بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Korban. Show all posts
Showing posts with label Korban. Show all posts

Tuesday, November 8, 2011

Iktibar daripada Aidiladha

Melaksanakan korban menyembelih haiwan ternakan adalah amalan yang sangat dituntut semasa Hari Raya Aidiladha. - Gambar hiasan



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA baru sahaja meraikan Aidiladha dan melewati hari-hari awal Zulhijjah yang istimewa nilainya dalam Islam. Kita juga baru menunaikan solat hari raya yang merupakan khususiat(keistimewaan) umat ini seperti solat istisqa' (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).

Antara dua solat hari raya, solat Aidiladha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah: 

Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidiladha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban (sebagai bersyukur). (al-Kauthar: 2-3)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidiladha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan.

Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban, sebagaimana sabdanya: "Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami".

Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.

Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.

Aidiladha adalah Idul Akbar (raya terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan daripada neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.

Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya dan sekiranya tidak maka dia berada jauh daripada rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.

Memandangkan betapa besar dan mulianya hari-hari yang terdapat dalam bulan Zulhijjah ini, maka seharusnya kita membesarkan dan memuliakannya dengan merebut peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai amalan soleh.

Telah dijelaskan, bahawa amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut lebih afdal daripada berjihad pada jalan Allah. Maka tidak sepatutnyalah, sebagai orang yang berakal dan menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya, menyambut hari yang penuh dengan kemuliaan ini dengan agenda-agenda yang berbentuk keduniaan dan secara acuh tak acuh.

Rata-rata kita melihat, umat Islam hari ini termasuklah kita sendiri, tidak membesarkan bulan Zulhijjah sebagaimana agama membesarkannya. Mungkin kerana tiada pengetahuan atau mungkin juga kerana tidak prihatinnya kita terhadap agama sehingga kita terlepas pandang!

Disambut hambar

Rentetan itu, kita melihat, tidak sedikit umat Islam yang menyambut Aidilfitri lebih meriah, lebih hebat dan lebih lama daripada Aidiladha. Ada yang memenuhi Aidiladha dengan pergi berjalan-jalan dan melancong ke sana sini tanpa diisi dengan amal soleh yang sepatutnya.

Tidak kurang pula, ada yang beranggapan Aidiladha hanyalah hari menyembelih korban, berkumpul bersama keluarga, hari balik kampung dan sebagainya.

Akhirnya, Aidiladha hanya tinggal Aidiladha. Kehadirannya disambut hambar dan hanya diisi dengan program dan acara yang bercorak keduniaan. Waktu-waktu yang baik dan mustajab yang dikurniakan kepada sang hamba yang dikasihi, dipersia-siakan begitu sahaja.

Kelebihan bulan ini bukan sahaja disediakan bagi orang yang pergi mengerjakan haji di Baitullah tetapi kepada semua umat Islam yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan mengabdikan dirinya kepada yang sepatutnya disembah.

Dengan segala kelebihan yang telah disebutkan bermula dari satu Zulhijjah sehinggalah hari melakukan solat Aidiladha dan korban, apakah munasabah kita meraikannya dengan apa yang telah kita laksanakan selama ini?

Apakah kita mahu termasuk di kalangan orang-orang yang melepaskan peluang keemasan yang disediakan oleh Allah? Apakah kita mahu membiarkan sahaja hadiah yang hebat dengan hanya melakukan perkara yang mudah?

Ingatlah sesungguhnya ini adalah anugerah Allah kepada kita. Jangan sampai peringkat, kelak Allah akan menahan anugerah ini daripada kita disebabkan sikap acuh tak acuh kita! Na'uzubillah min Zalik.

Justeru, sementara kesempatan masih ada, marilah bersama-sama kita merenung dalam-dalam sikap dan kealpaan diri kita. Marilah kita menukar cara hidup acuh tak acuh dengan ribuan peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya kepada sikap berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Alangkah ruginya kita, yang selama ini terlalu asyik melayan kehendak nafsu serakah. Apakah hasil dan kepuasan yang kita perolehi dengan bersikap sedemikian?

Di manakah letaknya pertimbangan akal yang waras, kebijaksanaan dan kekuatan yang kita banggakan, sekiranya dunia dan nafsu yang tidak memiliki kelebihan seperti yang kita miliki masih dapat menguasai dan menewaskan kita?

Jika kita sudah terlepas beberapa kelebihan awal Zulhijjah dan Aidiladha tahun ini maka marilah kita menyesali kealpaan kita itu dengan sesungguh penyesalan. Kerana kadang-kala penyesalan yang tulus dek terlepas sesuatu amalan itu mungkin dinilai lebih besar daripada amalan itu sendiri.

Kemudiannya, kita mohonlah kehadrat Allah membolehkan kita menemuinya lagi di tahun-tahun yang mendatang dan kita berazam agar dapat menghayatinya dengan lebih sempurna.

Monday, November 7, 2011

Iktibar korban

APABILA sebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha, ramai yang terbayangkan kumpulan jemaah yang sedang menunaikan ibadah Rukun Islam kelima di kota mulia Mekah al-Mukarramah.

