بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Surah al-Kahfi. Show all posts
Showing posts with label Surah al-Kahfi. Show all posts

Thursday, June 6, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi : Tanda kiamat amat banyak

Sumber


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYID Qutub berkata: "Berdasarkan sistem hidup yang soleh yang diumumkan oleh beliau selaku pemerintah yang soleh iaitu menentang kerosakan di bumi, maka beliau telah menolak tawaran upah malah sanggup membina tembok itu secara sukarela. Cara yang paling mudah mengikut pandangan beliau ialah menutup dan menambak jalan laluan yang terletak di antara dua tembok semula jadi (bukit/gunung) itu. Oleh itu, beliau meminta daripada kaum yang mundur itu supaya membantu dengan kekuatan kebendaan dan tenaga fizikal."

18:95
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.(al-Kahfi [18] : 95)
Pada ayat ke-95 surah diatas juga, Ibnu Kathir berkata: "Sesungguhnya kekuasaan dan kekuatan yang diberikan Allah SWT kepadaku adalah lebih baik bagiku daripada apa yang kalian kumpulkan itu."

Demikian halnya yang dikemukakan oleh Zulkarnain, di mana dia berkata: Apa yang ada padaku adalah lebih baik daripada apa yang kalian berikan itu. Tetapi hendaklah kalian menolongku dengan kekuatan iaitu dengan perbuatan kalian dan alat-alat bangunan.

Al-Maraghi berkata: "Zulkarnain berkata, apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku iaitu kerajaan yang luas, kekuasaan dan harta yang banyak sudah memadai berbanding upah yang hendak di berikan. Oleh itu, aku tidak memerlukan upah tersebut."

18:96
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".(al-Kahfi [18] : 96)
Pada ayat ke-96 pula, Ibnu Kathir berkata: "Kata al-Zubar merupakan jamak daripada kata Zabrah yang bererti potongan. Demikian yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid dan Qatadah yang dia berbentuk seperti bata. Iaitu sebahagian diletakkan pada sebahagian posisi lainnya sehingga tumpukan itu menyamai puncak dua gunung baik panjang mahupun lebar. Namun para ulama masih berbeza pendapat mengenai luas, panjang dan lebarnyat."

Zulkarnain berkata: "Tiuplah. Maksudnya, nyalakan api di atasnya sehingga semuanya menjadi api."

Tembaga mendidih
Al-Maraghi berkata: "Beliau meminta menyediakan potongan besi dan segera membina tembok itu sedikit demi sedikit. Sehinggakan kedudukan tembok itu menjadi sama rata dengan kedua-dua gunung itu. Beliau berkata kepada para pekerjanya: Tiuplah dengan peniup api, potonglah batu besar dan letakkan di antara dua tepi gunung."

Mereka patuh dengan arahan itu dan melakukannya sehingga api membara dan menyala. Kemudian tembaga yang mendidih itu dicurahkan ke atas besi yang membara, sehingga melekat dan berjaya menutup lubang di antara besi sehingga menjadi gunung yang utuh dan licin.

Sayid Qutub berkata: "Lalu mereka mengumpul ketul-ketul besi dan menimbunkannya di jalan yang terbuka di antara dua banjaran bukit itu. Ini menjadikan dua banjaran bukit itu seolah-olah kulit luar yang membalut tembok-tembok besi yang disusun di antara keduanya, iaitu tembaga cair yang menyerap ke celah-celah besi dan bercampur dengannya untuk menjadikan bertambah kuat dan kukuh."

Cara ini telah digunakan di zaman moden untuk menguatkan besi kerana tambahan satu nisbah tembaga kepada besi dapat menambahkan ketahanan dan kekuatannya. Inilah rahsia yang telah ditunjukkan Allah SWT kepada Zulkarnain dan terakam dalam kitab suci-Nya yang kekal mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dengan itu kedua-dua bukit itu tertangkup dan menjadi sedaging dan tertutuplah jalan yang dilalui Yakjuj dan Makjuj itu.

18:97
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.(al-Kahfi [18] : 97)
Pada ayat ke-97, Ibnu Kathir berkata: "Yakjuj dan Makjuj tidak sanggup menaiki bahagian atas dinding ini dan tidak pula mampu melubanginya pada bahagian bawahnya. Ketika menaikinya lebih mudah berbanding melubanginya. Yang demikian itu merupakan dalil yang menunjukkan bahawa mereka tidak sanggup berbuat sesuatu terhadapnya."

Al-Maraghi berkata: "Tindakan tersebut menyebabkan Yakjuj dan Makjuj tidak mampu mendaki tembok kerana tembok itu terlalu tinggi dan licin serta tidak dapat melubanginya kerana keras dan tebal."
Sayid Qutub berkata: "Mereka tidak dapat memanjat dan menembusi tembok itu. Mereka tidak dapat lagi menyerang kaum yang lemah dan mundur dan membolehkan mereka menikmati keamanan dan ketenteraman."

Biarpun Zulkarnain melihat hasil usahanya yang amat besar itu tetapi beliau tidak mabuk dengan perasaan angkuh dan bangga. kerana mempunyai ilmu dan kekuatan. Beliau sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya serta memulangkan segala hasil usahanya yang baik itu kepada pertolongan dan taufik Allah SWT.

Zulkarnain menolak kekuatan dirinya dan mengakui kekuatan Allah dan menyerahkan teraju urusan kepada Allah SWT. Kemudian beliau mengumumkan hakikat yang dipercayainya iaitu gunung-ganang, kota-kota dan tembok-tembok akan dihancurkan belaka sebelum hari kiamat dan permukaan bumi akan kembali menjadi licin dan rata.



Sambungannya di SINI

Tafsir Surah al-Kahfi - Pengetahuan tentang Yakjuj dan Makjuj terbatas

Sumber

18:98
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar". (al-Kahfi [18] : 98)

PADA ayat ke-98, Ibnu Kathir berkata: "Iaitu untuk umat manusia. Allah telah menjadikan antara mereka dengan Yakjuj dan Makjuj dinding pemisah yang menghalangi berlakunya kerosakan di muka bumi."

Al-Maraghi berkata: "Sehubungan itu, Zulkarnain berkata kepada penduduk negeri itu: Tembok ini suatu nikmat dan rahmat daripada Allah kepada para hamba-Nya kerana dia menjadi benteng di antara kamu dengan Yakjuj dan Makjuj serta menghalang berlaku kerosakan di muka bumi."

Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar dari balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah akan menjadikan tanah yang datar, lalu Allah menghapuskan mereka dengan memusnah dan meratakan sama dengan bumi.

Hari berganti hari, lubang itu semakin melebar sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya terbuka pada abad ke-7 Hijrah, Yakjuj dan Makjuj keluar dan melakukan kerosakan seperti yang telah diceritakan.

Sayid Qutub berkata: "Siapakah kaum Yakjuj dan Makjuj? Di manakah mereka sekarang? Apakah tindak-tanduk mereka di masa lampau dan apakah yang akan berlaku kepada mereka?

