Showing posts with label PM. Show all posts
Showing posts with label PM. Show all posts

Tuesday, November 23, 2010

PM terima gaji RM22,826.65 mulai 2004: Nazri



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65 mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2005, mulai 1 Jan 2004. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Timbalan Perdana Menteri pula dibayar RM18,168.15 sementara jemaah menteri menerima RM14,907.20.

"Gaji bulanan setiausaha politik sebagaimana yang ditetapkan dalam Ketentuan Saraan Setiausaha Politik 1980 adalah RM5,709.99 yang juga berkuat kuasa pada 1 Jan 2004," katanya.

Beliau berkata, demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan N.Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) mengenai penetapan gaji dan semua bentuk elaun yang dinikmati anggota kabinet, setiausaha politik serta jumlah emolumen serta elaun kepada anggota kabinet dari 2005 hingga 2009 di persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Mohamed Nazri berkata, jumlah gaji tahunan yang telah dibayar kepada anggota kabinet bagi tahun lepas ialah RM5,470,942.40 dan RM5,783,993.60 pada 2008.

Katanya, sejumlah RM5,858,529.60 dibayar pada 2007 manakala RM5,858,529.60 pada 2006 dan RM6,007,601.60 pada 2005

Thursday, September 16, 2010

Rakyat perlu bangga jadi anak Malaysia - PM


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Seluruh rakyat perlu berbangga dan bersyukur menjadi anak Malaysia kerana negara ini memiliki kemakmuran berterusan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, kemakmuran yang sukar ditemui di negara lain ini memberi kelebihan kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai pembangunan untuk kemajuan rakyat dan negara.
"Kita semua patut berbangga kerana menjadi anak Malaysia. Walaupun negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, ia bukan alasan untuk tidak hidup dalam keadaan aman damai di bawah semangat 1Malaysia.
"Kepelbagaian ini sebaliknya menjadi kekuatan kepada kita untuk terus menikmati kemakmuran. Kelebihan ini membolehkan kita merangka dan melaksana pelbagai pembangunan bagi mencapai Wawasan 2020," katanya.
Beliau berucap merasmikan Festival Muzik, Seni dan Gaya Antarabangsa (MASiF) 2010 di sini malam ini.
Perdana Menteri menambah, rakyat negara ini perlu menzahirkan rasa bangga itu bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara mengikut kreativiti dan profesional tersendiri.
"Rakyat negara ini mempunyai 28 juta cara untuk berterima kasih kepada Malaysia. Jadi zahirkan perasaan itu mengikut kesesuaian masing-masing sempena sambutan bersejarah, Hari Malaysia yang akan disambut esok," katanya.
Mengenai MASiF 2010, Najib tertarik dengan konsep yang diketengahkan kerana ia terjemahan idea generasi muda pasca merdeka yang merangkumi gaya, muzik dan seni.
Tambah beliau, sebelum ini menjadi kebiasaan dalam acara sambutan yang besar, inisiatif itu datangnya daripada kerajaan tetapi dalam penganjuran MASiF idea tersebut dijelmakan sendiri oleh generasi muda.
Lebih 2,000 pengunjung dari dalam dan luar negara memeriahkan festival tersebut yang akan berlangsung selama lima hari.

Saturday, May 8, 2010

Gordon Brown berusaha untuk kekal PM - Agensi




GORDON BROWN memberikan sidang akhbar di Downing Street semalam.


LONDON - Perdana Menteri Britain, Gordon Brown dilihat masih belum berputus asa untuk kekal berkuasa selepas keputusan pilihan raya tidak memihak kepada Parti Buruh pimpinannya dengan menyatakan kesediaan untuk berbincang bersama parti-parti lain bagi membentuk gabungan.
Brown turut menyokong cadangan Parti Liberal Demokrat yang berada di tempat ketiga berhubung perubahan sistem pengundian pilihan raya.
"Memang wujud keperluan undang-undang yang segera bagi memulihara kepercayaan rakyat terhadap politik," kata Brown.
Parti Buruh menduduki tempat kedua dalam pilihan raya yang berlangsung pada Khamis lalu.
Keputusan menunjukkan Parti Konservatif memenangi pilihan raya itu tetapi gagal memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan. - Agensi

Thursday, April 1, 2010

Rakyat semakin menyokong Barisan Nasional - Perdana Menteri



PUTRAJAYA 31 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, trend mutakhir kini menunjukkan sokongan dan kepercayaan rakyat semakin menjurus kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu berlaku kerana banyak angkara yang dilakukan pembangkang termasuk gagal memenuhi janji yang ditabur pada pilihan raya lepas telah terbongkar dan dihidu rakyat.
Sehubungan itu, beliau mahu semua wakil rakyat BN bekerja lebih keras dengan menunjukkan prestasi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
''Kita telah dapat lihat dan merasakan di mana sahaja saya turun sama ada di Sabah dan Sarawak serta kawasan yang saya pergi di Seratok, Simunjan dan rumah-rumah panjang Lacau Hulu, tempat-tempat Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina Foochow di Sibu, saya nampak mereka beri sambutan meriah kepada kerajaan BN.
''Seperti yang kita lihat dan baca, penipuan pembangkang yang bermula 16 September (2008) untuk cuba merampas kuasa serta kononnya mendapat sokongan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia sememangnya jelas cuba menipu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama Kelab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Sri Perdana di sini malam ini.
Seramai 212 daripada 241 ADUN hadir pada majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa ADUN Bebas.
Perdana Menteri berkata, beliau sememangnya maklum dengan muslihat pembangkang yang akan menggunakan strategi 'matlamat menghalalkan cara ' untuk berkuasa.
''Mereka tidak kisah pada fakta sebab dalam politik (bagi mereka), fakta tidak penting sebaliknya persepsi itu yang cuba dilakarkan.
''Kalau tidak dapat yakinkan rakyat, buat rakyat ragui pun cukup. Tidak kisah kalau perkara itu tidak benar tapi bila sebut banyak kali, orang akan terima (akhirnya). Inilah 'permainan' pembangkang," katanya.
Namun bagi Najib, beliau tidak khuatir kerana percaya dirinya dan BN berada di pihak yang benar.
''Saya tunggu janji temu saya dengan Zulkifli Noordin (Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu), barang kali dia nak cerita... inilah 'permainan' mereka kononnya saya dan isteri saya terlibat dengan (kes pembunuhan) Altantuya.
''Padahal saya sudah bersumpah atas nama Allah, saya tidak kenal Altantuya. Orang lain tidak berani sumpah tetapi saya berani bersumpah. Tidak payahlah buat perancangan sebab ini fitnah," katanya.
Tegas Najib, apa yang beliau akan lakukan sekarang dan seterusnya ialah meneruskan kerja untuk membangunkan negara dan bukannya menabur fitnah kepada pembangkang.
Kata beliau: ''Saya tidak berniat menjatuhkan pemimpin pembangkang dengan cara yang tidak betul."
Dalam aspek ini, Najib percaya jika semua wakil rakyat BN menerapkan beberapa elemen positif termasuk menunjukkan peribadi yang baik, tidak mustahil BN akan mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.
''Kalau kita bekerja kuat, kita boleh berjaya dan mencapai majoriti dua pertiga," katanya.