Pages

Showing posts with label terkaya. Show all posts
Showing posts with label terkaya. Show all posts

Friday, September 21, 2012

Bill Gates individu terkaya AS

SAN FRANCISCO 20 Sept. - Pengasas Microsoft, Bill Gates, muncul sebagai individu terkaya di Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh 12 tahun berturut-turut, menurut majalah Forbes.
Majalah ekonomi itu menganggarkan Gates memiliki kekayaan sebanyak AS$66 bilion (RM202 bilion), sementara jutawan pelaburan Warren Buffet pula berada di kedudukan kedua dengan aset bernilai AS$46 bilion (RM141 bilion).
Pengasas Oracle, Larry Ellison, pula menduduki tempat ketiga dalam senarai dengan aset sebanyak AS$41 bilion (RM125 bilion).
Laurene Powell Jobs yang merupakan balu kepada pengasas bersama Apple, Steve Jobs muncul sebagai nama baru dalam senarai individu terkaya apabila memiliki kekayaan bersih AS$11 bilion (RM33.8 bilion).
Nilai kekayaan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg pula merosot sebanyak AS$8.1 bilion (RM24.8 bilion) kepada AS$9.4 bilion (RM28.2 bilion), sekali gus menyebabkannya jatuh ke tempat ke-36 dalam senarai berbanding kedudukan ke-14 tahun lalu.
Nilai keseluruhan individu terkaya itu menyaksikan harta kekayaan mereka meningkat naik sebanyak 10 peratus dengan gabungan kekayaan 400 individu di AS meningkat daripada AS$1.5 trilion (RM4.6 trilion) kepada AS$1.7 trillion (RM5.2 trilion). - dpa

Friday, September 23, 2011

George Soros antara 10 paling kaya

NEW YORK: Pelabur, George Soros, pada usia 81 tahun, buat kali pertama tersenarai antara 10 orang paling kaya di Amerika Syarikat.
Tidak mengejutkan, Bill Gates sekali lagi menduduki tangga teratas senarai berkenaan dengan harta berjumlah AS$59 bilion, meningkat AS$5 bilion, lapor Majalah Forbes semalam dalam edisi 2011 senarai tahunan orang paling kayanya.

Pengasas Microsoft itu menjadi orang paling kaya Amerika sejak 1994.

Setiap mereka yang berada dalam senarai 20 paling kaya menyaksikan kekayaan mereka meningkat, kecuali Warren Buffet yang hartanya merosot sebanyak AS$6 bilion kepada AS$39 bilion ekoran kejatuhan sahamnya dalam Berkshire Hathaway. Buffett sebelum ini menggesa Presiden Barack Obama supaya meningkatkan cukai terhadap jutawan dan berikrar akan mendermakan 99 peratus hartanya untuk kerja kebajikan.

Menduduki tangga ketujuh, Soros memiliki harta berjumlah AS$22 bilion selepas menggabungkan harta bersihnya bernilai AS$7.8 bilion dengan pelaburannya dalam emas dan sekuriti berkaitan.

Soros menukarkan sahamnya kepada tunai pada musim bunga lalu, membolehkannya mengekalkan keuntungan dan mengelak daripada kerugian ketika kegawatan pasaran ekoran krisis hutang di Eropah.


Sementara itu, Buffet menduduki tangga kedua dan kemerosotan hartanya berpunca daripada kejatuhan saham nya dalam Berkshire Hathaway sebanyak sembilan peratus antara 25 Ogos 2010 dan 26 Ogos 2011. “Beliau juga adalah bilionair paling dermawan,” kata Luisa Kroll, Pengarang Forbes. Menduduki tangga ketiga senarai itu ialah pengasas Oracle, Larry Ellison, yang nilai kekayaannya meningkat sebanyak AS$6 billion kepada AS$33 billion. - AP

Bill Gates paling kaya di AS



LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.
Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.
Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.
Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).
Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.
Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.
Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.
Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).
Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.
Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.
Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP

Saturday, September 17, 2011

Wanita paling kaya miliki bot mewah terbesar



KIRSTY BERTARELLI dan suaminya, Ernesto Bertarelli.


