Showing posts with label Raja-Raja. Show all posts
Showing posts with label Raja-Raja. Show all posts

Monday, July 30, 2012

Raja-Raja Melayu adalah Keturunan Nabi Muhamad saw?


Sebelum kedatangan Islam, orang Melayu menganggap raja adalah keturunan atau penitisan dewa. Orang tak berani melawan raja kerana "daulat", takut terkena "tulah". Hal ini mengukuhkan institusi raja.

Hikayat Merong Mahawangsa pula menyatakan raja Kedah yang pertama berasal daripada keturunan Raja Gameron (moden: bandar Abbas) di Parsi. Sehinggalah kini, keturunan Maharaja Derbar Raja (tak tau pulak nama Parsi dia macam mana..) menjadi raja Kedah. Menurut buku ini lagi, Derbar Raja berasal dari keturunan Zulkarnain. Ada juga kisah geroda disumpah Nabi Sulaiman dsb.

Sejarah Melayu juga merekodkan bahawa Parameswara berasal daripada Keturunan Iskandar Zulkarnain yang berasal dari Macedonia.

Fakta-fakta kontemporari menunjukkan bahawa Zulkarnain tersebut bukanlah Zulkarnain yang terdapat dalam al-Quran seperti yang didakwa Tun Sri Lanang. Iskandar Zulkarnain (Alexander the Posser of Two Horn), bukanlah Zulkarnain yang terdapat dalam al-Quran, kemungkinan besar merujuk kepada Cyrus the Great.


Kedua-dua buku dikarang selepas kedatangan Islam.

Kita tinggalkan dulu keturunan raja-raja Melayu ini dan fokus pada 4 Raja Melayu yang BARANGKALI (saya tak kata "pasti") merupakan keturunan Nabi Muhammad melalui anak-anak Fatimah Azzahra dan Ali iaitu Hassan dan Hussain. Dan bukan pula niat saya untuk meneruskan penghormatan ekstrem terhadap raja-raja apabila menggariskan keturunan mereka kepada Nabi Muhammad SAW seperti zaman feudal Melayu. Artikel ini sekadar perkongsian. Saya tak percaya pada daulat dan tulah, dan mungkin boleh dikatakan kehilangan ketaatan ekstrem kepada raja.

Baiklah, kita lanjutkan kepada isu hari ini. Seperti yang kita tau, "Syed" merupakan gelaran hormat untuk keturunan Hussain. Terdapat seorang raja Melayu yang memakai gelaran "Syed" pada namanya, iaitu raja Perlis. Kemungkinan besar baginda adalah keturunan Hussain bin Ali, cucu Nabi Muhammad SAW.

Lalu, yang mana 3 orang lagi? Hanya ada 1 raja Melayu yang memakai gelaran "Syed"~!

Yang tiga orang lagi merupakan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Korang mesti pernah dengar nama ni dalam buku sejarah. Dia Bendahara Sri Maharaja yang terkenal. Beliau merupakan Bendahara Johor sewaktu Sultan Mahmud Syah II.

Sultan Mahmud Syah II terkenal dengan nama Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, mangkat tanpa waris yang sah. Anak Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Tun Habib menggantikan Sultan Mahmud Syah II sebagai sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah II. Putera sulung Tun Habib ini merupakan pengasas Dinasti Bendahara dalam Empayar Johor.

Dengan beranggapan Sultan Ali adalah sah, sebanyak 8 keturunan Sultan Abdul Jalil melalui Dinasti Bendahara menjadi Sultan Johor hinggalah pepecahan Empayar. Dinasti Bendahara kekal sebagai Sultan di Riau-Lingga manakala Dinasti Temenggung mengambil alih Kesultanan Johor.

Tetapi masih saja Sultan Johor berketurunan Tun Habib. Hal ini adalah kerana Kerabat Temenggung berasal daripada keturunan salah seorang anak Sultan Abdul Jalil Riayat Syah II, Tun Abbas - bukan anak gahara Sultan. Keturunan Tun Abbas jugalah yang menjadi Bendahara Pahang, sebelum Bendahara Pahang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Empayar Johor dan menubuhkan kesultanan sendiri.

Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama merupakan anak kelima Bendahara Tun Habib.

Maka, dapat disimpulkan bahawa, Sultan Terengganu, Sultan Pahang, dan Sultan Johor moden merupakan keturunan Tun Habib. Apa signifikannya keturunan Tun Habib?

Moyang Tuh Habib adalah seorang ulama immigran Arab Hadrami, Sayyid Abdullah Al-Aidrus. "Habib" merupakan varians bagi "Syed" di Aceh.

Sayyid Abdullah Al-Aidrus merupakan keturunan Sayyid Abu Bakar Al-Aidrus, yang dianggap Wali bagi penduduk Adan. Abu Bakar Al-Aidrus merupakan keturunan Ja'afar al-Sadiq.

Ja'afar al-Sadiq adalah pengasas Mazhab Ja'afari Syiah, salah seorang Imam 12 bagi Syiah, guru kepada Al-Jabir (Bapa Kimia Moden), Imam Hanafi, Imam Malik (Kalau tak kenal dua orang ni tak tau la) dan Wasil bin Ata' (pengasas Mu'tazillah).

Jaafar al-Sadiq merupakan keturunan ke 6 Ali bin Abi Thalib melalui Hussain.

Apabila mengkaji keturunan raja-raja Melayu, sangat jelas sekali bahawa Sultan Johor, Pahang dan Terengganu merupakan keturunan paternal Hussain dan tidak terputus. Sultan Perlis, memang 100% keturunan Sayyid. Keturunan Tun Habib menggugurkan gelaran "Habib" mereka ketika waktu itu, Aceh sedang berperang dengan jiran tetangganya. Memakai gelaran "Habib" (iaitu varians "Syed" di Aceh) boleh menimbulkan prasangka.

Tun Suzana Tun Haji Othman dan Haji Muzaffar Dato' Haji Mohamad yang membuat kajian mengenai "Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w. dan Kesultanan Melayu" terbitan Crescent News (KL) Sdn Bhd, 2006; telah mengemukakan bukti salasilah keturunan kerabat DiRaja Perlis, Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Tunku Besar Tampin yang bersusur galur daripada keturunan Rasulullah s.a.w. melalui cucu kesayangan baginda iaitu Hasan dan Husin. Lihat rajah di bawah

Maka bertepatanlah sekiranya Raja-Raja Melayu ini ditumpahkan kesetiaan yang setara dengan kemuliaan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan Raja-Raja Melayu dalam Perkara 32, 38 dan 181.

Ingatlah bahawa penarikan imuniti Raja-Raja Melayu (pindaan 1993) hanyalah termaktub atas sifat peribadi baginda semata-mata, iaitu seandainya baginda berbuat sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang; itupun baginda hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Khas (Perkara 181) dan bukannya di mahkamah biasa seperti kita. Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. "Jika Fatimah mencuri, maka akan ku potong tangannya."

Akan tetapi, sekiranya Raja-Raja Melayu bertindak dalam bidang kuasa tugas rasmi baginda, maka Raja-Raja Melayu mempunyai kekebalan serta imuniti sebagaimana yang disahkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepada Rakyat Raja khususnya anak-anak Melayu, ingatlah bahawa PERJANJIAN yang termeterai antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba itu bukannya dibuat untuk suka-suka. Indonesia sudah terkena tulahnya. Jangan pula kita bawa budaya derhaka yang sama di negara penuh rahmat yang bernama Malaysia ini.

Apapun, saya setia pada raja bukan kerana mereka keturunan Nabi melainkan kerana mereka masih saja melaksanakan ajaran Islam dan sunnah Nabi. Jikalau mereka kehilangan hal ini, tak kiralah apa pun keturunan mereka, pasti saya tidak akan setia pada mereka. Saya menyeru kepada orang Melayu untuk kembali setia pada raja kita, selagi mana mereka berlaku adil.

