![]() |
pelaku dosa-dosa besar wajib bagi mereka untuk bersegera bertaubat dengan tidak bertangguh. - Gambar hiasan |
IMAN ialah benteng diri daripada melakukan
perkara maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT. Apabila tiada orang yang
memerhati dan tiada mata yang melihat, maka tiada pertahanan diri yang paling
kukuh melainkan iman yang membuahkan perasaan ihsan iaitu merasakan Allah SWT
sedang mengawasi diri.
Sebagai manusia biasa, adakalanya iman yang
ada dalam diri menurun. Maka pada ketika itu, kita pasti lemah dalam menepis
ujian yang datang kepada diri.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa
terdapat ketikanya kita terleka dan terlalai dalam kehidupan di dunia. Mungkin
ada di antara kita yang pernah terlibat, sama ada secara sengaja atau tidak
sengaja dalam aktiviti atau pekerjaan yang tidak bertepatan dengan Syariah
sebelum ini.
Penglibatan ini akhirnya menyebabkan kita
memperoleh pendapatan, sama ada dalam bentuk gaji, komisen, dividen, keuntungan
dan sebagainya secara yang tidak halal. Begitu juga mungkin ada di kalangan
kita yang pernah terjebak dalam rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.
Semua harta yang diperoleh itu bakal
mengundang kemurkaan Allah SWT dan balasannya amatlah dahsyat di akhirat nanti.
Penglibatan ini bukan sahaja menyebabkan
orang yang terlibat melakukannya secara langsung mendapat dosa, bahkan
pendapatan serta hartanya pula menjadi haram.
Harta haram yang dimaksudkan di sini ialah
harta yang diperoleh melalui jalan atau kaedah yang bercanggah dengan syarak.
Ini termasuklah faedah yang diperoleh daripada akaun simpanan di bank-bank
konvensional.
Oleh itu, mereka yang menyedari akan
hakikat ini akan segera bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkal
jalan. Allah SWT Maha Pengampun dan Dia suka sekiranya hamba yang telah
melakukan dosa, cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada-Nya.
Lantaran itu, wajib bagi mereka untuk
bersegera dalam bertaubat dengan tidak bertangguh. Ini berdasarkan firman Allah
SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa: 17)
Antara syarat untuk bertaubat kepada Allah
SWT kerana mendapat harta haram adalah dengan cara melupuskannya. Perkataan
'melupuskan' sengaja digunakan kerana orang yang terlibat tidak boleh
memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya, sama ada untuk membuat pembelian dan
urusniaga-urusniaga yang lain.
Bahkan, Allah SWT tidak memberikan pahala
sekiranya dia menggunakan harta tersebut untuk menunaikan haji dan umrah,
membayar zakat dan menderma kepada golongan fakir miskin.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
"Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya,
tiadalah baginya sebarang pahala dan tanggungan dosanya tersebut adalah kekal
(sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT)" (riwayat al-Hakim)
Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya
Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat
Muslim).
Demikianlah betapa beratnya bahana daripada
pengambilan harta haram sehingga Allah SWT tidak menerima amalan yang berkaitan
dengan harta tersebut.
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
utusanARKIB : 19/12/2012