Showing posts with label kanser. Show all posts
Showing posts with label kanser. Show all posts

Monday, October 8, 2012

Pesakit kanser usus perlu bantuan



NORASHIKIN membantu memasang beg khas pada perut Mohd. Hanafi ketika ditemui di rumah mereka di Taman Desa Jaya, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak menyangka dirinya menghidap penyakit kanser usus tahap ketiga selepas ibunya mendapat penyakit yang sama tiga tahun lalu.
Mohd. Hanafi Mohd. Bulkhini, 31, yang berkhidmat di bahagian keselamatan MBJB berkata, semuanya bermula apabila dia mengalami kesulitan untuk membuang air besar selain saluran najis berdarah.
Katanya, selepas mendapatkan rawatan pada Mac tahun lalu, doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus iaitu mewarisi penyakit ibunya, Saorah Maidin, 54.
“Kesihatan saya semakin buruk apabila laporan hospital seterusnya memaklumkan terdapat ketumbuhan baharu di saluran najis hingga pakar perubatan memutuskan untuk menutup dengan menjahit punggung.
“Sejak itu, bahagian perut saya ditebuk dan saya membuang air besar melalui beg khas yang kena diusung ke mana sahaja saya pergi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lembah 13, Taman Desa Jaya di sini semalam.

Tuesday, May 10, 2011

Datuk Sarimah semakin pulih




Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad kelihatan semakin sihat. Setelah tiga tahun menderita penyakit kanser hidung dan otak, kini Sarimah semakin pulih.

Bertemu Sarimah baru-baru ini, menjelaskan perjalanan hidupnya selama menghidapi penyakit ini.

“Saya hanya dapat tahu penyakit ini pada tahap keempat. Waktu itu doktor memberitahu jangka hayat saya hanya boleh bertahan sekitar tiga bulan.

“Namun saya tekad untuk terus berusaha. Saya akui memang tidak mahu melakukan sebarang pembedahan pada diri saya. Biarlah apa sahaja kelahiran saya ini, jika tiada nyawa di badan ia masih sama.

“Sepanjang masa itu juga, saya tidak mampu untuk berjalan dan berdiri. Anak-anak saya yang banyak membantu saya. Mereka sentiasa ada bersama saya,” katanya pada majlis sambutan hari lahirnya yang dianjurkan oleh Karyawan di Restoran Warisan.

Menginjak usia 69 tahun, Sarimah mengakui tidak mahu menghebahkan kisah penyakitnya ini kepada khalayak kerana beliau tidak mahu perkara ini akan menyusahkan orang lain.

“Saya tidak mahu orang tahu akan cerita saya sakit. Apabila ada yang menghubungi, saya hanya katakan keadaan saya tidak sihat. Saya juga tidak boleh berjalan dan hanya duduk di rumah.

"Setelah dua tahun, saya diperkenalkan dengan sejenis suplemen. Alhamdulillah, dengan bantuan seorang profesor serta sentiasa bersenam dan jaga makan, saya kini sudah boleh berdiri dan berjalan.

"Saya tidak kisah untuk menelan pil sebanyak 16 biji dan perlu makan sembilan kali sehari. Saya hanya yakin dan terus berusaha untuk pulih ,” katanya yang tidak henti-henti melafazkan rasa syukur pada Yang Maha Esa.

Bercerita saat mula penyakitnya, Sarimah berkata, kepalanya akan tiba-tiba sakit dan mengeras. Bukan itu sahaja, hidung dan lidahnya juga akan mengalami perkara yang sama. Pandangan saya kabur kerana mata saya juga mengalami perkara yang sama.

“Sakitnya seperti ada sesuatu yang menekan kepala saya. Rasa tak boleh tahan dan membuatkan pergerakan terbatas. Kerana itu, saya tidak boleh bergerak dan perlu berehat. Tapi setelah mengamalkan pil dan mengikut diet yang betul, Alhamdulillah semuanya kini sudah normal,” ceritanya yang berharap kesihatannya akan kembali pulih seperti biasa.

Wednesday, May 4, 2011

Budak jual 3,000 lukisan kumpul biaya rawatan kanser


AIDAN melukis gambar raksasa kegemarannya di atas katil hospital sewaktu sedang menjalani rawatan.


KANSAS, Amerika Syarikat - Seorang kanak-kanak, Aidan Reed berjaya menjual sebanyak 3,000 keping gambar raksasa yang dilukisnya demi membiayai kos rawatan penyakit kanser yang dihidapinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Aidan yang berusia lima tahun itu didiagnosis penyakit leukemia pada 13 September 2010.
Sejak itu, dia yang berasal dari Kansas, Amerika Syarikat (AS) dikehendaki menjalani rawatan termasuk kemoterapi, jangkitan, saluran tulang belakang dan prosedur lain yang menyakitkan.
Pakar perubatan bagaimanapun memberitahu bahawa penyakit yang dialami Aidan menunjukkan 90 peratus untuk pulih.
Ibu bapa Aidan, Katie dan Wiley sebelum ini berdepan dengan masalah untuk membayar bil hospital sehingga terpaksa mencagar rumah mereka bagi mendapatkan wang. Cukup mengejutkan apabila Aidan yang memiliki minat melukis raksasa dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Dalam waktu singkat Aidan berjaya menjual 3,000 lukisan yang dilukis di katil hospital sewaktu menjalani rawatan.
Keseluruhan wang yang dikumpulkan melebihi AS$30,000 (RM89,235), sekali gus cukup untuk mendapatkan semula rumahnya yang dicagar dan menjalani rawatan susulan selepas ini.
Lukisan Aidan turut menerima tempahan dari Jepun, Itali, Brazil dan negara lain di seluruh dunia. - Agensi, kosmo

Wednesday, April 13, 2011

Bakal pengantin pasrah bala bertimpa



KUALA TERENGGANU - Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang terpaksa dilalui bakal pengantin, Noor Akma Edayu Othman, 26, apabila terpaksa menanggung musibah berganda dalam masa seminggu.

