang lain yang dianggap sebagai sekatan kebebasan awam termasuk peraturan protes dan lesen tahunan akhbar.
“Tindakan Najib dibuat selepas mengambil pandangan daripada kumpulan masyarakat di negaranya,” kata Pengarah Untuk Hubungan Asia Tenggara Kumpulan Kempen Hak Asasi Politik dan Masyarakat di Pusat Pemikir berpangkalan di Singapura, Sinapan Samydorai. 

“Jika Malaysia ke arah lebih terbuka, saya rasa mereka akan terus maju. Sudah tiba masanya Singapura bergerak ke depan,” katanya kepada AFP. 

Singapura bagaimanapun menegaskan bahawa ISA, yang sebelum ini digunakan untuk menentang sayap kiri dan militan yang disyaki sejak beberapa tahun masih relevan dan mempertahankan yang peraturan media diperlukan untuk mengekalkan keharmonian sosial. 

Tahanan ISA paling lama di republik itu adalah Chia Thye Poh, bekas wakil rakyat Parti Sosialis yang ditahan selama 23 tahun bermula 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah. 
Sehingga kini, semua pembantah disediakan tempat memberi ceramah di mana semua penceramah perlu berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dulu dan perlu mendapatkan permit daripada polis di Singapura. – AFP 

Sunday, September 18, 2011

Pak Samad: Pemansuhan ISA 'kemenangan ghaib'


Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim


Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.http://www.malaysiakini.com

Bebaskan tahanan ISA sekarang jika ikhlas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR, 17 Sept ─ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekarang sebagai langkah keikhlasan pertama ekoran pengumuman beliau untuk menghapuskan undang-undang tersebut.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, amat dikesali apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA akan kekal sehingga dua akta baru menggantikan ISA siap.
“Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambah perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib (kelmarin),” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tuan Ibrahim menambah, seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah ikhlas dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan.
Malah katanya, jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan di mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh mereka adalah golongan pengganas.
Pesuruhjaya PAS Pahang ini yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku ke atas enam ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.
“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” kata beliau lagi.
Di samping itu, katanya, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Perdana Menteri mengakui terdapat kepincangan dalam akta ‘draconian’ tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.
“Janganlah pula cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “sebaliknya Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.”
“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan sama ada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” kata beliau.
Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.
Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.
Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.
http://razali01.blogspot.com

Nama lain tapi ‘maksudnya’ ISA – Anwar



18 September 2011
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ghairah dengan pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang baru bakal menyusul.
Ketua Pembangkang itu berkata, langkah Datuk Seri Najib Razak itu wajar dibimbangi kerana Perdana Menteri bakal menggantikan akta yang sama dengan nama berbeza.
“Langkah Najib membatalkan ISA, kita alu-alukan, cuma kita harus waspada  sebab pembatalan itu berlapik kerana Najib akan perkenalkan dua undang-undang baru dan tidak diketahui secara terperinci.
“Menteri Dalam Negeri (KDN) mengatakan dia akan kaji undang-undang sedia ada yang ada dalam negara lain, maknanya mungkin perkenal beberapa cara tahanan tanpa bicara.
“Kalau ada undang-undang baru, mempertahankan prinsip yang sama, namanya mungkin lain tapi maksudnya ISA,” katanya pada sidang media di ibu pejabat hari ini.
Pada 15 September lalu, Najib yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akibat tekanan pembangkan dan puak dalaman Umno membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA yang akan diganti dengan dua akta baru tetapi tidak memberi perincian.
Anwar berkata, dua akta baru itu tidak akan mengubah sistem autokrasi yang sedia ada, malah meneruskan amalan penindasan terhadap rakyat.
“Bahayanya kerana undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan ini hanya satu sudut sistem penindasan autokrasi ada.
“Kita minta batalkan ISA, timbulkan suasana yang lebih lunak menghormati prinsip demokrasi, maka ia harus ada ruang yang lebih terbuka,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.
Berkaitan isu sama, Anwar menyebut tanpa menghalang pihak lain menuntut ganti rugi, tidak akan menuntut pampasan walaupun dua kali tahan mengikut ISA.
http://razali01.blogspot.com

Thursday, September 15, 2011

ISA: Jangan tertipu sandiwara Najib


Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan tertipu dengan sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia mempunyai muslihat lain di sebaliknya.

Sebaliknya, jika ISA dimansuhkan, rakyat tetap tidak boleh bersuara dengan bebas kerana pasti terdapat pula undang-undang lain yang akan dilaksanakan bagi menggantikannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu samalah seperti keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangguhkan pembayaran caj cukai perkhidmatan 6% kad prabayar telefon mudah alih.

