DUBAI 23 Okt. – Stesen Al-Jazeera semalam menyiarkan ‘maklumat baru yang mengejutkan’ mengenai operasi tentera Amerika Syarikat (AS) sepanjang perang di Iraq, diperoleh daripada dokumen-dokumen rahsia AS yang dibocorkan oleh laman web WikiLeaks.
Dokumen itu antara lain menunjukkan tentera AS menyembunyikan penyeksaan tahanan yang dilakukan dengan kebenaran kerajaan Iraq dan pembunuhan ratusan orang awam di sekatan jalan raya yang didirikan oleh tentera AS, berikutan serangan tentera AS yang menggulingkan Presiden Saddam Hussein pada 2003.
Stesen satelit berpangkalan di Qatar itu juga berkata, dokumen-dokumen yang dibocorkan itu, bertarikh dari 1 Januari 2004 hingga 31 Disember 2009 menunjukkan AS menyimpan daftar rakyat Iraq yang terbunuh dan cedera sepanjang perang Iraq, walaupun Washington menafikannya.
Saluran bahasa Inggeris Al-Jazeera mulai 2100 GMT semalam (pukul 4 pagi ini waktu Malaysia) menyiarkan siri program ‘yang mendedahkan maklumat baru mengejutkan mengenai operasi tentera AS sepanjang Perang Iraq’.
Menurut Al-Jazeera, program tersebut berdasarkan fail-fail daripada WikiLeaks yang ‘mendapat akses kepada lebih 400,000 dokumen berhubung Perang Iraq, menjadikannya kebocoran dokumen terbesar dalam sejarah AS’.
“Dokumen rahsia itu empat kali lebih besar daripada fail-fail Wikileaks mengenai Afghanistan,” menurut kenyataan stesen tersebut.
WikiLeaks membangkitkan kemarahan Pentagon pada Julai lalu dengan menyiarkan 77,000 dokumen rahsia tentera AS mengenai perang di Afghanistan.
“Walaupun salah satu matlamat yang dinyatakan bagi melancarkan Perang ke atas Iraq adalah untuk menutup bilik penyeksaan rejim Saddam Hussein, dokumen Wikileaks menunjukkan banyak kes penyeksaan dan penderaan tahanan yang dilakukan oleh polis dan askar Iraq.
“AS tahu tentang penyeksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Iraq tetapi mengarahkan askarnya supaya tidak campur tangan,” menurut Al-Jazeera.
Saluran bahasa Arab stesen itu pula melaporkan, angka kematian penduduk awam di Iraq adalah ‘jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan secara rasmi’.
Sekurang-kurangnya 109,000 penduduk terbunuh, 63 peratus daripadanya orang awam, antara serangan AS pada Mac 2003 hingga akhir tahun lepas. – AFP