PETALING JAYA 25 Nov. – Logo halal yang dipamerkan di sebuah restoran mamak di sini sebenarnya logo untuk produk minuman yang dijual di premis itu.
Namun, bagi menarik pelanggan Islam untuk menjamu selera di restoran itu, pemiliknya sanggup memperlekehkan peraturan yang ditetapkan, malah mereka sebenarnya tidak pernah memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Tindakan tamak pemilik restoran bukan Islam itu semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada pelanggan beragama Islam.
Lebih mengejutkan, restoran yang terletak di Jalan Gasing itu sering menerima kunjungan ramai di kalangan pengguna Islam dan premis itu dikatakan agak popular di bandar raya ini.
Serbuan pukul 10.45 pagi ini dilakukan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dengan kerjasama Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik itu juga pernah memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta lain.
“Bagaimanapun sijil yang digunakan itu tidak diiktiraf pihak berkuasa agama negeri dan Jakim malah telah tamat tempoh penguatkuasaannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi itu.
Semalam, sebuah restoran vegetarian yang diusahakan oleh pemilik bukan Islam di Jalan 8/1E di sini diserbu pihak berkuasa kerana memaparkan logo halal di luar pintu masuk premis itu tanpa sijil yang sah.
Hasil pemeriksaan mendapati bahan makanan yang digunakan mengandungi alkohol yang haram dari segi hukum syarak.
Mengenai restoran mamak itu pula, Mohd. Amri memberitahu, selain pemiliknya, semua pekerja restoran itu dikesan bukan beragama Islam dan berasal dari India.
Sementara itu, Penolong Pengawal Perihal Perdagangan PPDNKK negeri, Azli Arifin berkata, pihaknya merampas beberapa bahan perencah termasuk rempah yang digunakan untuk memasak di premis tersebut.