Rombongan kafilah dagangan di kalangan orang Arab dahulu kala lazimnya lengkap bersenjata kerana mereka sentiasa menjadi sasaran rompakan dan serangan. |
SELEPAS lapan hari menunggu, akhirnya yang dinanti tidak kunjung tiba. Tentera Quraisy yang kononnya hendak membalas kekalahan mereka di Perang Badar pertama dahulu, tidak tampil di medan Perang Badar ke II.
Dengan membiarkan tentera Islam tertunggu-tunggu,mereka sebaliknya berpatah balik ke Mekah.
Selepas mendapati pihak Quraisy tidak 'berani' berhadapan dengan tentera Islam, Rasulullah memerintahkan para pengikut dan anggota tentera supaya pulang ke Madinah.
Walaupun seperti membuang masa sahaja, namun sekurang-kurangnya tentera Islam pulang dengan kejayaan iaitu membawa untung yang besar ekoran berniaga di Bazar Badar.
Berhubung dengan peristiwa itu, Allah menurunkan wahyu kepada nabi yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan rasul-Nya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)".
Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu adalah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar. (ali-'Imran 172-176).
Demikianlah secara ringkas kisah Perang Badar Al Akhirah yang disebut juga Perang Badrul Mau'id. Peristiwa itu sedikit sebanyak berjaya menghapuskan rasa malu terconteng di kalangan kaum Muslimin yang sepanjang tahun menerima pelbagai kata-kata nista akibat kekalahan di Uhud.
Situasi ini juga memperlihatkan tindakan Abu Suffian yang mengarahkan tenteranya kembali ke ke Mekah itu sebagai perbuatan pengecut.
Keadaan itu menyebabkan kehormatan kaum Quraisy tercemar, apatah lagi sebelum itu mereka tewas di Perang Badar.
Dalam pada elok juga kita mengikuti beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah yang bermula selepas Perang Uhud sehingga tahun ke-4 Hijrah. Selain kisah-kisah peperangan mahupun tindakan ketenteraan bagi mempertahankan Islam dan para pengikut Rasulullah di Madinah.
Peristiwa-peristiwa tersebut termasuklah:
ZAINAB binti Khuzaimah yang dinikahi baginda pada Ramadan tahun ke-3 Hijrah meninggal dunia pada bulan Rabiulakhir tahun ke-4 Hijrah. Zainab menjadi isteri Rasulullah lebih kurang lapan bulan sahaja.
PADA bulan Jamadilakhir tahun 4 Hijrah, Abdullah bin Uthman (cucu Rasulullah, putera kepada Ruqayyah yang berkahwin dengan Uthman bin Affan) meninggal dunia pada usia enam tahun. Cucu baginda itu dilahirkan di Habsyah ketika ibu bapanya berhijrah ke sana.
PADA bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah, puteri Nabi bernama Fatimah Az Zahra (isteri kepada Ali bin Abi Talib) melahirkan kembar lelaki, Hassan dan Hussin (walaupun sesetengah mengatakan bukan kembar, iaitu Hussin merupakan adik kepada Hassan).
PADA akhir tahun 4 Hijrah, ibu Ali bin Abi Talib, iaitu Fatimah binti Asad, (isteri kepada bapa saudar baginda Abi Talib) meninggal dunia. Maka ia merupakan kehilangan besar kepada baginda kerana Fatimah tidak ubahnya seperti ibu kandung baginda, yang menjaga dan memelihara baginda khususnya sejak baginda kematian ibunya, Siti Aminah sehinggalah baginda berkahwin dengan Siti Khadijah.
PADA bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah pula, baginda bernikah dengan seorang janda, Ummu Salamah. Beliau adalah balu Abu Salamah atau Abdullah bin Abdul Asad.
Pasangan Abu Salamah dan Ummu Salamah adalah suami isteri yang sangat mencintai Islam dan termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Mereka berhijrah sebanyak dua kali iaitu ke Habsyah dan ke Madinah.
Abu Salamah kemudiannya meninggal dunia ketika mengetuai tentera Muslimin kepada Bani Asad, dengan meninggalkan dua anak lelaki iaitu Salamah dan Arma serta seorang anak perempuan bernama Zainab.
Selepas kematian suaminya, Ummu Salamah hidup dalam kesusahan lalu baginda berkahwin dengannya untuk meringankan beban janda tersebut.
MENURUT catatan, pada tahun itu juga, sesudah kaum Yahudi Bani Nadhir diusir dari Madinah, Rasulullah melantik seorang Yahudi yang mahir dalam bahasa Ibrani dan Suryani menjadi penulis baginda dalam pelbagai urusan membabitkan kaum tersebut.
Baginda juga menyuruh seorang sahabat, Zaid bin Tsabit mempelajari bahasa Ibrani dan Suryani juga yang kemudiannya dilantik menjadi penulis kepada baginda untuk pelbagai urusan.
Namun peristiwa yang tidak kurang pentingnya berlaku pada akhir tahun ke-4 Hijrah, iaitu sekembali dari Perang Badar Al Akhirah itu.
Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai Daumatul Jandal tetapi kurang mengetahui kisah di sebalik nama tersebut.
Daumatul Jandal adalah nama kota di negara Syam tetapi paling dekat kedudukannya dengan Madinah.
Akan tetapi apa yang berlaku ialah satu peristiwa Perang, yang dikenali sebagai Perang Daumatul Jandal yang tidak kurang menariknya juga kisahnya kepada kita semua.
Ini apabila baginda mendapat berita berlakunya satu kekacauan di Kota Daumatul Jandal atau lebih tepat berpunca dari penduduk Kota tersebut itu sendiri.
Penduduk kota tersebut dikatakan suka merompak dan menganggu orang luar, khususnya para pedagang dari Madinah yang melintasi atau melalui Kota Daumatul Jandal dalam perjalanan mereka ke Syam untuk berdagang.
Dalam pada itu baginda juga mendapat tahu penduduk Kota tersebut juga dikatakan hendak menyerang Kota Madinah, yang menjadi pusat pentadbiran sebuah negara Islam.
Apabila mendengar ada ancaman dari penduduk Kota Daumatul Jandal, baginda segera membuat persiapan untuk berhadapan dengan mereka! Ia sebagai mana biasa sebelum pihak musuh menyerang, baginda sentiasa mahu mendahului serangan.