Semua pertanyaan ini sukar dijawab secara pasti, kerana kita tidak mengetahui keadaan mereka melainkan apa yang diterangkan dalam al-Quran dan beberapa hadis sahih.

Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu dan yang dimaksudkan dengan janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.

18:99
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.(al-Kahfi [18] : 99)
Pada ayat ke-99, Ibnu Kathir berkata: "Sebahagian manusia pada hari itu atau hari hancurnya dinding tersebut. Kemudian mereka itu keluar dan bergabung bersama umat manusia serta melakukan kerosakan harta kekayaan manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki."

Ayat ini ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Yang demikian itu adalah pada saat mereka keluar ke tengah-tengah umat manusia. Semuanya itu terjadi sebelum hari kiamat tiba dan sesudah munculnya Dajjal. Itu adalah permulaan hari kiamat. Inilah pendapat al-Suddi.

Al-Maraghi berkata: "Pada waktu tembok itu ditembusi, Yakjuj dan Makjuj telah keluar dari balik tembok itu. Mereka telah (bertebaran) bercampur gaul di tengah-tengah manusia dengan merosakkan tanaman serta harta mereka."

Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Gengis Khan (sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis bahawa peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah).

Apabila kiamat hampir tiba, Sangkakala akan ditiup, (Allah SWT) akan mengumpulkan seluruh manusia untuk dihisab.

Sebenarnya, tanda-tanda kiamat amat banyak. Terutamanya tanda-tanda besar disebut seperti keluarnya Dajjal, turunnya Nabi Isa dan juga keluarnya Yakjuj dan Makjuj.

Ini menambahkan yakin dan keimanan kita bahawa wajib beriman dengan hari kiamat. Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bala dan bencana yang boleh merosakkan akidah kita. Amin.




Tuesday, May 28, 2013

Sifat Yakjuj dan Makjuj

 Isu Yakjuj dan Makjuj adalah topik yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. - Gambar hiasan

Sambungan daripada : Zulkarnain Raja Yang Adil

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

DALAM siri ini penulis sengaja membincangkan berkenaan sifat Yakjuj dan Makjuj secara khusus yang telah disebut daripada siri ini dan selepasnya.

Yakjuj berbangsa Tartar, manakala Makjuj berbangsa Monggol. Mereka berasal daripada satu keturunan bapa yang bernama Turk dan tinggal di bahagian Utara Asia. Negara mereka adalah memanjang bermula dari Tibet, China hingga ke Laut Beku Utara dan di barat hinggalah ke negeri Turkistan.

Pakar sejarah Arab dan Perancis menyatakan Yakjuj dan Makjuj ini sering menyerang negara jiran yang berhampiran. Mereka sering melakukan kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa lain. Di kalangan mereka ada bangsa yang ganas berasal dari bukit tinggi dari Asia Tengah dan berhijrah ke Eropah pada masa dahulu seperti bangsa Smith, Sumeria dan Hun. Mereka telah menyerang negeri China dan Asia Barat yang merupakan tempat menetapnya para nabi.

Selepas zaman pemerintahan nabi, mereka masih tetap berada di sempadan negara mereka dan tidak keluar dari negara mereka, sehinggalah muncul di kalangan mereka. "Si malapetaka yang bertulang," Tamujin yang mendakwa (menggelar) dirinya dengan nama Gengis Khan (bangsa Moggol) yang bererti Raja Alam.

Pada awal abad ke-7 Hijrah, Tamujin keluar dari bukit yang tinggi, jauh di Asia Tengah. Perkara pertama yang dilakukannya ialah menundukkan China Utara, kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, dengan menawan Sultan Qatb al-Din ibn Armilan, iaitu salah seorang Raja Saljuk, Raja Khawarizm. Kekejian yang dilakukan oleh Gengis Khan di negeri tersebut merupakan kekejian yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Ketika Gengis Khan mati, pemerintahannya digantikan oleh puteranya Aqtay. Manakala putera saudaranya iaitu Batu telah menyerang Rusia pada 732 Hijrah dan memusnahkan Polnia serta menghancurkan negeri Majr. Setelah Aqtay meninggal, pemerintahannya digantikan oleh Jaluk. Beliau telah memerangi Rom dan memaksa rajanya membayar ufti.

Setelah Jaluk meninggal, pemerintahannya digantikan oleh anak saudaranya, Manju yang telah menindas kedua-dua saudaranya, Kaylay dan berjaya menguasai negeri China manakala Hulaku meneruskan penguasaannya ke atas kerajaan-kerajaan Islam dan menawan pusat pemerintahan Khalifah Abbasiyah. Ketika itu pemerintahan Abbasiyah diterajui oleh Musta'sim Billah.

Pemerintahan Baghdad mulai lemah pada pertengahan abad ke-7 Hijrah. Dalam masa tujuh hari Baghdad berjaya dikuasai. Sungai-sungai di Baghdad dipenuhi dengan darah rakyatnya yang mati, manakala buku-buku ilmiah telah dicampak ke dalam sungai Dajlah sehingga menjadi seperti jambatan untuk mereka lalui menurut khayalan mereka. Akhirnya pemerintahan Khalifah Abbasiyah di Baghdad berakhir.

Setelah Dinasti Gengis Khan berjaya menguasai seluruh Asia dan Eropah Timur, mereka membahagi daerah-daerah taklukan mereka dan mendirikan empat kerajaan. Keluarga Kaylay menguasai China dan Monggol. Jafaqay, saudara Aqtay, mengetuai Turkistan. Dinasti Batarkhan menguasai negeri-negeri yang berada di tepi sungai Fajla sehinggakan Rusia terpaksa menyerahkan cukai kepadanya dalam tempoh yang panjang. Hulaku merampas negeri Parsi dan Baghdad hingga ke negeri Syam. Semua ini diringkaskan oleh penulis daripada ensiklopedia, Ibnu Khaldun, Ibnu Maskawayh dan risalah Ikhwan al-Safa.

Tanda kiamat
Sebenarnya isu Yakjuj dan Makjuj adalah isu yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT. Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu. Zainab binti Jahsyim berkata: Aku bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada sebarang fitnah dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.


Monday, May 20, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Zulkarnain raja yang adil

Sumber

Sambung daripada Zulkarnain Kuasai Dunia Dengan Izin Allah



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ALHAMDULILLAH, kita masih lagi membincangkan daripada surah al-Kahfi berkenaan dengan raja yang adil iaitu Zulkarnain.

18:88
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".(al-Kahfi [18] : 88)
Pada ayat 88, Ibnu Kathir berkata: Iaitu yang mengikuti apa yang kami serukan berupa ibadah kepada Allah SWT semata-mata dan tiada sekutu bagi-Nya. Iaitu di alam akhirat di sisi Allah SWT itulah yang paling baik. Inilah pendapat Mujahid.

