بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Khusyuk Solat. Show all posts
Showing posts with label Khusyuk Solat. Show all posts

Friday, November 18, 2011

Rahsia khusyuk dalam solat


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

SOLAT adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mukminun: 1-2)

Walaupun kita menunaikan solat setiap hari namun, sejauhmana keyakinan kita dalam melakukan amalan ibadah yang diperintahkan kepada kita dalam rukun Islam kedua itu dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Atau mungkin sekadar mendatangkan penat dan letih sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." (riwayat an-Nasaie)

Untuk memperoleh solat yang sempurna perlu disertai dengan persediaan dari segi rohani dan juga jasmani.

Solat perlu dilakukan keadaan yang selesa di samping menumpukan sepenuh perhatian serta menghadirkan hati kepada Allah SWT sebagai persediaan rohani.

Daripada segi jasmani pula, solat adalah perbuatan anggota tubuh dan bacaan yang sempurna.

Justeru, untuk memperoleh solat yang sempurna yang menjanjikan ketenangan serta kebahagiaan hidup, maka amat penting kepada kita untuk menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan.

Maka proses komunikasi antara seorang hamba dan Penciptanya akan lebih bermakna dan memberikan kesan yang terbaik.

Berikutan pentingnya untuk mengecapi khusyuk dalam solat itu, Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron bersama Ibrahim Hashim mengambil inisiatif menerbitkan buku Fahami bacaan dalam solatmu.



Ia menghimpunkan bacaan-bacaan dalam solat bersama terjemahan dengan penyampaian yang ringkas dan padat serta mudah untuk difahami.

Isahak berkata, buku tersebut dihasilkan daripada kajian beliau di beberapa sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) mendapati kurang daripada 10 peratus murid atau responden yang memahami bacaan al-Fatihah dan ayat lain dalam solat masing-masing.

"Pelajar sama ada di sekolah atau di institusi hanya didedahkan dengan bacaan solat dengan menghafal setiap ayat yang perlu dibaca semasa solat. Namun, mereka tidak ditekankan memahami bacaan ayat tersebut.

"Tinjauan peribadi saya juga mendapati, buku atau penulisan mengenai terjemahan bacaan dalam solat adalah sangat kurang diterbitkan oleh mana-mana organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerangkan buku Fahami bacaan dalam solatmu di Rumah Universiti, Universiti Malaya baru-baru ini.

Kajian tersebut memberi ilham kepada Isahak untuk menerbitkan sebuah buku sebagai panduan kepada masyarakat terutamanya orang yang baru memeluk Islam sebagai rujukan untuk menunaikan solat dengan sempurna dan menerima ganjaran penuh daripada Allah SWT.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, "Seseorang hamba itu bersolat dan hanya mendapat satu persepuluh daripada solatnya, atau satu persembilan, atau satu perlapan, atau satu pertujuh, atau satu perenam, atau satu perlima, atau satu perempat, atau satu pertiga atau separuh". (riwayat Abu Dawud, Ahmad)

Buku ini mengandungi 13 bab bermula dengan bacaan wuduk sehingga bacaan tahiyat akhir. Di samping itu, buku itu juga menyediakan latihan tambahan untuk menambah kefahaman dan menguji meningkatkan daya ingatan serta hafalan.

Bagi pemahaman pembaca, penulis juga menyediakan ilustrasi bergambar sebagai panduan menunaikan solat dengan kaedah yang betul serta terjemahan lengkap secara per-kata bagi setiap ayat dan perkataan yang dibaca semasa solat.

Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan penerangan ringkas, buku ini sesuai digunakan oleh segenap lapisan masyarakat bagi membantu meningkatkan rasa khusyuk dalam solat.

Ia sesuai dijadikan bacaan peribadi atau sebagai panduan dalam kelas pengajian untuk masyarakat umum.

Oleh itu, pembaca dapat memahami setiap bacaan yang dituturkan dalam solat dan menghayati ibadah yang dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Buku itu juga secara tidak langsung mengajar pembaca untuk memahami dan mempelajari bahasa Arab yang merupakan bahasa syurga itu.

Sunday, August 14, 2011

Persoalan Agama: Sentiasa buat baik, khusyuk berharap rahsia doa dimakbul



2011/08/14
Soalan: 
 
USTAZ, saya selalu berdoa setiap kali sesudah solat. Namun bagaimana cara menjadikan doa kita dimakbulkan Allah. Mungkinkah doa kita akan ditolak walaupun doa yang kita mohon itu baik. 

HAMBA ALLAH, Kulim, Kedah. 

Jawapan: 
 
ALHAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT mahu agar manusia mengucap, “Ya Allah Ya Rabbi Ya Tuhanku” supaya manusia memperoleh pahala. Namun ucapan itu hendaklah lahir dari hati yang ikhlas dan dengan sukarela. Perlu diingat, mungkin seseorang memohon sesuatu yang menurut sangkaannya baik, tetapi menurut Allah akan mendatangkan keburukan bagi dirinya. Manusia memohon kekayaan, kalau diberi dapat merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari Allah. Kekayaan yang diberikan kemudian digunakan untuk melanggar ketentuan atau hukum Allah.

