بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Syarat Sah Imam Solat. Show all posts
Showing posts with label Syarat Sah Imam Solat. Show all posts

Thursday, April 19, 2012

Solat sah jika budak fasih bacaan, hafalan jadi imam




Oleh Imam Muda Muhammad Asyraf

2012/04/17

Pelbagai pandangan ulama dibahas, dikupas berdasarkan hadis Nabi bagi perjelas hukum

SETIAP ibadah dilakukan Muslim mempunyai maqasid atau tujuan tertentu seperti disyariatkan Allah SWT. Begitu juga solat, rukun kedua dalam Islam dan tiang agama dalam kehidupan Muslim. Antara maqasid ibadah solat untuk mencegah manusia melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dirikan sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), serta (ingat) bahawasa Allah maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)


Apabila seseorang Muslim menunaikan solat, maka Allah SWT akan memeliharanya daripada segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Mungkin ada yang bertanya mengapa ada sesetengah orang yang menunaikan solat lima waktu tetapi masih melakukan perkara mungkar?

Dalam hal ini kita perlu menilai bagaimanakah kualiti solat seseorang itu dari aspek keikhlasan, kekhusyukan dan ketertiban solatnya. Seperti kita ketahui solat berjemaah lebih mulia berbanding solat berseorangan, sebanyak 27 kali ganda.

Apabila memperkatakan mengenai solat berjemaah, maka ada kaifiyat atau cara tertentu perlu diikuti dalam memastikan solat itu sah dan diterima sebagai solat berjemaah. Antara perlu diutamakan adalah keadaan imam ketika mengimamkan solat berjemaah terutama solat fardu.

Beberapa syarat sudah diletakkan sarjana Islam berkenaan kelayakan seseorang untuk menjadi imam solat antaranya imam itu mesti seorang lelaki yang paling baik bacaannya dan individu yang mengetahui mengenai hukum-hakam dalam solat.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Hendaklah orang yang menjadi imam bagi sesuatu kaum itu yang terbaik bacaan al-Qurannya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Timbul persoalan di kalangan kita, adakah kanak-kanak layak menjadi imam solat? Adakah solat diimamkan kanak-kanak dianggap sah? Dalam persoalan ini kita akan melihat beberapa pandangan ulama berkenaan solat jemaah yang diimamkan kanak-kanak.

Pada pandangan sebahagian ulama Mazhab Hanbali, solat diimamkan kanak-kanak yang belum baligh dikira tidak sah jika makmum diimamkan adalah makmum yang sudah akil baligh. Ini pendapat beberapa tokoh utama Mazhab Hanbali iaitu Abul Najaa al-Hijawi dan Ibnu Qudamah al-Hanbali.

Pada pandangan Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam karyanya al-Kaafi, seorang kanak-kanak itu boleh menjadi imam solat sunat dan tidak sah untuk solat fardu jika makmumnya adalah lelaki yang sudah akil baligh. Pendapat ini juga adalah pandangan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah.

Al-Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin menyatakan, ada dua hujah bagi golongan ulama yang menyatakan solat fardu diimamkan kanak-kanak dan bermakmumkan orang dewasa tidak sah.

Hujah ini merujuk riwayat daripada Nabi SAW maksudnya: “Jangan kamu semua mendahulukan mereka yang kurang cerdik dan golongan kanak-kanak di kalangan kamu dalam solat.” (Hadis riwayat al-Dailamiy)

Hujah kedua pula kerana solat fardu dilaksanakan kanak-kanak hukumnya tidak wajib, manakala solat orang dewasa hukumnya wajib dan perkara wajib itu lebih tinggi kedudukan serta kepentingannya berbanding perkara sunat.

Sebahagian sarjana Islam menyatakan solat diimamkan kanak-kanak hukumnya sah tetapi makruh, dengan syarat tiada orang baligh yang mampu menghafal ayat al-Quran dan kanak-kanak yang menjadi imam itu mestilah individu mampu menghafal ayat al-Quran. Ini pandangan al-Auza’i, Mujahid dan al-Thauri.

Pendapat ketiga dan terakhir menyatakan, solat fardu diimamkan kanak-kanak yang belum baligh adalah sah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sudah datang waktu solat maka hendaklah seorang daripada kamu melaungkan azan dan seorang lagi daripada kamu yang paling banyak hafalannya menjadi imam.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Hadis itu diriwayatkan sahabat bernama Amr bin Salamah al-Jarmi. Pada suatu ketika beliau dilantik kaumnya untuk menjadi imam kerana tiada siapa lebih banyak hafalannya kecuali beliau. Maka beliau dilantik menjadi imam pada waktu itu ketika beliau berumur enam atau tujuh tahun.

Pendapat ini juga pandangan ulama mazhab al-Syafi’i seperti dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’: “Sudah berbeza pandangan ulama dalam bab sahnya solat yang diimamkan oleh kanak-kanak bersama makmum yang sudah baligh. Sesungguhnya sudah dinyatakan sahnya (solat yang diimamkan kanak-kanak) pada pandangan mazhab kami (al-Syafi’i).” Ini juga pandangan Abu Hanifah, Ibn al-Munzir, Hassan al-Basri dan Ishak bin Rahawaih.

Menurut pandangan Imam al-Nawawi lagi, seorang kanak-kanak yang dilantik menjadi imam itu selain baik bacaan dan hafalannya, perlulah seorang yang mumayyiz iaitu kanak-kanak boleh membezakan sesuatu yang baik atau buruk.

Dalam memperkatakan hadis Nabi SAW yang melarang melantik imam di kalangan kanak-kanak, hadis itu dinilai tidak sahih oleh Imam al-Zahabi dan tidak boleh dijadikan hujah, manakala al-Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin menyatakan hadis itu tiada asal sandarannya kepada Nabi SAW.

Kesimpulannya, solat diimamkan kanak-kanak dengan bermakmumkan orang sudah akil baligh dikira sah. Sebaik-baiknya imam itu perlulah seorang yang sudah dewasa (akil baligh), mampu menghafal dan membaca al-Quran dengan sempurna, mengetahui hukum hakam solat dan mempunyai kedudukan dalam sesebuah masyarakat atau negara.

Penulis ialah juara program Imam Muda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...