PLYMOUTH - Seorang wanita terkaya di Britain dan suaminya yang merupakan seorang bilionair memiliki sebuah bot mewah yang terbesar di United Kingdom (UK), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Wanita itu yang juga bekas Ratu Cantik UK, Kirsty Bertarelli dan suaminya, Ernesto menempah bot mewah Vava II berukuran 96 meter (m) dengan kos luar biasa iaitu £100 juta (RM488 juta).
Kapal layar tersebut mempunyai sentuhan rekaan dalaman yang mewah dan dibina di sini dan memerlukan lebih dua tahun untuk dibina selain melibatkan 200 pekerja.
Ia dilengkapi pad pendaratan helikopter, ruang tetamu yang mewah dan empat buah bot untuk membawa penumpang ke pantai.
Suami wanita itu memiliki anggaran kekayaan sebanyak £6.8 bilion (RM33.14 bilion) menjadikan dia lelaki yang ke-81 terkaya di dunia dan kelima di Britain. - Agensi

Tuesday, June 7, 2011

Bundchen supermodel terkaya



Gisele Bundchen
Gisele Bundchen

Pintar urus kewangan, miliki jenama sendiri

LONDON: Model jelita Brazil, Gisele Bundchen menjadi supermodel bilionair pertama dunia, kata majalah perniagaan Forbes.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan wanita berusia 31 tahun itu menerima bayaran supermodel tertinggi sejak 2004 dan seorang yang amat pintar menguruskan sumber kewangannya.
Beliau juga diramal bakal menjadi bilionair sebaik mencecah usia 32, tahun depan.
Majalah itu menganggarkan pendapatan tahunannya berjumlah AS$45 juta (RM135 juta).

“Bundchen sering tampil dalam kempen jenama fesyen berprofil tinggi seperti Versace dan Dior, tetapi turut menjana pendapatan menerusi jenama sendiri,” kata laporan itu.

Editor Forbes menyenaraikan kontraknya yang menguntungkan dengan Versace dan Dior, kejayaannya dalam bidang barang perhiasan dan pakaian sukan dan pegangan hartanah di Brazil, Costa Rica dan Brentwood, California antara asetnya.
Bundchen melesenkan namanya dalam beberapa produk termasuk perhiasan dan kosmetik mesra alam serta capal yang dikenali sebagai Grendene.
Akhbar Korean Herald melaporkan Mei lalu, Bundchen melancarkan syarikat pakaian dalam dengan rakan kongsi Hope (Victoria Secret versi Brazil) dengan beliau sudah menjadi jurucakap, jelas Forbes.

Selain melesenkan namanya kepada syarikat itu, seperti selebriti lain, beliau juga mencipta jenamanya sendiri, Gisele Bundchen Brazilian Intimates. Tidak seperti kelaziman, beliau turut memegang saham dalam syarikat.

Wanita itu berjaya menambah lagi pendapatannya sebagai pengarah kreatif bagi rangkaian fesyen Himpunan C&A Bundchen dan bercadang menjual pegangan sahamnya dalam syarikat penjagaan kecantikannya yang diasaskannya tahun lalu, Sejaa Pure Skincare.

Laporan majalah itu menyebut Bundchen tidak hanya menjadi supermodel bilionair pertama tetapi juga wanita Brazil pertama yang menjadi jutawan dengan usaha sendiri. – Agensi. Berita Harian Online | Bundchen supermodel terkaya

Thursday, May 26, 2011

Wanita muncul terkaya di Australia






SYDNEY 25 Mei - Buat pertama kali dalam sejarah, orang terkaya di Australia ialah wanita.
Kekayaan raja bijih besi, Gina Rinehart (gambar) meningkat dua kali ganda kepada A$10.3 bilion pada tahun lepas, sekali gus meletakkan dia di tangga teratas senarai orang terkaya tahunan yang disiarkan oleh majalah perniagaan,BRW.
"Ini adalah kali pertama dalam sejarah dalam tempoh 28 tahun, 200 Terkaya BRWmenunjukkan wanita menduduki tangga teratas,'' kata editornya, Andrew Heathcote. - dpa
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Sunday, February 6, 2011

Harta Presiden Mesir AS$70 bilion?




SEBUAH rumah Presiden Hosni Mubarak berhampiran Terusan Suez di Mesir.


