Pages

Showing posts with label cerai. Show all posts
Showing posts with label cerai. Show all posts

Tuesday, January 22, 2013

Suami isteri tak dibenar bercerai ketika Ramadan


QATIF: Jabatan Pembiayaan dan Harta di bandar raya ini memutuskan untuk tidak meluluskan perceraian ketika bulan suci Ramadan, lapor akhbar harian berbahasa Arab, Al-Riyadh, semalam.

Jabatan itu dilaporkan mengadakan mesyuarat yang dihadiri semua pegawai tadbir perkahwinan di negara ini dan memutuskan supaya tidak membenar sebarang perceraian ketika bulan puasa.


“Tindakan itu dapat memberi peluang kepada pasangan yang bermasalah berbaik semula sebelum mereka membuat keputusan akhir untuk bercerai,” kata hakim di jabatan itu, Sheikh Muhammad Al-Jirani.

Monday, November 5, 2012

Pengantin kecil tuntut cerai di mahkamah



Sana’a : Seorang kanakanak berusia 10 tahun, Neejod Ali, terpaksa bersembunyi di luar sebuah mahkamah di Yaman sebelum berjaya mendapatkan permohonan perceraian daripada suaminya berusia 30 tahun.

Cuba melarikan diri
Neejod yang muncul dalam satu rancangan bual bicara stesen televisyen Lubnan, berkata dia dipaksa berkahwin oleh keluarganya 10 bulan lalu, ketika berusia sembilan tahun.

“Bapa memaksa saya berkahwin dengan lelaki itu,” katanya yang dipetik sebuah akhbar tempatan.

Neejod berkata dia tidak pernah melihat suaminya hinggalah pada hari perkahwinan mereka dan ketika itu dia benar-bnar berasa sangat takut.

Cuba melarikan diri

“Saya cuba melarikan diri daripada suami saya pada malam perkahwinan. “Tetapi keluarganya memukul saya dan memaksa saya membuat kerja rumah,” katanya.

Hakim bawa pulang

Neejod berkata salah seorang ibu saudaranya, dan seorang pemandu teksi turut membantu dia pergi ke mahkamah untuk menuntut cerai daripada suaminya.
“Ketika sampai di mahkamah saya terasa begitu takut dan bersembunyi di bangunan mahkamah dan menunggu hingga ia ditutup.

“Ketika hakim hendak pulang ke rumah dia melihat saya menunggu di luar.

Saya memberitahu hakim itu masalah saya dan beliau sangat bersimpati,” katanya.
Berikutan itu, hakim terbabit kemudiannya membawa Neejod ke rumahnya dan dia tinggal di situ selama tiga hari.

“Beliau akhirnya membawa saya ke mahkamah serta meluluskan permohonan tuntutan cerai saya,” katanya. - Agensi

Wednesday, March 21, 2012

Dibelasah lalu dicerai

PETALING JAYA: Seorang jururawat bernasib malang apabila dia yang ‘menangkap’ suaminya berkhalwat dengan wanita lain di rumah mereka, di sini, bukan saja dibelasah teruk malah turut diceraikan dengan talak satu, kelmarin.
Menurut sumber, mangsa berusia 32 tahun cedera di kepala, mata, telinga dan tangan akibat ditumbuk serta diterajang suaminya yang berang selepas perbuatannya membawa kekasih gelap masuk ke rumah ketika ketiadaan mangsa terbongkar.
Katanya, perbuatan keji suami mangsa berusia 30 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang pulang ke rumah dari tempat kerja tidak dapat membuka pintu kerana dikunci dari dalam, kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa kemudian menghubungi suaminya yang berada dalam rumah memintanya membuka pintu, tetapi lelaki terbabit mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian.


“Sebaik pintu dibuka, mangsa bertanya suaminya mengapa lambat membuka pintu sebelum menuju ke bilik air kerana mengesyaki sesuatu kerana curiga dengan kelakuan lelaki terbabit,” katanya.

