Showing posts with label Lubang. Show all posts
Showing posts with label Lubang. Show all posts

Saturday, February 12, 2011

Lubang maut ragut satu nyawa




SEBERANG JAYA – Lubang maut. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan keadaan lubang saluran air di Jalan Sembilang, berhampiran simpang tiga di Tesco Extra, di sini.

Ia dibiarkan berlubang sejak beberapa hari lalu selepas simen yang dibuat untuk menutup lubang itu pecah.

Penduduk, Rashid Md Ali,42, berkata, penutup lubang itu bukan baru sekali dua pecah, tetapi tiga kali hingga menyebabkan satu nyawa melayang tahun lalu berikutan tidak nampak akan lubang berkenaan.

Menurutnya, ia amat merbahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal berikutan lubang itu terletak begitu dekat dengan simpang.

“Keadaan di sini amat bahaya kerana mereka yang hendak membelok ke kiri tidak perasan akan lubang ini terutamanya pada waktu malam kerana jalan di sini gelap. Lampu jalan pula tidak berfungsi dengan baik.

“Tahun lalu, seorang penunggang motosikal maut ketika dalam perjalanan ke hospital selepas motosikal yang ditunggung terperosok ke dalam lubang ini. Kita tidak mahu kejadian sama berulang dan minta pihak berkenaan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi dan meletakkan penutup yang lebih kukuh agar ia tidak lagi pecah,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang (PMKRPP) berkata, dalam tempoh setahun sudah tiga kali penutup lubang itu dibaiki dan terbaru dua minggu lalu, tetapi, malangnya ia pecah lagi.

Katanya, hal itu berlaku kerana laluan berkenaan adalah jalan utama dan dilalui lebih dari 1,000 kenderaan setiap hari termasuk bas dan lori.

Tambahan pula, bahan yang digunakan tidak berkualiti, menyebabkan penutup yang hanya dibuat dari simen itu pecah kerana tidak dapat menampung keberatan kenderaan yang lalu di situ setiap hari.

“Saya tidak pasti siapa yang bertanggungjawab menyelenggara saluran air ini, tetapi, berharap ia dapat dibaiki dengan segera. Selain itu, saya berharap kontraktor yang dilantik dapat menggunakan bahan yang lebih kukuh selepas ini supaya ia tidak pecah lagi seterusnya membahayakan nyawa pengguna.

“Begitupun, buat sementara ini, penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan daun bagi memberi amaran kepada pengguna bahawa adanya lubang di sini,” katanya.
SH

Wednesday, February 9, 2011

Lubang jalan jadi perangkap maut





CHENEH – Jalan berlubang dan rosak teruk dari simpang Felda Neram ke simpang Air Putih, Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini, boleh diibaratkan seperti lubang maut apabila hampir setiap hari berlaku kes kemalangan mahupun kenderaan terbabas akibat tayar pecah.

Wakil penduduk, Ahmad Ludin Yaacob, 50, berkata, berikutan keadaan jalan yang berlubang teruk dan rosak sejak sebulan lalu dan masih belum dibaik pulih sehingga sekarang, kes kemalangan di sepanjang jalan itu meningkat berkali ganda.

Menurutnya, lebih parah, ketika cuaca hujan, lubang dalam di tengah jalan sepanjang jalan itu tidak dapat dilihat pengguna jalan raya kerana dilimpahi air menyebabkan ia menjadi perangkap maut kerana banyak berlaku kes terbabas gara-gara tayar pecah terjerlus lubang.

Katanya, pengguna jalan raya berhadapan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan tinggi kerana lubang dalam itu terdapat di kanan dan kiri jalan mengakibatkan pengguna terpaksa melalui jalan berkenaan dengan kelajuan perlahan.

“Disebabkan struktur permukaan jalan yang berlubang teruk ini juga, banyak kes kemalangan membabitkan rempuhan kenderaan belakang berlaku gara-gara kereta hadapan membrek mengejut kerana mengelak lubang.

“Malah, akibat mengelak lubang ini juga, beberapa hari lalu sebuah Perodua Viva terbabas sehingga keempat-empat tayar kenderaan terbalik ke atas, nasib baik pemandunya tidak tercedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di laluan lubang maut berkenaan, di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan keadaan jalan sebegitu, kes tayar kenderaan pecah sepanjang laluan itu berlaku setiap hari.