KAHERAH - Lebih kaya daripada pengasas bersama Microsoft, bilionair Bill Gates, malah manusia terkaya di dunia, Carlos Slim Helu pun tidak setanding dengannya.
Ketika Mesir terus dilanda konflik politik, Presiden negara itu, Hosni Mubarak dan keluarganya dilapor memiliki anggaran kekayaan mencecah AS$70 bilion (RM213 bilion) sepanjang tiga dekad era pemerintahannya.
Jumlah harta Presiden Mesir itu melebihi kekayaan Gates dari Amerika Syarikat (AS) dan Slim Helu dari Mexico, yang masing-masing memiliki aset AS$53 bilion (RM161 bilion) dan AS$54 bilion (RM163 bilion) pada tahun 2010, menurut senarai majalah Forbes.
Anggaran kekayaan Hosni juga hampir setanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar Guatemala, negara rantau Amerika Tengah yang bersempadan dengan Mexico.
Mengulas mengenai perkara tersebut, beberapa pakar kewangan Asia Barat berkata, sebahagian besar kekayaan Hosni, 82, disimpan di bank-bank Britain dan Switzerland.
Sebahagian lagi kata mereka, telah dilaburkan dalam sektor hartanah di London, New York, Los Angeles serta kawasan peranginan pesisir Laut Merah termasuk hotel-hotel di Sharm El Sheikh.
KEDIAMAN mewah enam tingkat berharga AS$13.6 juta (RM41.6 juta) milik anak Hosni, Gamal Mubarak di barat London.


Rangkaian berita ABC menyatakan, kebanyakan harta Hosni diperoleh menerusi kontrak usaha sama ketenteraan, yang bermula semasa beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai Tentera Udara Mesir.
Semasa beliau memerintah Mesir, Hosni terus memperoleh pendapatan besar dipercayai melalui amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat di samping keuntungan pelaburan yang mencecah ratusan juta dolar.
Namun, kebanyakan harta itu didepositkan ke dalam beberapa akaun bank asing termasuk bank UBS dan Bank of Scotland atau dilabur dalam dalam sektor pembinaan seperti hotel.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Arab, Al Khabarpada tahun lalu, Hosni memiliki hartanah di Manhattan, New York dan di Beverly Hills, Los Angeles, AS.

ANAK kedua Hosni, Gamal Mubarak dan isterinya, Khadija El-Gamal.


Dua anak lelaki presiden berkenaan, Gamal dan Alaa, bertaraf bilionair dengan anggaran kekayaan kedua-duanya melebihi AS$25 juta (RM76 bilion).
Gamal turut memiliki dua kapal pesiaran mewah berharga sekitar AS$81 juta (RM248 juta).
Seorang profesor sains politik Universiti Princeton, AS, Amaney Jamal berkata, anggaran kekayaan Hosni adalah munasabah kerana rata-rata pemimpin rantau Teluk memiliki kekayaan mencecah AS$40 (RM122 bilion) atau lebih besar.
"Usaha sama perniagaan semasa beliau (Hosni) berkhidmat dalam tentera dan pentadbiran negara melonjakkan kekayaan peribadinya," kata profesor berkenaan.
Seorang lagi pakar politik Asia Barat, Christopher Davidson dari Universiti Durham, Britain, memberitahu, Hosni dan isterinya, Suzanne mengumpul harta menerusi usaha sama dengan para pelabur dan firma asing sejak beliau memegang jawatan tinggi dalam tentera Mesir.
Menurutnya, kebanyakan negara Teluk mewajibkan warga tempatan memiliki sehingga 51 peratus kepentingan dalam sesuatu projek usaha sama. - Agensi

