Pages

Showing posts with label buta. Show all posts
Showing posts with label buta. Show all posts

Tuesday, August 2, 2011

Buta akibat bisul lambat dirawat



MATA kanan Nur Natashah buta akibat bisul.


GOMBAK – Seorang kanak-kanak, Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin, 6, yang pada mulanya hanya didakwa mengalami bengkak akibat gigitan nyamuk mengalami nasib malang apabila mata kanannya kini buta.
Ibu kanak-kanak itu, Nurul Huda Ahmad, 28, berkata, keadaan bengkak pada mata Nur Natashah pada mulanya dikesan ketika dia berusia dua tahun tiga bulan iaitu pada tahun 2008.
Selepas bengkak tersebut semakin membesar, anaknya dibawa ke Hospital Selayang pada 12 Mac 2008 untuk menjalani rawatan namun, Bahagian Kecemasan di hospital tersebut memberitahu, bengkak yang berlaku berpunca daripada kesan gigitan nyamuk.
“Mereka kata tiada apa yang harus dirisaukan walaupun ketika itu anak saya meronta-ronta kesakitan,” ujarnya kepada Kosmo! di rumahnya di Selayang Baru di sini semalam.
Bagaimanapun, pada petang hari yang sama, Nurul Huda datang semula ke Hospital Selayang membawa anaknya kesakitan tetapi dia masih dimaklumkan perkara yang sama.
“Tidak puas hati dengan alasan gigitan nyamuk yang diberi doktor di Hospital Selayang saya kemudian membawa anak saya ke sebuah klinik di Selayang dua hari kemudian dan doktor di klinik itu mengesahkan bahawa ia bisul dan memberi surat rujukan ke Hospital Selayang untuk membuat pembedahan membuang nanah,” ujarnya.
Menurut Nurul Huda, ketika itu, mata anaknya sudah tersembul keluar dan keadaan di sekeliling matanya juga membengkak.

Monday, August 1, 2011

Lelaki kena mercun buta

AHMAD JAZIMIN selepas menerima rawatan di PPUM, semalam.
AHMAD JAZIMIN selepas menerima rawatan di PPUM, semalam.

 

Mata dimasuki serpihan letupan ketika sokong Harimau Malaya
PETALING JAYA: Seorang peniaga yang bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton.
Mangsa, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang mengusahakan perniagaan mencetak kad kahwin di Bangi, pecah bola mata kanannya dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, sejak malam Khamis lalu.
Lebih menyedihkan, akibat kejadian itu, mangsa juga tidak dapat menemani isterinya, Nur Hardyawati Ismail, 28, yang dimasukkan ke wad bersalin hospital sama, pagi semalam, untuk menimang cahaya mata pertama mereka.

Ahmad Jazimin berkata, kejadian berlaku jam 8.40 malam, sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan apabila beliau yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

“Saya kemudian merasakan sesuatu keluar dari kelopak mata kanan dan apabila dipegang, saya melihat darah pada tangan selain lendir berwarna putih sebelum dipapah keluar stadium oleh dua rakan.

“Dalam keadaan kesakitan, dua rakan memapah saya keluar dari stadium di celah-celah orang ramai sebelum ternampak sebuah ambulans di pekarangan stadium dan saya dibawa ke PPUM untuk rawatan,” katanya yang ditemani ibu, Surakiah Mamat, 63, ketika ditemui di PPUM, semalam.
Ahmad Jazimin yang juga ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menjalani pembedahan hampir lima jam mulai jam 4 pagi, Jumaat lalu, namun doktor mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan.

Difahamkan, beliau masih diberikan rawatan rapi bagi mengelak jangkitan kuman yang boleh menyebabkan saraf matanya rosak.

Bagaimanapun, Ahmad Jazimin tetap bersemangat dan tidak serik ke stadium untuk menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan selepas ini, tetapi berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan stadium mengambil langkah pencegahan lebih ketat bagi mengelak kejadian menimpanya berulang.

