Kehadiran ribuan ekor katak sebelum gempa bumi di |
HAMPIR setiap bulan kita dikejutkan dengan pelbagai kejadian gempa bumi yang sekali gus mencetuskan persoalan dan kebimbangan - mengapakah kejadian itu kian kerap sehinggakan negara seperti Malaysia yang suatu ketika dulu asing dengan gegaran gempa, kini turut berasakan tempiasnya? Jika keadaan makin kerap, mungkinkah gempa paling kuat bermagnitud 9 ke atas atau ‘ibu’ gempa belum berlaku dan bilakah agaknya?
Kebimbangan itu ada asasnya kerana Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan kira-kira 1.5 juta gempa bumi dengan magnitud 2.0 pada skala Richter dicatatkan setiap tahun. Berdasarkan andaian itu, bererti purata 134 gempa bumi magnitud antara 6 dan 6.9 berlaku setiap tahun.
Tahun ini saja menyaksikan banyak gempa bumi yang di luar jangkaan dan besar berlaku termasuk kejadian di Fukushima, Jepun pada Mac lalu, berukuran 9.0 pada skala Richter yang mengorbankan 20,000 orang, serta mencetuskan bencana nuklear yang terbesar sejak Chernobyl.
Satu lagi gempa besar berlaku di Christchurch, New Zealand pada September lalu dengan 6.3 skala Richter yang membunuh hampir 200 manakala 6 September lalu gempa bumi 6.6 melanda pulau Sumatera, Indonesia, membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang jatuh katil dan seorang lelaki yang terkena serangan jantung ketika melarikan diri waktu kejadian.
Baru-baru ini pula, negara yang sudah lama tidak dilanda bencana alam itu seperti Amerika Syarikat, Cuba, India dan Nepal turut merasai gegaran walaupun ukuran gempa dilabelkan sebagai sederhana masih menyebabkan banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang bukan sedikit.
Ini tidak termasuk negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik seperti Indonesia, Filipina, China, Taiwan dan Jepun yang mana setiap tahun pasti merasai gegaran gempa sama ada bersifat lemah hingga yang paling kuat.
Bulan lalu, beberapa daerah di Amerika Syarikat yang sudah lama tidak dilanda gempa bumi kembali bergegar dengan menyaksikan Virginia paling teruk menerima kesannya dengan ukuran 5.8 pada skala Richter. Virginia sering bergegar tetapi kesan gempa kali ini paling kuat selepas lebih satu abad!
Penganalisis bencana menganggap gempa di Amerika Syarikat kali ini sebagai satu amaran bahawa akan berlaku bencana lebih besar bakal berlaku di negara berkenaan lebih-lebih lagi negara dalam satu benua seperti Cuba dan Guatemala turut dilanda gempa bumi.
Kes di Amerika Syarikat, Cuba dan Guatemala pula berlaku serentak dan berselang hari yang meningkatkan keyakinan saintis dan pakar geologi bahawa akan berlaku bencana lebih besar dalam tahun ini atau awal tahun depan.
Saintis Institut Penyelidikan Gempa Bumi Tokyo melaporkan bahawa gempa bumi 9.0 skala Richter yang menggegarkan Jepun pada bulan Mac lalu, mengubah hubungan antara plat tektonik di bawah tanah dan secara drastik meningkatkan ruang untuk berlaku satu lagi gempa besar bakal melanda Tokyo pada masa terdekat. Ini diburukkan lagi dengan faktor pembangunan pesat di kawasan berkenaan.
Institut itu meramalkan perubahan dalam tekanan plat menyebabkan fokus sempadan plat boleh beralih dan pada masa sama menyebabkan wujud satu gempa bumi 7.3 skala Richter. Kesannya gempa itu dijangka tidak seteruk kes gegaran pada Mac lalu namun Tokyo tetap akan mengalami kemusnahan yang besar.
“Kami menganggarkan 10,000 orang akan mati dan kerugian ekonomi yang akan sekitar AS $ 1 trilion (RM3.6 trilion). Malah, sebelum Mac kami menganggarkan ada kemungkinan 70 peratus gempa bumi utama akan mempengaruhi Tokyo pada bila-bila masa dalam tempoh 30 tahun akan datang,” Naoshi Hirata, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi Jepun, dipetik The Daily Telegraph.
Hirata menyatakan jangkaan itu satu kebarangkalian yang sukar dinafikan kerana memang akan berlaku satu bencana besar di Jepun, walaupun mereka tidak boleh meramal bila akan berlaku.
“Apa yang kita boleh katakan bahawa semua pihak perlu bersedia,” katanya.
Tokyo umumnya mempunyai dua gempa kecil sebulan, tetapi sejak Mac, jumlah itu telah meningkat kepada purata enam kali sebulan. Jepun, kini mengalami kira-kira 500 gempa bumi sejak bencana Fukushima.
Sementara itu, gempa bumi 6.9 magnitud di wilayah terpencil Himalaya yang merentangi India, Nepal dan Tibet yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 54 orang yang berpusat di Sikkim, India Ahad lalu dianggap luar biasa jika dilihat kepada ukuran magnitud dan sifat asal gempa di kawasan berkenaan kerana wilayah itu terletak di plat tektonik Tibet dengan catatan gegaran sederhana.
Beberapa ahli geologi India berpendapat tahap gegarannya sangat berbeza dengan ukuran yang pernah dicatatkan di kawasan itu sebelum ini.
Ahli geologi Institut Sains India, CP Rajendran berkata, gempa di Sikkim berbeza kerana "magnitud yang luar biasa besar". USGS menyatakan, gegaran dirasai hingga ke Bhutan selepas ia menggegarkan sempadan Sikkim dan Nepal kira-kira jam 6.10 petang Ahad waktu tempatan. Pusat gempa terletak 60 kilometer di barat laut Gangtok, dengan kedalaman 19.7 kilometer. Gempa bumi itu diikuti dengan dua gegaran susulan yang kuat.
Beliau juga berpendapat, gempa di wilayah itu berbeza dengan kejadian gegaran yang selalu berlaku di jajaran Himalaya kerana ia di berlaku secara melintang akibat pelanggaran plat Eurasia dengan plat Eurasia
Pakar geologi Institut Penyelidikan Geofizikal Kebangsaan India di Hyderabad, Vineet Gahaulat berkata, gempa bumi di Sikkim berlaku secara melintang merentasi Himalaya dan beliau percaya akan berlaku gempa susulan yang lebih besar selepas ini
“Kejadian ini pernah dijangkakan akan berlaku dan kita percaya ia akan sebesar kejadian gempa bumi sekuat seperti kejadian di Chamoli pada 1999 dan Uttarkashi pada 1991,” katanya