Allah berkeinginan menjaga dan melindungi hamba-Nya, memberi kurniaan pahala akhirat dan kebahagiaan syurga. Suatu ketika, seseorang yang mengikuti satu rombongan pelancongan menyesal kerana bas yang hendak dinaikinya terlepas.

Namun beberapa ketika, dia mendapat berita bas yang mahu dinaikinya itu terbabit kemalangan mengerikan. Ternyata gagalnya tadi sebenarnya ada hikmah, sebab jika dia berada bersama rombongan dalam bas, maka dia juga akan mendapat kecelakaan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216: 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik kepadamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Pada umumnya manusia melihat dunia dari sudut lahiriah saja, tidak sampai kepada hakikat. Manusia lupa akan kewajipan dalam menuntut haknya (memohon dalam berdoa).

Bagaimana kewajipan yang seharusnya dipenuhi oleh manusia dalam berdoa. Perkara terbabit dijelaskan oleh Allah SWT ketika nabi-nabi memohon doa kepada-Nya dan doa itu dikabulkan Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 90 yang bermaksud:
“Bahawasanya mereka adalah orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang khusyuk kepada kami.”

Doa Nabi dikabulkan Allah kerana Nabi menyandang tiga sifat sebagai syarat dikabulkan doa. Pertama, selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan baik. Kedua, berdoa dengan (perasaan) harap dan cemas kalau doanya tidak dikabulkan. Ketiga, khusyuk, tunduk dan patuh kepada Allah.

Demikianlah, wallahua’lam.

Sunday, July 10, 2011

Persoalan Agama: Ketulusan hati, tenang rahsia khusyuk dalam solat

Soalan:
SAYA ingin bertanya, bagaimana sebenarnya cara untuk khusyuk dalam solat. Adakah petua-petua yang saya boleh gunakan untuk khusyuk? Ada kalanya saya boleh khusyuk dan pada masa lain pula sukar.

Jawapan:

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud: 


“Sesungguhnya sudah berjaya orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat.”

Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh seorang yang beriman? Adakah mencukupi sekiranya seseorang itu mengerjakan solat bagai ayam makan padi, belum sempat dahi kepala menyentuh tempat sujud, sudah kembali bangkit dengan tergopoh gapah? Adakah orang begini dikira sebagai khusyuk? Sudah tentu tidak.

Ada ulama yang menjawab persoalan ini dengan mengatakan khusyuk ialah apabila seseorang itu bersolat dalam keadaan tetap, tenang tanpa bergerak, bergoyang atau menoleh ke kiri dan ke kanan. Diceritakan suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab terpandang seorang lelaki yang sedang memegang dan bermain-main janggutnya ketika solat, lalu Saidina Umar berkata: “Seandainya khusyuk hati lelaki ini nescaya khusyuklah segala anggota.”

Ada juga ulama mengatakan bahawa orang yang khusyuk adalah orang yang memberi sepenuh perhatian, pemikiran, ingatan dan lintasan hati kepada solat yang dikerjakan dengan meneliti makna ayat-ayat yang dibaca dan menghayati keseluruhan solat itu sendiri tanpa memasukkan dalam ingatan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat yang mengganggunya untuk khusyuk.

Justeru, apabila seseorang hendak mendirikan solat, namun pada masa yang sama makanan sudah dihidangkan, maka Rasulullah memerintahkan untuk kita makan dulu sekiranya waktu solat masih panjang.

Selain itu kita dilarang untuk menahan kentut atau buang air kecil atau buang air besar sekiranya hendak mendirikan solat.

Imam Ghazali RHM meletakkan beberapa pendekatan untuk kita khusyuk iaitu:

Pertama - hendaklah mengetahui dan memahami benar-benar solat yang dikerjakan.

Kedua - Ketika solat hendaklah berhampiran hadapan dinding.

Ketiga - Hendaklah sentiasa memandang ke tempat sujud.

Keempat - Tempat sujud janganlah ada sebarang gambar atau lukisan.

Jika anda mengerjakan solat dengan khusyuk dan penuh ketenangan, Allah akan menyegerakan pahala dan ganjaran anda. Tetapi jika anda tidak boleh khusyuk, anda tidak boleh meninggalkannya kerana solat itu wajib dan amal yang fardu.

Jika anda mengerjakannya terus menerus tanpa meninggalkannya, anda akan mendapat pahala. Anda juga hendaklah faham bahawa Allah SWT tidak menuntut tanggungjawab terhadap persoalan-persoalan yang kita tidak mampu melaksanakannya. Mungkin kita perlu muhasabah kembali kenapa susah untuk khusyuk. Adakah kita masih tidak meninggalkan maksiat? Begitu juga hendaklah memastikan segala hajat seperti buang air besar atau kecil ditunaikan dulu.

Usahakan untuk memahami bacaan dalam solat. Di samping itu, hendaklah menyedari setiap pertuturan dan pergerakan dalam solat. Seterusnya, hendaklah merasakan diri sangat kerdil dan lemah di hadapan Allah SWT. 


Demikianlah, wallahua’lam. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...