“Saya sedih memikirkan nasib keluarga kerana punca pendapatan bergantung kepada perniagaan yang saya jalankan. Malah, saya terkilan kerana tidak dapat menemani isteri yang akan melahirkan cahaya mata pertama kami pada bila-bila masa,” katanya.

Rakannya, Mohd Azhari Ariffin, 29, berkata beliau kesal kerana aspek keselamatan tidak dititikberatkan pada perlawanan itu memandangkan ketika masuk ke dalam stadium, anggota keselamatan yang mengawal pintu masuk tidak membuat pemeriksaan rapi, sebaliknya hanya bertanya sama ada beliau membawa pemetik api.

Beliau membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa Ahmad Jazimin di Balai Polis Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Ali Hanafiah Mohamed, berkata pihaknya akan menyediakan khidmat guaman bagi membolehkan Ahmad Jazimin menyaman pihak berkaitan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
http://www.bharian.com.my

Monday, May 30, 2011

Koma, buta


KOMA...Khairul Zaman melecur teruk hingga paras pinggang.
KOMA...Khairul Zaman melecur teruk hingga paras pinggang.


JOHOR BAHRU: “Mereka yang melakukan ini dayus. Akibatnya suami saya bukan saja melecur hampir keseluruhan muka dan badan hingga ke paras pinggang, malah cacat penglihatan seumur hidup,” kata isteri kepada mangsa simbahan asid, Zaiton Aris, 50, semalam.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, akibat perbuatan itu suaminya, seorang pemandu teksi, Khairul Zaman Jaiman, 47, bertarung nyawa di Wad Rawatan Kebakaran di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Menceritakan insiden menyayatkan hati itu, Zaiton berkata, kejadian pada jam kira-kira 12 tengah hari, 5 Mei lalu apabila teksi suaminya ditahan dua lelaki menaiki Proton Saga warna putih di Jalan Sena di Taman Rinting, di sini, iaitu satu kilometer dari kediaman mereka.

“Saya difahamkan, dia memberhentikan kenderaan apabila dua lelaki mahu bertanya arah. Apabila suami menurunkan cermin kenderaan, seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka suami.


“Suami meraung kesakitan sambil meminta tolong sebelum orang awam yang berada di lokasi menyiram air dan menghantarnya ke hospital,” katanya.
myMetro | Koma, buta

Saturday, May 28, 2011

Mata murid buta dicucuk pensel



Mohd. Saiful menunjukkan mata kanannya yang buta akibat dibuli.


TELUK INTAN - Masa depan seorang murid lelaki Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam dekat sini kabur apabila mata kanannya dikhuatiri buta akibat dicucuk dengan pensel mekanikal oleh rakan sekelasnya kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohd. Saiful Nizam, 10, mendakwa dia dibuli sekumpulan rakan sekelasnya sebelum mata kanannya dicucuk dengan pensel.
Menceritakan semula kejadian itu, Mohd. Saiful yang merupakan seorang pendiam berkata, sebelum kejadian dia yang berjalan menuju ke kelas selepas tamat waktu rehat sesi pagi ditahan sekumpulan rakan.
"Mereka minta saya melakukan sesuatu tetapi saya tidak mahu dan terus masuk ke dalam kelas.
"Semasa berada dalam kelas, mereka pegang tangan dan kaki saya sementara salah seorang daripada mereka ambil pensel mekanikal dan cucuk mata saya," katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.
Mohd. Saiful mendakwa, selepas kejadian itu dia mengerang kesakitan sebelum dibawa ke hospital oleh guru sekolah tersebut.
Dakwa kanak-kanak itu, dia pernah dibuli oleh rakan-rakan sekolahnya sebelum ini tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut dibelasah.
Difahamkan, sebelum ini, kumpulan pelajar tersebut pernah mengajak Mohd. Saiful menyertai geng mereka tetapi kanak-kanak itu enggan berbuat demikian.
Kosmo! Online - Negara

Tuesday, April 5, 2011

Banyak lemak punca buta


LONDON: Mengumpul lemak ketika usia pertengahan mungkin meningkatkan risiko seseorang lelaki menjadi buta pada penghujung usianya.


