بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Dakwah dengan hikmah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah dengan hikmah. Show all posts

Tuesday, December 4, 2012

Berdakwah perlu kaya sifat sabar



Muslim yang sentiasa berada di bawah keredaan Allah SWT, akan berusaha membawa diri, keluarga dan masyarakat ke arah kehidupan benar-benar menepati dengan kehendak agama. Ini sajalah yang dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup sama ada di dunia mahupun akhirat kelak.

Usaha berdakwah atau amar makruf nahi mungkar bertepatan dengan pandangan ulama terkenal Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan dakwah adalah usaha membawa orang lain kepada agama Islam, mengikut petunjuk agama dan melaksanakan ketetapan Allah. 
Tanggungjawab penting ini harus digerakkan sepanjang masa dengan ikhlas, bersungguh-sungguh kerana ia amanah Allah SWT. 



Firman Allah SWT: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahlu, ayat 125)

Usaha mulia

Kerja dakwah adalah usaha mulia menerangi manusia daripada kejahilan kepada mentauhidkan Allah SWT serta melunaskan segala titah perintah-Nya dengan kaedah menarik, sesuai dan serasi seperti ditunjuk Rasulullah SAW.

Satu hal yang tidak boleh diabaikan tatkala melaksanakan dakwah, selain memiliki bekalan ilmu dan akhlak terpuji, seseorang itu perlu kaya dengan sifat sabar yang menghiasi keperibadian semua nabi dan rasul dalam menyebarkan agama Allah SWT.
Sifat sabar menjadi wasiat penting Lukman al-Hakim kepada anaknya: “Wahai anakku, dirikan solat dan suruh (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabar terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, ayat 17)

Lihat saja nabi yang menyeru dan mengajak manusia ke jalan Allah SWT tetap saja ada penolakan serta ancaman daripada kaumnya seperti Nabi Nuh yang mengajak kaumnya mengikut syariat dan mengesakan Allah SWT memakan waktu sangat lama iaitu 950 tahun.

Masa sedemikian lama sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu kecewa, putus asa lantaran semuanya menentang dakwahnya melainkan segelintir saja yang menyahut seruan baginda.

Namun dengan kesabaran yang tinggi, membuat Nabi Nuh tidak pernah berhenti dan serik daripada melaksanakan tugas dakwah. Allah berfirman bermaksud: “Dan Sesungguhnya Kami sudah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).” (Surah Al-Ankabut, ayat 14)

Oleh itu, dalam menjalankan dakwah, kesabaran hendaklah diutamakan untuk menjamin kelangsungan walaupun diejek, ditentang dan diancam, tetap saja menyampaikan risalah Allah kepada manusia tanpa rasa marah atau kecewa.

Da’i seharusnya mengerti bahawa tugasnya hanya menyampaikan, selebihnya adalah kuasa Allah. Firman-Nya: “Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah Allah) saja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” (Surah Al-Maidah, ayat 99)

Berjuang dengan ikhlas

Seharusnya kita terus berjuang dengan ikhlas dan istiqamah tanpa mengira rintangan. Kata cerdik pandai: “Jadilah kamu seperti pohon buah-buahan yang apabila manusia membaling batu terhadapnya, maka pohon itu tetap kukuh, malah sebaliknya melemparkan pula kepada manusia dengan buah-buahnya.”

Diungkapkan Ibnu Qayim, kedudukan sabar terhadap iman, ibarat kedudukan kepala terhadap badan. Maka tidak ada iman bagi orang yang tidak punya kesabaran, seperti jasad juga tak bererti tanpa adanya kepala.

Apabila masing-masing enggan menjalankan kegiatan dakwah, pasti kehidupan masyarakat menjadi tidak terurus, berleluasa maksiat, syariat Islam tidak subur dan ramai yang lupa terhadap Allah SWT. Hal ini boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.



2012/12/03 - 06:01:46 AM 

Wednesday, March 21, 2012

Hikmah berdakwah secara lemah-lembut


Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2012/03/21

Budaya dialog penuh santun boleh lebur jiwa keras terima kebenaran

ADA seorang pemuda yang datang menghadap Rasulullah SAW untuk bertaubat dan bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa kecuali berzina. Pengakuan pemuda itu mendapat maklum balas penuh sinis dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tetap mengajak pemuda tadi untuk berdialog dengan penuh santun dan senyuman seorang pembawa khabar gembira untuk umatnya.


Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu suka kalau hal ini berlaku kepada ibu kamu? Jawab pemuda: Tidak, demi Allah! Aku sebagai jaminanmu. “Demikianlah pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi kepada ibu mereka,” jelas Rasulullah SAW kepada pemuda itu. Kemudian, Rasulullah SAW bertanyakan lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini terjadi kepada anak perempuan kamu?” Dia menjawab: Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu.

Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125).

Rasulullah SAW menjelaskan: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada anak-anak perempuan mereka”. Ujar Rasulullah SAW lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Begitu juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada saudara perempuan mereka.”

Rasulullah SAW bertanya lagi kepada pemuda: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada ibu saudaramu?” Pemuda itu kembali menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lantas Rasulullah SAW pun berkata: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai perkara ini terjadi kepada ibu saudara mereka.” 

Akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda kepada pemuda itu seraya berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharakanlah kemaluannya.” Selepas itu, barulah pemuda itu menyatakan taubatnya kepada Allah dengan taubat nasuha. 

Jelas daripada kisah ini, betapa Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita menelaah dalam sirah Rasulullah SAW dan betul-betul menghayatinya, didapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutama sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraisy, dan natijahnya amat luar biasa dan mengagumkan. 


Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125). 

Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah dialog antara Nabi Ibrahim AS dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa AS dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf as dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi. 

Pengajaran yang penting daripada kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". (Surah Taha, ayat 43-44)

Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108) 

Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan bukan Muslim bukan hanya tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT. 

Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama Muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam. 

Dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani dalam kalangan bukan Muslim kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...