Al-Maraghi berkata: Orang yang percaya kepada Allah SWT dan keesaan-Nya serta mengerjakan amal soleh, di akhirat kelak akan menerima pahala terbaik sebagai balasan yang setimpal dengan tingkah laku yang baik semasa di dunia. Mereka akan diajar mendekatkan diri kepada Allah seperti sembahyang, zakat, jihad dan sebagainya.

Sayid Qutub berkata: Tempat matahari jatuh ialah tempat di mana seseorang dapat melihat matahari membenamkan dirinya di sebalik ufuk, dan pemandangan itu berbeza-beza mengikut tempat. Di setengah tempat orang melihat ia jatuh di belakang bukit dan tempat lain pula di dalam air seperti di lautan yang luas dan setengah tempat lain lagi di dalam pasir seperti di padang-padang pasir.

Yang jelas daripada nas ini ialah Zulkarnain telah mengembara ke sebelah Barat hingga sampai ke suatu tempat di atas pantai lautan Atlantik yang juga dinamakan sebagai laut gelap, di mana daratan dikira berakhir di situ dan di sinilah dia melihat matahari jatuh. Pendapat lebih rajih menyebut tempat itu ialah terletak di muara salah satu dari sungai-sungai, di mana terdapat banyak rumput yang dikelilingi tanah-tanah lumpur yang likat, juga terdapat kolam-kolam seolah-olah kelihatan seperti mata air. Di sanalah dia melihat matahari jatuh.

Kini Zulkarnain mengumumkan hukuman keseksaan dunia kepada para penceroboh yang zalim dan selepas itu mereka akan diserahkan kepada Allah SWT supaya diazabkan dengan azab yang amat dahsyat yang tidak dapat ditanding dengan mana-mana azab yang diketahui manusia. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, mereka akan mendapat balasan baik, layanan saksama, penghormatan, bantuan dan kemudahan. Inilah perlembagaan pemerintahan yang baik maka di waktu inilah setiap orang mendapat galakan ke arah kebaikan dan produktiviti.

Namun apabila neraca pemerintahan itu tidak menentu, maka di waktu inilah kuasa yang ada di tangan pemerintah akan bertukar menjadi cemeti azab dan alat penindasan dan sistem masyarakat akan menjadi kacau-bilau dan rosak.

18:89
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.(al-Kahfi [18] : 89)
Pada ayat 89, Ibnu Kathir berkata: Di mana dia berjalan dari tempat terbenamnya matahari menuju ke tempat terbitnya. Setiap kali melewati segolongan umat maka dia dapat mengalahkan dan menguasai mereka serta menyeru mereka kepada Allah SWT.

Jika menolak seruannya, mereka akan dikuasai dan harta kekayaan dan perbekalan serta menggunakan segala yang ada pada umat tersebut dihalalkan untuk bala tenteranya dalam menyerang wilayah mereka.

Al-Maraghi berkata: Beliau melalui jalan ketiga yang menempuh sempadan di antara jalan timur dan barat dari tempat terbitnya matahari menuju ke utara.

18:90
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.(al-Kahfi [18] : 90)
Pada ayat ke-90 pula Ibnu Kathir berkata: Mereka tidak mempunyai bangunan yang dapat dijadikan sebagai tempat tinggal, tidak juga pepohonan yang dapat menaungi dan melindungi daripada terik matahari.

Ayat ini ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran;

* Mereka itu berwarna merah, bertubuh pendek, tempat tinggal mereka adalah gua-gua dan makanan mereka adalah ikan. Inilah pendapat Sa'id bin Jubair.

* Mereka tidak membina satu bangunan di sana sama sekali. Jika matahari terbit, mereka masuk ke tempat tinggal mereka sehingga matahari lenyap atau mereka masuk ke laut. Yang demikian itu kerana di tanah mereka tidak terdapat gunung. Inilah pendapat Ibnu Jarir.

Al-Maraghi berkata: Setelah meninjau tempat terbenamnya matahari, rombongan Zulkarnain bergegas menuju ke tempat terbitnya matahari.

Apabila sampai di tempat ini didapati kawasan tersebut tidak ada bangunan atau gunung sebagai tempat berlindung daripada terik matahari. Ini kerana tanah di tempat mereka diami tidak dapat dibina bangunan. Mereka hanya mempunyai saluran air sebagai tempat menyembunyikan diri daripada terik matahari.

Kesimpulannya Zulkarnain sampai ke daerah bumi terakhir di bahagian timur dan di situ beliau menemui suatu kaum yang tidak berpakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. Mereka tinggal di kawasan yang kering-kontang dan di celah-celah tanah.

Sayid Qutub berkata: Apa yang telah dikatakan mengenai tempat matahari jatuh begitulah juga dikatakan mengenai tempat matahari terbit. Yang dimaksudkan dengan tempat matahari terbit ialah tempat terbitnya di ufuk Timur pada pandangan mata orang yang melihat. Al-Quran al-Karim tidak menentukan tempat itu secara tepat tetapi menerangkan sifat-sifatnya dan keadaan kaum yang dijumpai Zulkarnain di sana.

Kawasan itu adalah kawasan bumi yang terdedah, yang tidak terdapat bukit-bukit dan pokok yang melindungi daripada panas matahari. Jadi matahari di sana naik memancar terus ke atas kaum yang tinggal di sana tanpa apa-apa perlindungan. Gambaran ini secucuk dengan kawasan padang pasir dan tanah datar yang luas saujana. Al-Quran al-Karim tidak menentukan tempatnya secara tepat.

18:91
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.(al-Kahfi [18] : 91)
Sementara itu ayat 91 ini ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Al-Maraghi berkata: Telah jelas bahawa Zulkarnain telah berjaya mengelilingi timur dan tepi barat dunia. Oleh itu, beliau telah mencapai darjat yang mulia dan memiliki kerajaan yang luas, walhal sebelum ini tidak pernah diberikan kekuasaan sedemikian rupa kepada orang lain.

Kesimpulannya, Allah SWT mempunyai sifat Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui, malah Dia mengetahui setiap perkara yang berlaku.

18:92
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.(al-Kahfi [18] : 92)
Pada ayat ke-92 Ibnu Kathir berkata: Kemudian dia menempuh jalan yang lain lagi. Dengan kata lain, dia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan kedua bukit iaitu dua buah gunung yang di antara keduanya terdapat satu lubang yang darinya keluar Yakjuj dan Makjuj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka melakukan kerosakan tanaman dan keturunan.

18:93
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.(al-Kahfi [18] : 93)
Pada ayat 93 Ibnu Kathir berkata: Dengan kata lain dia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan dua bukit iaitu dua gunung yang di antara keduanya terdapat satu lubang yang darinya keluar Yakjuj dan Makjuj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka melakukan kerosakan pada tanaman dan keturunan. Kemudian bahasa yang digunakan juga berlainan serta tempat tinggal mereka terlalu jauh daripada umat manusia.

