بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label muliakan tetamu. Show all posts
Showing posts with label muliakan tetamu. Show all posts

Wednesday, September 7, 2011

Penuhi undangan lebih baik daripada puasa enam

Oleh Hizbur Rahman

2011/09/06

SALAH satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Ini juga termasuk dalam konsep rumah terbuka. 

Amalan ini memberi manfaat besar dan faedah berguna dalam konteks persaudaraan serta perpaduan ummah. Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai, susah menjadi mudah.

Melalui amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, hormat-menghormati, kerjasama dan memahami sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10) 

Islam adalah agama yang mempunyai sistem cara hidup sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. 
Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu yang melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang. 

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah: 


  Berniat baik atas kunjungannya. 



  Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan. 



  Jangan tolak undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka untuk menimbulkan kegembiraan pihak yang mengundang. 



  Hendaklah menolak undangan yang ada aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim serta suka membesar diri. 

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 



  Ketika berkunjung hendaklah memilih waktu sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaannya waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga. 



  Mohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. 



  Selaku tetamu adalah sangat digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah. Bagaimanapun amalan berjabat tangan ini mesti dilakukan mengikut lunas Islam. 
Sabda Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” 



  Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. 



  Jaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, jangan mengangkat suara ketika berada dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziarah. 

Bagi pihak tuan rumah, Islam menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya menghormati dan memuliakan tetamu. Pada masa sama, tuan rumah juga disaran menghidangkan jamuan terbaik mengikut kemampuan. 

Jangan ada maksud untuk berbangga tetapi tujuannya untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu. 

Satu lagi adab penting ialah menjaga cara makan minum. Mulakan dengan membaca Bismillah dan akhiri dengan Alhamdulillah. 

Jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum. 

Saturday, May 7, 2011

Kambing keluar susu, madu sebagai ganjaran muliakan tetamu



2011/05/07

SYAIKH Abu Ar-Rabi’ menceritakan, “Aku sering kali mendengar cerita mengenai seorang wanita salihah bernama Fiddhah. Beliau tinggal di sebuah desa.

Aku tidak biasa mengunjungi wanita. Tetapi, apabila mendengar kisah ajaib mengenai dirinya, aku teringin mengunjungi wanita itu. 

Orang ramai berkata beliau memiliki kambing betina ajaib yang mengeluarkan susu dan madu. Aku sangat takjub mendengar cerita ini sehingga aku membeli mangkuk kemudian pergi ke rumahnya.

Aku berkata kepada wanita salihah itu: “Aku mendengar cerita mengenai kambing betinamu yang dapat mengeluarkan susu dan madu. Aku sangat ingin ikut memperoleh keberkatan.”

Dia menyerahkan kambing betina terbabit kepadaku, kemudian aku memerah susunya. Aku melihat susu dan madu keluar dari puting susunya. Kemudian, aku segera meminum susu dan madu itu.

Apabila aku bertanya bagaimana wanita itu dapat memiliki kambing betina berkenaan, dia berkata: “Dulu kami sangat miskin dan tidak mempunyai apa-apa kecuali kambing betina yang dengan susunya kami memperoleh nafkah. Ketika Aidiladha menjelang, suamiku berkata: Kita tidak memiliki apa-apa kecuali kambing betina ini. Marilah ia kita korbankan dengan nama Allah.

Aku berkata: Kita tidak memiliki apa-apa kecuali susu ini untuk penghidupan kita. Allah tidak mewajibkan kita berkorban binatang dalam keadaan seperti ini. Haruskah kita mengorbankan kambing betina itu? Suamiku setuju dengan pendapatku dan kami merencanakan menunda berkorban hingga Aidiladha yang berikutnya.
Pada saat itu juga, kami kedatangan tetamu sehingga aku berkata kepada suamiku: Kita diperintahkan menjamu tetamu sedangkan kita tidak memiliki apa pun kecuali kambing betina ini. Marilah kita sembelih kambing itu dan dagingnya kita masak untuk menjamu tetamu kita.

Ketika suamiku bersiap-siap menyembelihnya, aku berkata kepadanya: Sebaiknya disembelih di luar rumah, di belakang tembok supaya anak kita tidak menangis melihat kambing itu disembelih.

Maka suamiku pergi keluar rumah bersama kambing betina itu. Selepas dia pergi, tiba-tiba aku lihat kambing betina itu berdiri di tembok. Kerana kambing itu sangat mirip dengan kambing betinaku, aku mengira ia adalah kambing betinaku yang terlepas daripada pegangan suamiku.

Ketika aku pergi keluar, aku sangat terkejut kerana suamiku sudah menyembelih kambing kami dan sedang melapahnya. Aku berkata kepadanya: Betapa ajaibnya, ada kambing lain yang mirip dengan kambing kita masuk ke dalam rumah.

Ketika aku menceritakan kejadian kambing itu, suamiku berkata: “Semoga Allah mengurniakan ganti yang lebih baik kerana kita mengorbankan kambing betina demi menghormati tetamu.”

Inilah kambing yang mengeluarkan susu dan madu. Semua ini terjadi kerana kami menjamu tetamu. Kemudian, wanita itu berkata kepada anaknya: “Anakku, kambing ini memakan (apa yang ditanam) dalam hati. Selama hatimu bersih dan tidak dikotori kemaksiatan, ia akan mengeluarkan susu yang baik. Tetapi, apabila hatimu kotor, susu dikeluarkan juga menjadi buruk. Jagalah hatimu daripada kemaksiatan, maka semuanya akan bermanfaat bagimu.”

Sumber: Buku Pesona Didik Anak Cara Sunnah 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...