Gambar-gambar ni diambil dari google images
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Madinah. Show all posts
Showing posts with label Madinah. Show all posts
Wednesday, November 2, 2011
Friday, September 23, 2011
Madinah dambaan umat Islam
Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA
MADINAH Al-Munawwarah merupakan kota kedua suci bagi umat Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Ia menjadi dambaan bagi umat Islam untuk mengunjunginya walaupun sekadar sekali sepanjang hayat.
Terletak di utara Mekah kira-kira 447 kilometer (km) atau lebih kurang tujuh jam perjalanan dari Mekah. Sebelah utara Kota Madinah disempadani dengan Bukit Uhud dan sebelah selatan disempadani dengan Bukit 'Iyr.
Di sebelah timur disempadani dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Sharqiyyah dan di sebelah barat dengan laba hitam yang dinamakan Harrah al-Gharbiyah.
Madinah dahulunya dikenali sebagai Yathrib sempena dengan nama orang yang mula-mula membuka penempatan di sana iaitu Yathrib bin Ubayl bin Iwadh dari keturunan Sam anak Nabi Nuh a.s
Tempat-tempat menarik
Terdapat banyak tempat menarik dan bermakna untuk dilawati di bandar suci ini. Di bandar Madinah itu sendiri terutama di dalam kawasan penempatan jemaah haji (Markaziyah), tempat tumpuan utama dilawati adalah Masjid Nabawi.
Pagar Masjid Nabawi dahulunya merupakan tempat terdirinya Kota Madinah semasa zaman Rasulullah SAW.
Untuk melalui pintu masuk utama masjid ini, perlu melewati dataran jam yang kadangkala diserikan dengan kicauan burung merpati. Daripada pintu ini kita akan terus berjalan menuju ke pintu utama belakang masjid (Bab Malik Fahad).
Apabila masuk sahaja ke pintu ini lebih kurang 10 meter ke sebelah kanan terdapat sekeping jubin berbentuk bulatan dan berwarna kehitaman. Ia ditutup dengan karpet dan dijaga oleh seseorang.
Di sinilah dahulu terletaknya perigi Madinah yang menjadi sumber minuman penduduk zaman Rasulullah SAW.
Apabila kita menuju ke hadapan dalam masjid sambil menghadap kiblat, lebih kurang pada kedudukan 50 meter dari pintu masuk utama atau pada tempat letak kasut bernombor 200 dan ke atas, akan kita dapati bahagian Masjid Nabawi yang terbuka.
Kawasan yang terbuka inilah diberitakan merupakan kebun kurma seorang sahabat yang diwakafkan untuk didirikan masjid iaitu Abdul Rahman bin Auf.
Apabila kita maju ke hadapan lagi, pada sebelah kirinya kita akan mendapati satu tempat sedikit tinggi dan berpagar. Inilah tempat ahli suffah iaitu satu tempat di mana para-para sahabat beriktikaf untuk mempelajari atau menerima hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya adalah Abu Hurairah r.a
Di hadapan tempat berpagar ini, ada satu kawasan berpagar dan bertembok batu berwarna hijau. Inilah hujurat iaitu rumah Aisyah isteri Rasulullah SAW. Di dalamnya terdapat kubur Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda iaitu Abu Bakar dan Umar.
Sementara itu, antara makam Nabi dengan Mimbar Nabi adalah raudah iaitu taman di antara taman-taman syurga menjadi tempat rebutan umat Islam yang berkunjung ke Madinah. Bersebelahan dengan mimbar sekarang iaitu di sebelah kiri mimbar utama terdapat mihrab solat lama dipercayai mihrab Nabi SAW.
Selain itu, sebaris mihrab utama iaitu tempat imam mengetuai solat sekarang kira-kira 10 meter sebelah kiri mihrab ini terdapat mihrab lama dipercayai mihrab Khalifah Uthman. Menghadap kiblat atau mihrab solat utama di sebelah kanannya adalah pintu utama Bab Salam tempat utama umat Islam masuk ke masjid dan sebelah kiri mihrab adalah pintu Babul Baqi'. Berhadapan pintu ini terdapat perkuburan umat Islam Madinah dikenali sebagai Perkuburan Baqi'.
Perkuburan Baqi' pada asalnya mempunyai dua tempat iaitu Baqi' Ummahatul Rasul dan Baqi' Ul-Gharqad.
Pada zaman Khalifah Uthmaniyah, perkuburan itu disatukan dan jemaah haji lelaki sahaja dibenarkan untuk menziarahinya. Bagi jemaah haji wanita, mereka boleh melihat dari luar pagar perkuburan.
Daripada pintu utama perkuburan ini, menghadap sebelah kiri adalah perkuburan lama yang terdiri daripada ahli keluarga nabi termasuk bapa saudara baginda.
Ia dibuka selepas subuh sehingga pukul 8 pagi dan selepas asar sebelum masuk waktu maghrib.
Apabila kita maju ke hadapan, terdapat perkuburan anak-anak perempuan Rasulullah SAW.
Pada jalan utama menuju ke belakang terdapat perkuburan isteri-isteri Rasulullah SAW diikuti kubur Imam Malek bin Anas. Diikuti kubur Imam Qiraat Nafi. Kemudian kubur Ibrahim anak Rasulullah SAW dan kubur Syuhada Hurrah.