Al-Maraghi berkata: Apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15 Masihi sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kerana tahap pemikiran mereka lemah walaupun menggunakan bahasa isyarat.

18:94
Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"x(al-Kahfi [18] : 94)
Pada ayat ke 94 Ibnu Juraij menceritakan daripada Ibnu Abbas iaitu balasan yang besar yang bermaksud mengumpulkan harta daripada kalangan mereka untuk mereka berikan kepadanya supaya dengan yang demikian dia membuat dinding.

Al-Maraghi berkata: Penterjemahan kepada kaum tersebut memberi peringatan: Sebenarnya Yakjuj dan Makjuj telah melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, rampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain (pembicaraan tentang hal ini telah disediakan).

Sayid Qutub berkata: Apabila kaum ini mendapati Zulkarnain seorang penakluk yang gagah berani dan melihat kekuatan, kebolehan dan kebaikannya, mereka pun menawarkannya kerja membangun tembok untuk menghalang kaum Yakjuj dan Makjuj

Berdasarkan sistem hidup yang soleh yang diumumkan oleh Zulkarnian selaku pemerintah yang soleh, iaitu satu sistem hidup yang menentang kerosakan di bumi, maka beliau telah menolak tawaran upah itu malah sanggup membina tembok itu secara sukarela.

Bagi pandangan Zulkarnain, cara yang paling mudah ialah menutup dan menambak laluan yang terletak di antara dua tembok semula jadi (bukit/gunung) itu. Maka beliau meminta bantuan daripada kaum yang mundur dari segi kekuatan kebendaan dan tenaga fizikal.


Saturday, May 11, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Zulkarnain kuasai dunia dengan izin Allah




Sambungan daripada : kebenaran seorang Nabi

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah SWT : 

18:86

Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka". (al-Kahfi [18] : 86)

18:87

Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi [18] : 87)

PENULIS memulakan hal ini dengan kisah Zulkarnain. Kebanyakan ulama dan sejarawan berpendapat: Beliau ialah Iskandar Ibnu Faylabas al-Rumiy, murid Aristotle, ahli falsafah yang digelar guru pertama dan falsafahnya telah tersebar di tengah-tengah umat Islam. Beliau hidup lebih kurang 330 SM seorang penduduk Macedonia, memerangi Parsi, mengalahkan Raja Dara dan mengahwini puteri Raja Dara. Kemudian, beliau meneruskan perjalanannya ke India dan melakukan serangan. Seterusnya, beliau memerintah negara Mesir serta membangunkan Iskandariah.

Bukti menunjukkan beliau ialah Iskandar Zulkarnain. Sejarah belum memastikan lagi adanya seorang raja yang berjaya mengelilingi dunia, melakukan perjalanan dari Timur hingga Barat dan menawan banyak wilayah kecuali beliau.

Abu al-Raihan al-Bairuni adalah seorang ahli astronomi meriwayatkan dalam kitabnya al-Athar al-Baqiyyah ‘an al-Quran al-Khaliyyah telah menyatakan Zulkarnain berasal dari Himyar dan namanya ialah Abu Bakar Ibnu Ifriqish. Beliau telah membawa bala tenteranya ke tepi Laut Tengah, melewati Tunisia, Moroko dan lain-lain. Beliau telah mendirikan kota Afrika sehinggalah keseluruhan benua itu terkenal dengan namanya.
Beliau digelar dengan nama Zulkarnain kerana beliau mempunyai dua tanduk matahari.

Bukti yang menunjukkan beliau seorang Himyar iaitu, gelaran al-Adhwa (orang yang namanya menggunakan Dhu) hanyalah dikenali di negeri Himyar, bukan di Yunan. Beliau memerintah Dawlah Himyar sejak 115 SM sehingga 552M, pemerintahan kedua-dua Dawlah Himyar. Rajanya pula disebut Tahabi’ah (mufradnya Tubba’)

Pada ayat ke-86, Ibnu Kathir berkata: maksudnya, dia berjalan melampaui jalan hingga akhirnya sampai di tempat jauh yang ditempuhinya itu iaitu belahan bumi bahagian barat. Adapun mencapai tempat terbenamnya matahari di langit, maka itu merupakan suatu hal yang tidak mungkin.

Maksudnya dia menyaksikan matahari dengan matanya sendiri terbenam di dalam samudera. Demikianlah keadaan setiap orang yang pandangannya berakhir sampai pada tepian pantai, di mana dia melihat matahari itu seakan-akan terbenam ke dalam lautan tersebut. Sedangkan matahari itu tidak bersinar dari orbitnya, dia tetap ada pada orbitnya, tidak meninggalkannya. Kata al-Hami-ah diambil daripada salah satu daripada dua cara bacaan iaitu al-Hama-ah yang bererti tanah.

Al-Maraghi berkata: Sememangnya Zulkarnain mahu sampai ke tempat terbenamnya matahari. Oleh itu, beliau menyusuri jalan yang boleh sampai ke tempat tersebut. Akhirnya beliau sampai ke penghujung dunia di arah barat dan berhenti di tepi Lautan Atlantik. Di situ beliau dapati matahari seolah-olah terbenam di dalam mata air yang berlumpur hitam.

Beliau menemui sebuah negeri terakhir - yang tidak ada negeri lagi sesudahnya - iaitu negeri yang diibaratkan seperti lautan kegelapan dan tidak ada pemerintahan tetapi merupakan tempat terbenamnya matahari. Beliau telah berjalan ke Tunisia, kemudian ke Marrakush hingga sampai ke laut tempat beliau mendapati matahari seakan-akan terbenam. Tempat itu berwarna biru, seakan-akan lumpur bercampur air.

Dalam hal ini, Allah SWT memberinya petunjuk melalui ilham: Allah SWT memberinya dua alternatif untuk memerintah tempat tersebut. Pertama membunuh penduduk kafir itu, jika tidak mengakui kekuasaan-Nya. Kedua, mengajar mereka dengan ilmu agama sebagai memperjelaskan syariat dan hukum kepada mereka.

Manakala pada ayat ke-87, Ibnu Kathir berkata: Sangat pedih dan menyakitkan. Dan dalam hal itu terdapat penetapan hari pengembalian dan pembalasan.

Al-Maraghi berkata: Zulkarnain berkata kepada pengawalnya: Orang yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya dengan menyekutukan Tuhannya, akan diazab dengan hukuman bunuh. Di akhirat pula dia akan menemui Tuhan serta diazab dengan azab yang dahsyat di dalam neraka jahanam.

Isu berkenaan dengan Zulkarnain juga menjadi polemik di kalangan tokoh ilmuwan sama ada Barat atau Islam. Tetapi yang pentingnya dalam nas Ilahi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang raja yang soleh yang menguasai dunia dengan izin Allah SWT. Semoga Allah meramaikan pemimpin yang soleh dalam mengurus atur kehidupan manusia. Amin.



