Pages

Showing posts with label Rohingya. Show all posts
Showing posts with label Rohingya. Show all posts

Thursday, November 1, 2012

Bangladesh usir pelarian Rohingya



Rohingya
Kira-kira 27 pelarian Rohingya diusir kelmarin, semasa mereka cuba menyeberangi sempadan Rakhine. Foto: Reuters
DHAKA - Pengawal sempadan Bangladesh bertindak mengusir lebih 160 penduduk Islam Rohingya yang cuba menyeberangi sempadan untuk memasuki daerah Ukhia yang terletak bersempadan dengan Rakhine.

Komander Mohammad Khalequzzaman memberitahu jumlah pelarian Rohingya yang mahu mendapatkan perlindungan di sempadan negara itu meningkat sejak keganasan terbaru tercetus di Rakhine pada 21 Oktober lalu.

"Kumpulan terdiri daripada enam hingga 10 orang tersebut tiba secara tiga peringkat dan sebahagian daripada mereka adalah wanita serta kanak-kanak.

"Kami terpaksa mengarahkan mereka berpatah balik selepas memberikan sedikit makanan," katanya. Semasa keganasan etnik yang tercetus pada Jun lalu, pasukan peronda tempatan pernah mengusir sekurang-kurangnya 16 bot yang membawa pelarian Rohingya.

Tindakan itu dikecam kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun Dhaka menegaskan mereka tidak boleh lagi menerima kumpulan pelarian untuk mengelakkan kesesakan.

Difahamkan, pada masa ini terdapat kira-kira 300,000 penduduk Rohingya yang menetap di tenggara negara tersebut. - AFP

Monday, August 13, 2012

Protes sokong Rohingya tukar ganas

MAKASSAR, Sulawesi Selatan 11 Ogos - Satu perarakan yang dianjurkan oleh Barisan Pertahanan Islam (FPI) bagi membantah pembunuhan etnik Islam Rohingya di Myanmar, bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak menyerang dua kuil Buddha di sini, semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan FPI itu memulakan perarakan selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al-Markaz Al-Islami, dengan membentuk konvoi dan berarak di beberapa jalan utama di bandar ini.
Di Jalan Sulawesi, kumpulan terbabit berhenti dan bertindak melemparkan batu ke arah Kuil Kwang Kong dan beberapa penunjuk perasaan mengetuk pintu rumah ibadat berkenaan dengan kayu.
Kumpulan demonstrasi itu kemudiannya membaling batu ke arah Kuil Xian Ma yang merupakan pejabat sekretariat Majlis Komuniti Buddha (Walubi) cawangan Sulawesi Selatan.
Anggota polis berjaya menghentikan kekecohan dengan mengadakan pertemuan antara penunjuk perasaan FPI dan ketua cawangan Walubi, Yongris.
Yongris menjelaskan kepada FPI bahawa beliau kesal dengan isu pembunuhan Islam Rohingya, yang turut didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar.
Beliau meminta penunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa Myanmar menghentikan kezaliman berkenaan.
"Kami kesal dengan pembunuhan yang berlaku di Myanmar dan kami tidak akan menerima sebarang bentuk keganasan yang dilakukan," katanya.
FPI turut menuntut kerajaan Indonesia memutuskan hubungan dua hala dengan Myanmar sekiranya pihak berkuasa negara itu gagal menghentikan konflik tersebut. - AGENSI

Saturday, July 28, 2012

PBB mahu inkuiri bebas siasat isu Rohingya





WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Julai 2012
PBB mahu inkuiri bebas siasat isu Rohingya
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay
PBB mahu inkuiri bebas siasat isu Rohingya
Penduduk tempatan di Sittwe, Rakhine berpusu-pusu mendapatkan bekalan air di sebalik konflik kaum sejak Mei lalu. - Foto ihsan
NEW YORK - Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay mahu satu siasatan bebas diadakan ekoran dakwaan penganiayaan oleh pasukan keselamatan Myanmar di negeri Rakhine, menyasarkan etnik Islam.

