Showing posts with label sakit. Show all posts
Showing posts with label sakit. Show all posts

Thursday, April 28, 2011

Orkid Abdullah terlantar sakit di rumah



KUALA LUMPUR — Datin Orkid Abdullah, biduanita yang terkenal dengan lagu berirama Ghazal ‘Penawar Rindu’ pada era 60’an kini terlantar di rumahnya kerana menghidap penyakit ketumbuhan hormon tidak stabil (paraganglioma) sejak tiga tahun lepas.
Kalau dulu beliau aktif menghiburkan orang ramai menerusi pertunjukan pentas dan persembahan di televisyen, namun kini pergerakannya amat terbatas sehingga kesemua aktiviti harian termasuk makan dan minum diuruskan oleh tiga orang anaknya.
Rombongan dari Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez menziarah Orkid di rumah beliau di No 38, Jalan Anggerik 2, Dataran Ukay di sini hari ini. Rombongan tiba kira-kira pukul 3.15 petang, dan menghabiskan masa kira-kira 45 minit bersama Orkid sambil menyampaikan sumbangan.
Anak bongsu Orkid, Eenaz Datuk Mokhtar, 31, berkata ibunya menjadi semakin lemah sejak awal tahun ini kesan daripada tumor yang kini sudah merebak ke sistem badan. — Bernama

Friday, March 18, 2011

Penyakit sembuh selepas 14 tahun




HASSIN (tengah) menunjukkan kesan parut penyakit kulitnya sambil diperhatikan Yong Fairos (kiri) di Serdang, Kedah semalam.


BANDAR BAHARU - Setelah hampir 14 tahun menderita diserang sejenis penyakit kulit kronik di seluruh badan, buruh kampung Hassin Wan, 56, kini sembuh setelah mendapat bantuan sebuah syarikat kosmetik dari Batu Caves, Selangor bulan lalu.
Penderitaan Hassin mendapat perhatian usahawan kosmetik, Yong Fairos Sarip, 42, yang menghulurkan rawatan secara percuma.
Setelah hampir sebulan rawatan diberikan, penyakitnya pulih dan Hassin mampu bekerja seperti biasa.
Yong Fairos berkata, beliau tertarik untuk membantu buruh berkenaan selepas membaca laporan yang disiarkan akhbar pada Januari lalu.
"Saya kemudian menghubungi Hassin menerusi nombor telefon dan menghantar krim serta sabun herba untuk tujuan merawat penyakit tersebut. Tidak lama selepas itu, saya datang melawat Hassin beberapa kali dan mendapati keadaannya semakin baik," ceritanya ketika mengunjungi Hassin di Kampung Bukit Buluh, Serdang dekat sini semalam.
-kosmo

Saturday, December 18, 2010

Derita sakit saraf



ZULKIFLEE (dua dari kanan) menunjukkan peralatan pelapik khas kepada Ghazali (kanan) dan Muhammad Fitri di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Penderitaan anak bongsu bekas anggota tentera Rejimen Renjer Diraja (RRD), Ghazali Yahya, 58, selama 11 tahun menghidap penyakit saraf berakhir apabila mendapat bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
Ayah kepada 11 orang anak yang menyewa di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak di sini sejak 25 tahun lalu terharu dengan sumbangan bernilai RM5,850 kepada anaknya, Muhammad Fitri.
Bantuan berupa kos bagi peralatan alat bantuan dan perubatan seperti peralatan pelapik khas atau standing frame untuk kerusi roda dan peralatan fisioterapi serta kos perubatan lain disampaikan oleh Ketua Pengarah JHEV, Mej. Jen. Datuk Zulkiflee Mazlan.

Monday, November 29, 2010

Dua wanita dakwa sakit selepas ambil pil pelangsing



Oleh Zuliaty Zulkiffli 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/29

SUZIANA menunjukkan pil langsing yang diambilnya ketika ditemui di Kuala Nerang, semalam.
SUZIANA menunjukkan pil langsing yang diambilnya ketika ditemui di Kuala Nerang, semalam.
Produk diseludup dari negara jiran

KUALA NERANG: Dua wanita mendakwa mengalami masalah kesihatan selepas mengambil pil pelangsing yang dibeli melalui ejen yang dikatakan mampu menurunkan berat badan dengan cepat.
Difahamkan, produk itu turut digunakan ahli politik, orang kenamaan, penjawat awam termasuk guru dan polis untuk menurunkan berat badan dalam tempoh singkat.
Produk itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan dibungkus semula di sebuah kediaman yang beroperasi di Alor Setar dan dikatakan mengedar di beberapa salun kecantikan di sekitar Jitra dan Alor Setar, selain menggunakan khidmat ejen di daerah lain. 

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Suziana, 26, mendakwa mengalami cirit-birit, pening kepala dan keguguran rambut selepas mengambil pil berkenaan dalam tempoh seminggu selepas disyorkan seorang rakannya.