Monday, May 6, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Kebenaran seorang Nabi




Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


SETERUSNYA penulis akan mengemukakan kisah berkaitan dengan Zulkarnain. Cerita ini merupakan kisah keempat yang terdapat dalam al-Quran. Ia mengisahkan tentang orang kafir Mekah menghantar utusannya kepada ahli Kitab untuk meminta apa yang hendak diujikan terhadap Nabi SAW.

Ahli Kitab berkata: Tanyakan kepadanya tentang seorang pengembara yang berjaya mengelilingi dunia, tentang pemuda yang tidak diketahui apa yang mereka kerjakan dan tentang roh. Maka surah al-Kahfi diturunkan. Sebelum mentafsirkan ayat tersebut, perlu dijelaskan terlebih dahulu, siapa Zulkarnain, siapa Yakjuj dan Makjuj dan di mana empangan Zulkarnain.

18:83
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya": (al-Kahfi [18] : 83)

Pada ayat ke-83, Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana telah kami kemukakan sebelumnya bahawa orang kafir Mekah pernah mengirim utusan kepada ahli Kitab untuk menanyakan kepada mereka tentang apa yang dapat mereka lakukan untuk menguji Nabi SAW.

Kemudian para ahli Kitab itu berkata: Tanyalah kepadanya tentang orang yang di sekeliling muka bumi, tentang apa yang diketahuinya dan tentang apa yang dilakukan oleh beberapa orang pemuda dan juga tentang roh. Maka turunlah surah al-Kahfi.

Diberi nama Zulkarnain kerana dia adalah seorang raja Rom dan Parsi. Sebahagian orang menyebutkan bahawa di kepalanya terdapat sesuatu yang menyerupai dua tanduk. Ada pula yang menyatakan diberi nama Zulkarnain kerana dia sudah berhasil mencapai belahan Timur dan Barat iaitu tempat matahari terbit dan terbenam.

Al-Maraghi berkata: Orang Quraisy yang berguru dengan orang Yahudi, mengajukan pertanyaan kepada (Nabi Muhammad SAW) dengan tujuan menguji Baginda.

Katakanlah kepada orang yang keras kepala itu: Aku akan menceritakan kepada kamu cerita yang lengkap lagi menyeluruh seperti yang kamu minta dan cerita ini telah diberitahu kepadaku oleh Tuhanku.

Sayid Qutub berkata: Allah SWT telah mengurniakan kepadanya kedudukan yang teguh dan kekuasaan yang kukuh. Allah SWT telah memberikan jalan-jalan untuk memerintah dan menakluk, jalan-jalan pembangunan dan kemakmuran, jalan-jalan kekuasaan dan kesenangan dan segala sesuatu yang diperlukan manusia untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kehidupan ini.

18:84
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.(al-Kahfi [18] : 84)

Pada ayat ke-84, Ibnu Kathir berkata: Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan yang besar yang mencakupi segala sesuatu yang diberikan kepada para raja iaitu berupa bala tentera, peralatan perang dan beberapa benteng.

Oleh itu, dia dapat menguasai bumi belahan Timur dan Barat dan banyak negeri yang tunduk kepadanya bahkan pelbagai raja di dunia pun turut tunduk kepadanya dan semua orang Arab dan bukan Arab berbondong-bondong mengabdi kepadanya.

Ayat ini telah ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran:

  • Ilmu pengetahuan. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, Ikrimah, al-Suddi, Qatadah dan lain-lain.

  • Iaitu tempat tinggal di bumi dan berbagai-bagai panjinya. Inilah pendapat Qatadah.

  • Iaitu pengajaran bahasa-bahasa. Ia tidak memerangi suatu kaum melainkan telah diajak bicara dengan bahasa mereka. Inilah pendapat Abdul Rahman bin Aslam.


Al-Maraghi berkata: “Allah SWT memberi kekuasaan kepada Zulkarnain melakukan mengikut kehendaknya, sehingga beliau berjaya menguasai seluruh dunia dan mengalahkan seluruh kerajaannya. Allah mengurniakan ilmu, kemampuan dan kelengkapan tentera bagi menjayakan segala hasrat yang hendak dilakukannya."

Sayid Qutub berkata: “Muhammad Ibnu Ishaq telah menyebut sebab turunnya surah ini katanya `aku telah diceritakan oleh seorang guru daripada penduduk negeri Mesir. Dia datang ke tempat kami kira-kira 40 tahun lebih yang lalu dari Ikrimah, daripada Ibnu Abbas katanya kaum Quraisy telah mengirim al-Nadhr Ibnu Harith dan Aqabah Ibnu Abu Mu`ayt kepada pendeta-pendeta Yahudi di Madinah dan berkata tanyalah kepada pendeta-pendeta itu tenteng Muhammad SAW, terangkan sifatnya kepada mereka dan ceritakan apa yang telah dikatakan olehnya kerana mereka adalah kaum ahli Kitab yang pertama."

Mereka mempunyai ilmu tentang para Anbiya yang tidak ada pada kita. Lalu kedua utusan itu pergi ke Madinah dan bertanya kepada pendeta-pendeta Yahudi tenteng Rasulullah SAW. Kedua-duanya menceritakan kepada mereka tentang beliau dan sebahagian daripada apa yang telah dikatakan olehnya sambil berkata: Tuan-tuan adalah pakar-pakar kitab al-Taurat dan tujuan kami datang menemui tuan-tuan ialah supaya tuan-tuan boleh menjelaskan kepada kami tentang teman kami ini (Muhammad).

Kata Rawi, pendeta-pendeta itupun berkata: “Tanyalah kepadanya (Muhammad) tiga perkara yang kami cadangkan ini, jika dia dapat menjawab, maka dia adalah benar seorang nabi yang diutuskan Allah SWT dan jika sebaliknya, maka dia hanya seorang pendusta dan kamu boleh memutuskan fikiran kamu terhadapnya."

Tanyalah kepadanya tentang sekumpulan pemuda yang telah pergi menghilangkan diri di zaman dahulu bagaimana cerita mereka kerana cerita mereka amat menakjubkan. Dan tanyalah kepadanya tentang seorang lelaki yang menjelajah dunia hingga sampai ke kawasan-kawasan sebelah Timur dan kawasan-kawasan sebelah Barat bagaimana ceritanya?

Dan tanyalah kepadanya tentang roh dan apakah dia? Jika dia dapat menceritakan hal-hal itu kepada kamu, maka dia adalah benar seorang nabi yang boleh kamu ikutinya dan sebaliknya jika dia tidak dapat menceritakan kepada kamu, maka dia adalah seorang pendusta dan lakukan apa sahaja tindakan terhadapnya yang kamu fikir wajar.

Lalu an-Nadhr dan Aqabah balik menemui kaum Quraisy dan berkata: “Wahai kaum Quraisy! Kami telah membawa kepada kamu kata pemutus yang dapat menyelesaikan masalah di antara kamu dengan Muhammad. Pendeta-pendeta Yahudi itu menyuruh kita bertanya kepada Muhammad mengenai beberapa perkara."