Pembesaran bahagian pinggang meletakkan lelaki dalam bahaya mendapat pemerosotan makula (AMD) berkaitan usia, punca utama kehilangan penglihatan, kata penyelidik.
Peningkatan kecil dalam saiz pinggang sekali pun dilihat menambah risiko AMD sehingga 75 peratus. Namun wanita jelas tidak terjejas, berikutan kehadiran hormon estrogen.
Lemak perut mengeluarkan estrogen ke dalam badan dan kajian haiwan menyatakan hormon itu boleh menyebabkan pembengkakan dalam salur darah pada bahagian belakang mata.

Wanita memiliki paras tinggi estrogen sepanjang hayat mereka dan kelihatan kurang sensitif terhadap kesannya, lapor akhbar Daily Mail.

Penyelidik di Universiti Melbourne memantau perubahan pada bahagian pinggang lebih 21,000 lelaki dan wanita berusia antara 40 dan 69 tahun selama beberapa tahun bagi mengesan jumlah mendapat AMD.

“Kajian kami menggariskan pentingnya obesiti abdomen sebagai faktor risiko AMD,” kata saintis, menurut kenyataan Melbourne.
Hasilnya menunjukkan walaupun perubahan kecil dalam kadar pinggang/peha lelaki, ukuran pinggangnya berbanding peha, menjurus kepada peningkatan mendadak risiko AMD. – Agensi
Berita Harian Online | Banyak lemak punca buta

Thursday, December 16, 2010

Budak buta dapat lihat semula



IZABELLA duduk dekat ibu dan bapanya.


PULAU HAYLING, Britain - Keajaiban berlaku terhadap seorang budak perempuan berusia empat tahun di Britain, Izabelle Evans kerana dia dapat melihat semula selepas matanya buta sejak dilahirkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Izabelle kini dapat melihat objek dalam lingkungan beberapa meter setelah dia menjalani rawatan sel stem di China.
Ibu-bapanya, James Evans dan Hollie McHugh berkata, mereka amat berpuas hati dengan rawatan melibatkan kos £50,000 (RM245,917) itu terutamanya apabila Izabelle merenung ke dalam mata mereka dan memanggil: 'Ayah' dan 'Ibu'.
"Jika anda melintas di hadapannya, dia akan menyapa anda. Rawatan itu menakjubkan kerana sebelum ini, doktor-doktor yang kami temui di sini memberitahu bahawa anak saya buta sepenuhnya," kata Hollie.
Izabelle buta akibat penyakit ganjil Optic Displasia yang menyebabkan dia cuma memiliki beberapa ratus daripada jutaan saraf optik yang diperlukan oleh deria penglihatan.
Namun, dia pulih selepas mendapat suntikan sel stem daripada uri bayi yang digunakan untuk membina semula saraf-sarafnya.
Budak itu mendapat rawatan di Hospital Rakyat Chenyang, Qingdao di China hampir sebulan. - Agensi

Tuesday, November 16, 2010

Kuda padi teman gadis buta


MONA RAMOUNI keluar dari sebuah bas bersama dengan kuda padi miliknya di Lansing.


LANSING, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita Muslim yang buta, Mona Ramouni berusia 28 tahun menggunakan seekor kuda padi untuk membimbingnya berjalan kaki ke tempat belajarnya, Universiti State Michigan di sini.
Dia yang belajar jurusan psikologi di universiti tersebut membeli kuda yang sudah dilatih untuk membimbing orang buta itu dengan menggunakan wang simpanan daripada pendapatannya sebagai seorang pekerja di sebuah syarikat tulisan untuk orang buta selama tiga tahun.
Mona mengetahui mengenai kuda padi yang digunakan untuk orang buta itu menerusi satu laman web pada April 2008.
Menurut Mona, kuda itu yang diberi nama Cali telah memberikan keyakinan kepadanya selepas dia berputus asa untuk berjalan kerana ketiadaan seseorang untuk membimbingnya.
Gadis itu dilahirkan tidak cukup bulan semasa masih bayi dan dia menjadi buta sejurus dilahirkan.
Kuda itu membimbing Mona keluar dari bas dan berjalan memasuki kelas di universitinya. - Agensi

Monday, November 15, 2010

Kuda jadi pembantu wanita buta

 

MICHIGAN - Seorang pelajar buta beragama Islam, Mona Ramouni membeli seekor kuda yang berfungsi sebagai pemandu arah bagi membantunya dalam kehidupan seharian. 