Wednesday, October 13, 2010

Wanita China terkaya di dunia


BEIJING 12 Okt. - Lebih separuh daripada 20 wanita terkaya dengan usaha sendiri di dunia adalah rakyat China dengan purata jumlah kekayaan lebih tinggi daripada personaliti televisyen terkenal Amerika Syarikat (AS), Oprah Winfrey dan penulis novel popular, JK Rowling.
Warga China menguasai senarai tiga teratas sebagai wanita terkaya di dunia, diketuai ahli perniagaan kitar semula, Zhang Yin yang mempunyai harta sebanyak AS$5.6 bilion (RM17.4 bilion), menurut laporan organisasi beribu pejabat di Shanghai, Hurun Report.
Ia diikuti Wu Yajun dengan aset sebanyak AS$4.1 bilion (RM12.7 bilion) dan Chen Lihua AS$4 bilion (RM12.4 bilion).
Daripada 20 wanita terkaya di dunia yang berjaya atas usaha sendiri itu, seramai 11 daripadanya adalah warga China dengan purata kekayaan AS$2.3 bilion (RM7.2 bilion), menurut laporan itu lagi.
JK Rowling yang merupakan penulis novel popular Harry Potter berada di tangga terbawah senarai itu dengan aset sebanyak AS$1 bilion (RM3.1 bilion).
"Tidak ada mana-mana negara mampu menyaingi China yang berjaya melahirkan ramai wanita kaya atas usaha sendiri," kata Rupert Hoogewerf, pengasas dan pengumpul senarai kekayaan Hurun Report.
Senarai berkenaan turut menyenaraikan tiga bilionair dari AS, tiga dari Britain dan seorang dari Itali, Rusia serta Sepanyol.
Wanita terkaya bukan warga China dalam senarai itu ialah pemilik gedung pakaian Zara, Rosalia Mera dari Sepanyol dengan kekayaan dikatakan berjumlah AS$3.5 bilion (RM10.88 bilion).
Hoogewerf berkata, faktor kejayaan wanita-wanita China itu kerana dasar satu anak yang diperkenalkan kerajaan selain kebanyakan anak- anak kecil dijaga oleh datuk dan nenek, memudahkan mereka membangunkan empayar perniagaan masing-masing.
"Ini merupakan perbezaan yang besar," katanya dengan menambah, penerimaan China yang membenarkan wanita bekerja jauh dari rumah merupakan antara faktor lain.
Individu terkaya di China ialah pengasas syarikat pengeluar minuman ringan Wahaha, Zong Qinghou yang mempunyai kekayaan berjumlah AS$12 bilion (RM37.3 bilion), lapor Hurun Report. - AFP

Saturday, October 2, 2010

Tujuh pasangan adik beradik dalam senarai 100 terkaya di India



ADIK-BERADIK jutawan, (dari kiri) Anil dan Mukesh Ambani, Malvinder dan Shivinder Singh serta Shashi dan Ravi Ruia. - aGENSI


NEW DELHI 1 Okt. - Sebanyak tujuh pasangan adik-beradik yang masing-masing mengendalikan perniagaan milik keluarga tersenarai antara 100 orang terkaya di India.
Press Trust of India (PTI) yang memetik laporan Forbes India berkata, majalah itu menyenaraikan enam pasangan adik-beradik berada dalam kelompok 100 orang terkaya di negara ini.
Pasangan adik beradik terbabit ialah Shashi dan Ravi Ruia, Malvinder dan Shivinder Singh, Sudhir dan Samir Mehta, Shyam dan Hari Bhartia, Kapil dan Dheeraj Whadhwan serta Bharat dan Ravi Sheth.
Pasangan adik-beradik Mukesh dan Anil Ambani berada di tangga berasingan dalam senarai Forbes itu iaitu masing-masing di tempat pertama dan keenam dengan kekayaan masing-masing bernilai AS$27 bilion (RM83.4 bilion) dan AS$13.3 bilion (RM41.1 bilion).
Adik beradik Ruia pula menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM46.3 bilion), pasangan adik beradik Singh di tempat ke-16 dengan nilai kekayaan sebayak AS$4.2 bilion (RM12.9 bilion), adik beradik Mehta di tangga ke-27 dengan kekayaan sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.7 bilion), pasangan Whadhwan di tempat ke-86 dengan nilai kekayaan sebanyak AS$650 juta (RM2.01 bilion) dan adik beradik Seth di tangga ke-99 dengan kekayaan bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Jika adik beradik Ambani bersatu, kekayaan kolektif mereka mungkin lebih daripada AS$40 bilion (RM123 bilion), walaupun kurang daripada nilai bersih orang terkaya di dunia, Carlos Slim yang memiliki kekayaan bernilai AS$53.5 bilion (RM165 bilion) dan juga Bill Gates, yang memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak AS$53 bilion (RM163 bilion), lapor PTI.
Kekayaan pasangan adik beradik Ruia menyaksikan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion (RM4.32 bilion) sejak November tahun lalu, sementara Malvinder dan Shivender Singh memperlihatkan kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) daripada 2009.
Menurut Forbes, India kini menjadi 'rumah' bagi 69 orang bilionair, berbanding 52 bilionair pada tahun lepas.
Senarai individu terkaya di India didominasi Mukesh Ambani yang memiliki kekayaan berjumlah AS$27 bilion (RM83.4 bilion), diikuti taikun industri keluli Lakshmi Mittal dan Wipro Azim Premji yang menduduki tangga kedua serta ketiga dengan kekayaan masing-masing bernilai AS$26.1 bilion (RM80.6 bilion) dan AS$17.6 bilion (RM54.3 bilion), lapor majalah itu. - BERNAMA