Lalu mereka mengemukakan pertanyaan-pertanyaan yang disuruh oleh pendeta-pendeta itu.

Rasulullah SAW menjawab: “Besok aku akan jawab pertanyaan-pertanyaan kamu itu tanpa berkata “kecuali dikehendaki Allah SWT". Mereka pun berundur daripadanya. Rasulullah SAW menunggu selama 15 hari 15 malam tanpa mendapat wahyu daripada Allah SWT mengenai perkara-perkara tersebut dan tanpa dikunjungi Jibril AS hingga menggemparkan penduduk Mekah. Mereka berkata: “Muhammad telah berjanji untuk menjawab, sekarang telah masuk 15 hari tetapi masih belum ada jawapan."

Terhentinya wahyu itu telah mendukacitakan Rasulullah SAW. Kemudian barulah dikunjungi Jibril AS membawakan surah Ashab al-Kahfi, di mana baginda telah ditegur kerana bersedih terhadap sikap penduduk Mekah, di samping dimuatkan cerita-cerita yang ditanyakan mereka mengenai kumpulan pemuda dan lelaki pengembara itu.

18:85
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).(al-Kahfi [18] : 85)
Pada ayat ke-85 ia telah ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran:

  • Maka dia pun menempuh suatu jalan, iaitu al-Sabab iaitu tempat. Inilah pendapat Ibnu Abbas.
  • Maka dia pun menempuh suatu jalan iaitu tempat turun dan jalan antara timur dan barat. Inilah pendapat Mujahid.
  • Maka dia pun menempuh suatu jalan. Ia juga dipanggil ilmu pengetahuan. Dia berkata hal yang sama juga dikemukakan oleh Ikrimah, Ubaid bin Ya’la dan al-Suddi. Dan dia pun mengatakan inilah tanda-tanda dan bekas-bekas. Inilah pendapat Said bin Jubair.

Sayid Qutub berkata: “Oleh sebab adanya pelbagai riwayat tentang sebab-sebab nuzul itu, maka kami memilih untuk berhenti setakat bayangan nas al-Quran yang amat diyakinkan kebenarannya itu."

Malah daripadanya juga dapat diketahui bahawa ada satu pertanyaan mengenai Zulkarnain walaupun diketahui siapakah yang mengemukakan pertanyaan itu. Tetapi pengenalan tentang siapakah yang bertanya itu tidak menambahkan apa-apa kepada maksud kisah. Marilah kita hadapi nas al-Quran tanpa sebarang tokok tambah.

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa kebenaran pasti ditegakkan oleh pendukungnya walaupun sentiasa menghadapi ujian. Hal ini menjadi sunnatullah. Oleh itu, semangat Zulkarnaian perlu diwujudkan dalam hati pemimpin umat Islam.



Wednesday, May 1, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Kiasan kehidupan masa kini

Gambar Hiasan


Sambungan daripada Perpisahan Musa dengan Khidir

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SEBENARNYA kaum yang lemah itu menggerakkan sampan sebagai sumber rezeki tetapi Nabi Khidir AS telah melubangkan sampan itu. Tujuan membocorkan sampan itu adalah bagi membasmi kezaliman raja di negeri itu yang hanya merampas sampan yang sempurna dan tidak ada kecacatan.

18:79
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. (al-Kahfi [18] : 79)
Pada ayat ke-79, Ibnu Kathir berkata: Bagaimana Nabi Musa AS merasa tertekan apabila melihat tingkah laku secara zahir perbuatan Nabi Khidir. Di mana Allah SWT menyembunyikan hikmah daripadanya sedangkan didedahkan kepada Nabi Khidir. Oleh itu, perahu yang masih baik ditebuk lubangnya untuk menyelamatkannya daripada dirampas oleh raja yang zalim.

Al-Maraghi berkata: Golongan miskin dan lemah menggunakan sampan mereka sebagai punca rezeki. Namun begitu kehidupan mereka telah digugat dengan kezaliman raja yang merampas setiap sampan yang elok golongan tersebut. Maka, Nabi Khidir membocorkannya bagi mengatasi masalah yang timbul itu, sekali gus menyelamatkan mereka.

Sayid Qutub berkata: Kerosakan ini telah menyelamatkan bahtera itu daripada dirampas oleh raja yang zalim itu dan menggelakkannya daripada bahaya yang lebih besar tersembunyi di alam ghaib andai ia dalam keadaan baik.

18:80
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.(al-Kahfi [18] : 80)
Sementara itu, pada ayat ke-80, Qatadah berkata: Kedua-dua ibu bapanya berasa gembira ketika pemuda itu lahir dan berasa sedih ketika dia dibunuh. Sekiranya dia masih hidup, sudah tentu hidupnya itu akan membawa kepada kebinasaan kepada orang tuanya.

Lantaran itu, setiap individu hendaklah reda dengan ketetapan Allah SWT kerana hanya Allah yang lebih menegtahuinya.

Telah diterangkan dalam sebuah hadis: “Allah SWT tidak pernah menetapkan suatu ketetapan bagi orang yang beriman, kecuali perkara itu menjadi kebaikan kepadanya."

18:81
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.(al-Kahfi [18] : 81)
Manakala pada ayat ke-81, Ibnu Kathir berkata: Iaitu anak yang lebih suci daripada anak tersebut, yang kedua orang tuanya itu lebih sayang terhadapnya daripada anak itu. Demikian yang dikemukakan oleh Ibnu Jarir. Qatadah berkata: Yang mana anak itu akan lebih berbakti kepada kedua orang tuanya. Ada yang mengatakan, ketika anak itu dibunuh oleh Nabi Khidir, ibunya sedang mengandung seorang anak lelaki Muslim. Demikian dikatakan oleh Ibnu Juraij.

Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir memohon daripada Allah SWT agar mengurniakan ibu bapa tadi anak yang agamanya lebih baik daripada agama anaknya sebelum ini.

Sayid Qutub berkata: Budak yang tidak kelihatan pada zahirnya mempunyai sebab yang wajar dibunuh pada masa itu telah disingkapkan tabir hakikatnya yang ghaib kepada hamba yang soleh iaitu dia mempunyai tabiat kufur dan pelampau. Di dalam jiwanya tersembunyi benih-benih kekufuran dan keterlaluan yang semakin lama semakin menonjol. Andainya dia terus hidup sudah tentu dia akan mendorong dua orang tuanya yang beriman itu dengan kekufuran, mengikuti jalan hidupnya kerana dipengaruhi perasaan kasih sayang mereka kepadanya.

Oleh itu, iradat Allah SWT mengarahkan iradat hamba-Nya yang soleh itu supaya membunuh budak yang mempunyai tabiat kufur dan pelampau itu dan menggantikan ia dengan seorang anak yang jauh lebih baik dan lebih bertimbang rasa terhadap kedua-dua ibu bapanya.

