Pages

Showing posts with label rampas. Show all posts
Showing posts with label rampas. Show all posts

Wednesday, September 5, 2012

Tradisi merampas pengantin perempuan di Romania




DUA penculik yang berpakaian Taliban bergambar bersama seorang pengantin perempuan di Arch of Triump, Bucharest pada Ahad lalu.





SEORANG pengantin perempuan berjalan menaiki sebuah limousin dengan seorang lelaki yang memegang senjata palsu berdiri di pintu kenderaan itu pada 26 Ogos lalu.



BUCHAREST, Romania - Tradisi merampas pengantin perempuan dari majlis perkahwinan untuk dijadikan tebusan semakin mendapat sambutan pada setiap Sabtu di sini.
Tradisi tersebut melibatkan pengantin perempuan dibawa lari oleh rakan-rakannya menuju ke monumen Arch of Triumph yang menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Pengantin perempuan itu dan penculik-penculiknya menari dan bergaya seksi di hadapan kamera.
Wang tebusan untuk kes penculikan olok-olok itu merupakan beberapa botol arak atau sesuatu yang dianggap lebih romantik seperti deklarasi cinta di tempat awam oleh pengantin lelaki.
Seorang pengantin perempuan berusia 25 tahun, Alisar Dragne berkata, penculikannya dirancang dengan teliti.
"Semuanya dirancang rapi. Sebuah kereta limousin menunggu untuk membawa saya di hadapan sebuah restoran di sini. Saya diberikan isyarat supaya meninggalkan pengantin lelaki dan kami pergi ke Arch of Triumph untuk berseronok," kata Dragne.
Menurutnya, tradisi tersebut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan.
Di Romania, ia bermula beberapa tahun lalu apabila seorang bintang bola sepak tempatan menyewa Arch of Triumph untuk melamar teman wanitanya.
Sejak itu, pelbagai taktik digunakan untuk menjadikan majlis perkahwinan di negara berkenaan lebih meriah termasuk perbuatan menculik pengantin perempuan.
Pada Sabtu lalu, kira-kira 20 pengantin perempuan menjadi tebusan di monumen tersebut yang dibina pada tahun 1922 bagi memperingati askar-askar Romania yang mati ketika Perang Dunia Pertama.
Seorang pengantin perempuan dibawa dengan kereta dari majlis perkahwinannya di sebuah bandar yang terletak sejam dari timur Bucharest.
Seorang lagi pengantin perempuan memegang senjata palsu yang dirampas daripada penculiknya dan berpura-pura untuk menembak di monumen tersebut.
Para penculiknya pula memakai pakaian jubah seperti anggota Taliban di Afghanistan.
Para pengguna kenderaan membunyikan hon, melambaikan tangan dan bersorak ke arah kumpulan pengantin tersebut.
Pihak berkuasa hanya menutup mata dengan tidak mengambil tindakan terhadap parti yang diadakan di monumen tersebut.
Mengadakan parti di monumen tersebut sebenarnya dilarang kerana ia merupakan tempat yang bersejarah. - AP

Tuesday, March 1, 2011

Semua aset Hosni Mubarak dirampas






KAHERAH - Pihak pendakwa raya Mesir merampas semua aset bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dan keluarganya semalam.
Keluarga bekas pemimpin itu juga dilarang untuk pergi ke luar negara.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.
Beberapa laporan yang tidak disahkan menyatakan bahawa Hosni dan keluarganya mungkin mempunyai aset berjumlah berbilion-bilion dolar.
Pada 20 Februari lalu, peguam negara Mesir sudah membekukan semua aset milik Hosni, isteri, dua anak mereka dan isteri masing-masing.
Mesir kini diperintah sebuah majlis ketenteraan.
Hampir 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan memperoleh pendapatan di bawah AS$2 sehari (RM6.10).
Hosni didakwa cuba untuk menutup matanya berhubung gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan keluarganya.
Beliau memimpin Mesir hampir 29 tahun selepas Anwar Sadat mati ditembak oleh militan Islam. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Saturday, January 22, 2011

Rampas semula kapal MT Bunga Laurel





KOMANDO TLDM (Paskal) mengawasi tujuh lanun Somalia yang ditahan selepas menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel daripada tawanan kumpulan lanun itu di perairan Teluk Aden, timur Oman, kelmarin.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman, semalam.
Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam tadi, kapal dagang yang disewa MISC Berhad itu telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan senapang jenis AK-47 dan pistol.
Kumpulan lanun itu menaiki sampan yang diturunkan dari sebuah kapal induk membawa seramai 18 lanun untuk menyerang kapal dagang berkenaan yang membawa muatan minyak pelincir dan bahan kimia jenis ‘ethylene dichloride’ dari Asia Barat ke Singapura.
Seramai 23 krew kapal MT Bunga Laurel berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam misi menyelamat yang dilancarkan Pasukan Perlindungan Khas ATM itu.
Dalam kejadian itu juga, kesemua tujuh lanun berkenaan berjaya ditahan manakala tiga daripadanya cedera ketika berbalas tembakan dengan tentera ATM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan di sini hari ini, rampasan itu berlaku selepas dua jam kapal MT Bunga Laurel dipisahkan di perairan selamat setelah diiringi Bunga Mas 5.
“Krew kapal MT Bunga Laurel sempat mengaktifkan sistem penggera keselamatan kapal sebelum bersembunyi di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.
“Bertindak daripada panggilan kecemasan itu, kapal Bunga Mas 5 yang berada 14 batu nautika (25.9 kilometer) dari MT Bunga Laurel bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu,” katanya.
Dalam operasi tersebut, sebuah helikopter jenis Fennec TLDM yang dilancarkan kapal bantuan Bunga Mas 5 melepaskan tembakan dari udara.
Menurut kenyataan itu lagi, tembakan tepat ke arah kapal induk lanun itu berjaya menghalangnya daripada memberi bantuan kepada kumpulan lanun yang berada atas kapal MT Bunga Laurel.
“Pasukan Perlindungan Khas ATM kemudian melancarkan operasi menggempur lanun itu pada pukul 1.20 pagi dan selepas berbalas tembakan, kesemua lanun itu berjaya ditahan manakala anak kapal itu diselamatkan,” jelas kenyataan itu.
Operasi Fajar yang bermula Julai tahun lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC 2008, memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, ATM dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.
Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.
Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan, sebanyak 32 buah kapal dagang masih ditawan lanun di perairan Teluk Aden walaupun pelbagai usaha di peringkat antarabangsa dilakukan untuk menangani kegiatan lanun di perairan Teluk Aden itu.
Sementara itu, jurucakap TLDM ketika dihubungi memberitahu, semua 32 kapal yang ditawan lanun itu tidak melibatkan kapal dagang dari Malaysia.
Jurucakap itu berkata, kesemua 23 anak kapal Bunga Laurel termasuk beberapa warga Filipina yang diselamatkan tidak mengalami kecederaan dan akan dibawa pulang tidak lama lagi.
-utusan