بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label e-Zakat Pay. Show all posts
Showing posts with label e-Zakat Pay. Show all posts

Saturday, March 24, 2012

Jangan lupa kendali bahagian fakir, miskin sebelum berbelanja


Oleh Ustaz Zaman

2012/03/24
RAMAI menganggap segala hasil yang diusahakan adalah menjadi miliknya yang mutlak. Oleh sebab itulah timbul rasa riak dan takbur terhadap kesenangan dan kenikmatan yang dikecapi. Jika dirujuk kepada agama Islam, kita akan mendapati bahawa hasil yang diperoleh adalah amanah yang mana sebahagiannya hak milik orang lain. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan dalam harta seseorang ada bahagian tertentu untuk orang lain iaitu orang miskin dan tidak berkemampuan.” (Al-Maa’rij 24 & 25) 

Dengan mengingati perkara sedemikian barulah kita sedar bahawa Allah SWT telah mewakilkan kepada kita untuk menyampaikan hak milik orang lain melalui zakat daripada tangan kita sendiri. Mereka yang enggan dan ingkar dianggap mengkhianati amanah Allah SWT kerana menafikan hak orang fakir dan miskin. Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa harta yang dianugerahkan adalah harta Allah SWT kerana Dialah yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang telah dikurniakan kepadamu.” (An-Nur 33)


Walau bagaimanapun, kita akan sentiasa mendapat tentangan yang hebat daripada syaitan terhadap sebarang niat baik yang akan kita lakukan. Bisikan buruk akan merentas ruang pemikiran kita untuk membatalkan segala niat baik yang terpahat di dalam pemikiran kita. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan akan sentiasa membayangkan padamu dengan kemiskinan jika kamu bersedekah, sedangkan Allah menjanjikan keampunan serta kurniaan yang banyak. Dan Allah memiliki segala kurniaan lagi Maha Mengetahui.” (Baqarah 268)

Allah telah berjanji kepada mereka yang menafkahkan harta ke jalan Allah SWT bagi membantu fakir dan miskin dengan gandaan pahala dan kurniaan rezeki yang melimpah. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Segala apa yang kamu nafkahkan akan digantikan oleh Allah dan dialah yang maha pemurah dan pemberi rezeki.” (Saba’ 39). Inilah janji yang sering dikelirukan syaitan dengan kemiskinan dan kepapaan agar kita menjadi kikir dan tamak haloba. 

Al-Quran sentiasa memaparkan kisah pengajaran agar dapat kita pelajari bahawa sifat kikir tidak akan membawa ke mana-mana melainkan penyesalan dan kemurkaan daripada Allah SWT. 

Firman Allah SWT: “Ada antara mereka yang telah berjanji dengan Allah SWT, jika dikurniakan kekayaan, nescaya mereka akan bersedekah dan menjadi orang yang salih. Tetapi apabila benar-benar dikurniakan rezeki, mereka kikir dan berpaling dan menentang kebenaran.” (At-Taubah 75 & 76). 

Ibnu Kathir dan ahli tafsir yang lain seperti Ibnu Abbas dan Hasan Basri berpendapat bahawa ia adalah kisah yang terkenal berkaitan seorang sahabat yang bernama Sa’labah Ibnu Hatid. 

Beliau ialah antara sahabat yang pernah didoakan oleh Baginda SAW atas desakan beliau sendiri kerana kemiskinan yang dihadapi dan berjanji akan menginfaqkan hartanya ke jalan Allah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu berpaling daripada perintah Allah apabila beliau mendapat kurniaan. 

Apabila dibacakan ayat yang mewajibkan zakat iaitu firman Allah SWT bermaksud: “Ambillah zakat bagi menyucikan harta mereka.” (At-Taubah 103) beliau terus berpaling dan enggan. Maka turunlah ayat 75 yang disebutkan tadi lalu diikuti oleh ayat yang menyatakan kemuncak kehidupan beliau iaitu sebagai seorang munafik. Firman Allah SWT bermaksud: “Maka Allah menanamkan sifat munafik ke dalam hati mereka sehinggalah ajal mereka tiba kerana pendustaan mereka terhadap Allah SWT.” (At-Taubah 77) 

Beliau meninggal pada masa Khalifah Othman ibnu Affan dalam keadaan yang hina yang mana zakatnya tidak diterima oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dengan alasan bahawa zakatnya telah ditolak oleh Baginda SAW ketika hayat Baginda. Benarlah apa yang disebut oleh hadis Qudsi bermaksud: “Wahai anak Adam, kamu telah mendapat apa yang mencukupi bagimu, lalu kamu menginginkan sesuatu yang akan merosakkan kamu. Sedikit kurniaan yang mencukupi adalah lebih baik daripada limpahan yang membebankan. Wahai anak Adam, jika kurniaanmu mencukupi untuk sehari, sebenarnya kamu telah mendapat segala-galanya di dunia ini.” 

Demikianlah kesudahan mereka yang kikir dan ingkar terhadap perintah zakat yang diwajibkan oleh Allah SWT. Apabila hak orang fakir dan miskin dinafikan, maka Allah SWT akan melontarkan kemurkaan-Nya dari tujuh petala langit dan bumi kepada mereka yang ingkar. Seterusnya mereka dikatakan sebagai orang munafik dan berdosa. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergejolak lalu melupuskan kulit kepala, yang sentiasa menggamit mereka yang berpaling daripada agama, juga mereka yang suka mengumpulkan harta dan enggan berzakat.” (Al-Ma’a rij 15 – 18) 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka yang menyimpan emas dan perak serta enggan berzakat, maka khabarkanlah kepada mereka bahawa api neraka yang pedih sedang menanti.” (At-Taubah 34). Oleh itu, ingatlah ketika mendapat durian runtuh, bonus tahunan, wang ganjaran, hadiah istimewa dan lain-lain, bahawa ada bahagian untuk fakir dan miskin yang wajib dikendalikan terlebih dulu sebelum berbelanja. 

Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP 

Friday, March 16, 2012

Inovasi, teknologi mudahkan laksana zakat

ARKIB : 15/03/2012

ZAKAT tidak sahaja popular laman sosial Facebook tetapi dari aspek agihan juga memerlukan bantuan kemajuan IT agar ia lebih berkesan dan sampai kepada sasaran. - Gambar hiasan 


Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID & NOORMAZLA MOHAMAD NIZAN


EMM… mana sempat nak bayar zakat. Sibuk dan tidak ada masa nak pergi ke kaunter zakat."


Inilah antara alasan yang lazim digunakan oleh mereka yang tidak sempat membayar zakat. Kesesakan jalan raya, kesusahan mencari parkir dan harus pula beratur serta menunggu di kaunter zakat, dijadikan alasan untuk 'menjustifikasikan' tindakan.


Hakikatnya, kita hanya perlu berpegang kepada pepatah Melayu, 'jika hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan.'


Ironisnya, dunia sudah pun berubah dan kini, dengan adanya kemudahan internet di sana sini, maka sepatutnya tiada lagi kalimah menunaikan zakat itu susah.


Sibuk atau sesaknya jalan raya, ia tidak sepatutnya lagi menjadi alasan. Apatah lagi, zakat adalah kewajipan paling asas bagi umat Islam. Meninggalkan zakat adalah satu kesalahan, menjadi punca datangnya dosa dan mengakibatkan hidup hilangnya keberkatan.


Allah SWT menyatakan: "Dirikanlah Solat dan tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama dengan orang yang rukuk," (al-Baqarah: 43).


Manakala di dalam surah at-Taubah, ayat 103 pula: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu dapat memberikan ketenangan bagi mereka."


Zaman ini penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesatnya. Internet turut merubah pola kehidupan masyarakat. Semuanya kian mudah dan cepat. Membayar bil utili, membeli barangan, memesan perkhidmatan, membuat aduan, menjelaskan cukai bahkan menyalurkan komentar pun boleh dilakukan menerusi internet.
Semua ini adalah gaya hidup baharu yang hampir tidak terjangkau dek pemikiran manusia zaman dahulu.
Dalam kondisi inilah, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga tidak terlepas daripada merebut peluang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat. Dengan hanya satu klik, kita bukan sahaja mampu mendapatkan pelbagai informasi berguna mengenai zakat, tetapi juga melakukan taksiran dan juga menunaikan zakat dengan cepat dan tepat.
Inilah dampak teknologi dalam dunia zakat yang amat mudah, hinggakan tidak setitis peluh pun mengalir di dahi untuk melangsaikannya.


Hal ini amat sesuai dengan saranan Allah SWT: "Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu," (al-Baqarah: 185)


Bahkan ayat ini juga menjadi picu yang memotivasikan institusi zakat agar sentiasa pro-aktif memenuhi keperluan semasa. Natijahnya, ia bukan sekadar memudahkan urusan orang ramai dalam melunaskan pembayaran zakat dengan pantas dan selamat; bahkan ia mampu memangkas pandangan naïf sebahagian pihak bahawa institusi agama selalunya terkebelakang dan mundur dalam mengeksploitasi kehadiran teknologi canggih masa kini.


Justeru itu, antara inovasi dan teknologi yang disediakan oleh institusi zakat dalam urusan penunaian zakat, adalah e-Zakat Pay, kad kredit, perbankan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), perbankan telefon dan mesin ATM. Para pengguna internet hanya perlu melayari laman sesawang institusi zakat, misalnya www.e-zakat.com.my untuk memperolehi kemudahan e-Zakat Pay ini.


Setakat hari ini juga, sebanyak 12 institusi bank telah mengambil bahagian menyediakan perbankan internet bagi transaksi zakat. Manakala, kad kredit Islamik dan kad debit menjadi medium baharu transaksi tanpa tunai yang diidamkan ramai eksekutif muda zaman sekarang. Nah, ini baharu sebahagian daripada kemudahan transaksi zakat menerusi internet yang boleh dicapai, dan tidak mustahil banyak lagi yang akan diterokai pada masa mendatang.


Apa yang penting, dengan adanya kemudahan ini, ia akan menjadi satu medium transaksi secara talian yang menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran zakat kepada institusi zakat di Malaysia.
Dalam konteks yang lebih luas, ia bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat; bahkan memungkinkan umat Islam terhindar daripada dosa melalaikan zakat kerana alasan kesibukan dan sebagainya.


Akhirnya, inilah sumbangan teknologi dalam memperkasakan ibadat zakat. Bahkan, tidak mustahil suatu masa nanti, para amil zakat hanya perlu membawa satu alat senipis buku tulis dan sekecil buku nota ke rumah asnaf, lalu melakukan bancian zakat dan sebagainya lagi terus di rumah mereka. Ia pastinya mempercepatkan kerja, menjimatkan masa dan paling utama, membolehkan manfaat zakat segera sampai kepada penerimanya.
Semoga umat Islam di Malaysia dapat memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan ini dengan sebaiknya.


Ibarat peribahasa Melayu, 'bagai belut digetir ekornya', kerja akan menjadi laju, urusan pun mudah segalanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...