Tak kurang juga yang membayangkan lembu dan kambing yang disembelih untuk korban, lalu menjadikan hampir setiap hari mereka akan menikmati hidangan daging hingga boleh demam dibuatnya.

Hakikatnya, Aidiladha adalah lebih daripada sekadar kerja haji atau korban. Aidiladha adalah sejarah besar mengenai bukti cinta suci dan pengorbanan. Ia adalah cinta suci dan pengorbanan suami isteri malah cinta suci dan pengorbanan dalam hubungan ibu bapa dan anak.

Pengorbanan suami isteri

Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim a.s berkahwin lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya. Pada mulanya Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur.

Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti Hajar. Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Tetapi, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.

Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Nabi Ismail a.s hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu. Lalu Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anak mereka menuju ke Baitul Haram.

Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya, Nabi Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada perintah suaminya.

Kisah ketabahan Siti Hajar diaplikasikan ketika umat Islam menunaikan ibadat haji malah umrah. Para jemaah difardukan untuk menunaikan sai iaitu berulang-alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan Siti Hajar tika itu.

Inilah iktibar daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, pasti bahagia akan dikecapi.

Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani. Siti Hajar tidak mempertikaikan haknya sebagai isteri tetapi lebih kepada berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.

Nabi Ibrahim juga mengorbankan perasaannya semata-mata akur kepada perintah Ilahi.

Lantaran, buat para suami dan isteri, lengkapkanlah diri anda untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah. Insya-Allah anda akan mampu menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab dan membahagiakan pasangan anda.
IBADAH korban yang dijalankan sewaktu Hari Raya Aidiladha perlu dihayati dan direnungi sedalam-dalamnya oleh umat Islam.
Aidiladha turut mengajar kita mengenai besarnya cinta dan pengorbanan seorang anak kepada bapa.
Nabi Ismail berlapang dada menerima hajat ayahanda baginda yang diperintahkan oleh Allah agar menjadikan anakanda kesayangan sebagai korban. Tiada bantahan, larangan atau pujukan, sebaliknya hanya sokongan. Nabi Ismail berpesan kepada ayahandanya agar dirinya diikat kemas supaya dirinya gagal untuk meronta tika kesakitan hingga memungkinkan ayahandanya mengengkari perintah Allah.

Betapa cintanya si anak kepada bapanya itu hanya kerana menginginkan bapanya sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT.

Semangat pengorbanan itulah yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak hari ini. Saya akui, hari demi hari, banyak kes kegagalan si ayah dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan wajar kepada anak-anak.
Ramai ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya terutama apabila berlakunya perceraian. Lazimnya, anak diletakkan di bawah jagaan ibu manakala si ayah lupa akan tanggungjawab tersebut.

Kesan tidak ambil peduli itu menyebabkan anak-anak gagal untuk menyayangi dan menghormati si ayah.
Dalam satu kes baru-baru ini; seorang lelaki bertanya: "Apakah hukumnya seorang anak tidak mendoakan ayahnya?"

Jawapan saya, antara amalan untuk murah rezeki ialah mendoakan kedua-dua ibu bapa. Namun dia menambah: "Masalahnya puan, ayah saya ni tak pernah sayang dan peduli langsung tentang hidup anak. Kahwin sampai empat tapi tak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak."

Mencintai ibu bapa

Saya memberitahunya, tanggungjawab seorang anak ialah untuk kekal menghormati ayahnya tidak kira siapapun si ayah, walaupun dia gagal melaksanakan tanggungjwabnya.

Ayah yang gagal, itu antara dia dengan Allah. Si ayah itu yang derhaka amanahnya dengan Allah. Sebagai anak, jangan pula jadi anak derhaka. Mungkin doa anak itu mampu ubah sikap ayah. Walaupun si ayah sudah meninggal, doa anak boleh membantunya di alam 'sana'.

"Tapi bukankah ayah jadi punca anak derhaka sebab ayah tak mendidik anak dengan baik?" Tanya lelaki itu lagi.
Memang tanggungjawab ibu bapa untuk didik anak-anak namun apabila anak sudah mukalaf iaitu layak menerima tanggungjawab, si anak bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri juga untuk buat yang baik dan tinggalkan yang buruk. Tidak boleh salahkan ayah semata-mata.

Jika pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang anak belum mencapai tahap pengorbanan Nabi Ismail, bukankah selayaknya kita berusaha untuk mencintai ibu dan bapa kita sebagaimana cintanya Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim?

Buktikanlah cinta kepada ibu bapa dengan memaafkan kesilapan mereka dan tetap kekal mendoakan kesejahteraan mereka, bukan hanya di dunia tetapi kehidupan di akhirat.

Jika tidak mampu membantu ibu bapa berada dalam reda Ilahi, cukuplah sekadar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menyusahkan mereka. Ingatlah! Doa anak yang soleh antara tiga perkara dibawa bersama ketika maut menjemput kita.


