Showing posts with label AIDS. Show all posts
Showing posts with label AIDS. Show all posts

Wednesday, November 24, 2010

'Dia tak hidap Aids'

IPOH: “Dakwaan yang mengatakan anak saudara saya menghidap Aids seperti dipaparkan sebelum ini tidak benar dan saya mahu ia diperbetulkan,” kata Siti, 52, ibu saudara kanak-kanak yatim piatu yang sebelum ini dikaitkan dengan penyakit berbahaya berkenaan.
Harian Metro pada 19 November lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikenali S menghidap penyakit berkenaan dipercayai diwarisi daripada ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia.

Malah, kanak-kanak itu juga mencetuskan misteri dengan mendakwa dia anak pemain bass kumpulan rock May, Yus atau nama sebenarnya, Mohd Mohktar Mohd Madin, 48.

Bagaimanapun, kemelut serta kekusutan berkaitan dakwaan kanak-kanak itu sudah diselesaikan selepas kedua-dua pihak bertemu, petang kelmarin.

Siti berkata, dakwaan yang dibuat itu diperoleh daripada sumber tidak tepat dan dia ingin menjelaskan anak saudaranya itu tidak menghidap penyakit berkenaan dan S kini sihat serta aktif seperti rakan seusianya.

Katanya, ketika ini, kanak-kanak itu berada dalam jagaannya dan dia bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan S mendapat pendidikan dan keperluan secukupnya.

Friday, November 19, 2010

Budak Aids dakwa anak gitaris May

SEIRAS...Yus (kiri) dalam poster kumpulan May.
SEIRAS...Yus (kiri) dalam poster kumpulan May.
TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia sembilan tahun dan menghidap Aids mencetuskan misteri apabila mendakwa dia anak pemain gitar kumpulan rock May, sedangkan pemuzik itu masih hidup dan langsung tidak mengenalinya.
Kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai S mendakwa, ayah, ibu serta adiknya yang berusia empat tahun semuanya meninggal dunia akibat Aids dan dia dijangkiti penyakit berbahaya itu daripada ibu dan bapanya.
“Ayah saya seorang pemain gitar, dia meninggal dunia lima tahun lalu kerana Aids. Ibu juga meninggal dunia kerana penyakit sama pada Jun lalu manakala adik meninggal dunia tahun lalu,” katanya.


Ketika ditanya lebih lanjut siapa ayahnya, S mengeluarkan poster kumpulan May dan menunjukkan gambar pemain gitar bass, Yus sebagai ayahnya.


Bagaimanapun, S memberitahu nama ayahnya adalah Md Nor sedangkan nama sebenar Yus adalah Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48.

Ibu saudara S yang enggan identitinya didedahkan mengiakan dakwaan murid darjah tiga itu bahawa Yus ayah kanak-kanak itu.

Menurutnya, S kini terpaksa bergantung hidup dan mengharap belas kasihnya dan besar kemungkinan hanya menanti detik ajal seperti dilalui ahli keluarganya lain.

Katanya, dia bersimpati terhadap nasib dilalui anak saudaranya itu dan menjaganya selepas adik perempuannya meninggal dunia pada Jun lalu.

“Adik saya sebelum ini berkahwin dengan artis kumpulan rock terkenal berkenaan sebelum dikurniakan dua cahaya mata berusia empat dan sembilan tahun.

“Namun segalanya penuh misteri apabila suami adik saya itu yang berusia 38 tahun mati mendadak kira-kira lima tahun lalu tanpa diketahui punca kematiannya, manakala anak lelaki mereka yang berusia empat tahun menghembuskan nafas terakhir tahun lalu sebelum adik perempuan saya itu mati mengejut pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Wanita itu mendakwa, arwah adiknya tidak pernah mendedahkan penyakit dialami dan dia hanya mengetahui punca kematian itu selepas dimaklumkan pihak hospital.

“Adik saya tidak pernah berterus-terang dan memberitahu menghidap Aids sehingga dia menghembuskan nafas terakhir. Mungkin dia malu atau mahu menjaga nama baik keluarga.

“Kini, saya perlu membawa anak saudara saya (S) ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah dan mengambil ubat bagi merawat penyakitnya,” katanya.

Katanya, biarpun mengalami demam dan batuk yang berterusan, S aktif dan lincah seperti kanak-kanak lain seusianya, malah memasang impian menjadi doktor haiwan apabila besar.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengetahui penyakit S dan mereka sudah maklum mengenai langkah yang perlu dilakukan sepanjang anak saudaranya itu berada di sekolah termasuk ketika makan dan menyertai aktiviti sukan.

Ketika ditemubual, S tidak putus-putus menahan batuk dan setiap kali batuk dia akan menutup mulutnya dengan tangan.

Friday, August 6, 2010

Melayu paling ramai hidap HIV/AIDS





KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr. Faisal Ibrahim mendedahkan, daripada 63 penagih dadah yang dikesan setiap hari, 44 daripadanya Melayu.
Lebih menyedihkan katanya, daripada sembilan kes HIV/AIDS yang dikesan, enam daripadanya melibatkan individu Melayu dengan purata tiga kematian setiap hari.
“Fakta diperoleh daripada Kementerian Kesihatan. Bermula dengan cuma empat kes pada 1986, sebanyak 87,710 kes HIV dikesan sehingga penghujung 2009.
“Sebanyak 71.8 peratus atau 62,975 daripada kes itu terdiri daripada individu Melayu diikuti Cina (14.6 peratus) dan India (8 peratus). Ia menunjukkan betapa serius gejala itu di kalangan masyarakat Melayu negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Seminar Menyambung Kasih Ilahi: HIV/AIDS Bersama Ditangani di Pusat Islam, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.
Faisal menambah, kajian dilakukan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 60 peratus ibu hamil yang dijangkiti HIV menerima virus itu melalui suami.
“Masalahnya, mereka ini lama-kelamaan dijangkiti pula virus AIDS yang membawa maut. Hal ini menyebabkan kira-kira 6,000 kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah menjadi yatim piatu.
“Pastinya ketiadaan ibu dan ayah membawa kesan sosial yang besar kepada anak itu. Ia secara tidak langsung turut merugikan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kira-kira 1,000 peserta seminar tersebut agar memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan di kalangan masyarakat bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.
“Pencegahan merupakan satu-satunya jalan kepada masalah ini kerana tiada ubat dan vaksin yang mampu membunuh virus HIV.
“Apa yang ada hanyalah ubat untuk menyekat pembiakan virus itu. Itu pun ia memerlukan belanja yang besar sehingga mencecah ribuan ringgit setahun,” ujarnya.