Jika perkara ini diserahkan kepada ilmu manusia tentulah mereka tidak mengetahui hakikat budak itu dan tentulah mereka tidak boleh mengenakan kuasa undang-undang terhadap budak itu kerana dia tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan dari segi undang-undang yang wajar dihukum bunuh.
Itulah perintah Allah SWT yang berdasarkan ilmu-Nya yang mengetahui segala urusan ghaib.




Tuesday, April 23, 2013

Perpisahan Musa dengan Khidir

Gambar Hiasan

Sambungan daripada Nabi Khidir bocorkan perahu

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

PERBINCANGAN masih berkisar tentang Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS. Jelaslah bahawa pembahagian al-Quran kepada 30 juzuk adalah dari segi lafaz bukan dari segi makna. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa akhir satu juzuk dan permulaan juzuk yang lain masih membicarakan satu perkara yang belum selesai.

18:75
Ia menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?" (al-Kahfi [18] : 75)
Pada ayat ke-75 Ibnu Kathir berkata: “Di sini Nabi Khidir menegaskan seraya mengingatkan kepada Nabi Musa dengan syarat yang pertama."

Al-Maraghi berkata: “Berbeza dengan ayat yang sebelumnya, ayat ini ditambah dengan perkataan laka (kepadamu) bagi menguatkan celaan ke atas penolakkan wasiat oleh Nabi Musa."

Di samping itu juga menunjukkan Nabi Musa orang yang kurang sabar, kurang tabah, dan nampak sombong kerana tidak mempedulikan peringatan yang pertama itu.

Al-Baghawi berkata: “Diriwayatkan bahawa Nabi Yusha AS bersabda kepada Nabi Musa “sebutkanlah janjimu."

Sayid Qutub berkata: “Yakni (aku telah katakan) kepada engkau sendiri dengan tegas dan tepat, tetapi engkau tidak percaya dan masih memohon bersahabat dan menerima syarat."

Musa kembali berbincang dengan hatinya sendiri. Beliau dapati dia kini telah dua kali menyalahi dan melupakan janjinya setelah diberi peringatan, lalu dengan terburu-buru beliau (mengambil keputusan) memotong jalan untuk dirinya dan menjadikannya sebagai peluang terakhir yang ada di hadapannya.

18:76
Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku". (al-Kahfi [18] : 76)
Pada ayat ke-76, Ibnu Kathir berkata: “Engkau telah mengemukakan alasan keuzuran kamu beberapa kali kepadaku."

Al-Maraghi berkata: “Nabi Musa bersabda kepada Nabi Khidir jika selepas ini, aku bertanya lagi kepadamu tentang keajaiban perbuatanmu yang aku saksikan dan memintakanmu supaya menjelaskan hikmahnya, apatah lagi berdebat dan menentangnya, janganlah kamu menganggap aku sebagai temanmu."

18:77

Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!" (al-Kahfi [18] : 77)
Pada ayat ke-77, Ibnu Kathir berkata: “Penggunaan kata iradah atau kehendak bagi dinding bukan menurut hakikatnya tetapi sebagai kiasan sahaja. Hal ini dibahaskan dalam ilmu Balaghah dan bahasa Arab."

Al-Maraghi: “Selepas tindakan yang kedua, Nabi Khidir dan Nabi Musa meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebuah negeri. Apabila sampainya di situ, kedua-duanya meminta makanan daripada penduduk tempatan tetapi penduduk di situ tidak mahu melayan mereka."

Selepas itu, kedua-duanya mendapati di negeri itu terdapat tembok yang condong dan hampir roboh.

Nabi Khidir segera mengusapnya dengan tangannya sehingga tembok itu berjaya ditegakkan dengan kukuh. Fenomena ini merupakan salah satu daripada mukjizatnya.

“Jika kamu mahu, tentulah kamu menerima upah untuk itu," sabda Nabi Musa sebagai dorongan kepada Nabi Khidir agar menerima upah daripada pekerjaannya sebagai punca pendapatan bagi mendapatkan makanan, minuman dan urusan kehidupan yang lain.
18:78

Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al-Kahfi [18] : 78)
Ibnu Kathir berkata, pada ayat ke-78, kerana kamu telah memberikan syarat pada waktu pembunuhan anak kecil yang mana kamu tidak akan mempertikaikan aku, maka aku tidak boleh menerima lagi kamu dan sekarang sampailah masa berlaku perpisahan antara aku dan kamu.

Al-Maraghi berkata, Nabi Khidir bersabda kepada Nabi Musa: “Penentangan yang terus menerus ini menjadi punca perpisahan antara aku dengan kamu bersesuaian dengan syarat yang telah kamu tetapkan ke atas dirimu sendiri."

Mengapa peristiwa yang ketiga itu menjadi punca berlakunya perpisahan? Sewajarnya perpisahan berlaku sejak peristiwa sebelumnya. Kerana pada zahirnya kejadian pertama merupakan suatu perbuatan mungkar sehingga Nabi Musa AS mengemukakan keraguan kepada Nabi Khidir.

Berbeza sekarang, berbuat baik kepada orang yang membuat perkara buruk itu bukan perbuatan mungkar, bahkan satu perbuatan yang terpuji.

Nabi Khidir akan menceritakan kepada Nabi Musa hikmah dan kesan daripada perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan.

Antara yang menimbulkan tanda tanya kepada Nabi Musa ialah perbuatan Nabi Khidir melubangkan sampan, membunuh pemuda dan menegakkan tembok yang condong.

Sayid Qutub berkata: “Sampai di sini Musa dan juga kita yang mengikuti penceritaan al-Quran ini sedang menghadapi peristiwa-peristiwa luar biasa yang berturut-turut dan memeranjatkan tanpa mengetahui sebarang rahsianya."

Pendirian kita juga sama dengan pendirian Musa terhadap peristiwa-peristiwa itu. Malah (lebih daripada itu) kita tidak mengetahui siapakah gerangan lelaki yang menunjukkan tindakan-tindakan ganjil itu. Al-Quran tidak menceritakan namanya kepada kita untuk melengkapkan suasana sulit dan kabur yang melingkungi kita.

Apakah nilai namanya? Kerana dia hanya dikehendaki melahirkan hikmat ilahiyah yang tinggi yang tidak mengaturkan natijah yang dekat di atas mukadimah yang dapat dilihat, malah ia tujukan kepada tujuan-tujuan yang jauh yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata yang terbatas.

Oleh itu, ketiadaan nama itu adalah sesuai dengan sahsiah abstrak yang diwakilinya. Dari awal lagi kekuatan-kekuatan ghaib telah mengendalikan kisah ini. Lihatlah Musa yang mahu menemui lelaki yang dijanjikan itu telah meneruskan perjalanannya. Tetapi tiba-tiba teman pemudanya telah terlupa kepada bekalan makanan mereka di atas batu.

Seolah-olah supaya kedua-duanya pulang kembali ke tempat itu, kerana di sana Musa dapat menemui lelaki itu. Sudah tentu beliau tidak dapat menemuinya jika beliau dan temannya terus berjalan mengikut hala mereka dan jika takdir Ilahi tidak mengembalikan mereka di tempat batu itu.