Kembara ke Baitullah wajar dapat haji mabrur

Oleh Ashraf Muslim


Seseorang pulang dari Tanah Suci tanpa perubahan perlu muhasabah diri, cari kesilapan

"HAMBAMU datang menyahut panggilanMu, ya Allah HambaMu datang menyahut panggilanMu, ya Allah tiada sekutu bagiMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu..."


Menjadi harapan setiap kita yang dijemput menjadi tetamu Allah SWT untuk memenangi hati-Nya dengan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadah sebaiknya serta menghindarkan diri daripada perkara melukakan hati-Nya.

Kesan mabrur atau tidak ibadah itu paling mudah digambarkan apabila seseorang yang pulang dari Tanah Suci berubah menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya dan lebih utama, sentiasa istiqamah melakukan kebaikan.

Selain keredaan Allah, matlamat kita adalah jelas, supaya setiap amalan mendapat ganjaran terbaik dan bagi yang menunaikan umrah atau haji ialah ibadah itu diterima serta tergolong dalam kalangan dikurniakan haji dan umrah yang mabrur.

Kesan mabrur atau tidak ibadah itu paling mudah digambarkan apabila seseorang yang pulang dari Tanah Suci berubah menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya dan lebih utama, sentiasa istiqamah melakukan kebaikan.

Justeru, jika selepas kembara suci di Baitullah tidak menampakkan perubahan baik diharapkan, mungkin kita perlu bermuhasabah diri di mana silapnya atau di mana kurangnya hingga keputusan tidak mencapai standard sepatutnya.

Mungkinkah ia berpunca daripada niat, sumber digunakan untuk ke Tanah Suci atau tingkah laku semasa di Tanah Haram. Semua itu boleh menjadi punca kegagalan kita berjaya dalam ujian untuk menjadi insan lebih baik. 

Sering kali kita diingatkan mengenai mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke rumah Allah tetapi gagal memanfaatkan anugerah berkenaan. Hakikatnya, bukan mudah untuk mendapatkan haji atau umrah mabrur tetapi ada cara untuk mencapainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Lagi satu, jangan sekali-kali meletak sasaran ke Makkah untuk menyucikan dosa dilakukan sebelum ini dengan harapan ia akan terhapus dan selepas kembali kita masih melakukan kesilapan sama. Ini pandangan yang salah sama sekali.

Semalam dan hari ini, ibadat korban ditunaikan di seluruh pelusok dunia. Mereka yang dimurahkan rezeki terbabit dalam ibadat korban untuk bersama menikmati pemberian Allah itu bersama saudara lain yang kurang berkemampuan.

Pengorbanan memberi makna tersendiri kepada setiap kita kerana berkorban bukan sekadar menyembelih haiwan setiap kali tibanya 10 Zulhijjah, tetapi boleh jadi kita berkorban masa, tenaga, harta dan rasa.

Oleh itu, bagi yang tidak berkemampuan untuk menyembelih lembu atau kambing pada Aidiladha ini jangan sekali-kali kecewa kerana kita masih ada cara mendapatkan pahala ibadah korban dengan menghadirkan diri di majlis dianjurkan surau atau masjid di kariah kita.

Khususnya kepada golongan muda yang ada antaranya masih belum memahami atau dapat menghayati hikmah di sebalik ibadah korban, kehadiran mereka untuk bersama bergotong-royong adalah permulaan baik melakukan pengorbanan.

Tenaga yang disumbang dan masa dikorbankan bersama melapah daging serta mengagihkannya kepada ahli kariah termasuk dalam pengorbanan besar mereka. Pengorbanan itu lebih bermakna apabila dilakukan dengan hati ikhlas kerana Allah SWT.

Justeru, kepada anak muda, jangan berat hati untuk menyertai aktiviti ibadah korban bersama golongan dewasa di masjid atau surau. Inilah masanya untuk berbakti kepada masyarakat setempat dan pada masa sama menjalinkan silaturahim yang sangat dituntut agama Islam.

Saya bersyukur kerana dapat bersama keluarga di Taman Seri Telok Mas, Melaka, untuk meraikan Aidiladha dan menyertai jemaah Surau Al-Firdaus Taman Seri Telok Mas. Hebat juga kerana ramai anak muda bersama bergotong royong menyembelih dan melapah daging korban.

Melihat kemeriahan serta suasana harmoni itu, terkenang pula saudara Islam di negara lain yang mungkin tidak berkesempatan melalui pengalaman ini. Namun, keprihatinan rakyat Malaysia kini turut meluas melalui program korban di luar negara seperti di Thailand dan Kemboja.

Semoga niat kita menunaikan ibadah korban dan bersama bergotong-royong memenuhi syariat agama dinilai sebagai amal kebaikan. Selamat meraikan Aidiladha dan pengorbanan kita tidak kira apa caranya diterima Allah.