“Semalam sahaja terdapat tiga kenderaan pecah tayar selepas melalui jalan ini. Kadang-kadang kasi�han apabila melihat pengguna jalan raya terpaksa berhadapan masalah ini kerana mereka tidak tahu keadaan jalan di sini, lainlah bagi penduduk yang selalu melaluinya.

“Memandangkan ia laluan utama penduduk dari Jabor-Jerangau, diharap jalan ini dibaik pulih segera sebelum kes kemalangan lebih teruk berlaku hingga membabitkan banyak nyawa melayang,” katanya.
SH

Friday, December 31, 2010

Lubang maut tunggu mangsa




BAHAYA. Beginilah keadaan lubang berhampiran kawasan Pangsapuri Pandan Lakeview yang merisaukan penduduk Pangsapuri Pandan Lakeview.


AMPANG - Setiap hari kira-kira 3,000 penduduk Pangsapuri Pandan Lake View di sini tidur tidak lena kerana mengingatkan lubang besar berhampiran kawasan perumahan mereka.
Mereka bimbang kerana lubang yang berasal dari lubang kumbahan bersaiz seluas 46 meter persegi dan terletak di selekoh Jalan Perdana 5/1 itu hampir memakan mangsa baru-baru ini.
Presiden Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Cai, 59, berkata, lubang itu pada mulanya kecil tetapi semakin hari ia semakin membesar.
"Keadaan lubang itu semakin besar sejak dua bulan lalu ekoran hujan lebat sehingga menyebabkan tanah di sekitar lubang mendap dan runtuh.
"Sebelum ini, ada kanak-kanak terjatuh tetapi nasib baik ia tidak melibatkan sebarang kematian. Lebih teruk, tanah runtuh di sekeliling kawasan tersebut menyebabkan kotak janakuasa TNB berhampiran tumbang, tiang lampu jalan senget dan pembetungan kumbahan perumahan di situ rosak," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
-kosmo

Friday, December 3, 2010

Lubang besar undang bahaya



KEADAAN lubang yang tidak ditutup dengan besi menyebabkan sebuah kereta terjatuh ke dalamnya.


SIKAP tidak bertanggungjawab individu yang mencuri besi di tepi jalan untuk menutup lubang longkang dan kemudian menjualnya ke kedai kitar semula patut dibendung segera.
Ia berikutan kehilangan besi itu menyusahkan orang lain dan boleh mendatangkan bahaya jika ada orang atau kenderaan terjatuh ke dalam lubang tersebut.
Baru-baru ini, saya mengunjungi sebuah pasar raya di bandar Jengka dan terkejut apabila melihat kereta termasuk ke dalam lubang besar.
Dengan tiada sebarang tanda di situ menyebabkan pemandu kereta tidak perasan lalu terjatuh dan menyebabkan rodanya berada dalam lubang itu.
Ia seolah-olah menjadi perangkap kepada pemandu apabila kereta mereka terjatuh dan tidak perasan di situ terdapat lubang yang tidak ditutup ketika meletak kenderaan.
Kejadian itu bukan kali pertama berlaku tetapi difahamkan sudah beberapa kenderaan turut terjatuh ke dalam lubang tersebut.
Sebagai sebuah bandar yang didiami oleh majoriti masyarakat peneroka, pihak berkaitan perlu segera mengambil tindakan bagi menutup lubang tersebut.
Pihak berkuasa tempatan atau kontraktor terlibat harus menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak berulang pada pemilik kenderaan lain.
Kalau boleh letakkan sebarang tanda atau kon di lubang tersebut bagi mengelakkan kenderaan lain terjatuh di dalamnya.
Selain itu, agensi kerajaan tempatan yang menjaga infrastruktur perlu kerap turun padang bagi meninjau kemudahan di kawasan terbabit.
Cara sebegini sekurang-kurangnya dapat mengetahui apakah kerosakan atau kekurangan sesuatu kemudahan itu dan tindakan segera boleh diambil bagi memastikan keselesaan penduduk tempatan diutamakan.
Insan kecewa, Raub

Wednesday, November 24, 2010

Lubang dalam



Oleh Ahmad Rabiul Zulkiffli

2010/11/23

Penduduk Kampung Teluk Menara gesa PBT bertindak

KUALA TERENGGANU: Penduduk Kampung Teluk Menara, Manir, di sini diancam bahaya berikutan sebahagian jalan utama ke kampung itu berlubang sejak empat bulan lalu hingga ramai pemilik kenderaan terbabit nahas terutama penunggang motosikal. 

