بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Riya'. Show all posts
Showing posts with label Riya'. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Persoalan Agama: Bersungguh mencari keikhlasan mampu kikis perasaan riak


Oleh Ustaz Zahazan


2011/10/23

Soalan: 

BAGAIMANAKAH caranya menghilangkan riak? Ketika mahu ke masjid untuk solat, kadangkala terdetik di hati saya untuk orang lain melihat saya. Begitu juga ketika saya mahu memasukkan duit ke tabung masjid, terasa dalam diri agar orang lain melihat. Saya sangat risau semua ibadat yang dilakukan tidak diterima Allah SWT. 


Nawawi,

Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Jawapan: ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Sebagaimana diketahui bahawa penyakit riak atau berbuat sesuatu kerana mengharapkan agar dilihat dan dipuji manusia, bukan mengharapkan keredaan Allah adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa saja, sama ada di kalangan ulama mahupun orang awam. Riak adalah syirik kecil, tapi termasuk antara dosa besar. Seseorang yang melakukan kebaikan diiringi perasaan riak, maka amalan itu gugur dan tiada pahala, bahkan akan mendapat dosa akibat perbuatan riak itu.


Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;



  Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.




  Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”


  Ketiga – bergaul dengan rakan yang salih. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan.


  Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin. 

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala macam bentuk. Semoga Allah SWT mengurniakan kita keikhlasan baik dalam bentuk lisan serta perbuatan. Amin.

Monday, May 9, 2011

Elak riya' dalam ibadat


SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah. 

Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.

Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga.

Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud:

“Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain.

Baginda bersabda maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.

Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama.

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.

Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam.

Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya:

Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri. 
  • Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri. 
  • Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak. 
  • Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali. 
  • Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid. 
  • Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru. 
  • Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas. 

Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...