(Ayat untuk penyakit kanser: surah al-Mukminun, ayat 91-100 dan surah al-Anbiya’, ayat 38-50. Amalkan setiap hari dan banyakkan berdoa kepada Allah) 


BH2011/11/07

Korban niat kongsi rezeki bukti sifat ketakwaan insan


Oleh Wan Marzuki Wan Ramli



AIDILADHA atau hari raya korban mempunyai banyak manfaat dengan pahala berlipat kali ganda kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar merayakannya dengan keinsafan dan kebahagiaan, Aidiladha turut menyediakan peluang umat Muhammad menunaikan ibadat korban. 

Anas melalui riwayat oleh Bukhari dan Muslim katanya: “Rasulullah telah mengorbankan dua ekor kambing berbulu hitam dan putih. Aku melihat Baginda meletakkan kedua-dua kakinya di atas leher kedua kambing itu lalu membaca Basmalah dan bertakbir. Kemudian Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri.”


Ada beberapa gambaran dan tamsil yang dilakukan Rasulullah SAW iaitu meletakkan kedua kaki kambing di kedua-dua tengkuknya untuk mengelak kambing itu meronta. Lebih afdal jika orang yang melakukan ibadat korban itu menyembelih sendiri binatang akan dikorbankan.

Keutamaan ibadat korban terletak pada niat iaitu ikhlas untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan sebagai bukti keimanan serta ketakwaan kerana menyembelih haiwan korban sekadar menunjuk-nunjuk kemampuan diri adalah perbuatan sia-sia. 

Tujuan bersedekah daging korban juga perlu jelas kerana membantu golongan kurang berkemampuan berkongsi rezeki yang diperoleh hasil kurniaan Allah. Sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan korban dan bersedekah dagingnya. 

Pada masa sama, matlamat korban juga perlu terpelihara daripada unsur negatif kerana kisah korban dilakukan Nabi Ibrahim dan anakanda baginda, Nabi Ismail bukan sekadar kisah sejarah yang enak diceritakan atau didengar. 

Pengorbanan mereka sepatutnya meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam kerana dalam suasana hari ini, sukar rasanya untuk seseorang itu berkorban melepaskan insan atau perkara yang disayangi, sedangkan ganjarannya tidak nampak oleh mata kasar. 

Nabi Ibrahim bukan saja berkorban hati dan perasaannya, bahkan terpaksa melakukan perkara berat iaitu menyembelih anaknya sendiri kerana mentaati perintah Allah. Namun, disebabkan keyakinan bahawa apa yang datang daripada Allah adalah kebenaran, maka itulah yang dilakukan. 

Nabi Ismail sendiri sebagai anak yang patuh kepada Allah dan bapanya dengan reda merelakan dirinya disembelih. Adakah anak hari ini yang bersedia menyokong bapanya memenuhi tuntutan agama jika terpaksa mengorbankan diri sendiri. 

Tambahan pula, hasilnya tidak diketahui kerana jika kesan daripada pengorbanan itu memberi keuntungan yang dapat dilihat atau dirasai, agaknya semua kita berebut-rebut untuk melakukan pengorbanan. 

Apa yang pasti, setiap pengorbanan akan ada ganjarannya dengan syarat dilaksanakan seikhlas hati berbekalkan keyakinan, setiap amalan baik akan dibalas baik. 

Setiap apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian, semuanya menuntut kekuatan dan pengorbanan yang tinggi. Disebabkan itu, ada bersetuju melakukan sesuatu tetapi apabila tiba saatnya, hati tidak bersedia berkorban. 

Sebagai umat Islam, kita juga perlu berhati-hati dalam melakukan pengorbanan. Jangan berkorban untuk perkara menyalahi syariat agama kerana perbuatan itu hanya menjurus kita kepada kemurkaan Allah SWT. 

Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa tetapi matlamatnya perlu jelas untuk meningkatkan syiar Islam dan mengharapkan kasih sayang Allah. Barulah pengorbanan itu menjadikan kita hamba Allah yang untung. 

BH2011/11/07

Sunday, November 6, 2011

Persoalan Agama: Umat Islam boleh makan daging diragui status sembelihan



Soalan: 

1) APAKAH hukumnya andai kita ke pasar untuk membeli daging lalu timbul rasa was-was atau meragui siapakah yang sebenarnya menyembelih ternakan itu, sama ada orang Islam atau dipotong orang kafir? 

2) Apakah cara menyembelih yang disuruh atau dituntut agama Islam? 

RAHMAN,

Petaling Jaya, Selangor. 

Jawapan: 

Al-Hamdulillah wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Mengenai masalah daging yang diragukan mengenai sembelihan siapa, adakah orang Islam menyembelihnya atau dipotong bukan Islam. Maka penyelesaiannya, kita hendaklah berpegang kepada asal. Sekiranya binatang itu memang daripada binatang halal, bolehlah kita makan dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim.

Hal ini seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari, iaitu daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Bahawasanya ada kaum datang kepada kami membawa daging yang kami tidak mengetahui apakah daging itu disembelih dengan nama Allah atau tidak. (Maksudnya adakah ia disembelih oleh orang Islam atau bukan Islam), maka Nabi SAW bersabda: Bacalah Bismillah dulu, lalu makanlah kamu.” 