Semoga Allah memberkati Muhammad dan Keluarga Muhammad, Semoga Allah memberkati Ibrahim dan Keluarga Ibrahim. Semoga doa Nabi Muhammad SAW pada pernikahan Fatimah dan Ali itu termakbul... Amin Ya Rabbal Alamin. Semoga Allah memberkati aku juga.


Hadith Rasulullah saw berkenaan pemerintahan Beraja

"Tujuh macam orang, yang Allah swt telah berjanji akan melindungi mereka di bawah perlindunganNya, di masa tidak ada perlindungan, kecuali perlindungan Allah, pertama; raja yang adil..." (HR Syaikhan)

"Dunia itu perbendaharaan yang hadir, yang memakan daripadanya orang baik dan orang yang durhaka, dan akhirat itu perjanjian yang benar, menghukum padanya raja yang adil, membenarkan yang benar dan membatalkan yang batal, maka hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia, maka sesungguhnya tiap-tiap ibu mengikuti akan dia anaknya." (HR Muslim)

"Apabila Allah menghendaki akan kebaikan dengan raja, Allah menjadikan baginya wazir (perdana menteri) yang baik (jujur), jika ia lupa, wazirnya akan memberi peringatan padanya, dan jika dia ingat, wazirnya akan menolongnya. Dan apabila Allah menghendaki dengannya selain demikian, Allah menjadikan wazirnya yang jahat, apabila raja lupa, tidak ada yang mengingatkannya, dan apabila raja ingat, tidak ada yang menolongnya." (HR Nasa'i)

"Adil itu baik, tetapi raja-raja lebih baik berlaku adil. Pemurah itu baik, tetapi orang-orang kaya lebih baik pemurah, wara' itu baik, tetapi ulama-ulama lebih baik baik mempunyai sifat wara' (menjauhkan dirinya dari dosa), sabar itu baik, tetapi orang-orang miskin lebih baik bersabar. Taubat itu baik, tetapi orang-orang muda lebih baik bertaubat. malu itu baik, tetapi wanita-wanita lebih baik mempunyai sifat-sifat malu." (HR Dailamy)

"Sultan adalah payung Allah di bumi ini, tempat bernaungnya orang-orang yang lemah, memberi pertolongan terhadap orang-orang yang teraniaya. Barangsiapa yang memuliakan Sultan Allah di dunia ini, Allah akan memuliakannya pada hari Qiamat." (HR Ibnu An-Najjar)

"Sultan yang adil dan merendahkan diri adalah payung dan tombak Allah di dunia. Allah akan mengangkatnya sebagai 70 orang-orang yang benar." (HR Ibnu Abi Syaibah)

"Dua golongan, apabila baik mereka, maka baiklah masyarakat; iaitu umarak dan ulama." (HR Abu Nuaim)


Pendapat Ulama Tentang Kelebihan Institusi Beraja Islam

Al Imam Ghazali memberikan pendapatnya mengenai raja dan agama seperti maksud berikut;

"Dunia ini adalah tempat bercucuk tanam bagi akhirat, maka tiadalah sempurna agama itu melainkan dengan adanya dunia. Raja dan agama ialah umpama dua anak kembar, agama itu ialah asal dan akar umbi, dan raja itu ialah pengawal. Sesuatu yang tidak mempunyai asal dan akar umbi pasti akan roboh dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal pasti akan hilang. Kerajaan dan kepastian hukum tidak akan sempurna melainkan adanya Sultan. Dan jalan kepastian hukum untuk menyelesaikan perkara pemerintahan adalah dengan Ilmu Feqah."

Syeikh Baihaqi meriwayatkan daripada Kaab al-Ahbar yang bermaksud;

"Sesungguhnya bagi setiap zaman itu ada Raja yang dibangkitkan Allah ke atas hati para manusia zaman itu, maka apabila Allah menghendaki kebajikan untuk mereka (rakyat), Allah akan membangkitkannya sebagai pembawa kebajikan, dan apabila Allah bertujuan untuk membinasakan mereka, Allah akan membangkitkan orang mewah daripada kalangan mereka."