Saturday, December 31, 2011

Pasangan paling tua bercerai





2011/12/31

Lelaki 99 tahun marah jumpa surat bekas kekasih isteri curang

SARDINIA: Seorang lelaki Itali berusia 99 tahun memfailkan perceraian daripada isterinya berusia 96 tahun selepas menemui sepucuk surat isterinya berlaku curang 50 tahun lalu. 

Lelaki Rome berasal dari sini dikenali sebagai Antonio C yang berkahwin dengan isterinya selama 77 tahun, terjumpa surat yang dikirim bekas kekasih isterinya pada 1940 an, ketika dia menggeledah laci lama beberapa hari sebelum Krismas, lapor agensi berita ANSA kelmarin.
Apabila lelaki itu meminta penjelasan daripada isterinya dikenali sebagai Rosa C, isterinya mengaku curang namun akibat berasa bersalah beliau tidak mengambil langkah mencabar perceraian terbabit, kata ANSA. Pasangan itu memiliki lima anak, 12 cucu dan seorang cicit.
Sementara itu, akhbar The Telegraph melaporkan bahawa perkahwinan mereka memang sudah bermasalah sebelum penemuan surat cinta itu.Pasangan itu bertemu pada 1930 an apabila Antonio C berkhidmat sebagai pegawai muda di bandar asal isterinya di Naples. 

The Telegraph menyatakan Antonio C kini menjadi orang tertua di dunia bercerai. 

Pemegang rekod terakhir adalah pasangan dari British, Bertie dan Jessie Wood, keduaduanya berusia 98 tahun apabila berpisah pada 2009. 
-utusan

Monday, November 28, 2011

Imran derita lepas cerai







SAAT BAHAGIA...Imran dan Jemima di hari pernikahan mereka pada 1995.
SAAT BAHAGIA...Imran dan Jemima di hari pernikahan mereka pada 1995.
BUAH HATI... Jemima bersama Sulaiman ketika baru dilahirkan di London.
BUAH HATI... Jemima bersama Sulaiman ketika baru dilahirkan di London.
LONDON: Pemain kriket terkemuka Pakistan, Imran Khan, berkata dia hilang semangat untuk hidup selepas perkahwinannya dengan Jemima Glodsmith musnah Dipetik media tempatan semalam, Imran berkata, enam bulan sebelum perceraian dan enam bulan selepasnya adalah detik “paling perit” dalam hidupnya.
Kata Imran, dia juga berasa amat sedih apabila tidak dapat bertemu dua anak lelakinya, Sulaiman, 8, dan Kasim, 5.

“Membesarkan mereka adalah pengalaman paling indah dalam hidup dan kini tanpa mereka di sisi menjadi cabaran terbesar untuk ditangani,” katanya.
Untuk kali pertama, kata Imran, dia memahami bagaimana seseorang boleh patah semangat untuk hidup.

Katanya, kesan terhadap anak-anak ternyata memburukkan lagi keadaan.

“Melihat kesedihan Sulaiman menjadikan kesengsaraan saya berganda.
“Saya sangat rindukan mereka dan tiada apa dapat mengubatinya,” katanya.

Melalui buku terbaru Imran yang diterbitkan dalam usahanya mendapatkan kuasa politik, dia turut menulis bagaimana politik dan kehidupan berkeluarga gagal diserasikan selepas berkahwin dengan Jemima pada 1995.
Ketika itu, Imran berusia 43 tahun, manakala Jemima baru 21.

Kata Imran, pengorbanan terbesarnya kerana terbabit dalam politik adalah masa yang sangat terhad untuk diluangkan bersama keluarga.

Dalam buku itu juga, Imran menceritakan bagaimana dia diperlekeh di Pakistan ketika menubuhkan parti politik sendiri, manakala Jemima didakwa menjadi sebahagian daripada rancangan Zionis menguasai negara itu.

