16 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendedahkan kegagalan National Feedlot Corporation (NFCorp) untuk membayar sewa pasar raya yang dimiliki syarikat berkenaan di Singapura.
Menurut Tony, Syarikat Farmhouse Supermarkets didakwa gagal membayar sewa dan sekali gus perjanjian itu dibatalkan.
Tony merujuk akhbar Singapura semalam yang melaporkan pemilik Rochester Mall di Buona Vista telah membatalkan perjanjian pembinaan rangkaian pasar raya itu kerana syarikat dari Malaysia gagal mematuhi syarat yang dimeterai.
Merujuk kepada laporan berkenaan, Tony turut mempersoalkan jumlah pelaburan untuk menubuhkan pasar raya berkenaan.
“Sebelum ini pasar raya itu perlu dilaksanakan untuk mempromosi daging lembu dari NFCorp, sedangkan buat masa ini Singapura tidak bagi import.
“Mengikut maklumat, mereka tidak siapkan pasar raya itu dan membayar sewa yang dikenakan ke atas tempat itu, maka perjanjian tersebut dibatalkan.
“Sekarang pasar raya tidak dapat dibina dan ditendang keluar pula. Saya mahu tanya berapa jumlah pelaburan yang hilang? Siapa yang akan menanggung pembiayaan? Adakah keluarga Datuk Seri Shahrizat ataupun NFCorp?.
“NFCorp datang daripada pembayar cukai. Adakah NFCorp yang perlu tanggung kerugian pasar raya ini? katanya.
Syarikat Farmhouse Supermarkets Pte Ltd didakwa memiliki Pasar Raya Mewah di Singapura dengan sewa SGD900,000 atau RM2.2 juta sebulan.