Pada 4 April lalu, rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran kira-kira jaml 8.45 pagi, menyebabkan dia bersama enam lagi anggota keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Berikutan tragedi itu, segala persiapan perkahwi-nannya termasuk barang hantaran bernilai RM10,000 musnah dan mereka kini terpaksa tinggal menumpang di rumah jiran.

Belum sempat kesedihan itu hilang, dia sekeluarga sekali lagi diuji apabila kehilangan bapa tersayang, Othman Said, 56, yang meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

Noor Akma Edayu, anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui berkata, walaupun hiba dengan dua ujian yang menimpanya itu, namun dia tetap reda dengan keten-tuan Ilahi malah percaya ada hikmah di sebaliknya.

Dia yang juga kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di bawah Skim Latihan Graduan (SLG) itu mengakui terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menyaksikan majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 22 April ini.

“Pada tengah hari semalam (kelmarin), arwah meminta saya supaya segera mengadakan majlis perkahwinan hari ini juga (Selasa), seolah-olah dia tahu dia akan `pergi’ tinggalkan kami.

“Beberapa jam selepas dia cakap begitu, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di kampung Mengabang Tengah Masjid, selepas menerima kunjungan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, di sini kelmarin.

Akma berkata, bapanya, seorang pengawal keselamatan di bengkel Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Chendering mula dikesan menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu dan semakin serius sejak beberapa bulan belakangan ini.

Katanya, majlis pernikahannya tetap akan diteruskan pada 22 April ini dan segala persiapan sudah dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan.

Sementara itu, dia dan keluarganya mengucapkan setinggi terima kasih kepada jirannya di atas kesudian menerima mereka menumpang teduh, sementara menunggu kediaman baru dibina atas bantuan Kerajaan Negeri.

Difahamkan, Kerajaan Negeri bersetuju membina kediaman baru Allahyarham Osman melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membantu meringankan beban keluarga terbabit dan perbinca-ngan perlu dilakukan antara keluarga mangsa dan Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu.

Monday, August 2, 2010

Hulurkan bantuan ringankan beban

Kemoterapi penambah derita 

GELANG PATAH – Perubahan sikap yang kelihatan murung dan lebih suka tidur apabila pulang daripada sekolah menimbulkan tanda tanya oleh seluruh keluarga dan yang paling mengejutkan apabila remaja itu disahkan mengidap kanser buah pinggang tahap empat. 

Keadaan itu ternyata berbeza dengan karakter sebenar Muhammad Fitree Mohd Johari, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Jaya, di sini, yang aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolahnya selain seorang yang periang. 

Menurut ibunya, Hafizah Ariffin, 48, sejak Januari lalu Fitree bukan sahaja banyak mengasingkan diri malah anak keempat daripada lima adik-beradik itu juga tidak selera untuk menjamah makanan. 

“Sehinggalah Februari lalu Fitree terjatuh kerana tersadung selain tidak sedarkan diri menyebabkan kami mengambil keputusan membawanya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya. 

Katanya, hasil daripada pemeriksaan doktor ternyata memberi perkhabaran yang mengejutkan buat dirinya apabila Fitree disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap keempat selain dikehendaki membuat rawatan kemoterapi. 

“Kami bersetuju asalkan Fitree dapat sembuh seperti sediakala namun kesan daripada rawatan itu telah menjadi punca kepada kerosakan hati sehingga bahagian tubuhnya membengkak kerana mengandungi air berlebihan,” katanya. 

Katanya, semenjak itu juga bahagian perutnya turut membengkak sehingga timbul urat berwarna hijau dengan jelas menyebabkan Fitree tidak mampu untuk berjalan selain itu dia tiada selera makan sehingga berat badannya turun mendadak. 

“Setiap minggu juga kami perlu membawa Fitree untuk menjalani rawatan di hospital bagi mengeluarkan air di dalam badannya itu kerana jika tidak dikeluarkan ia akan ‘menghimpit’ organ dalaman membuatkan dia tidak dapat bernafas dengan selesa,” katanya. 

Hafizah berkata, beliau sekeluarga tidak berputus asa walaupun doktor menjelaskan anaknya tidak mempunyai harapan untuk sembuh dengan turut mencuba rawatan tradisional termasuk membeli ubat tambahan membabitkan kos mencecah ribuan ringgit sebulan. 

“Rakan suami telah memperkenalkan kami dengan tonik hati selain ubatan herba bagi membantu menyembuhkan kerosakan hati dan membunuh sel kanser yang ada di dalam badan Fitree dan kami bersyukur kesihatannya menunjukkan perkembangan positif,” katanya. 

Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala dirinya yang tidak bekerja kerana perlu menjaga Fitree sepenuh masa ternyata berhadapan dengan masalah kewangan bagi membayar kos rawatan anaknya. 

“Kami telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih sebulan lalu dan diminta untuk menunggu kerana permohonan yang dikemukakan sedang diproses,” katanya. 

Hafizah sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekolah Fitree dan Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Pandak Ahmad, yang sudi melawat anaknya itu. 

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Fitree sekeluarga, hubungi 013-7144485 (Hafizah).