Apabila kita berjalan terus ke belakang, kita akan menjumpai kubur sahabat nabi SAW iaitu Uthman bin Affan. Di sebelah penjuru kiri perkuburan Baqi', terdapat perkuburan Fatimah bt Said iaitu ibu kepada Saidina Ali dan diikuti perkuburan Said al-Khudri.
Thursday, July 14, 2011
Bahasa Melayu di Madinah
LAUNGAN "25 Riyal! 25 Riyal!...Mari ibu, hajah-hajah, mari beli! Murah, murah" daripada peniaga, kedengaran di lorong-lorong di luar Masjid Nabawi menyambut jemaah yang baru selesai menunaikan solat mereka.
Yang menariknya bahasa yang sering digunakan peniaga-peniaga ini ialah Melayu.
Penulis yang berada di tanah suci Madinah baru-baru ini, mendapati penggunaan Bahasa Melayu semakin meluas dan lebih ramai menggunakannya terutama dalam kalangan peniaga.
Sememangnya, sekitar minggu terakhir bulan Mei sehingga pertengahan Jun, ramai pengunjung terdiri daripada warga Malaysia, berada di Madinah.
Sempena cuti sekolah, ramai yang turut membawa anak-anak mereka menziarah kota Madinah sebelum ke tanah suci Mekah melakukan ibadah umrah.
Peniaga-peniaga di Madinah kebanyakannya datang dari negara-negara yang berjiran dengan Arab Saudi termasuk Afrika.
Mereka menjual jubah berbunga dengan labuci dan perada emas atau perak, kain tudung, barang perhiasan diri yang diperbuat daripada plastik dan lain-lain, serta pakaian lelaki dan perempuan, untuk dibeli jemaah sebagai tanda mata dibawa pulang untuk rakan dan sanak saudara di tanah air masing-masing.
Kebanyakan peniaga bagaimanapun tidak mempunyai lesen dan mereka akan lari bertempiaran apabila melihat pegawai penguatkuasa datang. Kadang kala ini berlaku ketika pembeli dan peniaga sedang tawar menawar.
Apabila peniaga lari, ada yang meninggalkan saja barangan lelongan mereka.
Pembeli pula takut untuk berganjak dan menunggu penjual itu datang semula.
Adakalanya, peniaga hanya menarik kain alas yang digunakan untuk menghampar barang jualan di atasnya, diikat seperti satu bunjutan besar dan lari bersembunyi di balik tiang-tiang di seberang jalan atau di dalam kedai-kedai di tepi jalan utama, yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari Masjid Nabawi.
"Saya suka berebut-rebut membeli barang-barang di lorong lelong ni selepas solat waktu, terutama waktu Isyak," kata Zaleha Abdul Aziz, 50, dari Selangor.
Zaleha yang tiba pada 31 Mei lepas bersama suami dan anak-anak untuk menunaikan Umrah di tanah suci Mekah, berkata, udara agak sejuk ketika itu.
Lorong-lorong di antara Hotel Al Anwar Movenpick, Hotel Intercontinental dan lain-lain, menjadi bazar sementara yang dibuka mengikut waktu tertentu terutama selepas waktu solat.
Jika pembeli tahu bahasa Arab dan membeli secara pukal, mereka boleh mudah menawar harga dan mendapat diskaun.
Rata-rata peniaga jalanan menjual barang-barang mereka pada harga yang serupa oleh itu pelanggan tidak ada pilihan lain.
"Harga di dalam kedai pun lebih kurang juga tetapi kerana cuaca pada musim panas ini cepat meletihkan, saya lebih minat membeli apa saja yang boleh didapati di dalam perjalanan balik ke hotel. Tak perlu keluar lagi, cuma perlu bawa wang yang mencukupi.
"Kita hanya perlu memeriksa jahitan jubah atau skaf untuk memastikan tiada yang koyak atau rosak," jelas Sharifah Zakiah Syed Alwi, yang membeli barang untuk diberikan kepada sahabat handai dan sanak saudara di kampung halaman.
Ramai yang bimbang mengeluarkan wang besar kerana peniaga sering mendakwa tiada wang tukar untuk dipulangkan.
Walaupun ada pengurup wang yang berdekatan, tetapi sering dikerumuni pengunjung yang baru tiba untuk menukar mata wang.
Jemaah yang menjejakkan kaki buat kali pertama di kota Madinah pasti tidak mahu ketinggalan melawat ladang tamar yang terletak tidak jauh dari kawasan 'Jabal' atau gunung-ganang yang mempunyai kepentingan di dalam sejarah Islam.
Antara tempat ziarah yang dikunjungi dan diatur ejen pelancongan untuk jemaah dari Malaysia, ialah Jabal Uhud dan Jabal Thour, kawasan 'Wadi' atau tanah subur yang menghijau, pasar tamar dan masjid termasuk Masjid Quba', Qiblatain dan Masjid Tujuh.
Kos hotel di Madinah agak tinggi terutama yang terletak berhampiran Masjid Nabawi, sekurang-kurangnya SR550 (atau RM440) satu malam, untuk bilik berkongsi dua, pada bulan Mei hingga Julai.
"Harga untuk bulan Ramadan belum ditentukan lagi," jelas seorang petugas kaunter di Hotel InterContinental. Harga bilik paling murah di hotel bertaraf lima bintang ini ialah SR650 (RM520) satu malam.
Hotel ini terletak hanya 50 meter dari Masjid Nabawi. — BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)