PASANGAN BAHAGIA...Catherine bersama suaminya, Douglas, di New York pada 14 Mac lalu. |
LOS ANGELES: Catherine Zeta-Jones dilaporkan menjalani rawatan kerana kemurungan melampau akibat tekanan dengan keadaan suaminya, Michael Douglas, berjuang melawan kanser.
Aktres berusia 41 tahun itu dimasukkan ke Hospital Psikiatrik Silver Hill di New Canaan, Connecticut, semalam dan dia akan berkongsi wad dengan penagih arak serta dadah.
Ketika dihubungi, ejen Catherine mengesahkan aktres itu menerima rawatan bagi membantunya menghadapi trauma dalam kehidupan peribadi.
Katanya, Catherine akan berada di hospital itu selama lima hari.
Ejen Catherine berkata, selepas berdepan dengan tekanan tahun lalu, aktres terbabit membuat keputusan menjalani rawatan mental dalam tempoh pendek.
“Kini dia semakin sihat dan tidak sabar memulakan penggambaran bagi dua filem terbarunya tidak lama lagi,” katanya.
Douglas disahkan menghidap kanser kerongkong tahap empat tahun lalu dan terpaksa menjalani rawatan bagi memulihkannya.
Hasil perkahwinannya dengan Catherine, pasangan itu memperoleh dua anak.