Beliau berkata, pil itu dijual dalam plastik lutsinar yang dibungkus semula dengan harga RM70 untuk satu set lengkap bagi kegunaan siang dan malam, manakala set malam pula dijual pada harga RM40.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Aisyah, 54, yang ditemui di rumahnya di Kerpan, Jitra kelmarin berkata, pil pelangsing yang diambil sejak setahun lalu menyebabkan dia mengalami sakit sendi kaki yang serius. 
Aisyah yang mengalami masalah berat badan 76 kilogram (kg) berjaya menurunkan ke 70kg dalam tempoh hanya seminggu selepas mengambil produk itu.

“Akibatnya, saya mengalami cirit-birit, manakala najis menjadi hitam, selain kerap pening kepala dan muntah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Farmasi Kedah ketika ditemui berkata, pihaknya akan menganalisis sampel pil berkenaan dan akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, dari segi pembungkusan, pihaknya mendapati ia menyalahi peraturan kerana setiap pil yang diluluskan Kementerian Kesihatan mempunyai label, tarikh dan nama pesakit tetapi pil ini tidak mempunyai sebarang label.

“Kita percaya kemungkinan besar pil ini mengandungi sibutramine yang boleh menyekat selera makan pengguna tetapi boleh menyebabkan kesan seperti kerosakan jantung, buah pinggang dan hati, selain boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Jurucakap itu berkata, jika didapati bersalah, pengeluar pil itu boleh disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat mengikut Akta Pendaftaran Ubat dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik kerana ia dipercayai mengandungi bahan ubat terkawal dan tidak berdaftar dengan kementerian itu dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Monday, June 21, 2010

Pasukan khas pantau projek sakit


KOTA BHARU 20 Jun - Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau perkembangan semasa beberapa projek sakit di negeri ini yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek sakit tersebut adalah pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jalan Simpang Pulai - Loging - Gua Musang, Jalan Jeli - Jelawang, Jalan Pasir Puteh - Tok Bali, dan Jabatan Sultan Yahya Petra.
Jelas beliau, projek-projek terbabit perlu disiapkan dengan segera untuk memastikan pembangunan baru yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tidak terganggu.
"Terdapat lima atau enam projek sakit di negeri ini yang perlu disiapkan secepat mungkin agar boleh digunakan dan dimanfaatkan rakyat," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Jabatan Kesihatan Kelantan di sini pagi ini.

Wednesday, June 9, 2010

2 tahun terlantar sakit

JASIN: Seorang bekas tukang rumah kini hanya terlantar di katil sejak dua tahun lalu akibat serangan sakit sendi dan disyaki menghidap kanser terpaksa mengharap ihsan saudara-mara bagi menampung keperluan tujuh anaknya yang tinggal bersama di Jalan Hanzah, Sungai Rambai di sini.
Bapa tunggal terbabit, Abu Hasan Shakri Muharam, 52, berkata kesengsaraan hidupnya menjadi lebih parah selepas kematian isteri, Che Na Hamzah pada Disember lalu hingga memaksa urusan harian anaknya diuruskan mereka sendiri.
Menurutnya, mujur anak kedua dan ketiga yang berusia 20-an boleh diharapkan untuk menjaga keperluan harian termasuk makan minum terutama kepada empat adik mereka yang masih bersekolah.

“Kehidupan kami sekeluarga begitu susah sekarang kerana saya kini sudah hilang pekerjaan sejak jatuh sakit dan buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang kerana tidak mampu bekerja disebabkan keadaan kesihatan agak uzur.

“Malah, saya hanya mengharapkan ihsan anak kedua yang bekerja kampung dan seorang lagi anak yang bekerja di pusat beli-belah bagi menampung keperluan sekeluarga dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dia yang sukar untuk bercakap begitu terharu dan berterima kasih kepada seorang adiknya, Noraizan, 43, kerana sering menjaga keperluan keluarganya.

Sementara itu, Noraizan berkata, walaupun anak sulung kepada abangnya sudah bekerja dan berkeluarga, dia gagal membantu adik-beradiknya berikutan sibuk dengan urusan pekerjaan dan perlu menampung keperluan keluarga sendiri.

“Walaupun abang ada menerima bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan daripada Majis Agama Islam (Maim) sebanyak RM150 sebulan, ia tidak mencukupi bagi memastikan keperluan sempurna kepada semua anaknya.

“Ia tidak termasuk kos ubatan dan lampin pakai buang serta makanan sesuai untuk abang. Justeru, saya mengharapkan ada pihak sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan dan derita yang dialami keluarga abang,” katanya.

Noraizan berkata, walaupun sudah banyak rawatan dan keluar masuk hospital, punca penyakit abangnya gagal dikesan menyebabkan dia sering mengalirkan air mata mengenang nasib keluarga itu sambil berharap doktor dapat membantu.

“Memang sukar menggambarkan kepayahan hidup mereka sekeluarga berikutan abang memerlukan perbelanjaan yang besar bagi memastikan aspek pendidikan, makanan berkhasiat dan keperluan persekolahan empat anaknya mencukupi bagi membolehkan mereka tidak merasai tekanan kemiskinan,” katanya.