“Jemima berharap saya tak menyertai politik.

“Sebagai wanita pemalu dan sensitif, tuduhan dilakukan ke atasnya sangat berat,” katanya.

Sejurus selepas itu, Jemima kembali ke Britain bersama Sulaiman dan Kasim untuk membolehkan kanak-kanak itu belajar mengenai Islam moden di universiti.

Jemima dan Imran bercerai pada 2004.

Kata Imran, dia lega kerana kesedihan Jemima berakhir selepas mereka berpisah. - DM
myMetro | Imran derita lepas cerai:

'via Blog this'

Friday, September 9, 2011

Kadar perceraian di Saudi meningkat pada cutiAidilfitri

JEDDAH: Penasihat Keluarga Arab Saudi berkata, jumlah perceraian meningkat selepas sambutan Aidilfitri dan musim cuti sekolah.
Bagaimanapun, ia menolak ia berpunca daripada perkelahian tentang perbelanjaan menyambut perayaan itu.
Penasihat Perkahwinan Muhammad Al-Ahmadi berkata, ada banyak sebab pasangan bercerai dan yang paling utama adalah masalah kedudukan kewangan pasangan.

“Tiada kesepakatan dalam perkara yang kecil juga seperti melawat seudara, melancong ketika cuti Aidilfitiri, juga boleh membawa kepada perceraian,” katanya. -AN

Sunday, August 14, 2011

Chef lelaki mangsa cerai

Isteri marah anak lebih suka masakan bapa untuk bersahur bulan puasa 

KAHERAH: Seorang wanita Mesir mengemukakan permohonan cerai atas alasan bahawa kemahiran memasak suaminya lebih hebat berbanding dirinya sendiri, lapor akhbar Al-Masry Al-Youm.

Media tempatan melaporkan, tragedi perceraian pasangan berkenaan, Mohammed Said dan isterinya, Nahal, berlaku pada awal Ramadan.
Mohammed Said adalah seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di Kaherah, ibu kota Mesir. Beliau dikatakan mengejutkan keluarganya dengan kemahiran memasak apabila mengambil alih tugas dapur daripada isterinya ketika permulaan Ramadan kali ini. 

Atas sebab itu, Nahal memutuskan untuk bercerai dengan suaminya, lebih-lebih lagi selepas dua anak lelakinya mahukan bapa untuk mengambil alih tugas memasak sahur bagi hidangan keluarga. 

Menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, Nahal berasa malu apabila anaknya menganggap dia sebagai seorang tukang masak yang teruk. 

Tidak lama selepas itu, Nahal mengambil keputusan ke mahkamah bagi memohon cerai Khula kerana berasakan dia bukan isteri baik. 
Khula adalah satu fasal berdasarkan undang-undang Islam merujuk kepada hak bagi seseorang wanita untuk mendapatkan perceraian dan menerima nafkah. 

Apabila suaminya dimaklumkan mengenai saman berkenaan, dia menegaskan dirinya tetap mencintai Nahal dan anak serta sekadar mahu membantu isteri apabila pulang ke rumah dari tempat kerja meskipun dalam keadaan letih. 

Bagaimanapun, Nahal yang dikahwininya selama 10 tahun berkata di hadapan pegawai Biro Penyelesaian Pertikaian Keluarga bahawa beliau mahu mengambil alih tugas memasak bagi membolehkan suaminya menumpukan perhatian kepada ibadat sepanjang Ramadan ini. – Agensi , bharian