Mona, 28, pelajar bidang psikologi menggunakan hasil pendapatannya sepanjang bekerja di sebuah syarikat penerbitan tulisan Braille selama tiga tahun untuk membeli kuda itu. 

Menurut Mona, kuda kecil berusia tiga tahun yang diberi nama Cali itu mempunyai ketinggian 76 sentimeter dan telah dilatih untuk membantunya keluar dari kenderaan dan berjalan di kawasan sesak. 

"Kuda ini adalah seekor haiwan yang sangat istimewa. Saya berharap dapat membawanya ke tempat-tempat yang tidak mungkin kami dapat pergi tanpa satu sama lain," katanya.

Saturday, November 13, 2010

Jadi buta selama 10 minggu


GAMBAR menunjukkan Becky bersama ibunya.


DENTON - Seorang budak perempuan berusia 11 tahun di Britain, Becky Cranmer mengejutkan doktor-doktor selepas dia hilang penglihatan dalam masa cuma 10 minggu, lapor sebuah akhbar semalam
Becky disahkan menghidap penyakit radang saraf optik dikenali sebagai neuritis optik.
Penyakit ganjil itu biasanya sembuh selepas pesakit diberikan steroid tetapi ubat tersebut tidak berkesan buat Becky.
Dia buta selama 10 minggu enam bulan lalu ketika dia berkelah bersama keluarganya semasa cuti musim panas yang lepas.
"Ketika itu, kami pergi bercuti dengan menaiki karavan dan dia (Becky) berulang kali meminta kami membuka lampu, pada hal, cuaca di luar karavan adalah cerah," kata ibunya, Angela Cranmer, 40.
Ibunya kemudian membawanya menjalani pelbagai ujian perubatan, tetapi doktor-doktor gagal mencari punca penyakit tersebut kerana matanya yang bengkak
Menurut ibunya, ketika itu, dia diberitahu oleh beberapa doktor bahawa Becky akan dapat melihat kembali jika saraf optiknya tidak rosak.
Dia kemudian dapat melihat semula selepas beberapa minggu dia mengunjungi hospital tersebut. - Agensi

Friday, April 30, 2010

Budak buta guna bahasa gema



JAMIE ASPLAND


KENT - Walaupun buta sejak lahir, seorang budak lelaki di Britain berusia empat tahun, Jamie Aspland mampu berjalan tanpa bantuan sesiapa dengan mempelajari bahasa ikan lumba-lumba, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia mengguna teknikFlashSonar atau kaedah pengesanan gema seperti ikan lumba-lumba dengan mulut mengeluarkan bunyi berdetap nada tinggi bagi menjejaki pantulan semula dari permukaan objek sebagai panduan kedudukan.
Teknik itu dimajukan oleh seorang lelaki buta Amerika Syarikat (AS), Dabiel Kish yang juga Presiden Akses Dunia Bagi Orang Buta.
Kaedah itu membolehkan orang buta mengesan sebarang objek yang berada pada jarak 100 meter.
Ibunya, Deborah Aspland, 39, terkejut apabila mendapati anaknya sudah mampu berjalan tanpa berlanggar sebarang objek selepas mempelajari teknik itu.
"Dia telah berjaya untuk berjalan di tangga tanpa bantuan saya. Ia amat menakjubkan kerana saya dulu agak cemas apabila melihatnya bergerak ke arah pagar sebelum dia berpusing apabila menyedari ada objek di depannya," kata Deborah. - Agensi