Bagi soalan kedua, untuk menyembelih binatang sebenarnya ada syaratnya. Syarat bagi binatang yang disembelih iaitu: 



  Pertama, binatang darat yang halal disembelih. Binatang yang haram seperti babi dan anjing tidak halal walaupun disembelih. Haiwan laut seperti ikan tidak perlu disembelih. 


  Kedua, binatang itu sebelum disembelih masih hidup bernyawa (hayat mustaqirrah), melihat serta bergerak dengan ikhtiarnya. Tanda hayat mustaqirrah ialah masih kuat bergerak sesudah disembelih atau darahnya masih memancut-mancut sesudah disembelih. Jika ada binatang yang dimakan harimau atau tergilis kenderaan, kemudian kita dapati masih mempunyai hayat mustaqirrah, maka halal untuk kita sembelih. 

Alat penyembelih pun ada syaratnya, iaitu sesuatu yang tajam dan dapat melukai seperti besi, tembaga, emas, perak dan kaca. Tidak sah menyembelih dengan tulang, kuku dan gigi. Syarat bagi orang yang menyembelih pula ialah orang Islam atau ahli kitab. Binatang halal yang dipotong oleh orang yang menyembah api, berhala, matahari, bulan dan lain-lain, maka hukumnya haram dimakan. 

Perkara sunat ketika hendak melakukan penyembelihan, antaranya hendaklah menajamkan alat penyembelihan, membaca Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim) dan selawat ke atas Nabi SAW, menghadapkan diri dan yang disembelih ke kiblat, memutuskan kedua urat pada kiri dan kanan leher mengikuti halkum, menyembelih di pangkal leher serta digulingkan ke tulang rusuknya sebelah kiri. 

Apa yang penting, apabila kita hendak melakukan penyembelihan perlulah ada rasa ihsan seperti disebut dalam sebuah hadis riwayat Muslim, iaitu daripada Syaddad bin Aus RA berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah memerintahkan berbuat baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kamu sekalian membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan jika kamu sekalian menyembelih, sembelihlah dengan baik. Hendaklah seorang di antara kamu menajamkan pisaunya dan mempercepat mematikan sembelihannya. Demikianlah, wallahua’lam

Friday, November 4, 2011

Adab sembelih haiwan korban


Oleh Mohd Amri Abdullah

2011/11/04

Elak perbuatan makruh, tiada ihsan terhadap binatang 

NIKMAT kemeriahan Aidiladha atau Hari Raya Haji dirasai pelbagai lapisan masyarakat khususnya mereka yang tidak berkemampuan dan golongan dikurniakan Allah rezeki yang lebih. Inilah masanya yang berkemampuan menunaikan ibadat korban untuk disedekahkan kepada golongan miskin.


Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu, kerbau, kambing atau unta amat dituntut Islam sejajar roh pengorbanan Nabi Ibrahim yang akhirnya menyembelih seekor kibas.

Manfaat sembelihan korban bukan hanya kepada fakir miskin saja bahkan kepada penternak, penjual atau peraih. Justeru, dinasihatkan golongan ini juga melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan saja. 

Senario di Malaysia, setiap kali hari raya korban maka bekalan haiwan tidak mencukupi dan ada kala terpaksa diimport. 

Ibadat korban mempunyai kaitan rapat dengan kaedah penyembelihan dan ketika melakukan audit sembelihan di Australia, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditanya adakah kaedah sembelihan di Malaysia mengambil kira kebajikan haiwan itu. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Adakah ihsan diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya, lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya, diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan ketika disembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati dan sembelih di hadapan haiwan lain. 

Pandangan ulama, perbuatan itu makruh dan tiada ihsan terhadap haiwan korban. Adalah malang sunat korban dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan. Semestinya amalan sunat korban disusuli perbuatan sunat dalam sembelihan. 

Antara perkara sunat dalam sembelihan korban ialah membaca Bismallah dan selawat, lelaki baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, menghadap kiblat (penyembelih dan haiwan). 

Disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca Bismallah, tidak mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di hadapan binatang lain dan memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih. 

Kod etika penyembelih juga perlu diambilkira. Penyembelih juga mesti betulkan niat kerana ada penyembelih menyembelih kerana sesuatu seperti inginkan ekor, kepala, hati atau sebagainya. Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging. 

Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini sudah dijelaskan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam modul tauliah sembelihan. 

Lantaran itu, untuk membetulkan kaedah ini dicadangkan setiap masjid dan surau mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah supaya semua lapisan masyarakat memahami konsep dan teknik sembelihan serta ihsan. 

Islam mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan. Kaedah sembelihan yang betul memberi gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap. Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat lain dalam sembelihan korban. 


Sembelih unta disebut dalam al-Quran


A036

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Al-Hajj 22:36)
******************************


AYAT di atas jelas menunjukkan bahawa unta  adalah antara haiwan yang disebut dalam al-Quran.

Malah dituntut untuk menyembelih unta bagi memenuhi ibadat korban pada hari raya Aidiladha.

"Daging unta pula merupakan sunnah Rasulullah, baginda sangat suka makan daging unta," kata Md. Daud.

