KUALA LUMPUR: Membalas segala kebaikan dan pengorbanan isteri yang selama ini bersama menempuh kesenangan serta kepayahan hidup menggunakan kekerasan adalah tindakan terlampau yang tidak dapat diterima akal, kata penceramah bebas dan Pengetua Program Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz.
Beliau berkata, ikatan perkahwinan yang dibina berlandaskan dasar cinta dan kasih sayang sejak awal hubungan perlulah diteruskan tanpa mengambil kira faktor luaran seperti usia mahupun paras rupa selain mempraktikkan sifat positif serta romantik bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.
“Rasa cinta dan kasih yang wujud dalam hati dua insan harus disemai untuk mengelak berlakunya sebarang masalah ataupun kesulitan dalam hubungan selain pasangan terutama yang sudah berusia digalakkan untuk lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.
“Kukuhnya hubungan antara individu itu dengan penciptanya banyak mempengaruhi sifat dan tingkah laku seharian. Sikap negatif antaranya panas baran sama ada si suami mahupun isteri dapat dielakkan apabila individu itu mempunyai pegangan agama yang kukuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan kejam seorang warga emas berusia lewat 60-an yang bukan saja memukul isterinya menggunakan tongkat malah turut kencing di muka wanita terbabit yang dikahwininya selama 26 tahun.
Kejadian mengaibkan itu berlaku di hadapan rumah pasangan terbabit apabila mangsa yang ketika itu menyapu sampah meminta bantuan suaminya untuk membuang sampah ke dalam tong di hadapan rumah menyebabkan lelaki terbabit berang dan menumbuk muka selain memukul mangsa menyebabkan wanita terbabit terjatuh.
Selepas puas membelasah isterinya, lelaki terbabit hilang pertimbangan bertindak jijik kencing di muka dan tubuh mangsa sebelum meninggalkan rumah dan masih tidak pulang sehingga kini.
Hassan berkata, tindakan kejam warga emas terbabit melakukan beberapa penyiksaan sehingga kencing ke atas muka isterinya satu tindakan jelas membelakangi agama dan dilaknat Yang Maha Esa.
“Ini adalah peristiwa menyedihkan kerana isteri seharusnya dijaga dan dibelai dengan limpahan kasih sayang suami diperlakukan sebegini. Sepatutnya lelaki terbabit perlu mensyukuri anugerah kerana masih dipanjangkan usia,” katanya.