Navi berkata, pasukan keselamatan yang dihantar ke negeri utara itu didakwa menyasarkan penduduk beragama Islam.

Menurut UNCHR, agensi pelarian PBB, sekitar 80,000 orang telah hilang tempat tinggal ekoran keganasan antara kaum di wilayah tersebut.

Keganasan terbaru di negeri  Rakhine bermula Mei lalu apabila seorang wanita etnik Rakhine, yang beragama Buddha, didakwa telah dirogol dan dibunuh oleh tiga orang beragama Islam.

Ia disusuli dengan letupan bom yang membunuh 10 orang Muslim pada 3 Jun lalu.

Sejak itu, seramai 78 orang telah terbunuh tetapi anggaran tidak rasmi menunjukkan angka kematian kemungkinan lebih tinggi.

"Kami terus-menerus menerima laporan daripada sumber-sumber bebas yang mendakwa berkenaan dengan aspek diskriminasi dan respons arbitari pihak pasukan keselamatan," kata Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia PBB ini.

"Laporan menunjukkan bahawa respons segera awal pihak berkuasa ke atas keganasan kaum kemungkinan telah berubah menjadi tindakan yang sasarkan kaum Muslim khususnya anggota komuniti Rohingya," katanya lagi.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan duta PBB akses ke negeri Rakhine minggu depan untuk membuat penilaian.

"Bagaimanapun ia bukan satu usaha mengadakan siasatan bebas," katanya lagi.

Friday, July 27, 2012

Taliban Pakistan mahu pertahan Rohingya

Islamabad: Pergerakan Taliban Pakistan semalam mengancam untuk menyerang Myanmar bagi membalas dendam jenayah yang dilakukan terhadap penduduk Islam Rohingya. 

Pada masa sama, ia juga mendesak kerajaan Pakistan memutuskan hubungan dengan kerajaan Myanmar selain menutup kedutaannya di sini sebagai syarat tidak meneruskan niatnya itu.

Dalam satu kenyataan mengenai nasib penduduk Islam di luar negara yang jarang disuarakannya sehingga hari ini, kumpulan Tehreek-e-Taliban (TTP) cuba menunjukkan diri mereka sebagai pembela wanita dan lelaki Islam di Myanmar. 
“Kami akan balas dendam terhadap kematian anda,” menurut kenyataan pergerakan itu. Sehubungan itu, jurucakap TTP. Ehsanullah Ehsan menuntut kerajaan Pakistan menamatkan semua hubungan dengan Myanmar dan menutup kedutaannya di Islamabad. 

Ancam serangan 

“Jika tidak, kami bukan hanya akan menyerang kepentingan Burma di mana-mana saja tetapi juga akan menyerang rakan Burma mereka di Pakistan satu persatu,” katanya dalam kenyataan itu lagi. 

TTP sering kali mendakwa bertanggungjawab atas serangan terhadap pasukan keselamatan di Pakistan tetapi keupayaan mereka untuk melancarkan keganasan di luar negara itu diragui. 
Tetapi, pegawai Amerika Syarikat berkata, ada bukti bahawa kumpulan terbabit adalah dalang dalam satu cubaan serangan di Times Square di New York yang menemui kegagalan pada 2010 apabila seorang warga Amerika berketurunan Pakistan, Faisal Shahzad dipenjarakan seumur hidup. 

Pemimpin TTP, Hakimullah Mehsud juga didakwa di Amerika berhubung pembunuhan tujuh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mati apabila seorang ejen al-Qaeda dari Jordan meletupkan bom di sebuah pangkalan tentera Amerika di Af- 
ghanistan pada Disember 2009. 

Pertempuran yang meletus baru-baru ini di bahagian barat Myanmar antara etnik Buddha Rakhine dan penduduk Islam Rohingya menyebabkan 78 maut dan berpuluh ribu lagi hilang tempat tinggal. 

