Sumber Gambar : Google |
DALAM kisah Nabi Sulaiman a.s., diceritakan
bahawa baginda mengajak seorang ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk
mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah SWT dan bukan yang lain (rujuk surah al-Naml ayat 22 hingga 40.
Negeri itu adalah Saba dan ratunya bernama
Balqis. Kisah tentang negeri Saba dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran,
iaitu surah Saba ayat 15-21. Surah Saba diturunkan di Mekah, terdiri daripada 54
ayat.
Dinamakan surah Saba (perihal penduduk
Saba), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21.
Pada awal surah ini, Allah menegaskan
bahawa segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh
alam, dan Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian
makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan
rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.
Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik
yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari
kiamat dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan
kepada nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah SWT memberi amaran kepada golongan
musyrik itu, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan
dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba yang telah dibinasakan kerana
mereka kufur ingkar.
Kemudian Allah SWT menujukan firman-Nya
kepada Nabi Muhammad SAW dan menerangkan bahawa baginda adalah diutus kepada
umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang
yang beriman dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.
Sebagai penutup, digambarkan keadaan
orang-orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan
gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka.
Semasa mereka diseret untuk menerima
balasan, mereka berkata: "Sekarang kami beriman…" tetapi pengakuan
mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia,
sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.
Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa
negeri Saba dikurniai Allah SWT dengan kemewahan, tanah yang subur sehingga
penduduknya hidup dengan aman makmur.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "…
(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha
Pengampun. (Saba: 15).
Namun, kerana ingkar kepada Allah SWT,
penduduk Saba ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri
mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba dan turunnya azab Allah SWT ini terjadi
setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.