Sehubungan itu, penduduk menggesa pihak bertanggungjawab, segera membaik pulih kerosakan sebelum kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan maut menimpa penduduk kampung berkenaan.
Peniaga, Muhammad Asri Mohamed, 33, berkata dia hampir terjatuh ke dalam lubang sedalam satu meter ketika melalui jalan berkenaan pada suatu malam baru-baru ini.
"Mujurlah saya sempat menekan brek, jika tidak, pasti saya terhumban ke lubang berkenaan. Maklumlah, keadaan jalan itu gelap kerana tiada lampu jalan dan saya terlupa kewujudan lubang itu. 

"Sejak kejadian itu, saya sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan, sekiranya mempunyai jalan alternatif, saya pasti tidak akan menggunakan jalan yang berbahaya ini lagi," katanya. 

Muhammad Asri berkata, penduduk kampung sudah mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga sekarang tiada tindakan susulan diambil. 

"Kami mohon pihak bertanggungjawab segera membaiki jalan itu sebelum bencana menimpa penduduk kerana kami terpaksa melalui keadaan berbahaya ini setiap hari. 
“Sekarang, penduduk kampung menggunakan kayu sebagai tanda jalan itu berlubang. Kami bimbang jika kerosakan itu tidak dibaiki segera, lubang akan bertambah besar apabila tanah mendap terutama pada musim tengkujuh ini," katanya. 

Rakannya, Syafie Abdullah, 45, berkata dia juga mempunyai pengalaman menakutkan ketika melalui jalan itu apabila tayar belakang keretanya terjatuh ke dalam lubang berkenaan. 

"Cemas juga apabila tayar belakang kenderaan terjatuh ke dalam lubang berkenaan, apa tidaknya jalan itu menjadi sangat sempit selepas lubang itu semakin membesar. 

"Jalan ini perlu dibaiki secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kepada orang lain. Penduduk kampung mungkin mengetahui masalah jalan itu, tetapi orang luar yang berkunjung ke rumah rakan atau saudara mereka di kampung ini sangat terdedah kepada bahaya," katanya. 

Pesara, Yusop Mamat, 56, berkata, dia bimbang keselamatan pelajar sekolah terutama di sekolah rendah yang setiap hari berulang-alik berjalan kaki atau berbasikal melalui jalan itu. 

“Sebagai mewakili ibu bapa, saya memohon pihak bertanggungjawab membaik pulih jalan berkenaan, saya tidak berhasrat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi demi kepentingan orang ramai saya merayu,“ katanya.

10 tahun guna jalan berlubang



Keadaan jalan yang baik dan selesa menjadi idaman kepada lebih 1,000 penduduk di enam kampung sekitar kawasan To’ Uban selepas 10 tahun keadaan jalan berlubang dan berbatu tidak pernah di baiki. Keadaan tersebut mengakibatkan kesukaran kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti harian kerana merupakan laluan utama mereka. 



Penduduk mohon baiki jalan 

Seorang penduduk, Norhaya Mat, 48, berkata, jalan yang dibina sejak 1983 itu tidak pernah dibaiki dan keadaannya bertambah teruk dari hari ke hari dan ditakuti mendatangkan bahaya kepada pengguna. 

Menurutnya, jalan tersebut menjadi jalan alternatif pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan To’ Uban dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chetok. 

“Apabila tiba musim hujan, pelajar yang menggunakan jalan ini sering menghadapi masalah kasut kotor kerana keadaan jalan yang berlopak,” katanya. 

Norhaya berkata, jalan ini menghubungkan enam kampung iaitu Kampung Sipul, Kampung Chat, Kampung Banggol Cengal, Kampung Perol, Kampung Kelar Besar, dan Kampung Simpang Sungai Keladi. 

“Kami penduduk di sini amat berharap pihak berkenaan dan pemimpin mengambil perhatian mengenai perkara ini. 

“Tidak perlu menunggu kejadian tidak diingini berlaku barulah mahu bertindak,” katanya yang pernah mengalami kemalangan ketika menggunakan jalan tersebut untuk menghantar anaknya ke sekolah. 



Gelap dan bahaya 



Penduduk, Zamri Mat, 45, berkata, keadaan jalan teruk ditambah ketiadaan lampu jalan boleh membahayakan nyawa penduduk di sini. 

Menurutnya, pekerjaan utama penduduk di sini ialah petani atau penoreh getah. 