Dianggarkan 800,000 etnik Rohingya tinggal di Myanmar pada masa ini. 
AFP

Friday, July 13, 2012

Myanmar tolak etnik Rohingya



Gambar fail bertarikh 13 Jun lalu merakamkan beberapa orang wanita dan kanak-kanak Rohingya menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Naf ke Bangladesh bagi melarikan diri dari keganasan etnik di Rakhine,, barat Myanmar. - AFP

YANGON 12 Julai - Presiden Myanmar, Thein Sein hari ini memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penyelesaian kepada konflik agama di negeri Rakhine adalah hanya dengan menghantar etnik Rohingya beragama Islam ke khemah-khemah pelarian atau mengusir mereka.


Laman web rasmi Presiden Myanmar melaporkan Thein Sein berkata, Myanmar akan bertanggungjawab terhadap kepada rakyatnya, tetapi tidak akan menerima etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara haram.


Beliau berkata, krisis itu hanya boleh diselesaikan melalui satu pendekatan iaitu menghantar etnik Rohingya yang berjumlah kira-kira 800,000 di Myanmar dan dianggap golongan minoriti paling ditindas, ke khemah pelarian yang diselia Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).


"Kami akan menghantar etnik Rohingya ke mana-mana negara dunia ketiga yang mahu menerima mereka,'' katanya kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Guterres.


Beliau berkata, ia merupakan penyelesaian kepada konflik etnik dan agama di Rakhine yang difikirkan oleh pihaknya.


Keganasan etnik dan agama melanda Rakhine antara etnik Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohingya pada Jun lalu, memaksa berpuluh ribu orang meninggal kediaman mereka bagi menyelamatkan diri.


PBB berkata, diskriminasi sejak berdekad-dekad lalu menyebabkan etnik Rohingya tidak dianggap sebagai rakyat Myanmar dengan kerajaan dilapor mengehadkan pergerakan serta tidak membenarkan kumpulan itu memiliki tanah, pendidikan dan menikmati perkhidmatan lain.


Menurut UNHCR, kira-kira satu juta etnik Rohingya dipercayai tinggal di luar Myanmar, namun mereka tidak diterima oleh mana-mana negara dunia ketiga.


Bangladesh telah mengusir bot-bot membawa etnik tersebut sejak keganasan tercetus di Rakhine.


Jurucakap UNHCR Asia, Kitty McKinsey berkata, pada asasnya, Myanmar tidak menganggap penduduk Islam di utara Rakhine sebagai warganegara mereka.


"Kami merasakan penyelesaiannya adalah memberikan mereka status kewarganegaraan Myanmar,'' ujarnya. - AFP

Tuesday, October 19, 2010

Masa depan generasi Rohingya






DENGAN tangan kiri yang berbalut dan langkah longlai, seorang wanita yang berumur dalam lingkungan umur 40-an membawa sepinggan nasi kosong. Nasi itu putih dan berkilat. Tiada langsung lauk-pauk yang melengkap hidangan.
Di ruang tamu rumah sewanya yang agak bersepah, beberapa orang kanak-kanak menunggu untuk menikmati menu makan tengah hari.
Sambil menggaul nasi tersebut, tangannya pantas menyuakan makanan itu kepada seorang anak kecil yang sedang menangis.
Walaupun pada mulanya kanak-kanak terbabit enggan membuka mulut, namun nasi putih kosong itulah yang menjadi santapannya.
Mungkin kerana lapar, anak kecil yang langsung tidak mengetahui corak kehidupan yang dilaluinya itu menerima apa sahaja yang disuapkan si ibu.
“Tengoklah, itu sahaja makanan yang ada di rumah ini. Nasi kosong yang digaul dengan minyak dan sedikit garam. Jadilah buat alas perut mereka,” ujar Faridah Fazal Ahmad, 36, salah seorang wanita Rohingya pelarian Myanmar yang fasih berbahasa Melayu dan menetap di rumah usang tersebut.
Ditanya mengapa tangan wanita itu berbalut, Faridah dengan wajah yang sayu berkata, ia disebabkan rutin mengetuk besi buruk untuk dijual bagi menampung kehidupan.
Itu sebahagian insiden yang menyentuh hati apabila menyaksikan kedaifan komuniti pelarian Rohingya Muslim di sekitar kawasan Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.
Jika dilihat mengenai berita-berita yang merakamkan kesengsaraan etnik yang tertindas dan dinafikan hak-hak politik, sosial dan budaya oleh pemerintah junta di Myanmar itu, sudah terlalu banyak untuk dihitung.
Namun, isu sejak puluhan tahun itu masih belum bernoktah. Etnik yang 90 peratus daripadanya beragama Islam itu tetap tidak diakui kewujudan mereka.