Friday, August 12, 2011

Joey sah bercerai, nafi angkara orang ketiga



JOEY


KAJANG - Ikatan perkahwinan pelakon dan penyanyi Joey dan isterinya, Noraini Mohammad Nasir terlerai setelah Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam memutuskan lafaz talak yang dibuat lebih setahun lalu itu sebagai sah.
Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira keterangan yang konsisten oleh Joey dan Noraini yang menyatakan lafaz cerai talak satu berlaku pada 4 Jun tahun lalu di kediaman mereka adalah berbentuk syarih (jelas dan nyata).
Abdul Halim berkata, berkenaan isu lafaz rujuk dan mengadakan hubungan kelamin, Noraini mengatakan perkara itu benar-benar berlaku, sebaliknya Joey menafikan.
"Ada pihak yang mendakwa tetapi ada pihak menafikan, bagaimanapun masing-masing tidak menampilkan saksi bagi membuktikan dakwaan tersebut.
"Sehubungan itu, mahkamah mencadangkan kepada Noraini selaku plaintif untuk menawarkan sumpah kepada defendan Joey bagi membuktikan bahawa dakwaan rujuk semula tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya," ujar beliau.
Selain itu, Joey telah bersumpah di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah bagi menafikan dakwaan Noraini bahawa berlakunya lafaz rujuk semula kepada wanita terbabit selepas empat hari lafaz cerai berlaku.-kosmo

Sunday, July 31, 2011

Tak tahan isteri membisu

QATIF: Seorang suami mengambil langkah untuk membatalkan perkahwinannya selepas isteri yang baru dikahwininya enggan bercakap dengannya.
Sebuah akhbar tempatan di Qatif, wilayah timur Arab Saudi melaporkan, si suami mendakwa isterinya tidak menghadapi masalah atau penyakit yang menghalangnya untuk berkomunikasi kerana dia pernah melihat isterinya berbual dengan rakannya.

Dia memujuk isterinya supaya berbual dengannya, lebih-lebih lagi mengenai hal penting berkait dengan keluarga tetapi wanita itu tetap membisu.

Mahkamah yang membicarakan kes itu merujuknya kepada jawatankuasa kaunseling untuk membuat keputusan. - SG
http://www.hmetro.com.my

Tuesday, July 5, 2011

Rai cerai jadi trend di Jepun






MIKI menunjukkan gaun perceraian yang direka khas pada upacara perpisahan dengan Tomoharu.
MIKI menunjukkan gaun perceraian yang direka khas pada upacara perpisahan dengan Tomoharu.


Fenomena selepas gempa, tsunami

TOKYO: Upacara meraikan perceraian semakin meningkat di Jepun selepas gempa bumi kuat dan tsunami melanda negara itu Mac lalu, disusuli krisis nuklear yang dikatakan menjadi penyebab pasangan tidak gembira mula menilai semula kehidupan mereka.
Upacara yang dibuat bagi menandakan permulaan perubahan status pasangan kepada kehidupan solo, menelan belanja 55,000 yen (RM2,072), termasuk hidangan bufet dan upacara menghancurkan cincin perkahwinan menggunakan tukul kecil.
Tomoharu Saito meraikan upacara itu di Tokyo bersama isteri, Miki beberapa hari sebelum mereka dijadual bercerai berkata, upacara memecahkan cincin membuat dia lega.

“Saya tidak sangka dapat menghancurkan cincin dengan mudah, tetapi saya dapat melakukannya. Saya terkejut pada mulanya, tetapi ia membantu saya memulakan hidup baru dengan fikiran terbuka,” katanya.

Upacara itu juga termasuk pembelian ‘pakaian cerai’. Bagi upacara itu, Miki memilih sehelai gaun musim panas berwarna kuning bunga daisy untuk upacara itu. Di Jepun, warna ‘daisy’ dipercayai melambangkan ‘hubungan baik atau platonik’.

“Mereka yang mahu bercerai secara baik akan melakukan upacara ini. Selepas gempa bumi, keinginan saya untuk kembali tinggal bersama ibu bapa semakin kuat dan kerana itu saya memilih untuk bercerai dengan Tomoharu,” katanya.
Rakan pasangan itu, Hiroko Tada hadir pada upacara perkahwinan dan perceraian pasangan Saito.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana bercerai secara baik. Saya tidak pernah membayangkan ia akan berakhir begini kerana saya juga hadir ketika perkahwinan mereka dulu,” katanya.

