
Kuasa, kekayaan dan pengaruh ujian besar, cabar kemampuan
Ulama terkemuka dan ahli ibadah yang zuhud, Al-Fudhail bin Iyadh, berkata
meninggalkan amal kerana manusia adalah riak, mengerjakan amal kerana manusia
adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah jika Allah memberikan anugerah kepadamu
untuk meninggalkan kedua-duanya.
Bagaimanapun, sukar untuk menentukan
keikhlasan seseorang. Keikhlasan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan
kata-kata seseorang yang menyebut perkataan ikhlas atau catatannya yang
bertulis ikhlas.
Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh
orang lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. anda
juga tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain," Fudhail bin Iyadh
Biasanya kuasa, kekayaan dan pengaruh banyak menguji keikhlasan seseorang.
Semakin masyhur dan terkenal seseorang itu, semakin mencabar diri dan
kedudukannya. Sebab itulah sesetengah ulama takutkan kemasyhuran dan sanjungan
yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya.
Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika anda mampu untuk tidak dikenali oleh orang
lain, maka laksanakanlah. Anda tidak rugi sekiranya tidak terkenal. Anda juga
tidak rugi sekiranya tidak disanjung orang lain. Demikian pula, janganlah gusar
jika anda menjadi orang yang tercela di mata manusia. tetapi menjadi manusia
terpuji dan terhormat di sisi Allah.”
Rasulullah SAW bersabda: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali
kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia
bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya. Dan jika ia
bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya.”
Kisah Khalid Ibn Waled sangat diingati apabila perbincangan berhubung maksud
keikhlasan dalam konteks kepemimpinan. Kegagahan dan kepahlawanan Khalid Ibn
Waled sebelum dan selepas Islam tidak boleh dinafikan sesiapapun.
Bahkan beliau terus diberi kepercayaan sebagai seorang panglima perang selepas
memeluk Islam kerana kebolehannya yang diakui. Namun, kedudukan beliau sebagai
seorang Islam akhirnya diuji dan keikhlasannya dinilai ketika pemerintahan
Saidina Umar Al Khattab.
Khalid Ibn Waled yang terkenal dengan keberanian dan kehebatan strategi
perangnya telah dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah iaitu pada
tahun 13 Hijrah, sejurus selepas Saidina Umar dilantik sebagai khalifah dan
sekali lagi pada 17 Hijrah.
Kedua-dua peristiwa itu bukanlah disebabkan Khalifah tidak memandang jasa dan
pengorbanan Khalid Ibn Waled dan bukan juga disebabkan Khalid menghadapi
masalah hubungannya dengan Khalifah.
Tindakan yang dilakukan Saidina Umar adalah semata-mata untuk menjaga keyakinan
umat Islam terhadap Allah. Khalifah tidak mahu umat Islam terpengaruh dan
terpukau dengan kebolehan Khalid Ibn Waled sehingga tersilap sangka bahawa
kemenangan Islam disebabkan kehandalan Khalid, bukannya kerana bantuan Allah
SWT.
Meskipun dilucutkan jawatan, Khalid Ibn Waled tanpa rasa kecewa telah
menanggalkan serban seorang panglima perang lalu diserahkannya kepada Abu
Ubaidah seperti mana yang diminta oleh Khalifah.
Begitu juga peristiwa di mana Khalid Ibn Waled dipecat dari jawatannya sebagai
Gabenor di Syria oleh Khalifah lalu beliau berkata: “Amir al-Mukminin (Umar)
melantik aku sebagai Gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancar,
beliau melucutkan jawatanku.
Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai tuan, ia waktu untuk bermulanya
fitnah. Khalid kemudian menjawab: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu
tiada ruang fitnah boleh berlaku.”
Bagi menggambarkan pandangan jauh, ketegasan dan keberanian Khalifah Umar,
Khalid Ibn Waled menerima pemecatannya itu dengan baik bagi menggambarkan
sahsiahnya sebagai seorang Islam.
Khalid Ibn Waled dilihat begitu yakin terhadap kepimpinan Saidina Umar yang
lebih mengutamakan kepentingan memelihara agama, demi mengelakkan fitnah dan
menghalang pemujaan kepada tokoh.
Betapa sukarnya mencari keikhlasan yang dimiliki oleh insan bernama Khalid Ibn
Waled pada hari ini terutama ketika berdepan dengan ujian kesetiaan kepada
pasukan dan organisasi diperlukan.
Berita Harian