Namun disebabkan haiwan itu hanya sesuai hidup di gurun padang pasir, maka ia bukan haiwan pilihan dalam melaksanakan ibadat korban oleh umat Islam di negara ini.

Di Malaysia kerbau, lembu dan kambing merupakan antara haiwan yang sering disembelih untuk tujuan korban.

Apa pun, unta sebagaimana mengorbankan lembu atau kerbau boleh dikongsi tujuh orang atau tujuh bahagian.
Malah ia antara haiwan yang sangat digalakkan untuk tujuan korban.

Berkenaan dengan soal pembahagian dan sedekah daging unta kepada golongan fakir dan miskin juga sama sama sebagaimana kita menyembelih lembu atau kerbau.

Kecuali syarat utama untuk sembelih unta bagi tujuan korban hendaklah pilih unta yang gugur gigi hadapannya.
Ia menandakan haiwan itu telah cukup umur iaitu lima tahun atau masuk tahun keenam.

Selain itu disebabkan leher yang agak panjang, unta disembelih di pangkal leher berhampiran dada dengan memotong halkum dan urat marih.

Walaupun terdapat usaha Barat yang menentang ibadat korban dalam Islam atas pelbagai tuduhan termasuk menyeksa haiwan dan sebagainya, tetapi Md. Daud berharap di saat jemaah di Mekah mengerjakan haji, umat Islam yang lain di seluruh dunia pula mengerjakan ibadat korban.

"Sebabnya, pahala dan ganjaran melakukan korban ini sebagaimana mengalirnya darah dari haiwan yang dikorbankan itu, mengalir tanpa henti untuk kembali ganjaran itu kepada mereka yang melakukan korban itu," jelasnya.

Ia dijelaskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 37)
Walaupun di Malaysia unta bukannya haiwan ternakan tetapi kebelakangan ini, ia turut menjadi pilihan kepada umat Islam di negara ini menjadikannya sebagai haiwan korban.

Ini menjadikan satu pemandangan yang cukup unik kerana unta bukanlah haiwan yang dipelihara atau dibela di negara ini.

Malah sebelum ini pun tidak ada mana-mana pihak yang melakukan promosi daging unta.

Tidak ada siapa tahu mengenai khasiat dan keenakan dagingnya. Jadi memakan daging unta agak asing kepada masyarakat negara ini.

Namun, apabila ia mula diperkenalkan untuk tujuan korban, masyarakat Islam mula tertarik dan berlumba-lumba membeli dan mengorbankan unta. Pastinya, yang mendapat manfaat daripadanya adalah golongan fakir miskin.

Sebabnya, mereka dapat menikmati daging unta yang merupakan daging yang paling mahal berbanding kambing, lembu dan kerbau.

Di negara ini, Masjid Al Azhariah di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor merupakan masjid yang mula-mula membawa masuk unta untuk tujuan ibadat korban pada tahun 2006.

Ia kemudiannya dicontohi oleh masjid dan surau di seluruh negara apabila majlis penyembelihan korban semakin meriah dengan unta-unta untuk dikorbankan.

Di samping itu, wujud banyak syarikat bumiputera lain untuk membawa masuk unta dari Australia apabila permintaan terhadap unta semakin meningkat.

Larangan bagi daging korban pada bukan Muslim


SOALAN :

SAYA tertarik dengan perbincangan ustaz berkenaan korban dan akikah minggu lalu. Bagaimanapun, saya masih ada beberapa persoalan dan memohon penjelasan ustaz.

1. Berkenaan daging korban, jika selepas diagih kepada fakir miskin dan juga para petugas masih ada bakinya, bolehkah ia diberi kepada orang bukan Islam?

2. Jika seorang fakir miskin itu menerima daging korban yang dikumpulkan agak banyak, contoh 4 @ 5 kilogram, bolehkah dia menjual sebahagian daripada daging itu termasuk kepada orang bukan Islam?

3. Bagaimana pula dengan kulit lembu korban, bolehkah ia dijual kepada pengusaha makanan atau pembuat kompang?

JAWAPAN :

Kebanyakan kita faham secara asas bahawa daging korban tidak boleh diberi kepada orang bukan Islam.

Pendirian ini memang berasas, asasnya para alim ulama kita berpandangan dengan pendapat Imam al-Syafie yang tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat mahupun daging korban nazar.

Ini kerana ibadah korban adalah perbuatan taqarrub kepada Allah SWT yang dikategorikan ibadah semata-mata, ibadah ini berkaitan dengan menyembelih binatang ternakan. Orang Islam sahaja yang berhak kepada daging korban tersebut. Serta manfaat daging itu hanya kebali kepada orang Islam sahaja.

Pandangan ini adalah berdasarkan kepada pembahagian daging mentah bukan daging yang sudah dimasak.

Sekiranya kita ingin menjemput jiran atau kenalan kita yang bukan beragama Islam dengan menjamu mereka daging korban, bagi mereka yang bermazhab al-Syafie hendaklah menambahkan daging lain yang dibeli dari pasar sejumlah yang yang mungkin boleh cukup untuk hidangan orang bukan beragama Islam lalu dicampurkan daging yang dibeli di pasar dengan daging korban kemudian dimasak bersama.