“Kita keluar waktu pagi ketika masih gelap dan keadaan jalan yang berlubang menyukarkan kita bergerak kerana khuatir jatuh,” katanya. 

Zamri berkata, sebelum ini ada pihak yang tampil membaiki jalan tersebut dengan menambah batu dan tar tetapi ia tidak bertahan. 

“Jalan kembali berlubang walau selepas ditambah tar dan batu mungkin kerana kerja yang dijalankan mereka tidak selesai sepenuhnya,” katanya. 

Sementara itu, antara penduduk asal di situ, Mahasan Awang, 63, berkata, jalan tersebut tidak pernah dibaiki walau tiada kenderaan berat melalui jalan tersebut melainkan lori yang mengangkut hasil tanaman seperti getah dan sebagainya. 

“Saya tidak pasti punca jalan ini rosak kerana tiada sebarang kenderaan berat melaluinya. 

“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya untuk keselesaan generasi akan datang,” katanya. 



Pernah dibaiki empat tahun lalu 



Pengerusi Biro Kebajikan Pelajaran Anak-anak Kelantan (Pakatan), Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud berkata, kali terakhir jalan sejauh empat kilometer itu dibaiki ialah pada empat tahun lalu dan kini keadaannya semakin teruk hingga pernah menyebabkan kemalangan. 

“Sebagai anak tempatan, saya berharap pihak berkenaan tampil memberi kemudahan sewajarnya kepada penduduk di sini. 

“Mereka layak menerima keselesaan seperti penduduk di tempat lain,” katanya.

Monday, November 22, 2010

Jalan berlubang



Oleh Togi Marzuki 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Laluan 4km rosak teruk sukarkan penduduk pasar hasil tani 

PONTIAN: Kira-kira 100 pekebun di Jalan G.S.A. 3 Parit Mohayat Mukim Ayer Baloi, dekat sini, dihimpit keresahan kerana jalan sejauh empat kilometer yang menjadi laluan penting mengangkut hasil pertanian rosak teruk menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat kelewatan memasarkan produk masing-masing.
Jalan yang difahamkan dibina lima tahun lalu kini berlubang dan tidak rata. Lebih memeritkan mereka terpaksa membiayai sendiri kos membaiki jalan bagi memudahkan aktiviti harian mengeluarkan hasil pertanian dan kerja lain yang berkaitan.
Mereka mendakwa, jika jalan berkenaan tidak diperbaiki segera, ia akan menjejaskan pendapatan petani untuk menyara keluarga kerana kawasan berkenaan dipenuhi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, nanas, jagung dan sayur-sayuran. 

Pekebun, Arifin Othman,70, berkata, beliau mengalami kerugian kerana hasil tanamannya khususnya kelapa sawit tidak dapat dijual sepenuhnya akibat kegagalan kenderaan pengangkut sawit untuk memasuki jalan berkenaan. 

Katanya, keadaan jalan yang rosak itu menyebabkan kenderaan sama ada pengangkut kelapa sawit atau pelbagai hasil pertanian terbenam dan terkandas khususnya apabila musim hujan sekali gus menggagalkan pelbagai hasil pertanian untuk dipasarkan. 

“Akibat kejadian itu, semua petani mengeluh dan resah kerana hasil tani yang diharapkan sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga terjejas dan tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian seperti yang diharapkan,” katanya. 
Sehubungan itu, Ketua UMNO Cawangan Parit Mohayat, Samid Sipin, 56, berkata, beliau berharap keluhan pekebun di kawasan berkenaan didengar. 
Beliau berkata, pelbagai usaha dibuat, khususnya memperbaiki dan menampal lopak jalan dengan batu kasar yang dibiayai secara berkongsi dengan pekebun lain. 

“Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil apabila hujan, air akan bertakung di sana-sini manakala tambakan batu kasar yang diharapkan memberi keselesaan akan rosak dan tidak dapat menampung berat lori yang melaluinya. 

“Kita tidak boleh menyalahkan apa jua jenis kenderaan besar atau kecil yang mengangkut hasil tani, hanya cara itu saja hasil dapat dikeluarkan melalui jalan berkenaan untuk dipasarkan. 

“Kami minta jasa baik pihak yang berkenaan agar jalan yang menjadi laluan utama khususnya untuk mengeluarkan hasil pertanian diperbaiki dan dibaik pulih supaya para pekebun dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selesa dan mengeluarkan hasil melalui jalan berkenaan,” katanya. 

