بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Melanie. Show all posts
Showing posts with label Melanie. Show all posts

Wednesday, May 16, 2012

Melanie selesa berjilbab

Tidak timbul soal paksaan, apabila wanita Islam selesa dan masih bergerak bebas walaupun berjilbab. - Gambar hiasan

ARKIB : 10/05/2012
MELANIE Jane, seorang wanita Inggeris dari Britain yang memutuskan untuk memeluk agama Islam pada usia yang masih muda.

Gadis itu memeluk Islam ketika berpindah dan bertugas di Dubai, Emeriah Arah Bersatu yang merupakan sebuah negara Arab moden tetapi berjaya memberikan pengaruh besar kepadanya sehingga membolehkan Melanie menukar agama.

"Saya fikir saya merupakan produk daripada orang tua yang sangat mengambil berat terhadap saya sebagai anak mereka.

"Kedua ibu bapa saya sangat berfikiran terbuka dan sangat mengambil peduli apa juga isu yang sedang berlaku di sekeliling kita. Mereka selalu mengajar saya supaya tidak mendiskriminasikan siapa jua, baik dari aspek agama, budaya, warna kulit atau apapun.

"Saya berfikir bahawa mereka telah memberi saya satu landasan kukuh untuk melakukan kajian dan akhirnya menjadikan saya seperti sekarang ini," katanya.

Bergelar Muslimah turut merubah penambilan Melanie yang mana kini dia selesa berjilbab sehingga menimbulkan tanggapan negatif di kalangan mereka yang mengenalinya seperti: "Oh, lihat dia! Pastinya (perubahan) kerana dia bernikah dengan seorang lelaki Muslim." atau "Lihat dia sekarang! Sayang sekali, kenapa dia harus jadi seperti itu (Muslim). Sekarang dia tertindas (kerana memakai jilbab)!"

Begitulah pelbagai persepsi yang dilemparkan terhadap Melanie yang memilih untuk menjadi Muslimah sejati dengan menutup aurat.

"Mereka beranggapan bahawa saya berpakaian seperti ini kerana suami saya memaksa memakainya. Atau, mungkin kerana sesuatu yang saya diberitahu bahawa saya mesti melakukannya.

"Tetapi sebenarnya mereka tidak tahu bahawa alasan (kehendak) yang sebenarnya ialah kerana agama yang menjadi dasar atau sebab kenapa saya menutup aurat.

"Secara peribadi saya berfikir seseorang itu memiliki satu wawasan yang unik ketika memakai jilbab dan mengetahui dengan jelas mengapa memakainya.

"Perkara menutup aurat ini bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri dan demi Allah. Itulah alasan kita memakainya, bukan kerana orang lain meminta kita melakukannya," katanya.

Kejadian yang dianggap lucu yang pernah dialami oleh Melanie ialah satu insiden yang berlaku di sebuah salon rambut.

"Saya memasuki salon dalam keadaan saya mengenakan jilbab. Ketika saya duduk dan setelah selesai memotong rambut, saya disapa oleh seorang wanita yang berada di situ. Dia bertanyakan sama ada saya sudah bernikah.

Saya berkata: "Ya, benar."

Lalu dia berkata: "Pastinya anda menikahi dengan seorang warga tempatan?" Ketika itu Melanie Jane bekerja di Dubai.

Maksud wanita itu tentunya Melanie, seorang wanita kulit putih memakai jilbab disebabkan pernikahannya dengan seorang lelaki warga tempatan.

"Saya rasa ini adalah contoh prasangka masyarakat terhadap jilbab, iaitu orang ramai sering menganggap bahawa anda telah dipaksa untuk memakainya bukan kerana Islam dan bukan kerana pilihan anda sendiri, tetapi kerana terpaksa," katanya.

Sebab itu kata Melanie, soal bertudung dalam Islam perlu diperjelaskan supaya para wanita Islam yang berpakaian menutup aurat tidak diperlekehkan dan tidak di pandang dengan pelbagai pandangan negatif sehingga dilihat sebagai sesuatu yang pelik.

"Saya harus mula untuk menjelaskan semua ini kepada mereka walaupun saya sendiri baru mengenali dan masih belajar mengenai Islam.

"Kita perlu memberikan penjelasan dan perlu meluangkan waktu untuk menjelaskan hal ini kepada orang ramai," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...