بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Memahami Makna Takdir. Show all posts
Showing posts with label Memahami Makna Takdir. Show all posts

Wednesday, March 20, 2013

Doa harapkan bantuan Ilahi




Nasib boleh berubah jika ada usaha perbaiki diri

Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau besar, mudah atau susah, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu boleh berubah menerusi doa. 



Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk berdoa bersumberkan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya: 
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60) 


“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan." Surah al-Nahl, (ayat 61)

Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan, mana mungkin Allah SWT menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang lain, Allah SWT turut memerintahkan hamba-Nya berusaha memperbaiki diri dan tidak hanya menyerah urusan hidup kepada takdir-Nya. 

Firman-Nya: 
“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11) 

Takdir boleh berubah ikut usaha

Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan insan jika diizinkan Allah SWT bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Abu Hurairah juga menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa untuk berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang menyusahkan.” (Riwayat Imam Muslim) 

Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dalam Majmu’ Fatawa Arkanil Islam: “Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah ditulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna anda meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa anda telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir).” 

Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah SWT. Dia tahu pada sekian masa individu itu akan berdoa dan sama ada doanya dimakbulkan serta bila dimakbulkan, tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah SWT.

Dalam erti kata lain, sebab yang kita usahakan, semua itu termasuk dalam takdir Allah SWT. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang dibincangkan ini. 

Kematian tidak akan tertunda

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal itu dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal itu termasuk takdir Allah. (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin: “Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah, begitu juga segala sebab mempunyai pengaruh terhadap musababnya dengan izin Allah. Maka semua sebab telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis.” 

Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat. 

Firman-Nya: 
“Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” (Surah al-Nahl, ayat 61) 

Timbul pula persoalan kedua, jika waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah dengan doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah SWT.

Doa panjang umur

Oleh itu, dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah SAW pernah mendoakan supaya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah keampunan kepadanya.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad) 

Ternyata dengan izin Allah SWT Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun.

Bukan berdoa saja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia seseorang. Diriwayatkan: “Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambah umur melainkan amal kebaikan.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi) 

Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk mendapat bantuan Allah SWT, doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.



Wednesday, June 29, 2011

Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir


Oleh Ustaz Zahazan Hj Mohamed

Soalan: 


SEORANG kawan saya bertanya soalan berkaitan dengan takdir dan usaha manusia. Pertanyaannya: "Jika memang benar Allah telah mentakdirkan segala sesuatu terhadap manusia, maka apakah erti penilaian Tuhan terhadap usaha manusia?" Bagaimana jawapan patut saya cakap? Boleh ustaz jelaskan maksud takdir mengikut al-Quran dan hadis. 

Jawapan: 

ALHAMDULILLAH Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d.

Kalimah takdir diambil daripada kata qaddara yang antara lain bererti memberi qadar atau ukuran. Jika kita berkata: “Allah mentakdirkan”, itu bererti “Allah memberikan kadar atau ukuran atau batas tertentu dalam diri, sifat dan kemampuan makhluk-Nya.”


Segala sesuatu sama ada kecil atau besar ditetapkan oleh Allah takdir baginya. 

Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 2 yang bermaksud: 

“(Allah) yang menciptakan segala sesuatu lalu Dia menetapkan atasnya Qadar (ketetapan) dengan sesempurnanya.” 

Dalam surah Yasin ayat 38, Allah SWT berfirman:

“Matahari beredar di tempat peredarannya. Demikian itulah takdir/ukuran yang ditentukan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”


Peristiwa-peristiwa yang terjadi di alam semesta ini, sama ada dari sudut kejadiannya, dalam kadar/ukuran tertentu, pada tempat dan waktu tertentu, itulah yang dinamakan takdir termasuk manusia. Peristiwa-peristiwa itu berada dalam pengetahuan dan ketentuan Tuhan. Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran yang diberikan Allah kepadanya. Makhluk manusia sebagai contoh tidak dapat terbang. Ini adalah suatu takdir/ukuran batas kemampuan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Manusia tidak mampu melampauinya kecuali jika dia menggunakan akalnya untuk mencipta sesuatu alat. Namun begitu, akalnya juga mempunyai ukuran/batas yang tidak mampu dilampaui. Manusia tetap berada di bawah hukum-hukum Allah sehingga segala yang kita lakukan pun tidak terlepas dari hukum-hukum yang mempunyai kadar dan ukuran tertentu.

Hanya kerana hukum itu cukup banyak dan kita diberi kemampuan memilih, tidak seperti matahari dan bulan sebagai contoh. Maka kita dapat memilih yang mana di antara takdir atau ukuran-ukuran yang ditetapkan oleh Allah itu sesuai dengan kita. Pilihan adalah hak kita. Sebagai contoh ketika di Syam (yang dimaksudkan dengan Syam iaitu Syria, Palestin dan sekitarnya) berlaku wabak. Umar bin al-Khattab yang ketika itu mahu berkunjung ke sana, lalu membatalkan rancangannya. Ketika itu tampil seseorang bertanya: “Apakah kamu lari dari takdir Tuhan? Umar menjawab: “Saya lari dari takdir Tuhan ke takdir-Nya yang lain.” Berjangkitnya penyakit adalah berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya. Bila seseorang tidak menghindari daripadanya, dia akan menerima akibatnya. Akibat yang menimpa itu juga dinamakan takdir. Bukankah Tuhan telah menganugerahkan kemampuan untuk memilih?

Syurga dan neraka adalah akibat daripada pilihan manusia masing-masing.

Bukankah Allah menegaskan dalam surah al-Balad ayat 10 yang bermaksud:

“Kami telah memberikan petunjuk kepadanya (manusia) dua jalan (baik dan buruk).” 

Begitu juga dalam surah al-Kahfi ayat 29 yang bermaksud: 

“Katakanlah, kebenaran bersumber dari Tuhanmu, maka siapakah yang ingin (beriman), silakan beriman. Dan siapakah yang ingin (kufur), silakan kufur.” 

Pilihan itulah yang dinilai Allah dan atas dasarnya, Allah menetapkan balasan dan ganjaran. Allah mengetahui segala sesuatu berlaku, sama ada sebelum, sedang dan akan berlaku. Tetapi pengetahuan ini tidak ada kaitan dengan pilihan manusia. Jika seorang pelajar yang diketahui malas dan tidak akan lulus ujian, apakah pengetahuan guru itu menyebabkan ia tidak lulus? Tentu saja tidak. Begitulah pengetahuan Allah yang meliputi segala sesuatu. Demikianlah, wallahua’lam.

Berita Harian2011/06/26
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...