Showing posts with label e-coli. Show all posts
Showing posts with label e-coli. Show all posts

Saturday, December 18, 2010

Sah Tasik Kenyir tidak dicemari E-Coli



18/12/2010 6:02pm

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa Tasik Kenyir, Terengganu, tidak dicemari dengan bakteria Escherichia coli (E-Coli) sebagaimana didakwa beberapa akhbar awal bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, tinjauan serta siasatan terhadap tahap pemcemaran tasik itu dibuat pada hari Ahad lepas dan air mentahnya didapati berada dalam julat yang biasa.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu mengambil sampel air mentah dari tujuh 'Houseboat' dan dua pusat peranginan di kawasan itu, dan ia dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri untuk dianalisis.
"Keputusan dua hari lepas mendapati tahap pencemaran E-Coli adalah pada tahap 2 hingga 920 MPN/100ml, di mana ia adalah jauh di bawah tahap maksimum kesesuaian sebagai air mentah iaitu pada 5000 MPN/100ml berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, penemuan bakteria E-Coli adalah satu kelaziman di dalam permukaan seperti tasik dan sungai kerana ia tersebar luas. - Bernama

Tuesday, December 7, 2010

Air Tasik Kenyir bebas e-coli


07/12/2010 4:22pm

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menafikan laporan beberapa media tempatan hari ini yang menyebut air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Rahin Mohd Said berkata, laporan tersebut yang memetik beliau itu mengelirukan dan tidak tepat.
"Apa yang ditulis itu tidak betul dan saya tidak pernah kata begitu," katanya di sini hari ini.
Rahin dilaporkan berkata demikian dalam sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pengkalan Gawi semalam.
Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot atau rumah tumpangan terapung yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.
Rahin berkata, laporan begitu boleh menjejas industri pelancongan negeri.
Beliau berkata bakteria e-coli biasanya berada dalam kawasan yang sempit dan kualiti airnya sedikit serta tercemar dengan najis.
Sedangkan Tasik Kenyir luas dan airnya bermutu tinggi dan menjadi sumber air mineral dan dibekalkan kepada orang ramai, katanya. - Bernama