Menurut beliau, walaupun pembayaran caj cukai 6% itu ditangguhkan, tetapi Kerajaan BN telah menggantikannya dengan cukai lain iaitu cukai barangan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, perlaksanaan cukai barangan selepas pilihanraya itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, iaitu hanya dua hari sahaja selepas keputusan penangguhan bayaran caj cukai 6% itu dibuat oleh kerajaan.

"Dengan itu sahaja orang ramai sudah boleh nampak permainan Umno BN. Walaupun dimansuhkan sesuatu akta atau cukai, pasti ada undang-undang lain atau cukai-cukai lain yang akan digantikannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kelmarin, media tempatan melaporkan, Najib dalam kenyataannya membayangkan kemungkinan akan memansuhkan ISA kerana kajian dan perubahan melibatkan ISA dan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat.

“Kita akan buat kajian dan perubahan terhadap akta tersebut supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa dan sesuai dengan kehendak rakyat,” kata Najib.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pindaan ISA perlu dibentang di Dewan Rakyat bersama enam akta undang-undang pencegahan yang berkaitan dan kajian semula akta itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam.

Akta-akta berkenaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dikaji daripada aspek keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah; Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit; Akta Buang Negeri 1959 (Pindaan 1972) berkaitan sama ada undang-undang itu masih relevan.

Selain itu, Akta Kediaman Terhad 1933 berkaitan keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 berkaitan tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin juga berkata, akta itu sebenarnya sudah lama dalam penelitian kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara dan cadangan sama ada akta berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan sedang diambil kira.

Menurut Tuan Ibrahim, sebelum ini, Pakatan Rakyat seperti yang terdapat dalam Buku Jingga telah menegaskan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim lain jika diberikan mandat memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Kini, keputusan Kerajaan BN untuk mengkaji dan memansuhkan ISA dan akta-akta itu sebenarnya adalah sebagai ikutan dari Buku Jingga, manakala keputusan itu pula dibuat sebagai lambang keadaan Umno BN yang amat tertekan sekarang.

"Kini kecenderungan rakyat negara ini telah beralih kepada Pakatan Rakyat. Untuk mendapatkan sokongan orang ramai, Umno BN terpaksa memansuhkan akta-akta itu untuk mengelaburi mata dan mengambil hati rakyat," katanya.

Malah dalam keadaan yang tertekan seperti sekarang, beliau yakin Umno BN pasti akan turut mengumumkan pelbagai insentif lain lagi kepada rakyat menjelang PRU Ke-13 bagi meraih sokongan daripada orang ramai.

"Tetapi rakyat sudah sekian lama tertipu. Rakyat yang sudah semakin sedar dengan permainan licik Umno BN pasti faham semua permainan mereka itu dan tidak mungkin akan terus tertipu lagi," ujar beliau.
harakahdaily

Monday, August 22, 2011

16 warga China ditahan ISA

 

SUBANG JAYA – Seramai 16 warga China yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Semua suspek terbabit ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan serentak di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 6 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis turut merampas 10 keping pasport palsu (tujuh pasport Turki dan tiga pasport Malaysia), tiga Mykad palsu serta tunai pelbagai matawang asing berjumlah RM268,523.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati semua suspek terlibat secara aktif dalam sindiket penyeludupan manusia yang beroperasi di China.

“Anggota sindiket (suspek) dikesan menjalankan kegiatan itu di China, Thailand termasuk Malaysia sejak 2009.

“Mereka berperanan bawa masuk individu warga China ke Thailand, sebelum menyeludup masuk individu itu ke Malaysia untuk mendapatkan dokumen palsu,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran ‘Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat’ anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, semalam.

Menurutnya, selepas memperoleh dokumen palsu, suspek kemudian akan menyeludup masuk individu terbabit ke negara ketiga.

Khalid berkata, siasatan lanjut menunjukkan suspek masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport sah.

“Bagaimanapun modus operandi mereka sangat licik kerana setelah sampai di Malaysia, pasport itu akan dibuang dan mereka akan mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kad UNHCR itu, suspek dapat menjustifikasikan kehadiran mereka di negara ini dan tidak dihantar balik.

Menurutnya, taktik itu dilihat menjadi trend pendatang asing sejak kebelakangan ini, terutamanya pendatang dari Myanmar.

Khalid berkata, 11 daripada suspek ditahan diserahkan kepada pihak berkuasa negara asal mereka kelmarin, untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga lagi suspek yang mendakwa memegang kad UNHCR tetapi memiliki pasport dan Mykad palsu sedang disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Pendaftaran.

“Manakala, baki dua suspek yang mempunyai kad UNHCR sah, disiasat di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu, Khalid berkata, siasatan menunjukkan sindiket itu dikendalikan sepenuhnya oleh suspek warga asing.