Pereka pakaian, Akuiue Go berkata, beliau mencipta pakaian yang memberi penekanan kepada bahagian belakang, agar lebih cantik. – Reuters
Berita Harian Online | Rai cerai jadi trend di Jepun

Thursday, June 16, 2011

Saida tetap mahu bercerai

KUALA LUMPUR – Siti Nursaida Tarudin, kakak penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, meminta maaf kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam kerana menolak pelawaan umrah oleh suami dan tetap dengan keputusannya mahu bercerai.
“Saya minta maaf, saya bukan nak hal ini berpanjangan tapi saya juga tidak mahu ia berlaku. Saya tetap dengan keputusan saya (cerai),” kata bekas peserta Akademi Fantasia 6 itu kepada Hakim Syarie Mohd. Suhaily Rosdi.
Saida, 35, selaku plaintif membuat permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 pada 6 Oktober tahun lalu dan menamakan suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Fikri selaku defendan kes.
Terdahulu, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Mohd. Ghazali memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir pada prosiding semalam kerana ibunya baru meninggal dunia pada 4 Jun lalu.
Kosmo! Online - Negara

Elizabeth Hurley sah bercerai


ELIZABETH HURLEY dan Arun Nayar.


LONDON - Rumah tangga aktres dan model Britain, Elizabeth Hurley bersama ahli perniagaan India, Arun Nayar berakhir dengan penceraian semalam.
Perceraian mereka diluluskan Bahagian Keluarga Mahkamah Tinggi London oleh seorang hakim daerah.
Hurley, 46, mengahwini usahawan tekstil itu di Kastil Sudeley, barat daya England pada 2007 diikuti satu upacara perkahwinan mengikut tradisi Hindu yang diadakan di Jodhpur, India.
Hurley pernah bercinta dengan aktor Britain, Hugh Grant selama lebih sedekad dan memiliki seorang anak hasil hubungannya dengan seorang penerbit filem, Steve Bing. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia

Monday, May 30, 2011

Minta pelekat ubat rindu



NOOR...menyesal
NOOR...menyesal


KUALA TERENGGANU: “Dulu saya garang dan suka marah suami tapi selepas diceraikan saya amat menyesal. Kini saya tergila-gilakan bekas suami biarpun dia sudah berkahwin lain.
“Untuk mengubat rindu, saya minta kain pelekat dan tuala bekas suami untuk hidu baunya,” kata seorang janda hanya mahu dikenali sebagai Noor.

Wanita berusia 49 tahun itu mengaku perceraian dengan suaminya dua tahun lalu berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tidak mahu dikongkong dan suka memarahi suami biarpun ketika itu dia bekerja sebagai guru mengaji al-Quran.

Noor berkata, sikapnya itu menyebabkan rumah tangganya sentiasa diselubungi masalah hingga dia nekad meminta cerai daripada suaminya.


“Selepas bercerai, saya hanyut dalam kehidupan melalaikan seperti sering ke pusat karaoke mengubati kekecewaan,” katanya yang dikurniakan lima cahaya mata hasil perkongsian hidup itu.
myMetro | Minta pelekat ubat rindu

