Pages

Showing posts with label makam. Show all posts
Showing posts with label makam. Show all posts

Thursday, July 1, 2010

Makam purba separuh siap dijumpai di Mesir


GAMBAR yang disiarkan oleh Jabatan Antikuiti Mesir semalam menunjukkan Zahi Hawass memasuki terowong yang tidak dapat disiapkan pada zaman Firaun Seti di Luxor.


KAHERAH - Ahli-ahli arkeologi Mesir yang telah menamatkan kerja-kerja ekskavasi di satu terowong purba di Luxor percaya ia dibina untuk menyambungkan makam Firaun berusia 3,300 tahun dengan satu tapak pengebumian rahsia, kata Jabatan Antikuiti Mesir semalam.
Ketua Arkeologi Mesir, Zahi Hawass menyatakan proses ekskavasi terowong sepanjang 174 meter yang terletak di bahagian selatan Lembah Raja-Raja dan berhampiran dengan makam purba Firaun Seti I itu mengambil masa selama tiga tahun untuk dilakukan.
Menurutnya, terowong dan makam rahsia itu tidak dapat disiapkan kerana kematian Firaun Seti I.
Mula ditemui pada tahun 1960, terowong tersebut kini telah dapat dibersihkan daripada timbunan pasir.
Ahli-ahli arkeologi turut menemui patung-patung purba kecil dan serpihan tembikar. - AP

Monday, May 31, 2010

Makam 3,300 tahun ditemui di Mesir




GAMBAR yang disiarkan oleh Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir semalam menunjukkan makam berusia 3,300 tahun di Saqqara dekat Kaherah.


KAHERAH - Sekumpulan arkeologi telah menemui makam berumur 3,300 tahun milik seorang datuk bandar, Ptahmes di Saqqara, selatan Kaherah, kata beberapa pegawai semalam.
Menurut pegawai-pegawai itu, beberapa pemburu harta karun telah mencuri beberapa hiasan di dinding makam berkenaan.
Datuk bandar itu turut menjadi ketua tentera, penyelia perbendaharaan dan jurutulis diraja di bawah pemerintahan Seti I dan anaknya, Ramses II pada abad ke-13 Sebelum Tahun Masihi.
Penemuan itu pada awal tahun ini menyelesaikan misteri makam tersebut pada 1885 apabila sekumpulan ekspedisi asing menemuinya.
Namun, lokasi asalnya tidak diketahui kerana makam tersebut diliputi pasir.
"Sejak ia diliputi pasir, tidak ada seorang pun yang mengetahui mengenainya," kata seorang profesor arkeologi di Universiti Kaherah, Ola el-Aguizy yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi. - AP

Wednesday, May 19, 2010

Makam berusia 2,700 tahun ditemui



Imej yang dikeluarkan oleh Institut kebangsaan Arkeologi dan sejarah Mexico kelmarin merakamkan kerja-kerja penggalian masih dijalankan di dalam sebuah piramid di bandar Chiapa de Corzo di selatan mexico di mana sebuah makam orang kenamaan purba berusia 2,700 tahun ditemui di dalam piramid itu. - AP


MEXICO CITY 18 Mei - Pakar arkeologi di selatan Mexico menemui sebuah makam orang kenamaan purba berusia 2,700 tahun di dalam piramid yang dipercayai antara makam paling tua seumpamanya pernah ditemui di kawasan tamadun purba Mesoamerika.
Makam itu menempatkan mayat seorang lelaki berusia sekitar 50-an yang dikebumikan bersama-sama relang daripada batu jed serta artifak dan bekas tembikar daripada bahan galian pirit dan obsidian.
Pakar arkeologi, Emiliano Gallaga semalam berkata, makam itu dipercayai wujud antara 500 hingga 700 tahun sebelum Masihi.
"Kami berpendapat penemuan ini adalah antara yang paling awal menunjukkan penggunaan piramid sebagai makam, bukan sekadar sebagai tapak keagamaan atau kuil," kata Gallaga.
Budaya pra-Hispanik membina piramid terutamanya sebagai melambangkan tahap kehidupan dari bawah paras bumi sehinggalah ke paras langit iaitu tempat tertinggi yang selalunya menempatkan sebuah kuil.
Makam itu ditemui di sebuah tapak yang dibina oleh kaum asli Zoque di Chiapa de Corzo, negeri Chiapas di selatan Mexico.
Ia dipercayai hampir 1,000 tahun lebih tua daripada makam piramid yang lebih terkenal iaitu makam pemimpin Maya, Pakal di tapak arkeologi Palenque, juga di negeri Chiapas.
Mayat lelaki tersebut, dipercayai seorang paderi tertinggi atau pemimpin Chiapa de Corzo, dikebumikan di dalam makam batu.
Tanda-tanda pada dinding menunjukkan topang-topang kayu digunakan untuk membina makam tersebut tetapi ia telah lama roboh disebabkan berat piramid yang dibina di atasnya.
Pakar arkeologi mula mengorek tanah piramid itu pada April lalu untuk mengkaji struktur dalamannya apabila mereka menemui dinding yang batu kemasannya kelihatan menghadap ke dalam.
Semasa kerja menggali pada minggu lepas, mereka menemui ruang makam berukuran empat kali tiga meter, kira-kira tujuh meter di bawah paras kemuncak piramid. - AP