Percaya kepada hal-hal tahyul dan khurafat boleh membawa kita kepada mensyirikkan Allah. |
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
KETAHYULAN atau tahyul adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ia mendatangkan khurafat kepada pemikiran umat Islam. Ketahyulan adalah tradisi yang diamalkan oleh sebahagian orang Melayu secara turun temurun.
Oleh kerana latar orang Melayu berasal dari Hindu-Buddha maka sisa-sisa ketahyulan itu masih ada. Kini, ketahyulan tidak sahaja berkembang dalam pemikiran ilmu dan budaya, tetapi disuburkan oleh corak hiburan pementasan drama dan filem.
Walaupun remaja hari ini tidak terdedah dengan pengaruh silam yang khurafat, tetapi cara ketahyulan dipersembahkan menjadi minat generasi muda.
Yang amat penting remaja insafi adalah faham tahyul boleh membawa kepada syirik dan faham tahyul juga bersifat anti-sains. Faham tahyul boleh menyebabkan pemahaman terhadap yang ghaib disalah ertikan.
Ketahyulan boleh menimbulkan rasa ketakutan kepada remaja. Remaja yang takut kerana sangka buruk terhadap sesuatu boleh menghakis daya juang mereka.
Pemikiran yang kritis dan kreatif tidak akan berkembang kerana pengaruh tahyul menjadikan mereka tidak rasional.
Meskipun kita dituntut percaya terhadap faktor-faktor yang ghaib seperti Allah, malaikat dan seumpamanya tetapi sandaran al-Quran memberi kejelasan bahawa perisyaratan daripada Allah sifatnya ilmu dan petunjuk.
Ketahyulan tidak memiliki asas-asas rasional. Ia hanya faktor bayangan manusia yang difantasikan secara kreatif dalam filem, drama dan cerita-cerita rekaan. Mesej yang bakal disampaikan kepada penonton, pembaca dan pendengar adalah rasa ketakutan yang tinggi kepada makhluk seperti jin, syaitan dan iblis tetapi bukannya ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT.
Umat yang maju tidak menjadikan ketahyulan sebagai asas sandaran. Umat yang maju menjadikan sumber ilmu dan keterampilan dalam membina modal insan dan mampu menempa kemajuan dan perubahan.
Kesan psiko (kejiwaan) kepada remaja yang ditakut-takutkan secara khayali dan penuh fantasi adalah ketidakmampuan mereka berbicara tentang fakta dan data yang sifatnya logik dan saintifik.
Ketahyulan sememangnya boleh membawa keseronokan kepada penonton dan pembaca. Ia mengajak remaja berada di dalam fantasi.
Seolah-olah meletakkan imej jembalang, hantu dan seumpamanya adalah sesuatu yang amat berkuasa dalam menentukan dalam hidup ini.
Ia secara tidak langsung menafikan Allah sebagai pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.
Oleh itu, amat penting para remaja menjauhkan diri daripada hal-hal tahyul kerana ia bukan sahaja tidak membantu memantapkan akidah kepada Allah, malah menjadikan hati remaja ragu-ragu dan dibimbangi bakal terjebak dengan ajaran sesat.
Ajaran sesat yang masih subur dalam masyarakat Melayu dan Islam pada hari ini adalah akibat terlalu percaya kepada faham tahyul mengatasi beriman kepada Allah SWT.
Malaysia memerlukan remaja yang berfikir saintifik dan berjiwa tadabbur (kaji selidik). Jiwa tadabbur boleh menghubungkan remaja dengan faktor fikir dan zikir untuk mencari kekuatan berfikir.
Dengan berfikir, manusia mengunakan kekuatan akal untuk memahami sesuatu dengan logik dan rasional. Dengan zikir manusia akan diberi pedoman oleh wahyu dan sunnah supaya hati atau kalbu dapat menilai sesuatu perkara.
Gandingan fikir dan zikir menyebabkan manusia mempunyai perspektif yang betul tentang penciptaan dan kejadian.
Remaja harus menginsafi bahawa jin, iblis dan syaitan adalah makhluk Allah dan makhluk-makhluk ini sama sekali tidak boleh mengatasi kuasa Allah.