Monday, May 16, 2011

Perceraian RM400 juta



Minggu lalu juga menyaksikan terlerainya perkahwinan selama 19 tahun antara anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib dengan Datin Seri Shahnaz A. Majid. Seakan kebetulan, Shahnaz juga mempunyai seorang adik yang melibatkan diri dalam industri seni, iaitu ratu jazz, Datuk Sheila Majid.
Perceraian itu juga pada awalnya mendapat perhatian, ekoran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan oleh Shahnaz, 48, apabila beliau memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh.
Antaranya, Shahnaz mendakwa dirinya telah dikasari secara fizikal dan tidak menerima nafkah batin sejak 11 tahun lalu selain mendakwa suaminya gemar bersosial dan tidak berlaku adil selepas berkahwin dengan seorang wanita Rusia.
Bagaimanapun, sebelum kes fasakh sempat didengar, mahkamah dimaklumkan bahawa Mahmud Abu Bekir ada memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah sama.
Atas persetujuan bersama, Mahmud Abu Bekir, 48, melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Shahnaz pada Rabu di hadapan Ketua Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Abdullah.
Apa yang lebih menarik ialah nilai yang terbabit dalam perceraian itu - RM400 juta - satu nilai yang amat jarang sekali didengar bukan sahaja dalam tahun ini, tetapi dalam dekad ini.
Shahnaz memfailkan permohonan untuk menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian - nilai yang dianggap berpatutan dengan status dan pendapatan Mahmud Abu Bekir.
RM100 juta itu didakwa sebagai satu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan dan jumlah yang adil bagi beliau untuk memulakan kehidupan baru sesuai dengan status dan taraf yang pernah dilaluinya.
RM300 juta pula dituntut agar diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.
Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, Audi, dan Alphard serta simpanan-simpanan bank.
Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.
Kes tersebut akan disebut pada 27 Jun depan untuk melihat sekiranya pasangan itu dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tersebut atau jika tidak, kes itu akan dibicarakan.
Isu perceraian bukanlah satu isu yang besar pada masa kini. Setiap hari ada sahaja pasangan yang bercerai di setiap Mahkamah Rendah Syariah di sekitar negara.
Bagaimanapun, status mereka ini selaku orang kebanyakkan menyebabkan perihal yang menyedihkan itu hanya dikongsi oleh keluarga dan teman rapat sahaja.
Sudah pastilah, tiada siapa yang berminat untuk membaca jika akhbar menyiarkan 'Joyah sah bercerai dengan Ahmad' kerana nasib Joyah tiada bezanya dengan wanita-wanita yang sama menunggu kes mereka dipanggil di mahkamah.
-mstar

Sunday, January 23, 2011

Facebook punca cerai


LONDON: Laman sosial Internet, Facebook didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes perceraian apabila semakin ramai suami atau isteri ditangkap berkelakuan curang dalam laman itu.
Seorang peguam memberitahu akhbar The Sun demikian mengenai bagaimana kes yang diuruskannya sejak sembilan bulan lalu membabitkan Facebook.
Menurutnya, pengguna yang sudah berkahwin terdedah untuk menipu pasangan mereka apabila berkenalan dengan pengguna lain dalam laman sosial itu.

Mesej berbau seks dan gambar kekasih baru selepas perceraian digunakan oleh bekas suami atau isteri dalam prosiding perceraian.


Kini, peguam menasihatkan pasangan yang bertelingkah supaya berhenti menggunakan Facebook dan laman lain seperfti Second Life, Illicit Encounters dan Friends Reunited sehingga prosiding perceraian masing-masing berakhir.

Emma Patel dari Syarikat Guaman Hart Scales & Hodges di Dorking, Surrey berkata, pihaknya menangani 30 kes perceraian sejak Mei lalu dan semuanya membabitkan Facebook.

Katanya: “Suami isteri yang curiga terhadap pasangan masing-masing menggunakan laman itu untuk mengintip dan mencari bukti kelakuan curang pasangan mereka.

“Penemuan bukti itu akan membawa kepada peceraian,” katanya.

Emma juga berkata, beliau sering memberi amaran kepada pasangan yang bertelingkah supaya mengelak daripada menggunakan laman itu selagi kes perceraian mereka belum berakhir. - The Sun

Thursday, December 16, 2010

Liz Hurley dibenar simpan RM63.74 juta


LIZ HURLEY dan Arun Nayar di New York pada 4 Mei 2009 sebelum mereka berpisah.