Anggaplah apa yang dimakan oleh tetamu kita yang bukan beragama Islam dari daging yang dibeli dari pasar dan bukan daging korban.

Namun persoalan ini pernah saya bincangkan sebelum ini. Demi berlaku adil kepada para Ulama mazhab selain Imam al-Syafie eloklah kita sama-sama perhatikan pandangan mereka dalam masalah ini;

Ulama Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara.

Mazhab Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka. (Kasyf al-Qina'3;19 )

Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu' disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Di dalam kitab al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama telah sepakat (ijmak) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. (al-Majmu' Syarh al-Muhazzab; 8, 404 ).

Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya..

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy dan al-Syarbainiy berpendapat, mazhab Maliki menghukumnya dengan makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani.

Memelihara nyawa

Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib. (al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381).

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Kesimpulan yang boleh dibuat:

lMazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.

lMazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

lMazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.

Mengenai menjual sebahagian daging korban mahupun kulitnya, di dalam hadis Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali r.a supaya menguruskan daging korban serta apa-apa yang berkaitan dengan ibadah korban.

Maksud sabda baginda: Dari Ali r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar dia menguruskan budan (unta-unta yang dikorbankan) Beliau, membahagi semuanya, dan jilalnya (kain yang diletakkan dibelakang unta ). Dan dia tidak boleh memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada penyembelihnya. (riwayat Bukhari no. 1717, tambahan dalam riwayat Muslim no. 439/1317).

Dalam riwayat yang lain Saidina Ali r.a memberitahu, yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkanku agar aku menguruskan unta-unta korban baginda, mensedekahkan dagingnya, kulitnya dan jilalnya (kain yang diletak dibelakang unta ). Dan agar aku tidak memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada tukang sembelihnya. Dan Beliau bersabda: Kami akan memberikan (upah) kepada tukang sembelihnya dari kami. (riwayat Muslim no. 348, 1317)

Hadis ini secara jelas menunjukkan, bahawa Saidina Ali r.a diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyedekahkan daging korban, kulitnya, bahkan jilalnya. Dan tidak boleh mengambil sebahagian dari binatang korban itu untuk diberikan kepada tukang sembelihnya sebagai upah, kerana hal ini termasuk jual beli.

Daripada hadis ini banyak ulama mengambil dalil tentang larangan menjual sesuatu dari binatang korban, termasuk menjual kulitnya.

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini iaitu: Barang siapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya -atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya- untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya. Sedangkan jika dia mensedekahkannya, (maka) lebih aku sukai, sebagaimana bersedekah dengan daging binatang korban lebih aku sukai".

Perselisihan

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini, iaitu perselisihan dalam melarang menjual apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban. Imam Syafie berpendapat sesiapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya-atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya, untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya.

Tukang sembelih diberi daging korban seperti orang ramai memperolehinya. Diberi daging korban kepada mereka bukan dengan niat upah sembelih, begitu juga ketika tukang sembelih menerima daging tidak boleh menganggapnya sebagai upah.

Thursday, November 3, 2011

Sedia berkorban demi cinta kepada kekasih abadi



Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail wajar diikuti agar peroleh keredaan 

BERKORBAN bererti kesanggupan memberikan dengan ikhlas sesuatu amat disayangi kepada orang lain supaya dapat memberi manfaat kepada orang itu. Antara peristiwa mengesankan hati ialah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang mengajar supaya taat perintah, beriman dan berserah kepada Allah.


Berkorban untuk mendapat cinta Ilahi adalah kesanggupan yang tiada galang gantinya, berkorban untuk keredaan-Nya juga tidak mampu dilakukan setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati yang kasihnya hanya pada Yang Esa.

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada bertanya, apakah ganjaran berkorban? 

Daripada Zaid bin Arqam, katanya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. 

Mereka berkata: Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka berkata: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi) 

Hadis ini mengingatkan kita kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil serta menganugerahkan apa saja. 

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun Baginda sudah lanjut usia. Namun Baginda tidak pernah berputus asa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. 

Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga, Baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian berat diturunkan Allah SWT ke atas dua beranak itu dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah. 

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim menyembelih putera kesayangannya. Walaupun berat hati Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan. 

Dengan hati sedih, Nabi Ibrahim menyatakan perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar.” 

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi kepatuhan dan keredaan terhadap perintah Allah SWT. 

Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasih kepada ibu dan ayahnya serta keseronokan zaman remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawa sendiri, semata-mata taat terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah. 

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Hadis riwayat Muslim) 

Sesungguhnya cinta daripada Allah ada sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu. 

Baginda mengetahui bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT. 

Menurut Imam al-Ghazali, makrifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa makrifah tidak mungkin berlaku. Manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara supaya ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila. 

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia yang lumayan menjerumuskan kita ke lembah sia-sia, tiada apa pun yang menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah. 

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia berkorban apa saja. 

