بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Berselawat ke atas Nabi. Show all posts
Showing posts with label Berselawat ke atas Nabi. Show all posts

Tuesday, March 26, 2013

Berselawat setiap nama Rasulullah disebut



Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari) 


Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. 


Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya. 

Sebakhil-bakhil manusia 

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar. 

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia. 

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu.

(Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami) 


Friday, February 17, 2012

Berselawat lebih utama



SOALAN:

SAYA keliru sama ada lebih baik kita bersedekah al-Fatihah ke atas nabi SAW atau berselawat ke atas baginda.

JAWAPAN:

Pastinya berselawat ke atas baginda adalah lebih utama berbanding bersedekah fatihah. Ini kerana perintah berselawat ke atas baginda jelas dalam al-Quran.

Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas baginda. Yang demikian jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Imam al-Tabari menjelaskan dalam tafsirnya, selawat dalam ayat ini bermaksud 'memberkati'.

Dengan kata lain, Allah SWT dan para malaikat mengucapkan keberkatan ke atas baginda Rasulullah SAW.

Selepas turun ayat ini baginda membacakannya kepada para sahabat, di antara sahabat ada yang bertanya: "Wahai Rasulullah ucapan Salam ke atas tuan telah kami ketahui, bagaimana pula dengan ucapan selawat? Lantas baginda mengajarkan mereka mengenai selawat:Allahumma solli 'Ala Muhammad wa 'ali Muhammad wa baarik 'ala Ibrahim wa 'ala 'Ali Ibrahim, innaka hamidun majid.

Ada juga yang menamakan selawat ini dengan selawat ibrahimiyyah. Berdasarkan riwayat, ada beberapa bentuk selawat yang lain diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat pada ketika diajukan soalan berkaitan dengan selawat.

Namun selawat ibrahimiyyah dibaca dalam solat selain daripada selawat ke atas baginda yang ringkas. Perlu juga diingat bahawa selawat yang diucapkan dalam solat adalah rukun dalam solat, tanpanya tidak sah solat.

Namun selawat yang wajib dalam solat telah melepaskan kita daripada kewajipan selawat. Ini kerana di kalangan ulama yang berpendirian selawat yang diperintahkan Allah ke atas orang yang beriman adalah wajib, dikira berdosa bagi mereka yang tidak berselawat ke atas baginda.

Dengan demikian selawat keatas baginda di luar solat adalah sunat yang sangat dituntut. Mereka yang banyak berselawat pastinya akan dapat merasakan kehebatan Dan keberkatan selawat ke atas baginda.

Selawat ke atas baginda SAW adalah suatu yang tidak wajar diabaikan, sedang Allah SWT dan para malaikat sentiasa bahkan berterusan akan berselawat ke atas baginda, iaitu mengucapkan keberkatan ke atas baginda.

Di dalam kitab-kitab hadis, para ulama mensyarahkan bahawa jika selawat daripada Allah SWT maksudnya, puji-pujian. Jika selawat itu daripada para malaikat adalah bermaksud doa.

Di antara kelebihan dan keutamaan selawat ke atas baginda dapat dilihat melalui beberapa hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

  • "Sesiapa yang berselawat ke atas aku di pagi hari sebanyak 10 kali dan di kala petang 10 kali maka dia akan beroleh syafaatku. (riwayat al-Tabraniy)


  • "Orang yang paling utama bagiku di hari kiamat adalah orang yang banyak selawatnya ke atas aku". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban)


  • "Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah berselawat ke atasnya 10 kali dan dihapuskan baginya 10 kesalahan dan diangkat 10 darjat. (riwayat Ahmad)


Banyak lagi riwayat yang menyebut kelebihan berselawat ke atas baginda yang tidak sempat disebut di sini.
Namun sebagai seorang Muslim yang inginkan cinta Rasulullah SAW pastinya akan banyak berselawat ke atas baginda. Mustahil bagi akal apabila mengaku cinta tetapi tidak disebut dan disuburkan cinta tersebut dengan berselawat.

Saya yakin sesungguhnya mereka yang membanyakkan selawat ke atas baginda dengan penuh kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi ke atas baginda akan melayakkan diri untuk beroleh syafaat Rasulullah SAW.

Saya juga ada membaca beberapa riwayat yang menyebut bahawa selawat dan salam yang diucapkan oleh seseorang ke atas baginda SAW akan disampaikan oleh malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan salam dan sejahtera yang diucapkan oleh seseorang kepada baginda SAW.

Bayangkan, hari ini kalau ada di antara kita yang berselawat ke atas Rasulullah SAW kemudian selawat dan salam itu disampaikan oleh malaikat kepada nabi SAW, indahnya hari tersebut.

Maka bagi beroleh keberkatan hidup Dan kasih sayang Allah SWT maka memperbanyakkan selawat seharusnya menjadi rutin dalam diari kehidupan seharian.
Beruntunglah mereka yang membanyakkan selawat

Saturday, September 17, 2011

Selawat ke atas Rasulullah perintah wajib

SOALAN 


Kenapa kita ucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW sahaja, sedangkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain kita hanya ucapkan selamat sejahtera?


Jawapan
Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). 

Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain.

Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1- Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2- Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW.

Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

A056

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lain.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. 

Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalu dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. 


Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui.(riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmizi).



3- Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

3- Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

4- Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasulul-Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

5- fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...