NASIB anak-anak pelarian Rohingya ini perlu dibela agar tidak menjadi orang gelandangan apabila dewasa kelak.


Malah, mereka kehilangan tanah yang diserahkan kepada etnik Rakhin beragama Buddha.
Penindasan yang berterusan menyebabkan mereka terpaksa menjadi pelarian dan mencari perlindungan di negara lain.
Memetik kata-kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Kitty McKinsey menyebut bahawa etnik Rohingya mungkin merupakan golongan masyarakat yang langsung tiada rakan di dunia, merupakan satu penghinaan kepada mereka.
“Secara keseluruhan, tiada kumpulan atau masyarakat yang menyokong mereka. Boleh dikatakan tidak ada walau seorang pun daripada mereka mempunyai status sah menduduki mana-mana negara di dunia,” kata McKinsey dalam satu temu bual bersama agensi berita antarabangsa AP pada bulan Februari 2009.
Faridah yang datang ke Malaysia sejak dua dekad lalu mengakui sebagai etnik pelarian, mereka merupakan golongan yang terpinggir di bumi asing.
Namun, dia bersyukur kerana masih bernafas dan meneruskan survival di negara orang.
Ibu kepada lima cahaya mata yang berusia di antara 16 hingga dua tahun itu memberitahu, untuk menyara kehidupannya sekeluarga, dia menjual bunga di sekitar kawasan tersebut. “Apa sangatlah keuntungan hasil daripada menjual bunga. Nak dapatkan RM10 sehari pun susah. Tetapi, saya kena bekerja untuk cari rezeki yang halal,” jelasnya.
Ditindas tentera Burma
Menurut Koordinator Program Arakan Rohingya Refugee Committee (ARRC) Malaysia, Mohamad Sadek Ali Hossain, 38, kehidupan di Arakan boleh digambarkan seolah-olah neraka dunia kepada etnik tersebut.
“Sejak tahun 1962 kami ditindas oleh rejim tentera Burma ketika itu akibat tekanan politik. Mereka tidak membenarkan kami menunaikan solat di masjid, dihalang mendapat pendidikan dan menerima rawatan perubatan.
“Sebaliknya, kami dipaksa bekerja sebagai askar dan perlu membayar duit kepada pemerintah untuk membina kuil-kuil Buddha sedangkan mereka tahu bahawa kami adalah penganut agama Islam.

HARUN (kanan) menggunakan ilmu yang ada untuk menabur bakti pada anak-anak Rohingya dengan mengajar mereka mengenal al-Quran.


