ISLAM mengikut tarikh hijrah dikira sejak
hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). Pengiraan hari dan bulan hijrah
adalah berdasarkan peredaran bulan. Oleh sebab itu, tarikh hijrah juga
dinamakan tarikh Qamariah (Arab: al-qamar - bulan).
Nama 12 bulan yang kini digunakan sudah ada
sebelum masa Islam. Nama bulan seringkali mengikut musim atau perilaku orang
Arab (khususnya pemuda) dengan nama hari. Dalam bahasa Melayu digunakan nama
(Isnin-Ahad) yang dipakai orang Arab pra-Islam.
Penetapan hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai
tarikh awal Islam bermula daripada keturunan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4)
kepada Khalifah Umar (khalifah ke-2) kerana peristiwa hijrah merupakan kejayaan
awal perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam.
Pengiraan hari, bulan dan tahun berdasarkan
peredaran bulan (pengiraan Qamariah). Pengiraan waktu berdasarkan matahari dan
bulan disebut dalam surah Yunus ayat 5. Manakala pengiraan satu tahun 12 bulan
disebut dalam surah al-Taubah ayat 36 dan 37. Ada bulan yang terdiri dari 30
hari ialah bulan ganjil (1,3,5,7,9 dan 11) dan yang terdiri dari 29 hari ialah
bulan genap (2,4,6,8,10 dan 12).
Tarikh Hijrah atau Qamariah adalah
berdasarkan peredaran bulan (Arab: qamar) mengelilingi bumi. Satu tahun
Qamariah terdiri dari 12 bulan, 354 hari, lapan jam, 47 minit dan 36 saat.
Setiap bulan terdiri dari 29 hari, 12 jam, 44 minit dan tiga saat.
Tahun Gajah
Sebelum ada penetapan tahun hijrah, orang
Arab menamakan sesuatu tahun mengikut peristiwa luar biasa yang terjadi pada
tahun tersebut, misalnya Tahun Gajah pada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tahun
pertama (622), Baginda di Madinah disebut sebagai Tahun Azan kerana pada tahun
itu disyariatkan azan.
Tahun ke-2 (623) Nabi Muhammad SAW di
Madinah dinamakan Tahun Izin Perang, Tahun Puasa, Tahun Zakat (Tahun Korban)
kerana pada tahun itu disyariatkan keizinan berperang, puasa, zakat dan korban.
Selain itu, tahun ke-9 (629), tahun Nabi
Muhammad SAW menetap di Madinah disebut sebagai Tahun Taubah. Dalam surah ini
dinyatakan bahawa Tuhan dan Rasul-Nya memutuskan ikatan dengan kaum musyrik di
Mekah.
Tahun ke-10 (630) disebut sebagai Tahun
Perpisahan kerana Baginda SAW mengerjakan haji di Mekah.
Penetapan tahun hijrah
Tahun Hijrah ditentukan oleh Khalifah Umar
pada 17 H/638 M. Untuk menetapkan pengiraan tahun hijrah, Umar mengundang para
sahabat. Ada sahabat yang mengusulkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dikira
sebagai permulaan tahun Islam.
Ada pula yang mengusulkan turunnya wahyu
pertama. Yang lainnya mengusulkan Perang Badar (17 Ramadan) dan peristiwa
penting Nabi Muhammad SAW. Ali bin Abu Talib kemudiannya mengusulkan peristiwa
hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam.
Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah pada 8
Rabiulawal/20 September 622. Umar menerima usul ini kerana hijrah merupakan
titik pemisah di antara masa Mekah dengan Madinah dan merupakan perjuangan awal
Baginda SAW dalam menyebarkan Islam.
Bulan Arab kuno
Menurut sejarawan Islam, Abu Raihan
al-Biruni (973-1048), di kalangan bangsa Arab kuno sudah terdapat nama 12 bulan
yang kini tidak digunakan lagi dalam dunia Arab. Nama kuno ke-12 bulan ini
ialah al-Mu'tamir (bersamaan dengan Safar dan dianggap sebagai bulan pertama),
Najir, Khawwan, Bussan, Hantam (Hanam), Zaba' (Zubi), al-Asamm, Adil, Nafik,
Waghl, Huwa' dan Burak.
Nama hari
Pada mulanya orang Arab membahagikan satu
bulan kepada tiga bahagian: masing-masing 10 hari dengan nama: Gurar, Nufal,
Tusa', 'Usar, Bid, Dura', Zulam, Hanadis (Duhm), Da'adi dan Mihak.
Permulaan hari ditetapkan dengan kemunculan
hilal (al-hilal: anak bulan). Seterusnya dipakai satuan yang terdiri dari tujuh
hari yang dikenali dengan satu minggu dengan nama: Awwal (Ahad), Ahwan, Jubar,
Dubar, Mu'nis, Aruba' dan Siyar.
Mengikut masa Islam, nama ketujuh-tujuh
hari ini ialah al-Ahad, al-Ithnian, al-Thulatha', al-'Arabia, al-Khamis,
al-Jumu'ah dan al-Sabt yang diMelayukan menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu,
Khamis, Jumaat dan Sabtu.
ARKIB : 30/10/2012