Seluruh suasana adalah sulit, kabur dan majhul, begitu juga nama lelaki itu sulit, kabur dan majhul dalam penerangan al-Quran al-Karim.




Artikel Penuh: utusan

Sunday, April 14, 2013

Tafsir Surah al-Kahfi - Nabi Khidir bocorkan perahu





Sambungan daripada adab mempelajari ilmu


PADA kali ini, masih lagi dibincangkan berkenaan dengan isu pertemuan Nabi Musa AS dengan gurunya.

18:70
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".(al-Kahfi [18] : 70)
Pada ayat ke-70, Ibnu Kathir berkata: Iaitu sehingga aku yang mulai memberikan penjelasan kepadamu sebelum kamu bertanya kepadaku.

Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir AS bersabda kepadanya: Apabila kamu berjalan bersamaku, janganlah kamu bertanya kepadaku tentang sesuatu yang tidak kamu setujui terhadapku. Sehingga aku mula menyebutkannya, lalu aku terangkan kepadamu akan kebenaran kerana sesungguhnya aku tidak akan melakukan sesuatu kecuali yang benar dan dibolehkan, sekalipun pada lahirnya tidak dibolehkan. Syarat daripada Nabi Khidir AS itu diterima oleh Nabi Musa AS demi memelihara kesopanan seorang murid terhadap gurunya.

18:71
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar".(al-Kahfi [18] : 71)
Pada ayat ke-71, Ibnu Kathir berkata: Nabi Khidir AS bangkit dan kemudian melubangkan perahu tersebut, lalu mengeluarkan papan perahu tersebut dan kemudian memotongnya sedang Nabi Musa AS tidak dapat menahan diri menyaksikan hal itu hingga akhirnya dengan nada menolak.

Huruf lam dalam ayat ini merupakan lam yang bererti akibat bukan lam yang bererti sebab.

Sayid Qutub berkata: Bahtera itu sedang membawa kedua-duanya bersama penumpang-penumpang yang lain dan kini mereka berada di tengah laut yang bergelombang, tiba-tiba datang hamba yang soleh itu lalu melubangkan bahtera itu. Pada zahirnya tentulah perbuatan ini akan mendedahkan bahtera dan para penumpangnya kepada bahaya karam dan membawa mereka kepada bencana itu. Oleh itu, mengapa lelaki ini berani mencabar bencana itu?

Musa telah lupa kepada janji yang telah dikatakannya dan kepada syarat yang telah dikemukakan oleh sahabatnya ketika menghadapi tindakan yang ganjil itu, yang tidak mempunyai sebarang alasan mengikut pandangan logik akal. Kadang-kadang seorang itu dapat memahami konsep umum yang mujarrad, tetapi ketika dia berdepan dengan pelaksanaan amali dan contoh yang sebenar daripada konsep ini ia mendapat kesan yang berlainan daripada kefahaman secara teori tadi, kerana pengalaman amali mempunyai kecapan yang berlainan daripada kecapan kefahaman mujarrad.

Lihatlah kepada Musa AS yang sebelum ini telah diperingatkan bahawa beliau tidak akan berupaya menahan kesabaran terhadap perkara-perkara yang tidak akan diketahuinya dengan mendalam, lalu beliau berazam untuk menahankan kesabaran sambil memohon pertolongan daripada masyi'ah Allah SWT dan memberi janjinya dan menerima syarat itu. Kini beliau bertembung dengan pengalaman amali daripada tindakan lelaki itu, lalu beliau terus membantah dengan terburu-buru.

18:72
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"(al-Kahfi [18] : 72)
Pada ayat ke-72, Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir AS bersabda: Bukanlah aku telah katakan kepadamu wahai Musa. Sesungguhnya, kamu sekali-kali tidak akan mampu bersabar bersamaku lantaran perbuatan yang aku lakukan.

Sayid Qutub berkata: Lalu Musa AS meminta maaf atas kelupaannya dan memohon agar lelaki itu menerima permintaan maafnya dan janganlah menyulitkannnya dengan mengulangi kata teguran dan peringatan.

18:73
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".(al-Kahfi [18] : 73)
Pada ayat ke-73, Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, janganlah engkau menyempit dan menyakitkan diriku.
Al-Maraghi berkata: Nabi Musa AS berkata kepada Nabi Khidir AS: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelalaianku untuk berserah diri kepadamu, tanpa mengingkari kamu. Janganlah kamu membebankan aku sesuatu kesulitan dan janganlah kamu menyempitkan urusanku ini. Janganlah kamu mempersulitkan aku untuk mengikut kamu, tetapi mudahkanlah sesuatu itu tanpa berdebat denganmu.

18:74
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"(al-Kahfi [18] : 74)
Pada ayat ke-74, Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya, bahawa anak itu sedang bermain dengan anak-anak lainnya di sebuah perkampungan. Nabi Khidir AS sengaja mendekati anak itu yang berada di tengah anak-anak lainnya. Dia adalah anak yang paling bagus, tampan dan ceria di antara kawan-kawannya. Lalu Nabi Khidir AS membunuhnya. Wallahu 'alam

Al-Maraghi berkata: Setelah mereka berdua turun dari kapal dalam keadaan selamat daripada tenggelam dan bencana, maka mereka pun meneruskan perjalanannya menyusuri pantai. Lalu, Nabi Khidir AS melihat seorang anak yang sedang bermain bersama kawan-kawannya yang sebaya, lalu Baginda AS membunuhnya. Namun, sejauh ini, al-Quran al-Karim tidak pernah menceritakan bagaimana (cara) Nabi Khidir AS membunuh anak itu. Apakah disembelih atau dihentamkan kepalanya pada tembok atau dengan cara lain. Bagi kita, tidak perlu memeningkan kepala memikirkan hal itu, kerana sekiranya perkara itu ada kebaikannya, tentu Allah SWT akan menceritakan hal itu kepada kita.

Nabi Musa AS bersabda kepada Nabi Khidir AS: Apakah kamu membunuh dia yang bersih daripada dosa tanpa alasan atau dia pernah membunuh suatu jiwa yang diharamkan.

Alasan ini disebutkan oleh Nabi Musa AS secara khusus antara alasan-alasan lain yang membolehkan pembunuhan, seperti kekafiran setelah iman dan perzinaan setelah berkeluarga. Ini kerana, alasan ini lebih mungkin terjadi jika dilihat kepada keadaan anak itu.

Sayid Qutub berkata: Jika pada kali yang pertama dia melubangkan bahtera yang membawa kemungkinan menenggelamkan para penumpangnya, maka kali ini dia membunuh seorang manusia, iaitu membunuh dengan sengaja bukannya semata-mata persoalan kemungkinan. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar yang tidak dapat disabari oleh Musa walaupun dia teringat kepada janjinya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar mengikut perintahnya. Amin

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ARKIB : 12/04/2013

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...