Oleh Nik Salida Suhaila
2011/11/03
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom 

Monday, October 31, 2011

Balasan baik tuntut pengorbanan



Oleh Ashraf Muslim

Reda, ikhlas hadapi masalah bantu kehidupan positif

KESEDIAAN Nabi Ismail merelakan dirinya disembelih bapa tersayang, Nabi Ibrahim, kerana memenuhi suruhan Allah menimbulkan persoalan sejauh mana kita bersedia mengorbankan sesuatu yang kita sayang, tambahan dalam dunia material kini.

Namun, fakta sejarah yang terus diingatkan setiap kali menjelang Aidiladha itu sebenarnya memberi seribu satu makna kepada sesiapa berdepan situasi terpaksa melepaskan apa yang disukai biar dengan apa niat atau matlamatnya.

Apa yang jelas, jika pengorbanan itu dilakukan secara ikhlas, dengan izin Allah, ganjaran menanti lebih baik dan selalunya kita tidak menyangka habuan diterima kerana nikmatnya memang tidak terduga.

Seperti Nabi Ismail sendiri, kerana reda dengan ketentuan ditetapkan Allah, akhirnya baginda ditukarkan dengan seekor qibas tetapi semangat korban ditunjukkan terus menjadi ikutan hingga ke hari ini di mana ramai antara kita rela berkorban apa saja kerana agama, bangsa serta negara.

Begitu juga dengan perjalanan haji jutaan umat Islam seluruh dunia yang kini berkumpul di Tanah Suci meninggalkan negara, ahli keluarga serta kerjaya demi mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredaan-Nya. Apa saja dilakukan semata-mata memastikan jemputan menjadi tetamu Allah tidak sia-sia. Semoga mereka mendapat haji mabrur.

Bagaimanapun, apa yang mendukacitakan, persepsi pengorbanan tidak dikembangkan sebaiknya. Sesiapa saja boleh mendermakan wang tetapi tidak ramai bersedia mengorbankan masa, tenaga apatah lagi bersedekah senyuman walaupun itulah sedekah paling mudah dilakukan. 

Jika kita bersedia mengorbankan masa, pasti tidak banyak laporan mendedahkan kepincangan masyarakat di dada media massa. Anak membiarkan ibu bapa keseorangan. Kesibukan memenuhi perkara lain menyebabkan kita lupa mengorbankan sedikit masa menjenguk ibu bapa.

Berapa ramai bersedia mengorbankan tenaga mengikuti aktiviti kejiranan, kerja amal serta kemasyarakatan seperti bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan atau membantu jiran mengadakan kenduri kendara. Semua ini nampak mudah tetapi sebenarnya sukar dilakukan.

Kita hanya akan tersenyum kepada orang yang kita suka dan kenal, sedangkan tidak rugi memberikan senyuman kepada semua makhluk Allah di dunia ini. Selalunya mereka yang murah senyuman mempunyai ramai kawan kerana sikapnya disenangi. Ramai kawan adalah ganjaran daripada sikap suka tersenyum. Nampak tidak penting tetapi kawan boleh menjadi penyebab kepada hidup yang gembira.

Sebenarnya hidup akan lebih mudah jika kita melihat sesuatu secara positif. 

Jangan terlalu mengharapkan orang melakukan sesuatu untuk kita kerana tidak salah, malah lebih baik jika kita yang memulakan perkara memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri juga orang lain.

Saya sendiri melalui pengalaman menakjubkan. Hakikatnya, bukan sebesar mana pengorbanan yang dilakukan tetapi Alhamdulillah, balasan diterima mengingatkan saya supaya tidak jemu untuk memberi. Bukan bermakna semua dilakukan mengharapkan ganjaran tetapi Allah Maha Pemurah kepada hamba-Nya.

Masa diluangkan membantu masyarakat diberi kelebihan pada perkara lain. 

Syaratnya kita perlu yakin setiap perkara baik akan dibalas baik dan yang penting ia dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah.

Balasan diterima tidak semestinya ketika hayat kerana mungkin ganjaran menanti di akhirat atau yang mendapat manfaat adalah anak cucu kita nanti.

Sempena Aidiladha yang bakal dirayakan Ahad ini, marilah bersama kita hulurkan tangan membantu golongan memerlukan mengikut kemampuan kita. Bagi yang ada rezeki lebih boleh menyembelih haiwan ternakan untuk disedekahkan, bagi yang tidak berkemampuan pula boleh berganding bahu membantu melapah daging untuk diagihkan.

Kita semua boleh memainkan peranan masing-masing mengikut kadar kemampuan. Semoga pengorbanan tulus ikhlas itu diterima Allah. Selamat meraikan Hari Raya Korban.

(Ayat merawat demam atau selesema (menguatkan antibodi lemah), bacalah Surah Al-Anfaal [8] , ayat 36-50 dan Surah An-Nahl, [16]  ayat 51-64. Amalkan tiga kali sehari atau lebih dan berdoa kepada Allah semoga diberi penyembuhan). 

Berita Harian 2011/10/31
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...