Ketua Kampung Parit Baru Kawasan 6, Mukim Ayer Baloi, Mohamad Samingon, 58, pula berkata, akibat masalah berkenaan pelbagai hasil tani tidak dapat dipasarkan kerana ada kalanya kenderaan pengangkut hasil tani enggan memasuki jalan berkenaan dibimbangi kenderaan terbenam dan terkandas. 

“Saya sangat simpati kepada pekebun dan petani yang terbabit, khususnya yang semata-semata bergantung hidup melalui hasil pertanian menyara keluarga. 

“Walaupun pekebun yang terbabit pernah berusaha dengan pembiayaan secara berkongsi untuk membaiki sendiri jalan yang rosak itu, namun jalan itu tidak bertahan lama dan memerlukan modal yang begitu besar,” katanya.

Tuesday, October 19, 2010

Lubang susahkan pemandu



Keadaan jalan yang berlubang dan rosak di Bulatan Melawati, Shah Alam mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.



SHAH ALAM 18 Okt. - Jalan di sekitar Bulatan Melawati, berhampiran Pusat Perniagaan Seksyen 15 dan Pejabat Pos Besar di sini kini mengalami kerosakan yang teruk.
Menurut beberapa pengguna, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu tanpa ada sebarang langkah untuk membaikinya diambil oleh pihak berkuasa tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysiamendapati, jalan di situ bukan setakat berlubang tetapi kerosakannya sudah memanjang dan boleh mendedahkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal kepada risiko kemalangan.
Seorang pengguna yang ditemui, Hasmah Mohd. Kadir, 35 berkata, keadaan jalan di sekitar Bulatan Melawati kini sangat berbahaya, apatah lagi laluan itu sememangnya sentiasa sibuk.
Menurutnya, kerosakan jalan itu perlu dibaiki dengan segera bagi mengelak pengguna daripada menjadi mangsanya.
"Saya sendiri hampir-hampir melanggar penghadang jalan di situ kerana ingin mengelak lubang-lubang yang semakin membesar di bulatan ini.
"Nasib baik ketika itu kenderaan tidak berapa banyak dan saya sempat memberhentikan kenderaan seketika," katanya yang menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk pulang ke rumahnya di Puchong.
"Saya selalu tertanya-tanya apakah sebabnya laluan tersebut tidak dibaiki dengan segera sedangkan keadaannya sudah benar-benar teruk dan jalan itu adalah laluan utama orang ramai," katanya.
Tambahnya, jika perkara itu dibiarkan, ia bukan sahaja mengundang risiko kemalangan tetapi juga boleh menjatuhkan imej Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor.
Seorang lagi pengguna, Shahwati Ibrahim, 29, yang ditemui ketika sedang melakukan urusan di Pusat Perniagaan Seksyen 15 pula berkata, jalan utama di kawasan berkenaan memang berdepan dengan masalah berlubang yang serius.
Katanya, lubang yang berada di tengah-tengah jalan itu sukar untuk dielakkan oleh pengguna yang melalui kawasan itu khususnya mereka yang tidak biasa dengan jalan tersebut.
"Saya sendiri kalau lalu di situ kadang kala terpaksa melanggar lubang-lubang itu kerana tidak boleh mengelak disebabkan ada motosikal berada di tepi kenderaan saya," ujarnya.
Shahwati berharap masalah jalan berlubang di situ dapat diselesaikan dengan segera agar tiada perkara tidak diingini berlaku.
Harapan itu turut dilahirkan oleh seorang pengguna, Mohd. Azlan Mohd Azmin, 26, yang sering melalui laluan tersebut untuk menyelesaikan kerja-kerja harian sebagai penghantar surat.
Dia berkata, bukan sahaja jalan di situ yang rosak dan berlubang tetapi banyak lagi jalan lain di sekitar Shah Alam.
"Cuba lihat jalan dari pusat bandar melalui Pejabat Pos Besar ke Bulatan Kayangan, jalan itu lagi teruk berlubang.
"Sudahlah kawasan itu agak sunyi, bayangkan jika sesuatu tidak diingini berlaku, mungkin mengambil masa untuk seseorang membantu," katanya.
Beliau turut memberitahu, banyak jalan di sekitar Sekysen 18, Seksyen 20, Seksyen 17 dan jalan sekitar Bukit Kemuning dan Bukit Naga juga mengalami masalah yang sama.