MUMBAI - Aktres terkenal Hollywood, Liz Hurley yang berusia 45 tahun dibenarkan untuk menyimpan kekayaannya sebanyak AS$20.31 juta (RM63.74 juta) selepas dia berpisah dengan suaminya yang merupakan seorang jutawan tekstil, Arun Nayar, 45, lapor sebuah akhbar semalam.
Hurley dikatakan pernah melawat keluarga Nayar dua bulan lalu bagi memberitahu bahawa perkahwinan mereka sudah berakhir.
Pasangan yang berkahwin pada Mac 2007 itu tidak menandatangani sebarang perjanjian pembahagian harta sebelum berkahwin.
Namun, pasangan itu mengaku telah membuat satu penyelesaian perpisahan.
Mereka berpisah atas sebab-sebab peribadi yang tidak didedahkan.
Menurut laporan media India, Nayar mahu memelihara statusnya dengan tidak mengambil kesempatan daripada perpisahan tersebut.
Hurley turut memuji Nayar kerana menjadi seorang bapa yang baik untuk seorang anak lelakinya, Damian.
"Ini akan menjadi penyelesaian yang bersifat persahabatan kerana tiada pihak yang membayar wang yang banyak kepada pihak lain. Hurley tidak mahukan wang Nayar dan begitulah sebaliknya," kata seorang ahli keluaga Nayar di rumah keluarga mereka di Mumbai, India.

Thursday, June 17, 2010

Sultan Brunei ceraikan Azrinaz talak satu



14/7

GAMBAR fail menunjukkan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kiri) dengan isteri pertamanya, Raja isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (kiri) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2006.

BANDAR SERI BEGAWAN – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan perceraian dengan isterinya dari Malaysia, Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas wartawan penyiaran stesen televisyen TV3 malam semalam di sini.
Sultan Hassanal Bolkiah, 63, yang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia berkahwin dengan Azrinaz pada 2005.
Azrinaz yang berumur 30 tahun melahirkan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.
Berita mengenai perceraian itu diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menerusi pengumuman khas di stesen televisyen Radio Televisyen Brunei pada pukul 8 malam.
Beliau membacakan kata-kata pujian kepada Allah sebelum mengumumkan mengenai berita perceraian itu.
Semasa membuat pengumuman tersebut, beliau lengkap berkot dan bersongkok dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu dengan tenang.
“Maka pada petang Rabu tiga haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 Masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar,” katanya.
Beliau turut mengumumkan semua gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah telah ditarik balik mulai tarikh perceraian.
Pada pengumuman khas itu, beliau menyatakan perceraian itu dilakukan atas sebab-sebab khas tanpa memberikan butiran lanjut.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa perceraian itu dibuat dengan dipandu dan ditentukan dengan hukum syarak dan menepati ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah dari sebahagian ayat 229 iaitu menikahi dengan baik dan melepaskan juga dengan baik.
Pengumuman itu dibuat selepas tersebarnya khabar angin mengenai perpisahan mereka di Bandar Seri Bagawan.
Menurut agensi berita AP, ia merupakan perceraian yang kedua buat Sultan Hassanal Bolkiah yang mempunyai anggaran kekayaan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM65.25 bilion).
Baginda bercerai buat pertama kali dengan seorang bekas pramugari, Mariam Abdul Aziz yang mempunyai darah keturunan Brunei, Jepun dan Scotland pada Februari 2003 selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.
Namun, Sultan Hassanal Bolkiah mengekalkan perkahwinan dengan isteri pertama, Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha yang dikahwininya pada 1967.
Putera sulung baginda, Putera Al-Muhtadee Billah Bolkiah kini merupakan Putera Mahkota dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan.
Sultan Hassanal Bolkiah mula memerintah pada 5 Oktober 1967 selepas ayahanda baginda turun takhta.
Kekayaan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi legenda di kalangan golongan kaya.
Semasa bermain polo dengan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera Charles, kasut baginda untuk bermain polo telah dihantar dengan menggunakan helikopter. – Agensi
kredit : kosmo.com.my