ISTIMEWA
Sejak suami terkorban 10 tahun lalu, rumah tidak pernah bergelap, tidak berhutang dan tidak tangguh bayaran penyenggaraan flat atau bekalan air terputus berkat kerjasama anak-anak kecilnya yang berdikari
MUNGKIN sesetengah ibu yang ramai anak akan buntu apabila suami yang menjadi tunggak utama pencari nafkah meninggalkan keluarga secara mendadak buat selama-lamanya.Senario sedemikianlah yang dialami Cik Suliah Amil, yang menjadi ibu tunggal kepada 10 anak sejak sekitar sembilan tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.Bayangkan, ketika itu anak sulungnya baru berusia 14 tahun, sementara yang bongsu baru mencecah lapan bulan.Apabila mendapat berita tentang kemalangan yang mengorbankan sang suami, Cik Suliah berasakan seolah-olah kehidupannya mula hancur.'Ketika itu, empat anak saya masih lagi memakai lampin. Mereka masih perlukan susu formula bayi, sementara yang lain semua di peringkat sekolah rendah.'Senang kata, sebelum itu kehidupan kami bergantung sepenuhnya kepada arwah suami yang bekerja selaku pemandu teksi sebelum pemergiannya,' tambah suri rumah itu.Menceritakan peristiwa pahit itu, Cik Suliah berkata suaminya, Allahyarham Abdul Satar Abdul Kadir, yang ketika itu berusia 42 tahun, meninggal dunia sejurus selepas skuternya berlanggar dengan sebuah van semasa hendak pulang ke rumah mereka di Johor pada 6 Ogos 2001.'Ketika itu, kami sekeluarga menetap di Johor, sementara arwah suami bekerja di Singapura.'Kami juga bergantung kepada hasil pendapatan daripada flat tiga bilik kami yang kami sewakan di Tampines untuk menampung kehidupan kami sekeluarga ketika itu,' ujarnya lagi.Selepas kematian suaminya itu, Cik Suliah mengaku terasa amat tertekan sehingga beliau sering terlupa akan tanggungjawabnya selaku seorang ibu.'Anak-anak - baik yang kecil sehinggalah yang besar - semua saya biarkan mereka lakukan kerja mereka sendiri.'Tapi, mujur juga saya dapat sokongan anggota keluarga sebelah saya yang banyak beri perangsang dan dorongan.'Mereka nasihatkan saya agar banyak dekatkan diri pada Tuhan dan memikirkan tentang masa depan anak-anak yang kini menjadi tanggungan saya,' katanya yang kini berusia 48 tahun.Suri rumah itu berkata lagi beliau mengambil masa setahun sebelum tekanannya itu mula reda.'Sepanjang tempoh itu saya sering terfikir mengapa suami tak balik. Tapi, bila ingatkan nasihat keluarga, saya cepat-cepat ambil wuduk dan bersolat,' tambahnya.Tempoh sembilan tahun berlalu dengan pantas.Cik Suliah sekeluarga kini telah kembali ke Singapura dan menetap di flat tiga bilik mereka.Anak sulungnya, Cik Nur Hidayah, 24 tahun, kini merupakan penuntut sambilan di sebuah pusat pendidikan agama. Beliau juga bekerja sambilan dengan mengajar di sebuah pusat pendidikan agama dan di sebuah masjid untuk membantu keluarganya, selain membayar yurannya.Adik bongsunya pula masih belajar di darjah empat.Meskipun sudah bergelar anak yatim, Cik Nur Hidayah, yang kini mengikuti kursus pengajian Islam, berkata sepanjang sembilan tahun beliau hidup tanpa ayah, mereka sekeluarga tidak pernah kelaparan atau berhutang dengan sesiapa.'Yang memudahkan perjalanan kehidupan kami selama ini ialah sifat adik-beradik saya yang tidak suka berbelanja.'Walaupun mereka terdedah kepada pengaruh rakan-rakan di sekeliling yang gemar berbelanja, alhamdullilah, mereka tidak terpengaruh.'Contohnya, mereka lebih gemar makan di rumah, walaupun ibu hanya masak satu jenis lauk, dan pulang terus ke rumah selepas waktu sekolah.'Rasanya saya boleh kira berapa kali dalam setahun kami adik-beradik makan di restoran makanan segera.'Ini kerana saya masih ingat pesanan arwah ayah yang sering ingatkan tentang pentingnya kami sentiasa menjaga dan menyayangi ibu yang telah melahirkan dan menjaga kami,' kata Cik Nur Hidayah.Cik Suliah pula memberitahu, ketika ini beliau menganggarkan membelanjakan sekitar $1,000 setiap bulan untuk menampung perbelanjaan rumah dan keluarga.Ini termasuk bayaran bulanan seperti ansuran flat mereka yang berjumlah $360, bil bekalan elektrik dan air sekitar $160, perbelanjaan dapur sekitar $200, kos pengangkutan sekitar $150 dan lagi $50 untuk wang saku persekolahan anak- anaknya.Yang membuat wartawan kagum ialah meskipun Cik Suliah tidak mempunyai pekerjaan tetap, namun beliau masih mampu mendapatkan wang tanpa perlu berhutang dengan sesiapa.'Alhamdullilah, selain mendapat bantuan daripada pihak sekolah anak-anak saya berupa buku teks dan yuran percuma, anak-anak juga mendapat bantuan daripada Darul Ihsan berjumlah $380 setiap bulan.'Bakinya, kadangkala saya dapat melalui sumbangan daripada pihak masjid jika saya menjadi sukarelawannya.'Kadang-kala kami juga dapat bantuan daripada kenalan dan rakan-rakan arwah suami saya yang memberi sumbangan seperti makanan ringan dan wang tunai.'Yang pasti, selama ini kami sekeluarga tidak pernah bergelap atau hadapi masalah bekalan air yang terputus kerana saya tak pernah berhutang atau menangguhkan bayaran penyenggaraan. Apa yang kami ada, itulah rezeki kami,' kata Cik Suliah.