بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Amalan Bulan Syawal.. Show all posts
Showing posts with label Amalan Bulan Syawal.. Show all posts

Monday, August 27, 2012

Amalan Bulan Syawal


BULAN Ramadhan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki hari ke lapan bulan Syawal. Pastinya ramai yang sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilaluinya sepanjang di bulan Ramadhan. 

Saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya 'idulfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di mana jua berada. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadhan. Kita juga memohon agar Allah mempertemukan kita semula dengan Ramadhan pada tahun-tahun hadapan.

Syawal adalah bulan untuk kita bergembira, namun hendaklah kita sedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadhan.

Beribadah dalam bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah pada bulan Ramadhan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadhan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan Syawal ini.

Para ulama mengatakan bahawa beribadah pada bulan Syawal merupakan petanda ibadah Ramadhan kita diterima oleh Allah SWT.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menulis dalam kitab Lataif al-Ma'arif : "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."

Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadhan.

Pertama : Puasa sunat enam hari. 

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian dia melanjutkannya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia telah berpuasa setahun penuh.(Hadis Riwayat Muslim)

Ini kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.

Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada dalam bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya  'idulfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.

Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadhan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam dalam bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadhan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.

Kedua : Meneruskan amalan Membaca al-Quran.

Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"

Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba iaitu orang yang membaca al-Quran daripada awal hingga ke akhir. Apabila tiba di akhirnya, dia memulai bacaan kembali daripada awalnya."

Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca dalam bulan Ramadhan, malah al-Quran mesti dibaca dalam bulan-bulan yang lain.

Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang istiqamah beribadah hingga kita bertemu kembali bulan Ramadhan pada tahun hadapan. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...