“Selain itu, masyarakat Rohingya juga dihalang berkahwin untuk mengelakkan perkembangan zuriat dan selama tiga hari seminggu, kami wajib bekerja secara percuma tanpa gaji,” terang Mohamad Sadek yang datang ke Malaysia sejak empat tahun lalu.
Dianggarkan kira-kira 750,000 etnik Rohingya menetap di kawasan pergunungan utara di wilayah Rakhine atau Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.
Mereka dipercayai berasal daripada keturunan pedagang Arab dari abad ketujuh.Warna kulit mereka agak gelap berbanding rakyat Myanmar yang berkulit cerah.Di Malaysia, hanya 26,000 pelarian Rohingya diiktiraf oleh UNHCR.
“Kami hanya bergantung kepada kad keahlian UNHCR dan tidak memiliki sebarang dokumen yang sah. Ini menyebabkan kami tidak boleh mendapat sebarang pekerjaan.
“Lebih malang, anak-anak Rohingya tidak berpeluang menerima pendidikan formal,” tutur Muhammad Husson Ali, 59, pula.
Asas-asas Islam
Buat masa ini, terdapat lapan buah sekolah Rohingya di bawah kendalian UNHCR, namun enam daripadanya menerima bantuan daripada persatuan Buddha dan Kristian.
Situasi itu amat membimbangkan Muhammad Husson apabila memikirkan masa depan generasi muda Rohingya. Tidak mustahil mereka menjadi murtad atau memilih agama selain Islam.
Bagi Harun Bashir, 44, yang sudah 18 tahun menetap di Malaysia, dia terpanggil untuk mengajar asas-asas Islam kepada anak-anak etnik Rohingya yang berada di rumah-rumah atau di pejabat ARRC.



Dia yang pernah bergelar guru di sebuah sekolah pondok di daerah Arakan satu ketika dahulu bersyukur kerana mereka mudah menerima apa yang diajar.
“Alhamdulillah, anak-anak ini boleh membaca Muqaddam dan al-Quran dengan baik. Setiap minggu, saya akan mengajar selama lima hari dalam tempoh satu hingga dua jam.
“Saya harap, dengan cara ini setidak-tidaknya ada usaha bagi mengelakkan berlakunya insiden murtad di kalangan generasi muda Rohingya. Saya tidak mahu mereka hilang agama,” ungkap Harun yang melakukan kerja sampingan seperti mengambil upah memotong rumput.
Salah seorang murid Harun, Siti Nurhaliza Nor Mohamed, 10, berkata, dia sudah pandai membaca al-Quran pada usia tujuh tahun.
Anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu juga berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan tanpa meninggalkan sehari pun. Adakah dia mengetahui sejarah etnik Rohingya? Anak kecil itu pantas menggeleng.
“Saya tak tahu sangat pasal itu. Tapi, apa yang saya tahu kami adalah pelarian yang menumpang di negara orang,” tutur Siti Nurhaliza yang fasih bertutur bahasa Melayu. Dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang guru, satu impian tinggi yang mungkin tidak akan dapat dicapai jika nasib pelarian Rohingya tidak dibela.
Taraf kerakyatan



Sementara itu, Pensyarah Politik dan Pen tadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, isu pelarian Rohingya ini hanya akan selesai sekiranya negara mereka kembali pada kerajaan demokrasi.
“Seluruh dunia tahu bagaimana penghinaan yang diterima etnik tersebut daripada kerajaan pemerintah junta Myanmar.
“Jadi, agak sukar untuk mana-mana negara berurusan dengan mereka terutama dalam isu pelarian ini,” jelasnya sambil memberitahu terdapat dua jenis pelarian Rohingya iaitu pelarian politik dan biasa.
Tambahnya, isu tersebut memang memberi kesan besar terhadap masalah sosial, pengemis dan meningkatkan lagi jumlah orang gelandangan di Malaysia.
Namun, sedar atau tidak, ramai pelarian Rohingya dieksploitasi oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas nasib buruk mereka.
“Antaranya diberi upah yang terlalu rendah untuk kerja-kerja buruh atau pelayan restoran dan sebagainya.
“Justeru, pada pendapat saya mereka ini terutama yang sudah menetap begitu lama di Malaysia perlu diberi taraf kerakyatan (PR) yang secara tidak langsung akan menanamkan sifat sayangkan negara ini,” ujarnya sambil menegaskan bahawa satu jawatankuasa pemilihan perlu ditubuhkan untuk tujuan tersebut.
Kepada sesiapa yang ingin menghulur sumbangan peribadi kepada komuniti Rohingya sama ada dalam bentuk kewangan, pakaian mahu pun makanan, boleh berhubung dengan Mohamad Sadek di talian 016-309 4599 atau layari laman web www.arrcrohingya.ning.com.http://www.kosmo.com.my